Kejayaan anak muda ini mengemudi perniagaan memang wajar dijadikan inspirasi. Mana tidaknya, baru berusia 26 tahun tapi sudah memiliki pelbagai cabang bisnes yang bernilai hampir jutaan ringgit. Apatah lagi, pemilik nama Nur Hazreen Mohd Ramzi ini bukanlah dilahirkan dalam kalangan keluarga berada. Bapanya pernah bekerja sebagai pemandu lori sementara ibu pula suri rumah. Namun kebajikan setiap anak khususnya dalam mendapat pendidikan yang sempurna sentiasa menjadi keutamaan.
Mesra disapa sebagai Reen, pengasas Produklega Supplies Sdn Bhd ini meluahkan rasa syukur kerana minat berniaga sejak kecil akhirnya mendatangkan pulangan lumayan. Lebih-lebih lagi, rezeki tersebut dapat dikongsi bersama kaum suri rumah yang lain. Tidak malu mendedahkan kehidupan silam, Reen berkata dia terbuka untuk berkongsi pengalaman demi mencetus semangat dan inspirasi kepada masyarakat.
Ujarnya, “Saya lahir daripada keluarga sederhana. Ayah pemandu lori, pembekal pasir dan ibu pula suri rumah. Kami berasal dari kampung dan pernah menetap di Hulu Kelantan, Jeli dan Pasir Mas. Walau bukan orang senang tapi kedua-dua ibu ayah saya bekalkan kami adik-beradik dengan ilmu. Alhamdulillah, saya berjaya masuk ke sekolah Sains kemudian diterima ke Matrik dan melanjutkan pelajaran peringkat Ijazah Sarjana Muda Kaunseling minor Psikologi di Universiti Malaya.
Saya mula berniaga secara tidak langsung sejak usia enam tahun. Perniagaan pertama saya waktu tu ialah menjual belon dan pin tudung. Belon yang siap ditiup dan dipasang batangnya dijual pada harga 30 sen. Selain itu, saya juga pernah jual pin tudung. Ceritanya, bila ibu beli berkotak pin tudung tapi saya curi-curi bawa dan jual di sekolah. Masa saya darjah satu, ibu belikan pin tudung khas untuk saya dan dijadikan modal untuk berniaga.”
Sambil tertawa mengenang kembali zaman berniaga waktu kecil, Reen yang juga usahawan Produklega Import & Export, Nasi Kukus Tonggek di Aeon Kota Bahru dan Shah Alam serta pemilik Nuborn Material Enterprise mengakui mahu bergelar usahawan berjaya dan dalam masa sama menjadi suri rumah yang ada pendapatan di samping mempunyai masa mengurus keluarga dan anak-anak.
Ads
Di samping bapa tersayangReen bersama keluarga
Namun semua yang diraih Reen hari ini tidak semudah yang disangka. Jelas ibu kepada seorang anak ini, bermacam-macam pergorbanan telah dilalui sepanjang berkecimpung dalam bidang perniagaan. “Saya mula serius berniaga dan mendaftarkan perniagaan pada tahun 2016. Saya berkahwin dalam usia muda iaitu 20 tahun. Tapi perkahwinan saya tak kekal lama hanya bertahan selama tiga tahun.
Oleh kerana kahwin terlalu awal dan status kewangan tak stabil, saya nekad tubuhkan Nuborn Material Enterprise iaitu menjual barangan kosmetik jenama sendiri. Kerana terlalu fokus dengan bisnes, saya banyak habiskan tenaga dan masa sampai mengabaikan yang sepatutnya. Saya bercerai pada tahun 2018. Usia 22 tahun, saya dah beli rumah tapi demi kelangsungan hidup dan komitmen waktu itu saya terpaksa menjual aset untuk bina syarikat Produklega Trading.
Mengambil insiatif dari susahnya untuk dapatkan supplier murah, saya mula mengimport bekas kosmetik dari China dan raw material dari Korea. Dari situ saya bina Produklega Supplies Sdn Bhd khas untuk pengasas yang inginkan produk jenama dari luar negara yang pembuatan dari top factory in the world dan produk berkelas dunia,” ungkap Reen yang pernah import produk pertamanya, paper wax dan hasil jualan dijadikan modal untuk import lesen yang kini berjumlah 38,000 setahun.
Ads
Tambahnya lagi, “Di Produklega Supplies kami menawarkan perkhidmatan A to Z, maksudnya dari brainstorming sampai packaging, design dan marketing. Selain itu, klien juga dibenarkan memilih kilang-kilang yang kami sediakan iaitu 8 kilang dari lima negara. China ada empat kilang, Korea, Jepun, Thailand dan Indonesia masing-masing ada satu kilang. Semua kilang ini mencapai standard GMP & ISO dan setiap produk dibekalkan pensijilan FDA dan lab test di Malaysia.
