Baik perempuan mahupun lelaki, anak-anak haruslah dilatih sejak kecil untuk membuat kerja-kerja rumah agar berkembang menjadi seorang yang prihatin, bertimbang rasa dan bertanggungjawab.
Langkah ini sangat bagus namun pernahkah terfikir ruang dapur anda itu mesra kanak-kanak? Maksud mesra di sini ialah lebih kepada faktor keselamatan.
Selain itu, pastikan juga ruang dapur anda juga berperanan sebagai zon interaksi sesama ahli keluarga.
PENSTORAN
Bina sebuah kabinet khas sebagai tempat penyimpanan peralatan anak-anak seperti botol, cawan dan sebagainya.
Apabila anak-anak semakin membesar, zon penstoran tersebut berguna untuk mereka menyimpan snek, bahan kerja sekolah dan lain-lain.
PENCAHAYAAN
Pastikan sumber cahaya mencukupi di ruang dapur terutama di kaunter pulau atau kaunter bar. Dengan itu, anda akan lebih mudah memantau anak-anak. Meletakkan lampu gantung di kaunter pulau atau kaunter bar adalah pilihan terbaik dan praktikal.
Tempatkan juga bekalan elektrik yang berhampiran bagi memudahkan anak-anak menggunakan komputer riba.
LANTAI
Pilih lantai yang mempunyai ketahanan tinggi, mudah dibersihkan dan tidak licin seperti material kayu atau buluh berbanding lantai jubin seramik.
Kemalangan seperti terjatuh di dapur boleh diatasi lebih baik melalui lantai jenis kayu berbanding jubin. Lantai kayu juga bagus untuk kaki memandangkan anda menghabiskan masa yang lama di ruang tersebut.
PAPAN KENYATAAN
Memandangkan ruang dapur banyak digunakan oleh anak-anak untuk membuat kerja sekolah, sediakan satu ruang untuk menempatkan papan hitam atau papan kenyataan yang boleh digunakan untuk menampal jadual, nota dan sebagainya.
KAUNTER TOP
Antara material yang dicadangkan ialah marmar. Kanak-kanak di bawah usia empat tahun boleh menjadikan kaunter top marmar sebagai peneman di dapur.
Biarkan mereka bermain di situ atau menconteng di atas kaunter top. Ia tidak menjejaskan fungsi material marmar kerana selain ketahanan kuat, permukaannya yang berjalur mudah dibersihkan.
KETUHAR GELOMBANG MIKRO
Galakkan anak-anak menggunakan ketuhar gelombang mikro kerana kejadian melecur boleh dielakkan. Tempatkan satu slot untuk ketuhar gelombang mikro yang sesuai dengan ketinggian anak-anak anda.
Contohnya, letakkan ketuhar gelombang mikro di kaunter pulau agar anak-anak mudah untuk membantu anda mahupun menyediakan makanan kegemaran mereka sendiri. Amy Mohd