
“Dalam usia 40an, saya dan suami bertekad untuk serius dalam bidang perniagaan. Saya telah buka sebuah kedai alat tulis kecil-kecilan dan suami mempunyai perniagaan perkongsian pusat permainan kanak-kanak. Bila kita ada modal yang cukup untuk berniaga, maka suami mengambil keputusan untuk menubuhkan sebuah syarikat perniagaan Al Jannah Group.
Saya dan suami bersatu tanpa rakan kongsi, fokus kepada produk penghasilan kopi. Suami pergi ke Indonesia dan jumpa sejenis buah Mahkota Dewa yang sebenarnya ada juga di Malaysia tetapi tidak dipopularkan di sini. Di sana, buah ini sangat bagus untuk di buat teh dan kapsul, malah mereka menggunakan Mahkota Dewa ini sebagai alternatif untuk merawat kanser secara tradisional.
Pada ketika itu, kami tidak fikir pun untuk membuka kilang produksi kopi di sini tetapi setelah di bawa buah tersebut ke Kementerian Kesihatan dan disarankan untuk di buat produksi tersebut di sini. Lantas kami ke UTM untuk membuat penyelidikan lebih mendalam bagi mengkomersialkan buah Mahkota Dewa sebagai kopi terbaik keluaran Al Jannah.
Kalau orang lain bersama Tongkat Ali, kami bersama buah Mahkota Dewa sebagai ramuan utama kopi. Dari situlah kami berjalan, alhamdulillah ia telah mendapat sambutan dan terus berkembang. Kini kami telah memiliki kilang sendiri dan bukan mudah untuk memperoleh apa yang di kecapi sekarang.
Segala usaha dan penambahan ilmu perniagaan, saya dan suami mengikuti pelbagai kursus untuk belajar dalam selok-belok menguruskan sebuah perniagaan dari segi pentadbiran, kewangan, pemasaran dan pengeluaran. Setiap inci perkara kita perlu ambil tahu dalam pengurusan perniagaan demi menjimatkan kos dan pengendalian syarikat yang betul secara sistematik, “ jelas Datin Sabariah yang amat bersyukur dengan segala susah payah beliau bersama suami, Datuk Zulkefli bin Md Isa kini telah berhasil dan berjaya, biarpun dalam usia yang agak lewat.
Antara kerjaya dan keluarga, Bagaimana Datin Sabariah menguruskan masa. “Kita perlu seimbang antara kehidupan keluarga dan pekerjaan. Sibuk macam mana pun berniaga, saya pastikan setiap pagi saya akan menghantar anak-anak ke sekolah dan kemudian barulah saya akan mula bekerja.
Saat paling penting juga, bila anak-anak pulang dari sekolah, saya akan pastikan orang pertama mereka lihat adalah saya. Kemudian saya sediakan makanan untuk mereka. Begitulah saya menguruskan keluarga sehingga mereka membesar dan berdikari. Saya ingat lagi waktu itu, perniagaan kami yang kecil tidak mempunyai mesin untuk membuat kopi lagi, saya terpaksa membawa anak-anak selepas makan pergi mengambil stok kopi dari pemborong, angkat dan masukkan ke dalam kereta buruk saya ketika itu, Gen2.
Waktu petang selepas anak-anak buat kerja sekolah mereka akan tutup buku dan kemudiannya membantu saya menampal kopi. Susah senang kami dalam perniagaan ini turut dibantu oleh anak-anak, saya amat bersyukur dengan keadaan ini. Alhamdulillah, perjalanan hidup kami dipermudahkan dan perniagaan semakin berkembang dan maju sehingga sekarang.”
Dugaan Hamil Di Musim Pandemik Uji Semangat Pengasas, Pelakon & Penerbit Elanie Aidid

Meskipun yang dilalui seorang wanita itu, kadang-kadang diri sendiri meragui kemampuan untuk mencapainya dan adakala membuat diri merasa lelah. Jangan terlalu risau dan lemah semangat, bernafaslah dengan tenang kerana kamu mampu kuatkan hati serta jiwamu. Wanita diciptakan dengan segala keistimewaan. Hanya kekuatan itu perlu diseru sepenuhnya untuk tidak menyerah dan berusaha mengejar impian yang dinginkan.