Saya juga dalam proses menyewa hab di USA untuk Produklega Export. Kini, kami dah ada klien dari Nigeria, Ohio, California, New York. Kesemua klien kami mengeluarkan produk jenama sendiri melalui kami tetapi tidak melalui Malaysia. Produk yang dihasilkan di China misalnya akan dihantar terus ke sana melalui platform kami di Amazon, Ebay & Alibaba.”
Langit tidak selalunya cerah, pada awal tahun 2020 Reen terpaksa menanggung kerugian ratusan ribu ringgit. “Ketika itu saya masih baru dalam kontrak S&P (Sales and Purchase). Kami terima tempahan 150 ribu bekas kosmetik bernilai RM278,643.20. Setiap angka itu saya ingat sampai sekarang.
Disebabkan founder tidak menyatakan produk yang dimasukkan ke dalam bekas ialah temperature sensitive, ini menyebabkan bekas tersebut pecah dan kilang enggan bertanggungjawab. Jadi, saya terpaksa tanggung separuh kerugian dan bakinya ditanggung syarikat.”
Ads
Di sebalik mengalami kerugian dalam perniagaan, Allah hadirkan sinar bahagia buat Reen apabila dia sah bergelar isteri kepada seorang juruterbang, Muhammad Afiq Faisal. Memandangkan tahun 2020 negara dilanda pandemik Covid-19, pendapatan suami turut terjejas. Enggan berputus asa, pasangan suami isteri ini sepakat membuka satu cabang bisnes baharu iaitu Produklega F&B dengan membeli 2 cawangan Nasi Kukus Tonggek.
“Untuk Produklega F&B, ini adalah investment kami paling tinggi setakat ini iaitu hampir setengah juta. Bercerita tentang pendapatan, ada sesetengah bulan boleh mencecah sehingga 50 ke 60 ribu ringgit sebulan. Ada pasang dan surut bergantung kepada situasi ekonomi dan perayaan.
Walau apa pun, yang paling bernilai bagi saya adalah apabila saya dapat luangkan masa bersama suami dan anak tanpa sekatan waktu bekerja dari jam 9 pagi hingga 5 petang,” akhirinya yang berhasrat memiliki hab Produklega di China dan Timur Tengah.
Kredit foto: Instagram Reen Ramzi
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Setelah lama berusaha, akhirnya kehadiran anak angkat jadi pelengkap rumah tangga Datin Alyah, kini bahagia jadi ibu susuan Izzara.
Geramnya! Comel betul anak kesayangan pasangan Pengarah Muzik terkemuka, Datuk Ramli MS dan Datin Alyah bernama Nur Izzara ni. Si comel yang bakal mencecah usia setahun tidak lama lagi, mula menjadi penyeri rumah tangga Datin Alyah sejak Jun tahun lalu.
Tidak berselindung sejak awal lagi, penyanyi popular ini cukup terbuka berkongsi perjalanan meniti usaha menimang cahaya mata sendiri, termasuk melakukan rawatan IVF dengan pengikutnya.
Walaubagaimanapun, usaha tersebut belum menampakkan hasil. Akhirnya setelah lama berusaha, akhirnya kehadiran anak angkat jadi pelengkap rumah tangga Datin Alyah, kini bahagia jadi ibu susuan Izzara.
Comel betul Izzara, pipi dan mata bulat! Terpancar seri keibuan pada wajah Datin Alyah, nampak Tokram pun bukan main lagi manjakan anak…
Ujar Datin Alyah atau nama sebenarnya Nor Hasliah Abu Hassan, 44, si comel itu bukan diambil dari rumah kebajikan atau mana-mana rumah anak yatim. Sebaliknya merupakan anak saudaranya sendiri dan beliau kini sudah bergelar ibu susuan kepada Izzara.
“Kami tidak ambil Zara dari mana-mana rumah kebajikan atau rumah anak yatim. Zara dengan saya bukan orang lain, dia adalah anak saudara saya sendiri.
Seperkara lagi, saya sudah susukan Zara. Jadi antara Zara dan Tok Ram (nama panggilan untuk Datuk Ramli MS) mempunyai hak seperti bapa dan anak kandung.
Harapnya perkongsian ini dapat memberi jawapan kepada pertanyaan ramai berkenaan hal ibu susuan juga,” kongsinya menerusi hantaran di Instagram miliknya.
