Memiliki perniagaan sendiri sememangnya menjadi cita-cita wanita ini. Rami Zati Najwa Kamarudin Hilmi mempelajari adat berniaga ini sejak usianya mencecah 14 tahun lagi. Memulakan perniagaan secara kecil-kecilan dengan mengambil upah sebagai pengasuh, Najwa mula menyimpan tekad untuk berjaya dalam bisnes suatu hari nanti.
Berkat usaha dan iltizam yang tidak pernah mengenal erti jemu, kini Najwa boleh berbangga dapat membuka syarikatnya sendiri dan kejayaan baginya tidak datang bergolek kerana dia bermula dari bawah.
“Saya bermula dari bawah. Saya pernah menjadi ejen dropship, pembekal pakaian kanak-kanak sebelum membuka perniagaan sendiri. Saya memberanikan diri menceburkan diri dalam bisnes yang jarang dipelopori oleh individu yang baharu hendak memulakan perniagaan iaitu kilang OEM & kosmetik sendiri,” ujar Najwa yang mempunyai tekad dan azam yang kuat untuk berjaya.
Tambah Najwa lagi, segalanya bermula apabila dirinya menjadi ejen yang dilantik oleh sebuah kilang pembuatan kosmetik yang mempunyai rangkaian di Malaysia, China dan Korea. Bijak merebut peluang yang terbuka di depan mata, Najwa mula belajar mengenai selok belok pembuatan dan penghasilan kosmetik.
“Saya bersyukur kerana diberi ruang dan peluang untuk menjadi ejen sebuah kilang kosmetik. Selepas dua tahun menimba ilmu dan pengalaman, saya menanam azam untuk membuka kilang sendiri. Kini, saya boleh berbangga dengan kilang kosmetik bertaraf GMP, RASSALAB GLOBAL SDN BHD yang mendapat pengiktirafan dari Kementerian Kesihatan Malaysia dan sijil pengesahan Halal dari JAKIM.”
Ads
Ditanya mengenai keperibadian dirinya yang berjaya memimpin sebuah organisasi yang memerlukan pengetahuan terkini dalam dunia kosmetik dan penghasilan produk, Najwa mempunyai pandangan tersendiri mengenai kelebihan yang dimiliki oleh wanita sebagai motivasi untuk dirinya mampu berdaya saing dalam dunia pengilangan yang disifatkan kompetatif dan memerlukan dirinya sentiasa mengikuti arus semasa yang pantas dan mencabar.
Pernah berhadapan dengan situasi getir dek penangan Covid-19, Najwa beranggapan situasi tersebut banyak mematangkan dirinya dalam dunia perniagaan di mana dia perlu bijak mengatur langkah dan aliran tunai agar kesinambungan syarikat berjalan lancar, Najwa memasang strategi untuk memastikan kakitangan dan aliran tunai syarikat berada -dalam keadaan bersiap-siaga untuk berdepan dengan pelbagai kemungkinan.
Ads
“Sifat semulajadi wanita yang kreatif dan berdaya saing memberi kelebihan untuk wanita bertahan dalam berhadapan dengan pelbagai cabaran dalam dunia perniagaan. Itu jugalah yang menjadi misi dan visi saya dalam perniagaan yang dijalankan.
Setiap cabaran dan dugaan pasti akan dilalui dengan matang. Sebagai ketua, saya perlu bijak menghadapi cabaran dan mengurangkan risiko. Saya memegang prinsip percaya pada konsisten dan usaha takkan mengkhianati hasil,” ujar penerima NONA TOP TRUSTED OEM FACTORY AWARD di NONA SUPERWOMAN 2022 baru-baru ini.
Ads
Sebelum mengakhiri perbualan, Najwa memasang impian untuk melebarkan empayar perniagaannya dan jika diberi kesempatan, dia ingin menetap di England untuk mempelajari pasaran di sana pula.