Wan Nur Ilani atau panggilan mesranya, Elanie Aidid, merupakan seorang wanita berkelulusan Ijazah Sarjana Pengajian Undang-undang (Kepujian) UiTM dan seterusnya menggenggam Sarjana Undang-Undang (UiTM) pada 2012. Kini beliau memilih cabang berbeza daripada bidang pengajiannya dengan menjadi pengasas produk, pelakon, penulis dan seorang penerbit. Pernah berkhidmat sebagai Pegawai Tadbir & Diplomatik di Kementerian Pelajaran dan berhenti untuk bekerja sendiri sejak 2013.
Berusia 33 tahun, Elanie memulakan perniagaan produk Ilanicious T-shirt, perniagaan percetakan baju t (silkscreen) dan pengasas baju couple UdaRa Clothing sejak 2013. Pada tahun 2017, beliau mengembangkan empayar perniagaan dengan menceburi bidang kesihatan melalui syarikat Ilanicious Health & Beauty. Antara produknya yang mendapat perhatian adalah Krim Hormon NPC, Susu Kambing Baraqah, Kopi Qooat Tongkat Ali dan Madu Lebah Asli. Bekas Pegawai Tadbir dan Diplomatik (M41) di Kementerian Pelajaran ini membuktikan hasil mengikut impian sendiri dan meletakkan jawatan tetap di usia 25 tahun, kini berjaya meraih pendapatan sehingga 6 angka setahun.
“Saya mula berniaga kecil-kecilan di rumah dengan mengambil tempahan printing t-shirt. Memandangkan latar belakang pengajian saya dalam bidang undang-undang, jadi saya tidak pandai melukis. Tanpa rasa putus asa, saya belajar menggunakan Adobe Photoshop, Facebook ads dan menyertai kursus-kursus perniagaan hanya di YouTube sahaja.
Berkat usaha sendiri, alhamdulillah dalam sebulan saja saya sudah pandai menghasilkan corak grafik sehingga tempahan saya semakin banyak. Saya mampu membuka kedai percetakan baju dua tingkat dan mengupah pekerja-pekerja asing untuk mencetak.
Jenama Baju Couple yang saya asaskan sangat popular sejak 2013 sehingga mendapat perhatian Pengurus Produksi drama/tele yang ingin menggunakan baju rekaan saya dalam drama mereka seperti baju couple yang dipakai Emma Maembong dan Nazrief dalam drama Nasi Minyak Kuah Cinta,” ujar Elanie.
INOVASI
Semangat niaga semakin bergelora dalam jiwa. Elanie terus mengorak langkah, “Saya menceburkan diri dalam bidang kesihatan sejak 2017 dengan usaha untuk membantu pasangan meningkatkan kesuburan suami isteri dan saya menghasilkan beberapa produk yang berkesan untuk pelanggan. Alhamdulillah, ramai pelanggan saya berjaya mengandung dan mendapatkan anak dengan mengamalkan produk saya dengan izin Allah.”
Langkah inovasi dan minat dalam dunia seni juga menuntut dirinya dan suami, Amai Kamarudin, pelakon dan selebriti Malaysia, mereka menubuhkan Millionaire Films Production (M) Sdn Bhd iaitu sebuah syarikat penerbitan filem, tv dan drama pada tahun 2019. “Saya mula berlakon secara kebetulan apabila sering turun ke set pengambaran drama dan filem untuk membekalkan tempahan baju krew dan artis. Tahun 2018, saya ditawarkan watak utama dalam telefilem panggung RTM bertajuk ‘Hujan Manik’ sebagai Balqis.
Sejak itu kerap mendapat undangan berlakon secara sambilan dalam drama, tele, iklan dan filem. Salah satunya diundang oleh Datuk Yusof Haslam untuk episod Gerak Khas Finale, sebagai ‘Sally’ bersama suami, Amai Kamarudin.
