
Terus mengangkat wanita, penganjuran Forum Anak Syurga dan Anugerah Ibu Inspirasi oleh Al Kauthar Eduqids dibuat khas untuk raikan jasa ibu di Malaysia.
Tadika kanak-kanak terkemuka, Al Kauthar Eduqids (AKE) menjalin kerjasama dengan Mingguan Wanita dan Majalah Nona menganjurkan sebuah program hebat iaitu ‘Forum Anak Syurga’ diikuti ‘Malam Gala Anugerah Ibu Inspirasi Mingguan Wanita dan Nona’ pada 2 Jun 2024 bertempat di Hotel Seri Pacific Kuala Lumpur.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Al Kauthar Eduqids, Dato’ Dr Capt Bakhtiar Aliff Bin Ibrahim, dianggarkan 250 tetamu terdiri ibu bapa yang mempunyai anak-anak istimewa bakal menyertai forum ini.


Selaku penaja utama, antara pengisian topik-topik yang dibincangkan adalah:
(1) Talkshow 1: Power Up Mental & Fizikal

(2) Talkshow 2: Kapsul Sihat & Cergas

(3) Talkshow 3: Anak Istimewa Selangkah Ke Syurga

Forum yang bermula jam 9.30 pagi hingga 4.00 petang ini bukan sahaja membincangkan pelbagai ilmu dan perkongsian pengalaman ibu bapa malah bertujuan untuk membina komuniti sokongan antara ibu bapa yang mempunyai anak-anak istimewa.
Bersama moderator Nani Roslan, beberapa panelis disegani turut hadir iaitu Zarina Zainuddin, Fynn Jamal, Dr Malar dan Dr Robiah Hamzah, bersama kehadiran Ketua Pegawai Operasi Al Kauthar Eduqids, Datin Dr Nor Fadilah Alias.
MALAM UNTUK IBU

Pada sebelah malam pula bakal berlangsung ‘Malam Gala Ibu Anugerah Inspirasi Mingguan Wanita dan Nona’.
Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultanah Nur Zahirah, Sultanah Terengganu dan anakanda baginda YAM Tengku Puteri Daulath Raja Tengku Fatimatuz Zahra binti Al-Wathiqu Billah Sultan Mizan Zainal Abidin bakal mencemar duli berangkat menyerikan majlis.
Malam Gala Ibu Inspirasi Mingguan Wanita dan Nona bertujuan memartabatkan figura ibu hebat yang berjasa dan sesuai menjadi inspirasi keibuan kepada masyarakat. Seramai 12 wanita hebat dinobatkan sebagai penerima anugerah Ibu Inspirasi Mingguan Wanita & Majalah NONA pada malam istimewa ini.
Saksikan persembahan hebat selebriti Salamiah Hassan, Atilia Haron dan Mila Jirin, menyerikan sesi siaran LIVE pada Ahad, 2 Jun 2024 bermula pukul 7.30pm di saluran YouTube, Facebook & TikTok Mingguan Wanita serta Majalah Nona.
Artikel berkaitan: https://www.nona.my/dato-dr-kapten-bakhtiar-tak-mudah-menyerah-kalah-jatuh-7-kali-maka-bangunlah-8-kali/
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Lebih 2 Juta Dijangka Balik Raya Di Kampung, Ikuti 4 Tip Lindungi Rumah Daripada Banjir

Setelah dua tahun tak berpeluang pulang ke kampung berhari raya, ramai yang merancang untuk pulang ke kampung tahun ini. Lebih 2 juta dijangka orang akan pulang ke kampung menyambut Syawal yang dijangka akan disambut pada 3 Mei depan.
Ditambah pula cuti raya tahun ini agak panjang ramai yang mengambil peluang untuk menyambutnya di kampung bersama keluarga tercinta.
Buat mereka yang memandu untuk pulang ke kampung dinasihatkan berhati-hati memandu kelak. Ini kerana sebanyak 4.7 juta kenderaan dijangka berada di atas jalan raya di seluruh negara sempena Hari Raya Aidilfitri bulan depan.