“Selain itu, dalam tempoh 5 tahun akan datang, saya ingin membuka lebih banyak cawangan kilang dan membuka kilang memproses makanan dan ubat-ubatan untuk memenuhi keperluan makanan dan ubat-ubatan negara,” ujar Najwa seraya mengakhiri perbualan.
Sebuah kejayaan itu bukanlah kebetulan. Harga untuk mencapai sebuah impian itu memerlukan kegigihan, kesungguhan, belajar dan belajar, pengorbanan dan rasa cinta yang mendalam. Nur Ernawati Mohd Nor, 34 tahun merupakan pengurus peribadi (Artist Management) kepada suami, aktor Zul Huzaimy. Beliau turut menguruskan kerjaya beberapa talent, stuntman dan pelakon muda lain. Tidak cukup dengan itu, wanita ini juga membantu perniagaan keluarganya dalam industri katering makanan.
Siapa sahaja boleh menjadi wanita yang kuat tetapi untuk terus bertahan dan percaya pada kemampuan diri itu, perlu disertakan dengan kesabaran dan kebijaksanaan. Nur Ernawati merupakan bekas penuntut Convent Kajang dan memiliki Ijazah Komunikasi Pengajian Media (Masscomm UiTM), Nur Ernawati mempunyai minat dalam bidang perniagaan yang mendalam untuk berjaya.
“Saya pernah berkhidmat di beberapa buah syarikat swasta sejurus selepas tamat pengajian. Saya juga menjalankan perniagaan fashion retail secara dalam talian (kecil-kecilan) dan akhirnya menyambung khidmat sebagai pengurus outlet bagi menyediakan katering hospital untuk para pesakit dan doktor di beberapa buah hospital swasta serta kerajaan.
Kemuncak kerjaya saya sekarang apabila berjaya mendapatkan sijil lulus MSQH (akreditasi audit hospital) dan kemudian menubuhkan syarikat pengurusan artis, selepas berkahwin dengan aktor Zul Huzaimy. Saya menjadi pengurus peribadinya dan membantu kerjaya artis baru yang lain,” jelas Nur Ernawati yang merupakan anak kedua daripada tiga adik-beradik perempuan kesemuanya.
Bagi Nur Ernawati, hidup kita ini jangan dibiarkan terlalu banyak ruang kosong, takut nanti terlalu banyak unsur negatif hadir. Hari-hari yang berlalu penuh dengan pelbagai aktiviti dan tanggungjawab yang perlu dilaksanakan. “Tanggungjawab saya setiap hari adalah membentangkan jadual klien selain mencari booking job baru untuk talent di bawah pengurusan saya. Segala urusan mengenai kontrak, projek, tour, sponsor, merchandise, pemasaran dan sebagainya termasuk sebagai representative yang berinteraksi dengan pihak ketiga diuruskan oleh saya sepenuhnya.
Dalam masa yang sama, saya sebagai pengurus syarikat katering bersama ibu tercinta terus menerima tempahan katering. Tugasan yang dipertanggungjawabkan kepada saya untuk memastikan segalanya berjalan mengikut perancangan dan pelanggan berpuas hati dengan tempahan yang dibuat.
Pada masa lapang, saya suka menyertai aktiviti kelab permotoran SPARK (NGO), seperti menghulurkan bantuan kewangan, makanan kepada pesakit di hospital dan membantu khairat kematian yang memerlukan. Aktiviti ini bagi menarik golongan muda belia untuk beriadah secara sihat tanpa terus terjebak dengan perlumbaan haram mahupun penyalahgunaan dadah. Setakat ini, aktiviti CSR kami sudah mencakupi seluruh Semenanjung serta Sabah dan Sarawak,” jelas Nur Ernawati yang mengakui aktiviti ini agak terhad sekarang.