Paling terkini cameo sebagai watak ‘Saadiah’ dalam filem Showtime 1958. Sekali lagi bersama suami, Amai Kamarudin yang memegang watak P.Ramlee. Menariknya melalui watak ini juga suami dicalonkan untuk Pelakon Filem Lelaki Terbaik, Festival Filem Malaysia 31 yang berlangsung Oktober 2021 ini,” ujar Elanie bercerita tentang pembabitannya dalam dunia seni.
Elanie juga percaya untuk berjaya kita mesti ada ilmu sebelum melakukan sesuatu. Oleh itu selain daripada berniaga dan berlakon, Elanie menambah portfolio dengan kembali aktif dalam dunia penulisan yang diceburinya sejak usia 15 tahun melalui Minggu Penulis Remaja anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka di bawah bimbingan sasterawan A.Samad Said dan ramai penulis lain.
“Semasa PKP 2021 ini saya mengisi masa lapang dengan menyertai webinar dan bengkel secara atas talian untuk menambah kemahiran diri, salah satunya “Bengkel Penulisan Skrip oleh Pengarah Anwardi Jamil”, ini bagi memantapkan kemahiran saya bagi menulis skrip untuk penerbitan filem kami akan datang” kata Elanie yang telah mengadakan Majlis Pelancaran Teaser Filem Amukan Kuntilanak di RUANG pada Julai 2019 tapi pengambaran tertangguh kerana PKP 1 dan 2.
Tiada jalan mudah untuk mengecapi betapa nikmat dan indahnya dunia perniagaan, “Bukan mudah sebenarnya untuk saya meletakkan jawatan sebagai pekerja tetap untuk bekerja sendiri sepenuh masa dan tindakan ini ditentang keluarga sehingga saya terpaksa merahsiakan daripada keluarga. Tapi untuk mendapat kemanisan kita kena berani membuat pengorbanan.
Bayangkan saya pernah berusaha menaikkan perniagaan menjadi komoditi yang mahal, mendapat geran SME Corp dan MARA serta geran sejumlah RM1juta untuk membuat kilang pemprosesan snek, tapi tiba-tiba saya dianiaya oleh orang terdekat yang mahu membolot kekayaan sendiri.
Jadi akibatnya kerana ketamakan orang itu, saya membawa diri dan keluar dari perniagaan tersebut walaupun saya yang asaskan sendiri termasuk resipi, dapatkan pensijilan halal serta MESTI. Saya tinggalkan semua yang telah dibina di kilang mini itu dan biarkan mereka uruskan. Akhirnya, berkat doa orang yang teraniaya, Allah balas apabila perniagaan itu dengan sendirinya lingkup tanpa pengurusan yang betul.
Hikmah peristiwa ini, saya berjaya mulakan perniagaan lain secara tunggal dengan modal rendah dan berjaya jual 5,000 botol produk yang berharga ratusan ringgit. Pulangan modal juga kembali berganda-ganda dari yang saya keluarkan,” jelas Elanie bercerita kisah jatuh dan bangunnya dalam perniagaan.
Dalam keadaan pandemik ini, ramai yang melalui pelbagai dugaan dan cabaran kehidupan. Banyak air mata tertumpah dan pastinya tuntutan semangat yang tinggi diseru untuk terus kita menjadi lebih kuat. “Dalam keadaan SOP yang ketat agak membataskan pergerakan saya sebagai seorang usahawan untuk berjumpa pelanggan. Jadi banyak event terpaksa digantikan dengan perjumpaan secara atas talian sahaja.
Saya melalui tekanan kerana SOP yang ketat semasa PKP 1 dan 2 di mana saya banyak melakukan urusan sendiri kerana banyak tempat yang tak boleh masuk berdua menyebabkan saya yang ketika itu sedang sarat mengandung terpaksa turun naik tangga sendirian sambil membawa barangan, sampel untuk bertemu orang atau untuk ke kilang melihat produk.
PENGALAMAN BERSALIN AWAL
Perkara ini agak memberi tekanan apatah lagi saya mengandung dan wabak COVID-19 sangat berisiko kepada ibu mengandung. Apatah lagi kandungan semasa pandemik ini adalah yang ketiga setelah pernah keguguran dua kali sebelum ini. Kesannya apabila saya terpaksa melahirkan anak saya awal dua bulan daripada due date kerana jangkitan kuman GBS dan demam panas.