Periksa kenderaan agar berada dalam keadaan yang sesuai untuk berjalan jauh atau berada lama di atas jalan raya kerana jem. Bayangkan lebih 2 juta dijangka balik kampung serentak nanti.
Selain, kenderaan rumah atau kediaman kita perlu berada dalam keadaan baik kerana ditinggalkan dalam tempoh yang agak lama. Tinggalkan rumah dengan lapang dada dengan mengambil langkah berjaga-jaga terhadap banjir.

Banyak pengajaran yang diterima ketika banjir melanda Selangor baru-baru ini kerana ramai yang tidak bersedia menghadapinya.
1. Bersihkan dan periksa sistem saliran di sekeliling rumah dengan kerap
Sekatan dalam sistem perparitan merupakan antara punca utama banjir kerana air akan terkumpul di kawasan yang tidak diingini apabila air tidak dapat mengalir. Ia penting untuk membersihkan sistem saliran di sekitar rumah dengan kerap untuk mengelakkan sampah, daun dan serpihan lain bertimbun dan menyekat laluan saliran.

Anda juga boleh bekerjasama dengan jiran untuk memantau longkang di kawasan perumahan untuk memastikan kelancaran aliran air. Anda juga boleh hubungi Jabatan Perkhidmatan Pembetungan dengan segera jika ada longkang yang tersumbat.
Sistem saliran dan pembetungan yang tersumbat akan menjejaskan aliran air dan menyebabkan masalah banjir semasa hujan lebat.
2. Ikuti trend “bumbung hijau”!
Bumbung hijau merupakan trend terbaharu dimana bumbung dipenuhi tumbuh-tumbuhan yang dapat menyerap air hujan lalu mengurangkan berlakunya banjir. Konsep bumbung hijau telah menjadi sangat popular di negara asing sejak beberapa tahun yang lalu kerana manfaat yang boleh dinikmati pemilik bangunan, komuniti dan alam sekitar.

Bumbung hijau bertindak sebagai alat pengurusan air hujan untuk bangunan dengan menimbal air melalui tumbuhan, lapisan substrat dan lapisan saliran untuk mengurangkan limpahan air sambil menyingkirkan bahan pencemar dalam air hujan.
Namun itu, terdapat banyak perkara yang perlu dipertimbangkan semasa membina bumbung hijau seperti struktur rumah untuk menampung beban bumbung yang direndam air hujan, pemilihan tumbuhan, dan sistem saliran.
Pastikan anda berunding dengan pakar industri pembinaan dan seni bina untuk memastikan bumbung hijau anda selamat dan dapat memberikan faedah yang dijanjikan! Bumbung hijau telah menjadi trend di negara asing berkat faedah kepada alam sekitar dan kawalan banjir.
3. Pasang sistem penapisan air untuk memastikan kebersihan air selepas banjir
Air yang mengalir dari paip rumah anda berkemungkinan besar telah tercemar akibat berlakunya banjir. Ini kerana apabila banjir, sampah, lumpur, dan sisa daripada sistem pembetungan dan longkang akan ditolak air banjir lalu mengalir masuk ke dalam takungan, telaga dan paip yang membekalkan keperluan air harian anda.

Menurut Encik Koo Zao Cheong, Pengurus Pembangunan Perniagaan Serantau Waterco Malaysia, penyedia penyelesaian sehenti yang terkemuka untuk persekitaran air yang selamat dan sihat, memasang sistem penapisan air di rumah dapat membantu menyediakan air bersih dan selamat selepas banjir. Pencemaran air selepas banjir akan membawa kesan negatif kepada kesihatan dan rutin harian manusia.
4. Pasang sistem penuaian air hujan di rumah
Penuaian air hujan bukanlah sesuatu yang baru tetapi ia masih merupakan istilah yang asing bagi kebanyakan rakyat tempatan. Ia adalah satu konsep yang menarik untuk mengumpul air hujan dan menggunakannya semula untuk berkebun dan pembersihan selepas ia ditapis oleh sistem penuaian air hujan.