GIGIH
Mengimbas kembali kegigihan berniaga, Nur Ernawati terus bercerita, “Sedari dari dulu saya sejenis yang suka mencabar diri saya untuk menceburi pelbagai bidang kerjaya. Sungguhpun aliran pengajian saya dalam bidang MassComm, namun minat yang sangat mendalam terhadap dunia perniagaan membuatkan saya belajar ‘from scratch’ tentang hospital catering/dietitic dan juga patient food services. Ternyata saya telah membuktikannya apabila memperoleh sijil akreditasi dan HACCP dalam bidang ini.
Pengalaman banyak mengajar saya untuk jadi lebih matang. Saya pernah berkhidmat di sebuah syarikat produksi tempatan dimiliki oleh Datuk Rosyam Nor di awal permulaan karier saya. Kemudian saya mendalami ilmu teknologi pengkomputeran dan selok-belok dunia perniagaan sepanjang bekerja dengan sebuah anak syarikat milik Touch Group Holdings yang dimiliki oleh YM Raja Dato’ Karib Shah Raja Shahruddin. Pengalaman kerjaya dalam pelbagai bidang inilah yang menjadi bekalan langsung melahirkan rasa untuk mengembangkan perniagaan kecil saya sendiri. Terkini, saya telah menjalankan perniagaan online fashion retail, selain daripada tumpuan sepenuhnya pada servis pengurusan suami dan talents di bawah pengurusan saya.
Pernah sekali saya terpaksa berniaga di konvensyen Singapura sewaktu anak pertama cuma baru berusia 6 bulan dan masih menyusu. Saya tidak boleh tinggalkan anak bersama pengasuh, sementara suami pula tidak dapat ikut serta ke Singapura disebabkan komitmen kerja di KL. Sambil menyusukan anak dan tidurkan anak di booth jualan itu, saya terpaksa lakukan urusan jual-beli sendirian kerana ketiadaan staf lain pada waktu itu. Ia merupakan pengalaman yang amat berharga dan merasakan pengorbanan yang saya sanggup lakukan ini, demi membuktikan bahawa anak kecil bukan halangan untuk saya serius berniaga,” jelas Nur Ernawati.
“Alhamdulilah, kalau dulu pada awal mula berniaga secara dalam talian saya cuma bermodalkan RM200 sahaja dan kemudian berkembang hingga menjadi ‘pop-up store’ di event besar serata tanah air. Manakala dalam perniagaan katering pula saya cuma mengambil gaji tetap setiap bulan dan ditambah pula dengan pendapatan servis pengurusan artis saya mampu capai 5 angka pendapatan bulanan. Syukur, alhamdulillah.
Sebagai seorang isteri dan juga ibu, saya harus bijak membahagikan masa secukupnya untuk keluarga memandangkan usia anak-anak masih kecil namun begitu saya bersyukur dikurniakan seorang suami yang sangat memahami dan kebanyakan kerja kami buat bersama-sama. Kami menolak sangkaan yang menyatakan suami isteri tidak boleh bekerjasama kerana dikhuatiri hubungan rumah tangga akan terjejas.
Ironinya, kami capai keserasian dengan kerjasama sehari-hari dan saya akui sikap timbang rasa itu sangat penting. Pengurusan masa untuk wanita yang bekerja adalah kunci utama kerana berbeza dengan lelaki, mereka tidak perlu melaksanakan tugasan rumah seharian seperti kita. Oleh itu, para wanita yang ingin menjalankan perniagaan samada kecil-kecilan mahupun suri rumah tangga harus bijak dalam menguruskan pembahagian masa,” pesan Nur Ernawati sambil tersenyum.
Apakah cabaran sebagai seorang peniaga dalam keadaan sekarang? “Cabaran peniaga dalam keadaan pandemik ini antaranya adalah kekangan dari segi supply dan juga limited movement. Namun begitu, trend jual beli dalam talian adalah lebih mudah dan meningkat sejak kebelakangan ini yang mempengaruhi peniaga untuk mempertimbangkan semula konsep jualan masing-masing.