Anak saya terpaksa dikeluarkan awal seperti anak arwah Siti Sarah dan Shuib iaitu dua bulan awal (7 bulan setengah atau 32 minggu) kerana jangkitan kuman GBS yang boleh membawa maut.
Air ketuban saya pecah di rumah dan terpaksa distabilkan di hospital. Oleh kerana air ketuban semakin kering, saya terpaksa melalui pembedahan tanpa sedar untuk keluarkan bayi yang songsang pada hari ke-5 di hospital kerana jantung bayi mula drop dan saya dah mula menahan sakit kontraksi 17 jam.
Masa pandemik banyak ventilator untuk bayi pramatang tidak cukup di hospital sehingga doktor terpaksa bertanyakan di hospital swasta. Ketika itu doktor perlu menyelamatkan nyawa kami berdua dalam pembedahan yang berisiko tinggi. Mujur, alhamdulillah saya tersedar selepas dua jam pembedahan.
Anak saya ditahan di wad NICU, Hospital Shah Alam selama sebulan lebih dan alhamdulillah tiada apa-apa komplikasi penyakit. Akhirnya hospital dapat satu ventilator yang boleh digunakan. Mujur kini anak saya sihat, normal dan lengkap sempurna seperti bayi lain walaupun lahir pramatang.
Pengalaman ini membuatkan saya fobia untuk bertemu orang luar, takut dijangkiti kuman dan trauma untuk mengandung lagi, mungkin sampai pandemik ini reda,” bicara Elanie yang amat bersyukur dengan kehadiran cahaya mata pertamanya, Aariz Ebrahim.
Kata-kata akhir buat semua wanita Malaysia, “Practise makes perfect. Kita kena berlatih banyak kali untuk jadi sempurna. Tiada siapa dalam dunia ini terus berjaya dengan hanya sekali usaha. Allah suka umat yang suka berusaha. Berusaha, berusaha dan berusaha sampai berjaya. Istilah putus asa, tidak pernah ada dalam kamus hidup saya.
Prinsip hidup saya adalah menjadi seseorang yang dapat menginspirasikan orang lain untuk berjaya. Kita diciptakan di dunia ini bukan untuk diri kita saja tapi untuk bantu orang lain. Kita tak boleh selfish kerana hidup ini seperti dominos. Apa saja tindakan kita sama ada menolong atau mendiamkan diri akan ada kesannya.
Saya juga percaya bahawa hidup ini singkat. Oleh itu saya mahu menggunakan masa yang ada untuk membuat banyak perkara yang membahagiakan seperti perkara-perkara romantis dengan suami dan bercuti bersama keluarga,” jelas Elanie yang bercita-cita untuk menyambung pengajian PhD Undang-undang di luar negara suatu hari nanti, insyaAllah.
“Saya belum rasa diri ini berjaya dan masih belum berpuas hati dengan pencapaian hidup saya dan sentiasa rasa ingin memajukan diri ke depan dan mencapai lebih baik dalam kehidupan, saya percaya status yang dipikul dan umur yang meningkat bukanlah penghalang seseorang wanita untuk mengehadkan kemampuan diri untuk meneroka potensi yang ada.”
Dari Ahli Farmasi, Kini Pengasas Produk Kesihatan Sendiri ONY NURHUSNI Ambil Semangat Arwah Ibu Lahirkan ANNONA

Bagai berada di lorong gelita, bertitik tolak ujian pemergian ibu tercinta di kala dirinya memerlukan sumber kekuatan dalam melayari kehidupan akhirnya menjadi asbab terlahirnya produk Annona yang kini menjadi salah satu produk kesihatan terunggul dan mulai dikenali di seluruh pelusuk Malaysia.
Dari ahli farmasi kini usahawan berjaya, siapa menyangka Ony Nurhusny memilih laluan berbeza bagi mengecap kejayaan. Walau timbul kegusaran, beliau memilih untuk terus mara tanpa menoleh ke belakang lagi. Dan kini, misinya adalah untuk mengubah nasib nasib kaum wanita untuk terus cekal membaiki diri dan menganjak potensi diri demi kelangsungan hidup yang berkualiti.