Sistem penuaian air hujan mengumpul air hujan yang mengalir dari bumbung dan paip air hujan lalu menyimpannya di dalam tangki air untuk kegunaan masa hadapan. Encik Koo Zao Cheong berkata, “Sistem penuaian air hujan bukan sahaja pilihan mesra alam yang mengurangkan penggunaan air, kajian juga mendapati bahawa sistem ini juga membantu dalam mengurangkan limpahan air hujan dengan mengumpul air dalam tangki sekali gus mengelakkan potensi limpahan sistem saliran semasa hujan ribut,” katanya.
Baca juga; 4.7 juta kenderaan dijangka berada di jalan raya sempena Aidilfitri 2022
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Sitti Fatimah Janna Pecah Tembok Ketakutan, Lalui Jerih Payah Dalam Meniti Kejayaan Sebagai Usahawan Wanita

Sitti Fatimah Janna pecah tembok ketakutan. Hasrat untuk mengubah kehidupan keluarga, berani mencuba sesuatu yang baharu dan memecahkan tembok ketakutan menjadikan Sitti Fatimah Janna seorang usahawan wanita yang berjaya dan hebat. Pemilik dan pengasas kilang kosmetik & kecantikan SFJ Manufacturing Sdn Bhd dan SFJ Beauty Sdn Bhd ini juga berharap pengalaman yang ada pada dirinya mampu menyuntik inspirasi untuk para wanita di luar sana terus mengorak langkah mencipta kejayaan.
Sitti Fatimah Janna Pecah Tembok Ketakutan
Bukan berasal daripada keluarga yang senang, tanpa disedari mendorong Sitti Fatimah tekad untuk mengubah nasib keluarga. Mengimbau seketika kenangan zaman kecilnya, wanita ini terbuka mengimbau kehidupan tinggal di rumah kayu yang agak usang.
“Saya bukanlah datang daripada keluarga yang senang. Dari kecil sudah terbiasa tinggal di rumah usang dan jika hujan terpaksa berlari mencari baldi, demi menadah air yang turun mencurah-curah melalui atap bocor. Saya juga pernah bekerja dengan gaji asas RM600 sebulan. Bapa hantar ke tempat kerja setiap hari, jangankan kata nak bagi mak ayah duit RM50 sebulan, nak bagi duit minyak pada ayah pun tak lepas!
Pernah satu hari, saya ke shopping mall teringin nak beli beg tangan. Harganya cuma RM30 tapi pada masa itu saya tak mampu dan rasa sedih sangat. Dalam hati menangis, untuk bahagiakan dan belanja diri sendiri pun susah,” ungkap Sitti Fatimah yang mula mengorak langkah dalam bidang perniagaan asbab dari kesusahan hidup yang dilaluinya.

Bekerja Sambilan Selepas Waktu Bekerja
Memikirkan masa depan dengan kos sara hidup yang tinggi, pendapatan bulanan sebanyak RM600 sudah pastilah tidak mencukupi. Bagi mengatasi keadaan ini, Sitti Fatimah terpaksa berniaga secara sambilan selepas waktu bekerja.
“Memandangkan sektor pemasaran menerusi dalam talian semakin berkembang ketika itu, saya cuba berjinak-jinak menjual produk orang lain. Masa tu saya lakukan semua perkara termasuk mengiklan produk di Facebook, menjawab mesej pertanyaan, membungkus barang dan buat penghantaran ke pejabat pos. Masa saya sangat terbatas kerana saya lakukan semuanya selepas waktu kerja,” katanya.
Berkat kesungguhan Sitti Fatimah berjaya mendapat sedikit keuntungan. Pada bulan pertama, dirinya sangat gembira walaupun hanya mendapat untung sebanyak RM200. Dari situ wang yang diperolehi dikumpul sebagai modal pusingan. Apabila melihat pendapatan dari kerja sampingan semakin tinggi, Sitti Fatimah semakin bersemangat dan selepas setahun dirinya mengambil keputusan berhenti kerja dan melakukan perniagaan secara sepenuh masa.
“Sewaktu berhenti kerja saya sudah berjaya menabung sebanyak RM10,000. Pada tahun 2013 saya menjual produk homemade yang dibuat oleh mak saya. Tak sangka produk itu tular dan perniagaan kami berkembang maju. Perlahan-lahan saya keluarkan modal dan pada November 2016 membuka kedai fizikal.
Akhirnya pada 2021 saya berjaya memiliki lesen GMP dan membuka kilang OEM sendiri,” kongsi Sitti Fatimah yang melalui jerih payah dalam meniti kejayaan sebagai seorang usahawan wanita hebat dan menerima pengiktirafan sebagai kilang pertama menjadi kilang terbaik bertaraf GMP di Tawau, Sabah.