Banyak faktor yang perlu diambil kira dalam melancarkan proses jualan online antaranya packaging, penyimpanan dan teknik pemasaran yang berkesan (mostly online) serta pelan strategi ‘return customer’. Apa yang penting adalah jangan mudah berputus asa dan sebagai peniaga selain harus kekal positif kita juga perlu produktif. Tiada usaha yang sia-sia dan tiada kejayaan tanpa usaha. Kebanyakan peniaga yang gagal selalunya apabila mereka cepat merasa give-up dan kurang refleksi diri. Berniaga perlukan kemahiran dan jangan segan untuk mempelajari sesuatu yang baru, sentiasa tambahkan skill anda dari masa ke semasa,” ujar Nur Ernawati yang mendapat sokongan penuh dari ibu dan suami tercinta.
Impian dan perancangan masa hadapan, “Saya jarang meletakkan harapan yang tinggi dan impian luar biasa, tapi saya percaya dengan praktikaliti. Saya biasanya akan tetapkan satu ‘target’ dengan jangka masa tertentu, contohnya ‘Dimana saya akan berada dalam tempoh 3 tahun lagi?’
Impian dalam masa jangka masa begini lebih mudah dan jelas untuk dicapai. Saya amat berharap agar perniagaan katering bersama ibu saya berkembang maju dan ingin menambah lagi aset tetap di masa hadapan. Saya juga berharap kerja-kerja NGO kami di kelab SPARK dapat memberikan impak besar kepada masyarakat dalam melahirkan kumpulan motor yang berhemat, insyaAllah.”
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
“Saya ingin menjadi wanita yang sentiasa menyebarkan kebaikan, berjaya, kaya, kuat dan tabah dalam menghadapi apa jua cabaran. Paling penting saya ingin membantu insan yang tidak bernasib baik dan menjadi inspirasi buat wanita lain,” ujar Hayatul Nufus Abu Bakar, 28 tahun yang berkhidmat sebagai Marketing Executive dan freelance stylist.
“Selepas menamatkan pengajian, saya menjalankan perniagaan kafe Sharina Art Gallery & cafe bersama ibu tercinta. Dulu saya pernah bekerja sebagai pegawai pemasaran di Habib Jewels. Tetapi saya terpaksa melepaskan jawatan tersebut untuk menumpukan perhatian menjaga anak ketika itu.
Kemudian saya ditawarkan untuk berkhidmat sebagai Marketing Executive di syarikat AMD Indah Service yang menjalankan perkhidmatan pembersihan sisa kumbahan dan saya juga secara sambilan bertugas sebagai stylist di ASTRO,” bicara Hayatul tentang kerjayanya.
Berkongsi kisah pengalaman hidup, beliau terus bercerita… “Saya dibesarkan dalam keluarga yang berlatar belakangkan bisnes dan amat bersyukur mempunyai seorang ibu yang jiwanya sangat kental dan kuat. Ibu juga sentiasa berfikiran positif dalam kerjaya dan membesarkan anak, walaupun dirinya OKU fizikal. Kedua kaki ibu adalah kaki palsu.
Ibu saya bernama Sharinah Md Nor berusia 59 tahun dan dilahirkan di Pulau Pinang. Beliau dilahirkan dengan kecacatan kedua anggota kakinya. Walaupun mengalami kecacatan anggota, namun itu bukanlah halangan untuk ibu terus berusaha dalam membina kerjayanya sendiri. Ibu selalu menganggap dirinya normal seperti orang lain dan kekurangan itu dijadikan pembakar semangat untuk berjaya.
Buktinya, walaupun seorang OKU tapi ibu berjaya menamatkan pelajaran sehingga peringkat master di UiTM, membesarkan 4 orang anak dan memberikan pendidikan yang secukupnya kepada kami semua. Alhamdulillah, hasilnya semua anak-anak menjadi graduan UiTM seperti beliau.