Inspirasi Dari Arwah Ibu
Ony mula berbicara, “Saya dan adik beradik dikejutkan dengan berita di mana arwah ibu didignos dengan kanser limfoma tahap ke empat, dan rawatan disyorkan pada waktu itu adalah radioterapi dan kimoterapi, tetapi arwah ibu bertegas enggan mendapatkan rawatan moden”, jelas Ony membuka bicara. Jus Annona dicipta berinspirasikan arwah ibunya yang pernah menghidapi kanser limfoma.
Akui Ony sendiri, memandangkan dirinya seorang pakar penjagaan kesihatan dan sebagai seorang anak menyebabkan perasaanya bercampur baur. “Sudah pastinya kita mahukan rawatan moden yang terbaik untuk ibu tetapi dengan keadaan mak yang tidak menizinkan, saya terpaksa mencari rawatan alternatif untuk membantu ibu kembali sembuh”.
Dalam pada dirinya mencari ikhtiar, terdetik untuk dirinya menyelak halaman Internet. Ony akhirnya menemui sinar yang dicari selamanya. “Saya terbaca satu artikel berkaitan khasiat durian belanda, dan mendapati khasiatnya sangat bagus untuk pesakit kanser, walaupun saya sedar tiada rawatan khusus yang benar-benar dapat mengubati kanser namun saya tidak berputus asa.
Bertitik tolak dari situlah, saya mendapat ilham untuk memasarkan produk berasaskan durian belanda dan memformulasikannya dalam bentuk mudah diambil. Malah nama Annona sendiri diambil dari nama saintifik durian belanda, Annona Muricata. Dan pada tahun 2012 jus Annona dipasarkan secara rasmi. Malah mak pun dah mula mengambil jus Annona dan ternyata nampak perubahan positif.”
Namun akui Ony, siapa dirinya untuk melawan takdir dan qadar Allah. Ibunya akhirnya pergi dijemput Ilahi pada 21 Januari 2013. Selepas pemergian arwah ibunya, Ony melalui satu fasa gelap dalam kehidupannya. Bagaikan berada di dunianya sendiri malah seakan ‘merajuk’ dengan produknya sendiri, Ony mengakui tidak boleh langsung melihat botol jus Annona yang gigih diusahakan olehnya selama ini.
“Bayangkan saya langsung tak boleh tengok produk malah saya sendiri tidak boleh dengar perkataan Annona. Saya membenci produk saya sendiri! Saya merasakan seperti seorang yang gagal kerana asalnya memang saya mencipta jus Annona ini untuk menyembuhkan penyakit ibu, namun bila ibu dah tiada seakan separuh jiwa saya berkubur”.
Persoalannya, bagaimana dirinya nak menjual sendiri produk yang dibenci. Akui Ony, dia mengambil masa setahun untuk mencari kekuatan dan bangkit kembali. Namun berkat sokongan suami, Syah Ismail dan juga doa ahli keluarga, akhirnya Ony berjaya bangkit kembali meneruskan legasi Annona sehingga kini memiliki lebih dari 5,000 orang wakil jualan di seluruh Malaysia termasuk Brunei dan Singapura. Malah pengguna Annona pula dilihat terus meningkat dan jenama Annnona mula mendapat kepercayaan.
Keunikan Annona? Akui berpegang pada prinsip, etika dan keberkatan dalam menjalankan bisnes, Ony mengakui sebagai seorang ahli farmasi, dia cukup yakin dengan kepakaran yang dimilikinya. “We know what we are doing, menerusi ilmu farmaseutik dan pendispensan. Kami sangat menekankan setiap produk yang nak di hasilkan melalui fasa-fasa yang ketat bermula dari formulasi, persampelan, penghasilan dan kawalan kualiti.
Dari Ahli Farmasi, Kini Pengasas Produk Kesihatan Sendiri
Selain dari mengusahakan perniagaan kesihatan dan kecantikan Annona, Ony dan suami turut memiliki sebuah farmasi sendiri. Bermula sebagai seorang ahli farmasi pada tahun 2004, selepas menamatkan latihan housemanship di Hospital Tuanku Fauziah Kangar, di awalnya Ony dilihat berjaya dalam bidang yang diceburinya, tapi jiwanya tiada disitu.