Percaya Pada Rezeki
Mengendalikan empayar perniagaan bukanlah perkara mudah, Sitti Fatimah juga berhadapan dengan pelbagai cabaran. Antara yang paling sukar apabila terpaksa menanggung kerugian sebanyak RM700,000.
“Adat dalam berniaga adakalanya untung dan adakalanya rugi. Produk yang kami serahkan pada klien mengalami masalah dan kami terpaksa menanggung kos kerugian yang besar. Dalam masalah ini saya bagi jaminan dengan klien akan ganti semula produk tersebut. Sejak itu saya lebih berhati-hati dalam memasarkan barangan.
Masa tu saya percaya pada rezeki, mungkin sudah ditakdirkan bukan rezeki kami. Syukur alhamdulillah hubungan dengan pelanggan tersebut sampai sekarang masih baik. Mungkin kerana kami dapat ganti baru dan kerugian dapat diatasi. Nasib baik saya dapat pelanggan yang baik. Hingga hari ini kami masih berurusan,” luah Sitti Fatimah yang sangat menjaga hubungan baik dengan setiap kliennya.
Sebagai pemilik kilang OEM, Sitti Fatimah tidak pernah lokek ilmu dan sentiasa terbuka membantu klien dalam menyusun strategi perniagaan. “Saya akan bantu klien untuk kembangkan produk mereka. Mereka perlukan nasihat daripada orang yang berpengalaman. Jadi ilmu yang ada saya akan berikan pada mereka. Bukan itu saja, kami juga banyak bantu usahawan di Sabah dengan mengadakan kelas bisnes,” jawab Sitti Fatimah yang sangat bahagia apabila melihat kliennya mendapat jualan yang tinggi.
Sitti Fatimah juga berkongsi dalam berniaga dirinya mengamalkan sikap jujur dan berterus terang pada klien. “Satu pantang-larang yang saya amalkan, jangan sesekali berbohong pada klien. Kenalah bersikap jujur dan berterus-terang dengan mereka. Dengan sikap begini, klien akan lebih percaya pada kita. Jangan berselindung untuk selamatkan diri. Setiap ujian yang datang kita perlu tangani. Biar klien percaya pada kita.
Alhamdulillah sehingga kini saya mempunyai ramai klien yang setia dan percaya pada kami. Malah ada yang mahu berikan modal untuk kami kembangkan perniagaan di Semenanjung. Cuma buat masa ini kami masih di peringkat mengkaji,” ujar Sitti Fatimah yang mengimpikan sijil ISO bagi memantapkan SOP dalam kilang.
Berbicara tentang keluarga tercinta, Sitti Fatimah bersyukur kerana suami dan kedua ibu bapanya banyak memberi dorongan untuk berjaya. Bergelar isteri dan ibu kepada tiga cahaya mata juga bukanlah sesuatu yang mudah. Ini kerana pada masa yang sama Sitti Fatimah juga bergelar usahawan wanita.
“Saya bersyukur kerana suami banyak membantu. Pada waktu cuti saya akan habiskan masa dengan keluarga dan bawa anak berjalan-jalan. Pada hari biasa sebelum ke pejabat saya akan hantar anak-anak sendiri ke sekolah dan memasak untuk keluarga. Saya dan suami tak lepaskan tanggungjawab dan uruskan sendiri anak-anak pergi dan balik sekolah,” kata Sitti Fatimah lagi.
Berkat kejayaan yang diperolehi, Sitti Fatimah juga tidak lupa berbakti pada ibu dan ayah. “Sekarang ini perlahan-lahan saya bahagiakan mak dan ayah. Saya sudah hantar mak dan ayah mengerjakan Haji dan Umrah. Belikan kereta dan kediaman yang selesa,” kongsi Sitti Fatimah.
Selain itu, kepesatan perniagaan Sitti Fatimah juga membolehkan mereka memberi banyak peluang pekerjaan serta memiliki 40 orang pekerja. “Pekerja merupakan tulang belakang saya. Kalau dulu saya cuti, perniagaan pun terpaksa tutup. Sekarang saya sudah ada lebih 40 orang pekerja. Andai kata saya tidak ada di pejabat pun tak mengapa sebabnya mereka sudah boleh berdikari dan uruskan perniagaan saya seperti biasa,” luah Sitti Fatimah.
Ditanya tentang perasaan terpilih sebagai salah seorang penerima Nona Superwoman Award 2024, Sitti Fatimah berharap pengiktirafan yang diterima diharap dapat meningkatkan kredibiliti perniagaannya. “Jenama kami barangkali belum sebegitu popular seperti produk dan kilang OEM yang lain namun saya percaya pengiktirafan ini dapat meningkatkan kredibiliti SFJ Beauty dan SFJ Manufacturing,” akhiri Sitti Fatimah.