Sepanjang menempuh bulan Ramadan, malam Lailatulqadar adalah suatu malam yang sangat dinantikan oleh semua umat Islam. Malam yang paling istimewa ini sengaja dirahsiakan oleh Allah SWT walaupun sudah diberi clue iaitu terdiri daripada malam ganjil 10 malam terakhir. Malam Lailatulqadar ini diberikan kehormatan yang amat tinggi sekali kerana turunnya al-Quran pada malam itu bersama seluruh malaikat di bawah pimpinan malaikat Jibrail.
Bukan semua orang beruntung dapat meraih keberkatan Lailatulqadar tanpa persiapan yang rapi. Namun, Bella Dally, seorang pelakon terkenal dan juga merupakan MUSE Ariani adalah wanita yang sangat bertuah kerana pernah menyaksikan sendiri keindahan Lailatulqadar sewaktu zaman kecilnya.
“Nostalgia Ramadan yang paling tidak akan saya lupa adalah ketika masih di bangku sekolah lagi. Ada suatu masa itu ketika masih kecil, seingat saya masa sekolah rendah. Masa itu subuh baru lepas sahur, suasana masa tu sangat sunyi dan sangat tenang. Apabila keluar rumah dan saya nampak bintang banyak sekali bertaburan di kanvas langit. Sangat indah dan perasaan ketika itu sukar diungkapkan dengan kata-kata. Pada fikiran saya mungkin malam tersebut adalah malam Lailatulqadar. Dan saya berharap sangat dapat berjumpa dengan malam seperti itu lagi,” tutur Bella dengan bersungguh.
Sebagaimana lazimnya ketika Ramadan ramai selebriti memperlahankan sedikit aktiviti seninya. Wanita tinggi lampai ini juga mahu meraih keberkatan Ramadan sementelah 1 Ramadan lalu meninggalkan detik luka dalam sejarah hidupnya. Memilih 1 Ramadan sebagai tarikh keramat, noktah cintanya bersama lelaki yang pernah bergelar suami, hanya wanita ini sahaja yang mengerti perasaannya.
“Honestly saya masih busy bekerja pada bulan Ramadan ini. Namun, tahun ini saya mahu lebih fokus meraih keberkatan Ramadan. Saya suka make myself busy agar tidak terasa masa yang berlalu. Kalau ada shooting masa puasa, saya rasa hari berlalu dengan cepat. Sedar-sedar dah tiba waktu berbuka,” bicara Bella penuh ramah.
Tanpa berselindung Bella mengakui jarang memasak ketika berbuka. “Saya kurang masak ketika berbuka puasa sebab tuntutan kerja dan masa yang tidak mengizinkan. Selalunya saya akan membeli juadah berbuka di Bazar Ramadan especially di TTDI, Kuala Lumpur. Juadah favorite saya di Bazar Ramadan sudah tentu nasi beriani. Beratur panjang pun tidak mengapa,” tutur Bella sambil tersenyum.
Menyentuh tentang Syawal yang bakal disambut pada pertengahan bulan Jun nanti, wajah Bella ceria kerana bakal menyambutnya bersama keluarga tercinta. “Tahun ini saya akan balik seminggu awal sebelum hari raya untuk berpuasa bersama keluarga saya di Sabah. Tahun lepas raya kedua baharu saya dapat berjumpa dengan keluarga di Sabah,” ujar Bella.
Bella nyata seorang wanita yang berhati waja kerana tidak berselindung tentang keruntuhan rumah tangganya. Bagaimana selebriti jelita ini menangani kontroversi yang melanda dirinya? “Bagi saya tak perlu nak balas dengan negatif. Kita just be positive kalau orang nak cakap apa-apa tentang fasal kita. Just diam dan it’s about how we react to it. Sebab kalau kita react kepada benda tu ia akan jadi berpanjangan.
Selepas saya berhijab empat tahun yang lalu, automatically cara saya berubah. Namun bila saya tidak berhijab dahulu saya bukan seorang yang bad girl pun. Saya memang seorang yang family girl, jaga nama baik keluarga dan tak kacau orang ,” terang Bella mengakhiri perbualan kami petang itu.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Populariti Rozita Che Wan dan Ayu Raudhah sudah tidak perlu dipertikaikan lagi. Namun kehadiran adik-beradiknya yang jelita… Rahimah, Rubytah dan Datin Rohaiza kali ini mencuri tumpuan. Ikuti kisah memori indah lebaran Rozita Che Wan & sisters!
RAHIMAH CHE WAN (Kakak Sulung)
Menurut kakak sulung kepada Rozita Che Wan ini, kehadiran 1 Syawal yang dinanti sudah pasti untuk berkumpul adik-beradik seramai tujuh orang. Bukan mudah untuk berkumpul sekali ditambah pula dengan kehadiran anak-anak yang dikasihi.