“Siapa menyangka lepas beberapa ketika saya bergelar ahli farmasi, akhirnya terbuka hati saya untuk terjun dalam bidang perniagaan selepas terhasilnya jus Annona. Namun tidak semuanya datang dengan mudah. Cabaran utama yang perlu saya lalui ialah untuk mendidik dan memberi kesedaran pada orang awam tentang penjagaan kesihatan dan kecantikan tanpa memudaratkan diri.
Bayangkan di awal dahulu, pelbagai cabaran harus dilalui antaranya perniagaan yang gagal seperti bisnes kafe, kedai perabot dan lain-lain. Yang teruknya, saya pernah kena ligan dengan bank dek mengalami kerugian sehingga RM200 ribu malah pernah rugi RM1 Juta”.
Ony yang turut mengagumi dan memandang tinggi Datuk Prof Dr Muhaya Mohamad serta usahawan selebriti Neelofa turut berkongsikan perancangan Annona dalam tempoh 10 tahun akan datang. “Insya allah, Annona akan mempunyai rangkaian kedai fizikal Annona Pharmacy yang mana turut mempunyai pelbagai produk house brand dengan jenama Annona sendiri di samping jenama-jenama antarabangsa dan lokal yang lain.
Selain itu, Annona berazam untuk menjadi farmasi atas talian yang dipercayai dalam membekalkan produk kesihatan, kecantikan dan penjagaan diri serta ubat-ubatan serta kilang sendiri yang menghasilkan produk-produk Annona”.
Menerajui sebuah empayar perniagaan dengan tiket seorang wanita, apa pandangan Ony dalam fenomena begini? “Kenapa tidak? Sebagai seorang wanita kita di anugerahkan Tuhan untuk mampu memikul banyak topi peranan pada satu-satu masa. The ability to wear many hats. The ability to multitask. Wanita juga banyak emosi, tak dinafikan.
Tapi cuba kita ambil emosi yang positif dengan sifat-sifat seperti penyayang, sabar, mudah empati, memahami yang mana apabila ia disalurkan dengan cara yang betul ia akan membentuk tenaga yang sangat kuat. Ini berupaya untuk membentuk persekitaran dan budaya yang lebih harmoni seperti sebuah keluarga di tempat kerja berbanding kepimpinan autokratik yang banyak ditonjolkan pemimpin lelaki.”.
Nasihat Ony buat semua wanita yang berazam untuk terjun dalam bidang perniagaan. “Kita mesti ada self disiplin yang kuat, kerja keras, rajin tambah ilmu. Kita mungkin ada banyak self-doubts dalam diri kita. Jadi jangan terlalu overthinking. Satu perkara lagi, kejayaan seorang isteri ini juga banyak di sokong oleh suami. Doa dan redha suami atau mereka yang memegang kunci redha iaitu ibu bapa kita adalah keramat pada kejayaan”, jelas Ony mengakhiri temubual.
***
Majalah Nona juga ada di Telegram tau. Mudah nak akses artikel menarik dan video-video terkini di sini. Jemput sertai sekarang –> https://t.me/majalahnona
***
Dakwah Islam Tersebar Pantas, Ustazah Asma’ Harun Aktif Buat Ceramah Online!

Penyampaian dakwah melalui platform teknologi, terbukti menjadi magnet yang mampu menarik generasi masa kini agar lebih cintakan Islam. Inilah usaha wanita hebat yang bukan sahaja bergelar pendakwah dan penceramah bebas tetapi usahawan Muslimah yang disegani, Ustazah Asma’ Harun.
Ustazah Asma tiba ke lobi Concorde Hotel Shah Alam bersama suami, Ustaz Tengku Fazli Tengku Yahya. Wajah penerima Nona Motivator Award 2022 ini terlihat begitu bersih dan menenangkan, terasa betapa indah pertemuan ini diserikan dengan silaturrahim sambil kami berbalas khabar dan bertukar salam.
Meneliti senarai portfolio dan pengalaman kerjaya Ustazah Asma’ Harun pada usia 39 tahun, sesungguhnya cukup mengagumkan.