Baca Disini : Berkilauan Bak Berlian, Tokoh Wanita Berjaya Diraikan Di Nona Superwoman Award 2024!
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
“Jadi Wanita Yang Bukan Je Cantik, Berbakat & Bijak Malah Penuh Santun & Teguh Iman,” PUAN SRI NORMALA SAMSUDIN

Meskipun sudah lama meninggalkan dunia pengacaraan namun bakat dan nama Puan Sri Normala Samsudin masih diperkatakan hingga ke hari ini. Bersandarkan pengalaman yang luas dalam industri penyiaran, tidak hairanlah beliau sering dijadikan rujukan generasi muda yang berhasrat menceburkan diri dalam pentas dunia glamor tersebut. Beliau yang dilantik selaku panel juri bagi program Ratu Hijabista mengakui cukup teruja dapat menilai prestasi para peserta, sekaligus menggilap bakat mereka.
Sambil menyifatkan program pencarian bakat wanita berhijab ini mampu membuka ruang pekerjaan kepada peserta, jelitawan berusia 56 tahun berkenaan turut melihat program Ratu Hijabista platform terbaik untuk menceburkan diri dalam cabang penyiaran, peragaan, media dan hiburan.
“Ramai mereka yang berbakat tetapi perlu diketengahkan dengan saluran yang betul seperti Ratu Hijabista ini. Kita memang sentiasa memerlukan pelapis baru, lantaran itu program berprestij seperti ini patut dijadikan contoh untuk anak muda yang boleh menyerlahkan bakat mereka mengikut kesesuaian ‘muslim kontemporari’, dan dalam syariah compliance walaupun berhijab boleh berfesyen, bersukan, berlakon, modeling, membaca berita, dan dalam pentas hiburan yang sesuai.