Saya kagum dengan kejayaan ibu, seorang usahawan yang berjaya dan pernah memenangi anugerah wanita inspirasi Tun Dr Siti Hasmah pada tahun 2011. Sekarang, ibu aktif dalam seni kaligrafi dan telah menyertai beberapa pameran lukisan seni Islam antaranya di MATIC dan Balai Seni Lukis Negara. Selain daripada melukis, ibu banyak menghabiskan masa menanam pokok dan bermain bersama cucu-cucunya.
Kalau ingin bercerita tentang pengorbanan ibu, sangat panjang dan terlalu bermakna dalam hidup saya. Yang pastinya ibu sentiasa menasihati kami adik-beradik supaya usah jadikan kekurangan yang ada pada diri sebagai penghalang, tetapi jadikan sebagai pembakar semangat dan buktikan kepada diri dan orang lain bahawa kita boleh berjaya dengan apa jua keadaan diri kita seadanya.”
Bercerita tentang kerjaya Hayatul sendiri, “Mungkin kejayaan saya tidaklah sehebat para usahawan lain. Tapi saya berbangga dengan diri saya yang mampu bangkit semula untuk berjaya dalam kehidupan dan membesarkan anak-anak seorang diri. Saya amat bersyukur keluarga banyak memberi semangat dan membantu saya menempuhi pelbagai cabaran kehidupan.
Dalam perniagaan, saya dari zaman sekolah lagi dah menolong perniagaan keluarga. Saya ingat lagi ketika itu, ibu sakit jadi kami adik-beradik yang akan ‘buka kedai’ untuk jalankan perniagaan seperti biasa.
Bayangkan, waktu itu kami ada ambil booth bazar Ramadhan di pusat membeli-belah. Jadi lepas sahaja waktu persekolahan, saya akan bergegas pulang dan bersiap, naik motor skuter dari Port Klang ke Subang Jaya untuk buka booth bazar.
Waktu tu dalam fikiran, kalau tak meniaga, tak raya la kami semua. Jadi kami perlu berusaha mencari rezeki dan membantu ibu. Aduh! Kenangan ini sentiasa tersemat dalam ingatan dan saya amat berterima kasih kepada ibu saya kerana telah mendidik kami adik-beradik menjadi orang yang kuat dan tak mudah putus asa dalam apa jua cabaran,” ujar Hayatul sambil berlinangan air mata.
Pesan Hayatul buat semua wanita, “Jangan mudah putus asa. Sekali gagal tidak bererti gagal selamanya. Jangan hanya fokus pada satu perkara sahaja. Barangkali kegagalan sekarang menjadi pembuka pintu buat kejayaan di masa hadapan.
Sentiasa buat kebaikan kepada orang lain. Dan yang penting bahagiakan kedua orang tua dan keluarga dahulu, mereka adalah tulang belakang kita selamanya walau apa terjadi sekali pun,” bicara Hayatul.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
“Suami sanggup berhenti kerja untuk membantu menaikkan bisnes beg ini. Dia turun padang menjahit dan memikul sendiri gulungan kain. Alhamdulillah dengan kurniaan ini. Adik-adik saya pula pinjamkan kereta kerana ketika jatuh dahulu saya hilang segalanya.
Mereka tidak pernah mengatakan tidak, setiap kali pinjam kereta diisikan minyak penuh. Allahuakbar. Jasa mereka takkan pernah saya lupa. Ke sana sini pinjam kereta adik untuk ambil stok dan buat penghantaran,” cerita Siti Nazira binti Abdul Aziz, 39 tahun.
Kini beliau merupakan seorang usahawan, founder dan pemilik jenama Beejayess di bawah BJS & ARMASN. Pemegang Diploma Pengurusan dan Teknologi Pejabat UiTM Shah Alam, pernah berkhidmat sebagai pembaca berita cuaca RTM dan menjadi pembantu penerbit meja Sukan Bernama TV. Tahun 2010, Nazira mengambil keputusan menjadi suri rumah dan berjinak dalam dunia perniagaan.