Anak jati Terengganu itu menetap di Seremban, dikurniakan 7 orang cahaya mata serta memiliki kelulusan Sarjana Pengajian Islam dari Open University Malaysia (OUM) dan Ijazah Sarjana Muda Syariah dari Universiti Al-Azhar di Mesir.
Dalam kesibukan berdakwah, Ustazah Asma’ sebenarnya banyak menulis buku. Antara karyanya adalah Sahabat Dunia Akhirat, Kembara Menuju Allah, Ada Syurga Di Rumahmu, Hijrahku Ini Sebenarnya Untuk Siapa dan Ensiklopedia Keluarga Bahagia.
Bakat mendidik itu barangkali diwarisi daripada ibu tercinta, Puan Fikriah Awang yang merupakan seorang guru fizik.
Tidak cukup dengan menulis, siapa sangka Ustazah Asma’ turut meneruskan minat bapanya, Ustaz Harun Ismail dalam bidang dakwah dan perniagaan.
Bahkan cucu kepada murabbi Ustaz Haji Awang Abu Bakar dan cicit Tok Guru Haji Abbas yang cukup disegani di Pantai Timur itu turut bergelar usahawan dengan menerajui pelbagai cabang perniagaan Muslim.
“Saya pernah digelar ‘Ustazah Ayam’ kerana pernah meniaga ayam masa awal berceramah dahulu. Setiap minggu suami akan berulang-alik ke Kedah untuk ambil stok ayam dan setiap kali ceramah, kami akan bawa ayam frozen untuk dijual.
Hanya suami dan keluarga sahaja yang tahu betapa mencabarnya keadaan kami waktu itu.
Niatnya adalah untuk membekalkan makanan yang diyakini halal kepada orang ramai, kebetulan ketika itu sedang hangat dengan isu haiwan yang disembelih tidak mengikut syariat.
Dari situ, alhamdulillah saya mula meningkat sedikit demi sedikit hingga kami berjaya tubuhkan sebuah NGO iaitu Sahabat Amal Care (SAC).” Ustazah Asma Harun


KERJAYA
Sebelum meninggalkan jawatan tetap dalam kerajaan pada Ogos 2017, Ustazah Asma’ pernah dilantik sebagai Pegawai Hal Ehwal Agama Islam JAKIM, Penolong Pengarah Bahagian Undang-undang Keluarga Islam JHEAINS (Perunding Cara Rumah Tangga) dan Penolong Pengarah Bahagian Pengurusan Halal JHEAINS.
Dengan tekad dan nawaitu untuk terus memberi manfaat kepada ummah, Ustazah Asma’ kini merupakan Pengerusi Eksekutif Kumpulan Hijrah Berhad, Pengasas Yayasan Al-Hijrah, Pengarah Urusan dan peneraju di syarikat-syarikat di bawah Kumpulan Hijrah Berhad serta Penaung NGO Sahabat Amal Care di Seremban, Negeri Sembilan.
“Sebelum meletak jawatan sebagai Penolong Pengarah Bahagian Pengurusan Halal JHEAINS pada tahun 2017, pada waktu itu saya telah pun mula terlibat dengan ceramah secara kecil-kecilan seperti usrah dan tazkirah di surau.
Kemudian saya ambil keputusan untuk berhenti kerja kerana ingin fokus pada dunia dakwah dan ceramah. Keputusan tersebut mendapat sokongan suami dan keluarga.
Namun, ujian dakwah tidak ringan dan memerlukan sokongan yang kuat daripada orang terdekat. Saya lalui ujian demi ujian, sehingga pernah mengalami masalah kewangan yang teruk dan ayah saya meninggal dunia sewaktu saya menyampaikan ceramah.” Ustazah Asma Harun
Baca artikel perjuangan dakwah bersama penerima Nona Motivator Award, Ustazah Asma’ Harun ini dalam naskhah edisi khas Nona Superwoman 2022 di pasaran Januari 2023.
Penulis & Penyelaras: Norzalina Mohd Alias
Konsep & Penata Gaya: Azniza Aziz
Foto: Sharinizam Othman
Solekan: Mimie Romyza
Lokasi: Concorde Hotel Shah Alam