Sebagai kakak sulung, Rahimah Che Wan, gembira apabila melihat adik-adiknya yang membesar di depan mata datang berkumpul di kediaman ibunda tercinta. Walaupun semua sudah berkahwin tetapi tidak pernah culas untuk pulang di hari raya. “Setiap tahun apabila tiba hari raya kami semua adik-beradik bersama anak masing-masing akan pulang ke Alor Star untuk menyambut raya bersama mak.
Walaupun adik-adik ada yang berkahwin dengan orang jauh tetapi mereka tetap pulang beraya pada hari kedua di rumah mak. Cuma kemeriahan malam raya seperti sebelum semua berkahwin dahulu hanya berlaku apabila tiba giliran beraya di Kedah. Riuh-rendah di malam raya usah cakap, masing-masing hendak bercerita dan selalunya kami lambat tidur di malam raya.”
Sudah terbayang di ruang mata bagaimana suasana tercipta apabila adik-beradik ini berkumpul. Saat sesi fotografi ini berlangsung sudah menjawab gambaran suasana yang bakal tercipta.
“Selalunya Rozita yang akan jadi tukang cerita, saya lebih banyak mendengar daripada bercerita. Seronok mendengar cerita masing-masing. Biasanya bicara kami lebih kepada kisah kehidupan kami yang telah berkeluarga.
Kami berbicara tentang suami, anak-anak dan perasaan masing-masing. Ada masanya kita perlu bercerita untuk meluahkan isi hati yang tersimpan atau terbuku dalam hati. Sekurang-kurang kita tahu dengan siapa kita bercerita dan apabila sudah luahkan segala-galanya macam hilang segala stres yang ada.
Setiap kali usai berjumpa adik-adik memang semua akan gembira umpama segala masalah telah hilang,” terang Rahimah yang sudah menyediakan duit raya untuk anak-anak saudara tersayang.
TRADISI KELUARGA
Setiap keluarga mempunyai cara tersendiri untuk menyambut Syawal. Begitu juga dengan keluarga adik-beradik jelita ini. Menurut Rahimah, tradisi keluarga yang masih dipertahankan adalah balik kampung. “Masa kecil-kecil sampai sekarang setiap pagi raya semua akan bersiap cantik-cantik pakai baju baru, baju raya kemudian makan bersama-sama.
Rahimah Che Wan
Kemudian pergi berkunjung ke rumah saudara-mara yang sudah lama tidak berjumpa. Raya kedua pun bersiap cantik-cantik dengan baju baru walaupun seharian duduk dekat rumah sahaja. Biasanya hari raya kedua kami akan terima kunjungan saudara-mara pula dan raya ketiga kami buat open house di rumah mak,” ujar wanita yang lemah-lembut ini.
Mengimbau kenangan berpuasa ketika masih kecil dahulu, tutur Rahimah mesra, “Bulan Ramadan keluarga kami sama seperti keluarga yang lain. Namun, nostalgia yang masih segar dalam ingatan adalah bila bulan puasa mak akan suruh kita hantar kuih ke setiap rumah jiran. Mak akan buat satu atau dua jenis kuih sahaja.
Tetapi yang seronoknya bila tiba masa berbuka ada banyak kuih-muih pemberian daripada jiran-jiran yang kita hantar kuih. Menurut kata orang-orang tua, budaya membalas pinggan. Apabila tiba masa untuk bersahur pula, Rozita adalah orang yang paling senang untuk bangun. Adik-adik yang lain punya liat nak bangun sahur termasuk saya adalah yang paling akhir bangun sahur,” ungkap Rahimah sambil tertawa.
Ketika diajukan tentang peranan seorang kakak yang tersandar dibahunya sementelah mempunyai adik-adik yang cantik dan terkenal, kata Rahimah lembut, “sebagai kakak sulung, alhamdulillah, bersyukur punyai adik-adik yang cantik dan terkenal malah sentiasa menyokong segala apa yang mereka ceburi and I am happy for them.
Sebagai kakak kepada Rozita Che Wan pula, saya sangat berbangga dan gembira dirinya. Bukan senang untuk dia membina nama sehingga dikenali ke hari ini. Lebih-lebih lagi kami berasal daripada keluarga yang susah. Bapa meninggal ketika kami masih kecil, mak dan nenek yang menjaga dan membesarkan kami adik-beradik.
Rozita seorang yang sangat bersemangat, rajin, mempunyai azam yang besar, disiplin diri yang tinggi dan sentiasa bekerja keras untuk mencapai keinginannya. Rozita yang paling banyak membantu keluarga kerana dia seorang yang sangat-sangat pemurah dan baik hati.