“Saya kini menjalankan perniagaan dalam bentuk perkhidmatan menguruskan jahitan borong dan kilang OEM, fokus kepada pengeluaran totebag dan palazo. Sebagai pemilik kilang dan CEO, saya bertanggungjawab dalam merancang misi dan visi syarikat, serta mengeluarkan design baru dan set the benchmark dalam pasaran.
Antara cabaran utama perniagaan saya untuk mengeluarkan produk dengan harga murah, supaya pelanggan dapat beli dengan harga mampu milik. Saya perlu minimized kos dan margin untung juga.
Sewaktu MCO, kami mengalami kesukaran untuk mendapatkan bekalan barang seperti kain-kain dari pembekal yang tidak boleh beroperasi. Keadaan ini menjejaskan operasi perniagaan saya ketika itu dan alhamdulillah dengan keadaan sekarang semuanya dapat kembali seperti biasa,” ujar Nazira tenang.
Mengimbas kembali perjalanan Nazira dalam dunia perniagaan, sambil tersenyum dan bercerita, “Tahun 2014, saya bermula dari rumah sebagai orang tengah untuk jualan preloved baju, kasut dan bag. Tidak perlu modal yang banyak, cuma perlu rajin promote barang customer di media sosial.
Saya antara yang terawal memperkenalkan perkhidmatan ini di Malaysia. A beli barang B tanpa bertemu, tanpa kenal. Saya sebagai orang tengah menguruskan perjanjian jual beli. Duit bank-in kepada saya, selepas urusan sah terima barang, barulah duit dikreditkan kepada penjual asal.
Pada tahun 2015, saya membantu suami menaikkan bisnes gadget yang pertama di Perlis sehingga mampu buka Digital Centre, dirasmikan oleh Menteri Besar Perlis pada ketika itu, Dato Seri Azlan Man.
Namun pada tahun 2017, perniagaan suami jatuh dan saya kembali semula ke Selangor menumpang di rumah ibu. Saya buat bisnes kecil-kecilan jual inai. Sambutan sangat menggalakkan kerana saya antara yang pertama mengusahakan inai guna berus, nampak macam nail polish.
Cabaran modal terhad dan berjauhan dari suami yang masih di Perlis menjadikan saya tidak kuat dan cepat mengalah bila ada masalah.
Kemudiannya pada tahun 2018, saya campur-campur barang niaga. Ada tudung, cermin mata dan baju. Dalam keadaan masih merangkak, saya rebah lagi disebabkan tidak kuat menghadapi cabaran perniagaan,” jelas Nazira menceritakan perjalanan yang dilaluinya.
Kejayaan akan bersinar dari satu kegagalan ke kegagalan yang lain, tanpa kita kehilangan semangat, “Pada tahun 2019 saya membeli beg kosong untuk dijadikan hadiah buat kawan-kawan. Setiap kali girl trip pasti ada buah tangan berlainan. Kali ni saya beri canvas bag untuk senang dibawa barang on the go.
Beg canvas tersebut kosong saya tulis tangan nama mereka menggunakan pen marker. Upload gambar di media sosial ramai pula yang bertanyakan beg berkenaan. Lalu saya nampak potensi ia dijadikan sumber pendapatan.
Saya ambil preorder dari kawan-kawan, dari 8 biji tempahan menjadi 12. Kemudian jadi 20 hinggalah akhirnya jadi 1000 unit seminggu. Pada waktu itu, saya bekerjasama dengan adik yang buat printing topi untuk betul-betul gunakan heat press printing di luar bag. Baru kekal dan tahan lama.
Syukur alhamdulillah, perniagaan saya itu semakin berkembang. Dari hanya saya seorang telah menjadi 70 orang agent serata Malaysia. Saya di antara yang pertama mengeluarkan totebag dengan edisi twilly dan rodeo, yang sampai kini jadi ikutan seluruh Malaysia.