Ia juga ada sedikit unsur dakwah ringan mengajak dan melentur anak-anak gadis kita kepada sesuatu yang baik dan bersesuaian dengan peringkat umur yang masih muda. Ratu yang dinobatkan ini juga akan menggalas tanggungjawab, dan menjaga nama baik gadis berhijab di mata dunia.”
Tatkala diaju pertanyaan mengenai kriteria yang dicari Puan Sri Normala selaku pengacara ‘senior’ dalam penganjuran Ratu Hijabista, ini jawapan telus beliau. “Bijak dan berpendidikan tinggi, kukuh berhijab walau apa sekali pun kekangan dan rintangan, jati diri yang disegani dan sentiasa peka dengan keluarga dan masyarakat, natural dalam tugasan yang diberi dan bukan terpaksa buat. Selain itu, mereka juga tidak mudah berputus asa walaupun tersilap atau kalah.”
Mengulas trend dan situasi dunia penyiaran hari ini yang lebih mementingkan rupa paras berbanding bakat, dalam nada tegas bekas personaliti TV ini melontar bicara. “Ini adat dunia, wajah dan pesona cantik sejak zaman dahulu lagi sejak lahirnya Adam AS lagi memang begitu. Sememangnya, cantik itu menjadi pilihan utama tapi, di zaman ini cantik dan bijak itu adalah yang utama.

Setiap wanita itu dilahirkan berbakat cuma ia berbeza-beza. Kalau cantik dan bijak serta berbakat namun kurang budi bahasanya, dia tidak dikenang sebagai manis dan santunnya. Jadi, jadilah wanita yang bukan saja cantik, berbakat dan bijak, malah wanita yang penuh santun susila dan teguh imannya.
Benar, setiap wanita itu perlu diberikan pendidikan yang tinggi walaupun akhirnya sebagai suri rumah. Wanita berpendidikan adalah pengurus yang sangat baik. Mengurus anak dan rumah tangga bukan sesuatu yang senang, ia perlu sentiasa ada instinct dan mengurus setiap masalah dengan baik, bijak dan tepat.
Wanita bijak tidak akan sentiasa serabut, kerana dia takda masa memikirkan sesuatu masalah terlalu lama dan jadi berkarat. Jika dia tidak ada pendapatan dan terpaksa jadi ibu tunggal, dengan pendidikan walaupun tidak tinggi dia boleh menyara keluarga. Bayangkan kalau pendidikan tinggi, wanita itu akan hebat walau apa pun situasi yang menyusahkan dan menjengkelkan,” ujar isteri Tan Sri Azmi Khalid ini.

https://www.instagram.com/p/CFjRAk0gkHs/
Sementara itu, ditanya sama ada beliau sudah ‘nampak’ bakal calon juara Ratu Hijabista… beliau bagaimana pun selesa untuk tidak mendedahkan perkara tersebut kepada umum buat masa ini. “Saya rasa semua 12 Ratu yang bertanding itu layak namun bertanding sesama yang terbaik di antara yang terbaik amat memerlukan ‘on the spot’ menilai secara terperinci, seperti menjawab soalan tepat dengan spontan, tidak gugup, isi yang padat dan logik.
Dalam top 4 finale ini, sudah tentu ada pilihan yang paling tinggi markahnya, paling bersahaja dan paling baik di antara yang terbaik. Saya rahsiakan pilihan saya dan tunggulah malam esok. Klunya, raut wajahnya seperti dari dunia peragaan antarabangsa. Mixture of global faces.”
Biar siapa pun yang diangkat sebagai juara Ratu Hijabista esok, Puan Sri Normala berharap agar para peserta dapat memanfaatkan ilmu yang diperoleh sepanjang menyertai program ini di samping menjadi sumber inspirasi kepada lebih ramai wanita. “Teguhkan diri dengan ilmu dunia dan akhirat, cekal dan bulatkan tiap cita-cita dan hasrat, pasang niat yang baik kerana setiap yang baik Allah akan balas baik.
Jangan putus asa dan bertawakkal hanya kepada yang mencipta impian kita dan utamakan Yang Mencipta Allah dalam segala hal yang kita mahukan, impikan, fokuskan dan kerjakan dengan penuh sabar dan dedikasi. Doalah supaya kita jadi orang yang tetap fikiran bukan seperti pohon yang sentiasa bergoyang bila di tiup angin. Berfikiran positif dan sentiasa ikhlas merendah diri di mana jua kita berada.”
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!