Malah daripada sebelum saya kahwin hingga saya sudah pun berkahwin, dia masih lagi belikan baju-baju raya untuk saya dan anak saya. Bercuti ke mana sahaja pun dia tidak pernah lupa belikan buah tangan untuk kami semua. Appreciate sangat dia punya ingatan terhadap keluarga besar kami,” ujar Rahimah.
ROZITA CHE WAN
Ramai yang mengatakan sukar untuk menjadi pelakon dan usahawan terkenal, Rozita Che Wan atau lebih mesra disapa Che Ta ini. Menurut ibu kepada Aaisyah Dhia Rana ini, sebenarnya tidak sukar untuk menjadi dirinya kerana sudah terbiasa sejak dahulu lagi suka berdandan dan gemar penampilan cantik lain daripada yang lain.
“Sebagai seorang wanita, isteri dan juga ibu sudah semestilah tanggungjawab merancang perbelanjaan terletak di tangan kita. Saya biasanya akan memperuntukkan sebahagian bajet untuk sambutan raya setiap tahun. Biasanya peruntukan bajet raya saya hanya untuk kuih raya dan duit raya sahaja. Macam baju memang tak boleh ikut bajet kerana biasanya akan beli bila mata dah berkenan. Saya akan menyediakan baju raya untuk diri sendiri, suami dan anak-anak.
Walaupun begitu saya jenis wanita yang suka membuat persiapan lebih awal. Segala persiapan raya saya akan buat sebelum menyambut bulan Ramadan lagi. Saya tidak suka membuat persiapan last minute dan merancang dengan rapi segala persiapan terutama baju raya untuk kami sekeluarga. Ketika bulan puasa saya hanya akan menempah kek dan kuih raya sahaja.
Bagi duit raya pula biasanya saya akan memperuntukkan wang sebanyak RM3000 untuk mengisi sampul duit raya. Maklumlah anak saudara saya ramai, itu pun seorang saya bagi RM100. Ikut hati memang nak tambah jumlah duit raya tapi tiap-tiap tahun bilangan anak-anak buah akan bertambah. So tak jadi lah, maintain setakat itu sahaja. Ada juga peruntukan duit raya untuk anak-anak sendiri dan juga mak tersayang.
Saya jarang memperuntukkan bajet untuk perbelanjaan rumah ketika menyambut Syawal. Boleh dikatakan saya jarang menyambut raya di rumah jadi kelengkapan rumah tidak berubah, macam itu sahaja,” tutur isteri kepada pelakon, Zain Saidin ini.
Mempunyai keluarga yang besar tentu mempunyai impak terutama apabila masing-masing sudah berkahwin dengan pilihan hati. Jika ketika bujang semua boleh berkumpul semua sekali namun, apabila sudah mendirikan rumah tangga tentu sukar untuk berkumpul di hari raya. “Keluarga kami tidak begitu. Walaupun masing-masing sudah berkahwin dan mempunyai keluarga mentua kami tetap balik beraya ke kediaman ibu di Alor Star.
Dalam tujuh orang adik beradik, hanya saya, Kak Rahimah dan Ayu sahaja yang berkahwin dengan orang jauh. Adik-beradik yang lain semua berkahwin dengan orang Kedah. Jadi macam Jaja dan Ruby memang tiap-tiap tahun mereka akan pulang ke Alor Star sebab mak mentua mereka orang sana.
Biasanya apa yang adik-beradik saya praktik apabila tiba giliran beraya bersama keluarga suami, hari raya kedua kami akan balik ke Alor Star dan kami adik-beradik akan berkumpul bersama-sama. Memang setiap tahun begitu, jadi tiada istilah tak balik kampung. Mak pun tak kisah dan beliau dah faham apabila anak-anak yang sudah berkahwin dan mempunyai giliran beraya di rumah mak mentua terlebih dahulu.” Walaupun tahun ini, 2020 tidak kesampaian hajat untuk pulang beraya di Alor Setar.
Seronok melihat kelima-lima adik-beradik ini begitu akrab dan saling memerlukan. “Adik-beradik saya tujuh orang, kami lima orang perempuan dan dua lagi lelaki. Perbezaan umur yang tidak begitu ketara membuat hubungan kami begitu akrab. Antara hobi yang sering dikongsi adalah bersolek bersama-sama. Kalau orang tengok macam pertandingan solekan, kami adik-beradik.
Lepas itu kami adik-beradik suka jahit manik untuk baju raya. Dahulu sebelum masing-masing kahwin selepas buka puasa dan selepas terawih, tiga minggu pertama memang masa untuk jahit manik di atas baju masing-masing. Lepas tu pilih, baju siapa yang paling cantik. Seminggu yang terakhir itu kami akan sibuk buat kuih raya ramai-ramai. Saya rasa itu adalah aktiviti yang saya paling miss the most.