Asalnya bermula dari supplier salah hantar handle bag. Pesanan yang saya beli warna hitam, tapi sampai kepada saya warna pink. Jadi saya balutkan handle berkenaan dengan twilly yang akhirnya mencipta satu fenomena baru.
Sekitar Februari 2020 sempat mengadakan majlis untuk meraikan ejen-ejen. Pencapaian jualan terbaik menerima tunai RM1000. Kedua Rm700 dan ketiga rm500. Mac 2020 cabaran mula hadir, di mana lockdown serata dunia berlaku. Supplier utama dari India stuck dan beg-beg saya tak boleh dihantar ke Malaysia.
Pada masa ini ejen-ejen dan customer marah sangat dan ada yang melaporkan kepada pihak polis. Tapi atas bukti yang ada, nyata saya tidak melakukan apa-apa penyelewengan wang, kes berkenaan ditutup. Ketika itu, satu persatu ejen saya lari. Dari 70 ejen, kembali tinggal saya seorang.
Tiga bulan sale saya kosong. Dari ratusan ribu sebulan, tinggal kosong. Selepas dapat kembali beg-beg dari pembekal, saya selesaikan semua tempahan yang pending.
Ada beberapa beg bermasalah pada masa itu, adik saya bantu jahit (adik ipar tukang jahit baju kanak-kanak). Tapi disebabkan penggunaan mesin jahit berbeza, kapasiti kelajuan jadi kurang. Alhamdulillah, saya dapat bantuan tiga mesin jahit dari kerajaan Selangor, lalu saya gunakan untuk cuba jahit bag.
Dari jahit sendiri, perlahan-lahan sekitar Oktober 2020 saya kembali dengan visi baru sebagai kilang OEM, jahit beg. Dengan design berbeza dari pasaran, kami mulakan dengan jahit beg founder-founder kosmetik. Alang-alang dah boleh jahit sendiri, kami terus lari dari design bag India dan China.
Ramai pelanggan kami jatuh cinta dengan kelainan beg kami yang mengikut signature brand mereka. Tempahan dari Nilofa antara kenangan paling berharga buat saya dan team.
Di kesempatan rezeki yang ada, saya keluar dengan tambahan produk baru iaitu jahitan borong palazo harga kilang. Sama ada beli 1 atau 1000 tetap harga kilang RM19 sahaja sepasang. Dengan misi dan harapan semua wanita mampu beli dan pakai seluar mewah dengan harga murah.
Mampu menutup aurat dengan seluar labuh dan murah. Dalam dua minggu di pasaran alhamdulillah kami dapat jual lebih 2000 pasang,” cerita Nazira yang juga pernah berasa berniaga bundle bentang surat khabar di tapak Tesco dan pasar malam.
“Sebenarnya kalau ingin diceritakan tentang susah, jatuh dan bangkit dalam kehidupan terlalu panjang untuk dibicarakan di sini. Sebagai manusia biasa kita tak lari dari merasa kecewa, down dan tertekan.
Saya belajar dari pengalaman lalu, tiada satu bisnes pun saya fokus dan menghabiskannya sehingga akhir. Semuanya saya buat separuh jalan.
Asal ada masalah saya berhenti, terus berhenti. Kali ini saya nekad jadikan bisnes ini yang terakhir dan boleh saya wariskan kepada anak-anak suatu hari nanti. Sekarang setiap kali saya down, ada cabaran, saya berhenti rehat seketika. Rehat dan rawat.
Bila saya kembali sihat, saya akan terus beraksi dengan aktif dan semangat. Take a break but never stop. Sentiasa lihat mata anak-anak dan fikir kenapa kita bermula. Betul, cakap memang senang tapi sebagai seorang yang pernah jatuh tersungkur, ini yang saya buat!” akhiri Nazira penuh semangat.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI. Download seeNI sekarang!