Pengalaman yang tidak dapat dilupakan ketika menyambut Syawal bersama adik-beradik apabila suatu pagi raya itu, kakak saya gosok baju anak dia terkoyak habis lengannya. Ayu pula hantar baju pergi dry clean dan apabila pagi raya nak pakai tengok-tengok seluar suaminya, Zaquan dah jadi pendek sampai ke lutut. Pagi itu riuh rendah rumah mak, kalau difikirkan kembali kelakar pun ada,” bicara Che Ta sambil tertawa.
Menurut pelakon drama Kiah Pekasam ini, tradisi ketika menyambut Aidilfitri yang masih diamalkan sejak kecil sehingga kini adalah bersalam-salaman dengan seluruh ahli keluarga sambil menghulurkan duit raya.
“Makanan yang wajib ada ketika beraya bersama keluarga sudah semestinya ketupat daun palas sebab ketupat ini kalau bukan hari raya susah nak dapat. Ada juga orang jual ketupat palas ini tetapi, tak sedap. Mak memang akan buat ketupat palas makan dengan gulai daging. Macam keluarga kami orang Alor Star suka makan ketupat palas dengan susu pekat. Itu memang makanan wajib setiap kali Syawal,” ujar Che Ta.
Sebagai selebriti terkenal pula adakah penting untuk menjaga imej ketika menghadiri rumah terbuka? “Kalau menghadiri majlis rumah terbuka saya mesti pakai baju yang paling glamor sebab kan raya. Kalau raya saya memang jenis yang all out. Saya akan pakai baju yang paling meletup macam nak pergi majlis anugerah. So kalau pergi open house bergantung la. Kalau open house tu buat kat rumah mungkin pakai biasa-biasa aja. Tapi kalau open house tu kat hotel kita pakai lah meletup sikit,” kata ibu kepada Ammar Effendy dan Aniq Ezzra ini.
RUBYTAH CHE WAN
Memang wanita ini tidak seperti kakaknya, Rozita Che Wan dan adik perempuannya, Ayu Raudhah yang terjun dalam dunia seni. Namun, apabila Rubytah Che Wan ini mengahwini pelawak popular Lan Pet Pet sedikit sebanyak limpahan lampu glamor menjurus kepadanya. Kebahagiaan pasangan ini jelas terpancar apabila melihat Lan Pet Pet sering mengusik isterinya yang turut hadir ketika penggambaran sedang berlangsung.
“Memang orang akan melihat ke mana sahaja kami berdua kerana saya turut menjadi Manager kepada suami. Saya menguruskan perjalanan seni Lan Pet Pet, sebab itu orang akan melihat ke mana sahaja Lan pergi saya akan turut serta. Bulan Ramadan dan Syawal juga jadual Lan agak ketat kerana banyak program dan acara yang melibatkannya sebagai pengacara majlis dan membuat penampilan istimewa.
Bagi saya kehadiran bulan puasa bagai suatu yang dinanti. Peluang meraih keberkatan amalan yang dijanjikan pahala berlipat kali ganda bagai ditunggu-tunggu oleh setiap umat Islam. Namun, saya tiada persiapan yang ketara menempuh Ramadan kerana sudah membiasakan diri dengan amalan berpuasa di bulan Syaaban dan Rejab. Apabila, sudah terbiasa berpuasa jadi tiada lagi istilah penat atau perut meragam. Cuma ketika bulan Ramadan ditambah pula dengan amalan solat sunat terawih,” tutur anak ketiga daripada tujuh orang adik-beradik ini.
Melihat penampilan Muslimah sejati yang tersarung di tubuhnya, tertanya-tanya bagaimana wanita yang mesra di sapa Ruby ini melakukan penghijrahan. “Saya melakukan transformasi diri dengan melabuhkan sedikit tudung selepas pulang daripada mengerjakan haji 2017 lalu. Perubahan ini berlaku apabila saya terfikir sudah beberapa kali mengerjakan umrah namun apabila tiba masa mahu meninggalkan tanah suci timbul rasa tidak seronok.
Apabila saya berada di tanah suci dan kembali ke Malaysia umpama berada dalam dua dunia yang berbeza. Sepatutnya ke mana sahaja kita berada amalan dan pakaian kita adalah sama. Oleh itu sejurus pulang daripada mengerjakan haji tahun lalu saya nekad untuk mengubah penampilan. Penghijrahan ini bukan untuk menunjuk alim dan sebagainya tetapi mahu menyarung pakaian yang boleh di bawa solat tidak kira masa dan tidak kira tempat,” terang ibu kepada empat orang anak ini.
Tambah wanita yang mudah mesra ini, setiap kali menemani suami menghadiri majlis tertentu ramai wanita yang bertanya tentang pakaian yang tersarung di tubuhnya. “Memang baju dan tudung yang saya pakai sekarang tidak ada dijual di mana-mana. Rekaannya saya buat sendiri dan jahit sendiri. Dahulu saya memang tidak suka menjahit dan hanya tahu mereka pakaian sahaja. Akibat takut tukang jahit tidak faham keinginan saya justeru saya jahit sendiri. Benar kata orang jika kita buat sesuatu dengan bersungguh-sungguh pasti akan berjaya,” bicara Ruby yang belum terfikir untuk memasarkan baju rekaannya itu.
Menurut Ruby persediaan baju raya tahun ini berbeza sedikit daripada tahun-tahun yang sebelumnya. Baju raya tetap ada tetapi lebih sederhana dan yang penting adalah keselesaan ketika memakainya.
KEMERIAHAN SYAWAL
Ruby beruntung kerana berkahwin dengan orang satu negeri. Oleh itu, setiap tahun pasangan ini akan menyambut kehadiran Syawal di negeri Jelapang Padi. “Memang benar setiap tahun saya akan balik Kedah. Kedua-dua mak dan mak mentua ada di sana. Cuma setiap tahun saya akan beraya di rumah Lan terlebih dahulu dan selepas solat sunat Aidilfitri baharu saya akan pulang ke rumah mak di Alor Star.
Juadah hari raya biasanya mak mentua yang akan sediakan segala-galanya. Walaupun mak mentua sudah berusia tetapi dia masih kuat lagi. Mak mentua jenis yang suka masak dan tak bagi orang lain masuk dapurnya. Antara hidangan istimewa air tangan mak mentua sudah pasti ketupat dan gulai daging. Manakala laksa pula menjadi hidangan kegemaran anak bongsu dan satu-satunya lelaki iaitu Lan Pet Pet,” gurau Ruby kepada suaminya yang dikenali sejak di bangku sekolah lagi.
DATIN ROHAIZA CHE WAN
Datin Rohaiza Che Wan atau mesra di sapa Datin Jaja ini tidak lokek berkongsi rahsia kecantikannya, walaupun sudah mempunyai enam orang anak.
“Sebenarnya saya tidak mempunyai rahsia kecantikan yang khusus. Namun, apa yang boleh saya kongsi adalah amalan ketika berpantang selepas melahirkan anak. Saya jenis seorang yang kuat berpantang selepas melahirkan anak. Lebih-lebih lagi apabila jarak umur anak-anak saya sangat rapat. Oleh itu penjagaan amalan berpantang sangat penting.
Saya mahu kelihatan cantik dan bertenaga seperti mak. Saya patuh semua pantang larang yang mak ajar ketika berpantang. Pemakanan sangat penting ketika berpantang, saya cuma amalkan makan nasi panas dan halba serta ulam. Di samping itu saya juga banyak makan pegaga untuk memperbanyakkan aliran susu sebab saya menyusukan anak secara eksklusif selama dua tahun. Mungkin menyusukan anak ini merupakan ‘perancang keluarga’ saya sementelah saya tidak mengamalkan apa-apa jenis perancang keluarga.
Jika ada yang bertanya bagaimana saya menguruskan masa dengan mempunyai anak-anak yang masih kecil, bagi saya tiada sebarang cabaran. Ini kerana apabila umur mereka rapat rutin harian saya tidak berubah. Sejak melahirkan anak pertama sehingga anak kelima saya sudah terbiasa untuk bangun malam menyusukan anak atau menukar lampin mereka. Bagi saya cabaran datang apabila kita sudah lama tidak mempunyai anak kecil dan sudah terbiasa tidak bangun malam untuk menyusukan anak tetapi tiba-tiba mempunyai anak baru lahir. Ketika itu rutin harian sudah lari dan pasti menimbulkan masalah.”
Menyingkap tentang persiapan hari raya Datin Jaja yang mempunyai anak-anak masih kecil, ucapnya, “Walaupun anak-anak masih kecil bagi saya semua tidak menjadi masalah. Biasanya saya sudah menyediakan segala-gala kelengkapan raya sebelum menjelang bulan Ramadan lagi. Persiapan last minute akan membuat kita sering tersasar daripada keperluan wajib hari raya.
Sebelum puasa saya sudah menyediakan 3 pasang baju untuk setiap anak-anak. Lagi pun bulan Ramadan saya sangat sibuk untuk menyediakan juadah berbuka puasa. Biasanya tiap-tiap tahun sejak berkahwin suami akan mengadakan majlis berbuka puasa di rumah. Suami akan menjemput rakan sekerja, rakan-rakan, anak-anak tahfiz dan tetamu yang lain untuk berbuka puasa di rumah daripada hari Isnin hingga Jumaat selama sebulan. Selepas berbuka kami akan menunaikan solat maghrib, isyak dan terawih bersama-sama.
Saya akan masak sendiri setiap juadah berbuka dan rasa seronok apabila melihat orang setiap hari orang dapat berbuka puasa dengan air tangan sendiri. Hanya Sabtu dan Ahad sahaja masa untuk saya berbuka puasa dengan keluarga dan adik-beradik yang lain,” bicara isteri kepada Datuk Haji Muhammad Faizal Haji Zainul ini penuh ceria.
Kenangan malam raya adalah antara kenangan yang diperkatakan oleh kelima-lima adik-beradik jelita ini. “Semasa kami semua belum berkahwin dahulu kenangan malam raya adalah suatu yang sukar dilupakan. Masing-masing sudah ditetapkan tugas, saya dan Che Ta biasanya akan ditugaskan untuk menghias rumah. Pagi raya pula kami akan menyusun kuih raya di atas meja.
Paling istimewa apabila setiap kali tiba pagi raya kami adik-beradik akan bergaya sakan ibarat sebuah fashion show. Masing-masing tidak mahu kalah dalam bergaya dengan taburan labuci dan manik yang dijahit sendiri di atas baju raya. Momen begini sangat indah untuk dikenang. Usai mengerjakan solat sunat Aidilfitri kami semua akan bersalam-salaman dan bermaaf-maafan bersama adik-beradik dan mak,” ujar Datin Jaja yang pernah menjadi pramugari dan model sambilan suatu ketika dahulu.
Datin Jaja juga beruntung kerana berkahwin dengan orang satu negeri. Oleh itu tiada istilah berbalah untuk balik kampung beraya. Namun wanita yang pandai bergaya ini sudah serik untuk balik kampung dekat-dekat nak raya. “Saya memang sudah serik untuk balik kampung dekat-dekat nak raya kerana pernah terkena melekat di atas jalan raya lebih daripada 10 jam. Tambah pula anak-anak masih kecil, memang huru-hara jadinya. Setiap tahun kami akan pulang awal ke kampung dan mengambil peluang berbuka bersama-sama mak dan mak mentua,” jelas Datin Jaja.
RAUDHAH CHE WAN
FEB 20 2018 NONA MAIZAN COVER CHE TA DAN ADIK BERADIK
Raudhah Che Wan atau lebih popular disapa Ayu Raudhah dibayangi kelibat kakak tersayangnya namun, sedikit demi sedikit bakat semula jadi yang mengalir dalam dirinya telah diterima oleh pencinta seni tempatan. Berbekalkan rupa paras yang cantik dan bakat membuat Ayu masih mendapat tawaran berlakon sehingga kini.
“Kalau Raya tumpuan saya lebih untuk dekorasi moden glam atau klasik yang gelap dan cosy. Alhamdulillah saya mempunyai cita rasa yang sama dengan Zaquan. Biasanya jika ada masa terluang kami berdua akan keluar bersama-sama untuk membeli barang kelengkapan rumah. Zaquan ini jenis orang yang suka duduk di rumah oleh itu saya perlu pastikan dekorasi rumah umpama kawasan rehat yang sedap untuk dihinggapi,” terang Ayu.
“Memang tiap-tiap tahun saya tidak pernah miss beraya bersama keluarga di Kedah. Apabila berkumpul semua, memang suasana rumah mak akan jadi riuh rendah. Cuba bayangkan kami tujuh beradik dicampurkan pula dengan mak dan tok di rumah. Ditambah pula dengan pasangan masing-masing dan juga anak-anak. Memang macam-macam cerita yang akan keluar. Kami juga suka mengenakan warna tema setiap pagi Syawal,” bicara Ayu penuh ceria.
Ayu bukan sahaja dilahirkan dengan rupa paras yang cantik malah cekap memasak di dapur. Lebih istimewa apabila selebriti ini cekap memasak untuk bilangan yang ramai. “Biasanya kami akan bergotong-royong masak. Makanan wajib ketika menyambut Syawal di Kedah sudah semestinya Gulai daging dan nasi daging,” ujar Ayu.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Buat pertama kalinya Datin Paduka Seri Afzaa Fadini Dato’ Abdul Aziz hadir ke majlis ulang tahun Hari Keputeraan Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj.