Pemergian Nortafsiah Sulaiman atau Mak Lang iaitu ibu saudara kepada Naib Juara Hero Remaja 2017, Farhan Asri akibat barah payudara sememangnya meninggalkan kesan mendalam terhadap kehidupan jejaka berusia 20 tahun ini. Meskipun sudah lima tahun berlalu namun kenangan bersama arwah Mak Lang masih segar di ingatan. Masakan tidak, insan berjiwa murni itu jugalah yang pernah menjaga dan mendidiknya sejak kecil.
Mengakui sejarah keluarga yang mempunyai genetik kanser, Farhan berkata arwah neneknya juga merupakan penghidap kanser usus. “Paling menyedihkan bila aunty Farhan disahkan menghidap barah payudara. Dia dapat tahu tentang baran ini sebenarnya di peringkat awal lagi. Masa itu baru stage satu tapi dia pandang ringan penyakit ini. Pendek kata, dia memang buat tak tahu saja dan kata boleh sihat dan semua semula. Tak perlu risau.
Seingat saya, pada tahun keenam atau ketujuh dia ada datang ke hospital untuk buat pemeriksaan. Sayangnya, sel kanser dah merebak ke stage four dan menjangkiti ke jantung serta organ dalaman sampai Mak Lang terpaksa buat operation untuk buang kedua-dua payudaranya.
Sejak pembedahan membuang payudara, dia dah mula duduk di rumah dan tak boleh bergerak. Doktor pun dah nasihatkan kami sekeluarga yang Mak Lang boleh hidup tak sampai setahun. Kalau tak silap saya, dia meninggal ketika usia 42 tahun dan meninggalkan empat orang anak. Anak bongsu pun masa itu baru darjah satu.”
Ads
Tatkala ditanya tentang usaha keluarganya pada detik sukar itu, Farhan berkata, “Mak Lang bukan jenis orang yang suka pergi ke hospital. Dia tak suka environment di sana dan kalau ada saudara-mara yang masuk hospital memang dia tak suka pergi. Disebabkan sudah lali dengan perangai ibu mereka, anak Mak Lang siap bawa balik ubat dari hospital untuk lihat dia sihat semula. Tapi sayang, bila anak-anak bawa balik ubat, Mak Lang akan pura-pura ambil dan makan. Walhal dia akan buang ubat itu ke sinki.”
Ads
Jelas anak kelahiran Negeri Sembilan ini lagi, pemergian Mak Lang benar-benar mengusik perasaannya. Bahkan dia sendiri pernah melihat penderitaan yang ditanggung ibu saudaranya itu. “Bila dah besar, saya memang tanamkan sifat dalam diri agar jangan pandang ringan sesuatu perkara. Para wanita di luar sana tak kisah dalam lingkungan umur berapa pun kena jaga kesihatan.
Kena ambil tahu tentang pemakanan walaupun ada yang cakap boleh makan apa saja tapi harus beringat. Sebab kita tak tahu apa akan jadi pada diri kita kelak. Tidak kira muda atau tua, amalkan diet sihat, selalu buat aktiviti sihat. Inshaallah, moga kita semua akan diberi kesihatan yang sebaik-baiknya.”
Ads
Dalam pada itu Farhan turut menasihati kaum wanita khususnya untuk peka terhadap perubahan diri dan sentiasa lakukan pemeriksaan agar kejadian yang menimpa ibu saudaranya tidak berulang dalam kalangan wanita lain.SUZIANA ABU DAUD
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Benarkan ukuran payudara yang besar membuatkan seseorang wanita lebih mudah mengalami kanser payudara berbanding mereka yang berpayudara kecil?
Menurut penelitian yang diterbitkan dalam jurnal BMC Medical Genetics, seramai 16,000 wanita diminta menyatakan ukuran bra yang dipakai selain merekodkan sampel gen mereka.
Di akhir penelitian, keputusan mendapati kelompok wanita yang menggunakan bra berukuran D atau lebih berisiko mengalami kanser payudara berbanding wanita yang menggunakan bra berukuran A atau lebih kecil daripada itu.
Pakar perubatan menyatakan bahawa ukuran payudara pada wanita dipengaruhi oleh gen dan DNA yang mengaturnya. Gen yang membuat ukuran payudara besar pada wanita juga mempengaruhi pertumbuhan kanser.
Teori lain pula menyatakan bahawa wanita yang memiliki berat badan berlebihan juga mempunyai ukuran payudara yang besar kerana kandungan lemak yang bertimbun di situ. Pengaruh obesiti atau kegemukan turut meningkatkan risiko penyakit kanser payudara.
Pelbagai penelitian telah membuktikan bahawa wanita obesiti cenderung mengalami kanser payudara. Penelitian Journal of Clinical Oncology menyatakan bahawa risiko kanser meningkat hingga 30% pada wanita yang bertubuh besar.
Sebelum membuat sebarang kesimpulan, tonton video ini untuk memahami penyakit kanser payudara secara menyeluruh. Penjelasan infografik tersebut membuktikan bahawa kanser payudara TIDAK BERKAITAN dengan saiz payudara seseorang kerana sesiapa pun berisiko untuk menghidapnya.
Tindakan Awal Menyelamat Nyawa
Bagi anda yang memiliki ukuran payudara besar, jangan cemas lagi. Sebenarnya terdapat banyak faktor lain yang menyebabkan sel kanser berkembang pada payudara.
Berikut adalah faktor risiko menurut American Cancer Society:
(a) Sejarah keluarga
Tidak kira berapa pun ukuran payudara anda, tapi jika memiliki sejarah keluarga yang mengalami kanser payudara tetap akan meningkatkan risiko hingga 2 kali ganda.
(b) Usia
Semakin berusia, maka semakin meningkatlah risikonya. Kebanyakan pesakit kanser payudara sudah mengalami menopaus saat didiagnosis penyakit ini. Oleh itu, penting untuk melakukan mammogram ketika memasuki usia 47 tahun.
(c) Pernah mempunyai tumor
Jika sebelum ini anda pernah mempunyai tumor pada payudara, risiko untuk mendapat kanser payudara meningkat hingga 3 kali ganda.
(d) Memiliki anak pertama di usia matang
Seorang wanita yang lambat memiliki anak atau tidak memiliki anak sama sekali, berisiko lebih tinggi untuk mengalami kanser payudara.
(e) Mengalami menopaus awal ataupun lambat
Wanita yang mengalami menopaus atau haid pertama kurang dari usia 12 tahun, maka berisiko terkena kanser payudara. Sama juga dengan wanita yang menopaus pada usia melebihi 55 tahun. Norzalina Mohd Alias
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Setiap individu mempunyai kisah tersendiri bagaimana mereka mula mengesan kehadiran barah dalam tubuh mereka. Apatah lagi barah payudara merupakan penyakit yang amat digeruni oleh kaum wanita.
Wanita yang disahkan menghidap barah payudara seharusnya bangun menjadi wanita yang cekal dalam usaha melawan penyakit yang menjadi mimpi buruk mereka.
Empat wanita muda yang berdepan penyakit barah payudara ini mempunyai kisah yang boleh dijadikan panduan kita agar bersedia dari segi mental sekiranya diuji dengan situasi yang sama.
Chung Yih Pei, Faraedayu Zulkifley, Hibatullah Abdul Rahman dan Dachaini Karuppiah merupakan cancer survivor yang wajar dijadikan contoh untuk wanita lain.
BUANG SIKAP MURUNG
Chung Yih Pei, 37, Guru Sekolah Menengah
Ceritakan bagaimana anda disahkan menghidap barah payudara?
Perkara pertama yang membuatkan saya mengesyaki sesuatu apabila tersentuh payudara kanan terdapat ketulan. Saya berkongsi cerita dengan ibu dan beliau menasihati saya menjalani pemeriksaan di hospital.
Hasil pemeriksaan, doktor mendapati payudara kanan saya sudah penuh dengan ketulan. Pada masa yang sama, saya membuat semakan mammogram, ultrasound dan biopsy.
Selepas tiga hari, doktor mengesahkan saya menghidap barah payudara. Saya terus mencari doktor pakar untuk membuat semakan yang kedua dan didapati memang sah wujudnya barah dalam payudara kanan saya.
Apakah perkara pertama yang anda lakukan sebaik sahaja disahkan menghidap barah tersebut?
Sebaik disahkan menghidap barah, saya menjadi sangat sedih dan murung. Saya bersyukur kerana mempunyai kawan baik yang sedia mendengar luahan rasa saya.
Kaum keluarga saya juga menemani saya pada ketika itu. Saya merujuk kes kepada pakar bedah payudara di UMMC dan membuat temujanji untuk pembedahan. Pada ketika itu, UMMC mempunyai kumpulan kaunseling daripada jururawat dan doktor.
Mereka menasihati saya bahawa barah saya masih di tahap awal dan peratusan untuk sembuh adalah sangat tinggi. Pada ketika itu, saya pulihkan keyakinan saya dan berfikiran positif. Saya juga bekerjasama dengan doktor sepanjang rawatan saya.
Rawatan yang dilakukan?
Kemoterapi sebanyak enam kali, radioterapi sebanyak 21 kali dan sekarang saya menjalani rawatan terapi hormon melalui pengambilan ubat tamoxifen sepanjang 10 tahun.
Selain itu, setiap tiga bulan saya akan bertemu dengan pakar bedah dan pakar onkologi untuk pemeriksaan berkala. Setiap tahun, saya perlu membuat sekali ujian ultrasound dan MRI pada payudara saya.
Apakah nasihat anda untuk semua wanita supaya pencegahan awal dapat dilakukan?
Nasihat saya kepada semua wanita, mereka perlu membuat pemeriksaan payudara kendiri semasa mandi. Kalau didapati terdapat ketulan atau apa-apa yang tidak kena pada payudara, rujuklah kepada mana-mana doktor di klinik yang berdekatan.
Kalau didapati ada yang bermasalah, mereka perlu menjalani pemeriksaan melalui mammogram atau ultrasound atas rujukan doktor pakar. Barah payudara banyak menimpa pada golongan wanita muda kini. Jadi semua wanita perlu sentiasa berwaspada akan perubahan payudara sendiri.
Wanita yang berumur lebih daripada 40 tahun, segeralah buat mammogram. Pengesanan awal lebih baik sebelum ia merebak dan membahayakan kesihatan.
AKTIF DAN BERSEMANGAT
Faraedayu Zulfikley, 34, Setiausaha
Ceritakan bagaimana anda disahkan menghidap barah payudara?
Saya merupakan seorang wanita yang amat mementingkan penampilan diri. Setiap kali selepas mandi, saya akan mengambil masa untuk melihat sebarang perubahan dari segi penampilan.
Tapi suatu hari, saya dapati terdapat bengkak atau benjolan di payudara kiri. Pada mulanya saya ingat ia kesan dari muscle pain akibat senaman tetapi selepas seminggu ia menjadi ketulan keras.
Saya segera mendapatkan nasihat daripada Dr. Harjit Kaur, doktor pakar payudara. Pada mulanya doktor mendapati ia mungkin kesan biasa selepas habis datang bulan. Tetapi hasil pemeriksaan biopsy mendapati saya menghidap barah payudara tahap kedua.
Apakah perkara pertama yang anda lakukan sebaik sahaja disahkan menghidap barah tersebut?
Apabila Dr. Harjit menggunakan terma perubatan Carcinoma (nama saintifik barah) dan menerangkan apa yang perlu dilakukan, saya masih agar kabur dan tidak dapat menerima hakikat.
Hampir setengah jam saya menangis dan nasib baik ketika itu saya ditemani oleh rakan baik. Selepas keluar dari hospital, saya cuba menenangkan perasaan dengan membeli-belah. Tetapi bila sampai sahaja di rumah, saya mula mencari maklumat mengenai barah ini di Internet.
Rawatan yang dilakukan?
Saya menjalani rawatan kemoterapi dan radioterapi seperti disarankan oleh doktor. Saya menjalani kemoterapi sebanyak enam pusingan. Antara kesan sampingan termasuklah letih, lesu, muntah-muntah dan keguguran rambut.
Saya pernah merasa bagaimana menjadi botak! Kini, saya meneruskan rawatan dengan pengambilan pil sebiji setiap hari. Saya menjalani radioterapi untuk 30 kali di mana saya perlu diradiasi setiap hari untuk mematikan sel-sel barah yang masih aktif.
Apakah nasihat anda untuk semua wanita supaya pencegahan awal dapat dilakukan?
Saya berharap wanita lebih peka terhadap perubahan pada badan dan menjaga pemakanan dan amalkan gaya hidup yang sihat. Sentiasa lakukan pemeriksaan payu dara sendiri dan pemeriksaan kesihatan secara berkala.
KELUARGA BERI DORONGAN
Hibatullah Abdul Rahman, 27, Pelajar
Ceritakan bagaimana anda disahkan menghidap barah payudara?
Saya mengesan benjolan di payudara sejak 2011. Setiap kali menjalani pemeriksaan kesihatan, pakar radiologi hanya mengatakan ia cuma cyst.
Pada Februari 2015, saya mengalami masalah darah keluar dari puting payudara. Sekali lagi saya rujuk kes ke radiologi dan ia dikatakan normal untuk wanita yang menyusukan anak, sedangkan saya ketika itu belum berumah tangga.
Kemudian kes saya dirujuk kepada pakar bedah payudara dan ujian ultrabunyi mendapati saya menghidap barah payudara tahap dua.
Apakah perkara pertama yang anda lakukan sebaik sahaja disahkan menghidap barah tersebut?
Pada hari saya mendapat keputusan ujian, saya ditemani oleh ibu dan kakak. Apabila Dr. Harjit menerangkan tentang proses rawatan, saya mahu kekal positif dan meneruskan langkah seterusnya menjalani rawatan yang disyorkan.
Saya juga mahu cekal untuk ibu saya kerana ketika itu ayah baru sahaja meninggal dunia kira-kira sebulan.
Rawatan yang dilakukan?
Saya melalui enam proses kemoterapi, mastectomy, 15 kali radioterapi dan 17 kali herceptin. Pada pertengahan rawatan herceptin, keputusan saya berubah menjadi ER+, PR- and HeR2+. Pesakit dengan HeR2+ perlu melalui proses herceptin.
Buat masa ini, saya masih mengambil ubat-ubatan dikenali sebagai Tamoxifen sehari sekali bagi mencegah sel barah. Ia merupakan sejenis dadah hormon estrogen yang disarankan untuk pesakit estrogen positif.
Tidak dinafikan sepanjang proses kemoterapi, saya melalui pelbagai perubahan antaranya termasuklah kehilangan rambut, hilang selera makan, rasa loya, penambahan berat badan dan sering sakit kepala.
Antara perkara paling memberi kesan pada saya ialah bila saya berhadapan dengan situasi chemo brain dimana saya menghadapi masalah untuk fokus dan menjadi pelupa.
Dalam keadaan begini, support system begitu memainkan peranan. Pembedahan, terapi radiasi dan herceptin antara rawatan yang telah dilalui. Malah, saya ambil keputusan membuang payudara kiri tetapi ia tidak membuatkan saya rasa kekurangan. Saya jadi lebih positif dan anggap ia sebahagian dari aturan perjalanan hidup.
Apakah nasihat anda untuk semua wanita supaya pencegahan awal dapat dilakukan?
Sebaiknya, lakukan pemeriksaan sendiri payudara sekali sebulan. Saya rasa masa terbaik untuk melakukan pemeriksaan sendiri payudara ketika mandi.
Selain itu, lakukan pemeriksaan kesihatan secara berkala sekurang-kurangnya dua kali setahun untuk mengesan sebarang simptom. Jika merasa sebarang perubahan terhadap payudara, dapatkan pandangan pakar.
PENJAGAAN EMOSI PENTING
Dachaini Karuppiah, 32, Pelatih Program Soft Skills
Ceritakan bagaimana anda disahkan menghidap barah payudara?
Saya mula mengesan ‘kelainan’ pada payudara saya kira-kira 10 tahun yang lalu. Ketika itu, saya melakukan pemeriksaan sendiri payudara dan mendapati terdapat benjolan di bahagian bawah ketiak.
Saya mendapatkan pandangan daripada doktor di klinik dan selepas beberapa siri ujian dijalankan, keputusannya menunjukkan negatif terhadap kehadiran sel barah. Malah, ia disahkan sebagai fibroid biasa sahaja.
Tetapi saya ambil keputusan untuk membuangnya kerana rasa kurang selesa. Semasa pembedahan, doktor mengesan sesuatu dan merujuk ke patologi. Dua minggu kemudian, saya diarahkan ke hospital setelah ujian mendapati ia merupakan sel barah.
Ia merupakan barah tahap satu tetapi ia merebak dengan cepat sehingga ke tahap ketiga. Saya dicadangkan menjalani pembedahan mastectomy dan rawatan kemoterapi sebanyak 8 pusingan. Ia perlu dilakukan supaya sel tidak merebak ke bahagian payudara yang lain pula.
Apakah perkara pertama yang anda lakukan sebaik sahaja disahkan menghidap barah tersebut?
Tidak dinafikan ketika pertama kali berdepan dengan keadaan itu, ia merupakan saat paling getir dalam hidup saya. Ketika berada di bilik doktor, saya ditemani oleh ibu bapa.
Bayangkan bagaimana perasaan saya ketika doktor mengungkapkan perkataan ‘Maaf, anda menghidap barah. Baca buku ini untuk anda memahami mengenai penyakit ini.’
Ketika itu, keadaan penuh emosi, marah, kecewa, sakit dan segala perkara negatif muncul dalam kotak fikiran. Malah saya bertindak keterlaluan terhadap keluarga dan rakan-rakan. Apa yang saya impikan dalam hidup bagaikan hancur dalam sekelip mata.
Terdetik juga rasa tidak percaya dan mengapa saya perlu berhadapan dengan situasi tersebut sedangkan saya dan keluarga amat mementingkan gaya hidup yang sihat. Malah saya juga tidak merokok dan minum minuman keras.
Pernah satu ketika saya menjauhkan diri dari semua orang dan mudah berasa kecil hati dengan individu di sekeliling. Kadangkala saya hanya berharap ia hanyalah mimpi buruk yang bakal berlalu apabila terjaga keesokan harinya.
Tapi Melihat kesan parut, jarum dan segala yang berkaitan dengan perubatan membuatkan saya trauma dan mudah merasa murung ketika itu.
Rawatan yang dilakukan?
Saya terpaksa melalui dua surgeri, mastectomy dan 8 pusingan kemoterapi agresif. Setiap rawatan pasti mempunyai kesan sampingan dan ia sememangnya amat menguji kekuatan fizikal dan mental.
Mana tidaknya, saya terpaksa berada di hospital setiap dua minggu untuk menjalani ujian darah, kemoterapi dan pelbagai ubat-ubatan yang perlu dimakan. Sudah pastinya selepas setiap kali rawatan, tubuh akan menjadi lemah dan sistem imunisasi badan menjadi lemah.
Ada ketikanya saya berhadapan dengan masalah tidak lalu makan, rasa mual, muntah, sakit anggota badan dan sakit kepala yang teruk. Masalah keguguran rambut juga secara tidak langsung berlaku dan saya pernah sampai ke tahap kepala botak, tiada bulu mata dan bulu kening!
Keadaan ini berubah setelah sistem imunisasi badan bertambah baik dan ia mengambil masa untuk melalui proses tersebut. Kini, saya sudah bebas dari pengambilan sebarang ubat-ubatan dan pelan rawatan. Namun begitu, saya masih meneruskan rawatan berupa beberapa siri ujian dan rawatan susulan seperti disarankan oleh pakar.
Apakah nasihat anda untuk semua wanita supaya pencegahan awal dapat dilakukan?
Sejak dahulu lagi, kesedaran awal mengenai barah payudara belum begitu dipraktikkan di kalangan wanita terutamanya wanita muda masa kini.
Saya percaya, penting untuk wanita tidak mengira umur untuk memahami konsep ujian mammogram, ultrabunyi dan sebagainya supaya pengesanan awal tanda-tanda kanser dapat dilakukan.
Selain itu, penting untuk setiap wanita membuat pemeriksaan sendiri payudara kerana ia adalah langkah awal untuk mengesan tanda-tanda awal yang berlaku terhadap payudara.
Walaupun Kementerian Kesihatan telah banyak menguar-uarkan kempen ini, namun kesedaran wanita terhadap kepentingannya masih belum dicapai secara meluas. Rosmah Idayu Abu Samah
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Dalam hidup ini tiada seorang pun yang sepi daripada ujian. Cuma bentuk ujian yang menimpa itu berbeza atas seorang daripada seorang yang lain. Ada yang Allah berikan ujian kecil, ada pula ujiannya besar. Ada yang Allah pendekkan ujiannya dan ada yang berlarutan. Malah ada juga yang ujiannya datang bertimpa-timpa, bak kata pepatah sudah jatuh ditimpa tangga pula. Bagi yang nipis imannya, mereka pastinya akan mengeluh, merungut dan merintih. Habis semua orang tahu yang dirinya itu sedang dilanda ujian. Semua orang dipersalahkan malah Allah juga turut dipersalahkan juga. Satu-satunya orang yang tidak dipersalahkan adalah dirinya sendiri.
Kualiti diri seseorang itu terserlah saat dia diuji. Ketika itu nampak berbeza antara kaca dengan permata. Waktu senang, bahagia, berharta, berkuasa, berdarjat, berpangkat dan berduit, kita boleh berkata apa sahaja. Kita boleh kata yang kita seorang positif, sabar, terbuka dan sebagainya. Rasa down dan putus ada sememangnya ditolak ke tepi buat Izanasma Zaaba apatah lagi apabila berhadapan dengan dugaan Yang Maha Esa apabila disahkan menghidap barah payudara pada tahun 2013. Sebagai hambaNYa, Izanasma yakin setiap ujian yang datang ada hikmahnya dan ia sekaligus membawa dirinya ke satu tahap yang lebih baik dari sehari ke sehari.
“Perasaan sedih dan terkejut sememangnya reaksi awal saya apabila disahkan menghidap barah payu dara. Sudah tentu wujud perasaan sedih memandangkan ia adalah fitrah insani. Namun dengan sedih tidak semestinya saya rebah. Saya yakin, kesedihan sementara itu adalah untuk menghapuskan dosa-dosa silam. Kesabaran menghadapi ujian ini juga adalah pahala yang takkan putus. Alhamdulillah, saya masih diberikan kekuatan oleh Allah,” ujar Izanasma atau lebih mesra disapa Watie ketika penulis cuba menyelami perasaannya tatkala menerima perkhabaran doctor mengenai penyakit yang dialaminya itu.
Mengimbas kembali detik tatkala permata kali disahkan menghidap kanser pada tahun 2013, menurut Izanasma perkhabaran doktor mengenai penyakit tersebut telah banyak menganggu emosinya memandangkan dia mempunyai anak-anak dan keluarga yang amat memerlukan dirinya pada ketika itu. “Pertama kali saya disahkan menghidap kanser adalah pada tahun 2013. Ketika itu, emosi saya amat terganggu dan saya kerap bersedih. Mana tidaknya, saya memikirkan soal anak-anak dan timbul pelbagai persoalan bersarang di benak. Sempatkah mereka membesar dan berjaya di depan mata saya? Sempatkah saya menyaksikan semua itu dan menikmatinya. Sekalian bentuk over thinking kerap mengganggu emosi,” ujar Izanasma yang banyak membuat pembacaan mengenai penyakitnya untuk menambahkan ilmu bagi berhadapan dengan situasi getir itu.
Izanasma menjalani rawatan termasuklah membuang payudara kirinya pada tahun 2013 selain mastectomy pada tahun 2017. “Ditakdirkan pada tahun 2017, sel kanser kembali menyerang, dan kali ini ia lebih sulit. Pada ketika itu, saya berhadapan dengan ujian apabila bercerai dengan suami dan menghadapi dugaan ini sambil disaksikan oleh anak-anak. Saat saya berhadapan dengan masalah kesihatan ini sudah pastinya saya amat memerlukan sokongan tetapi sebagai wanita dan ibu tunggal, saya gagahkan juga kerana saya sudah tekad untuk keluar dari belenggu menjadi mangsa dalam keganasan rumahtangga,” ujar Izanasma yang sememangnya mempunyai semangat yang kuat untuk merubah nasibnya walaupun sedang bergelut dengan masalah kesihatan. Dalam situasi bergelut masalah rumahtangga dan kesihatan, wanita tabah ini banyak belajar mengenai kehidupan.
Perasaan redha dan pasrah menjadi kekuatan untuk dirinya menerima ketentuan dan musibah. Malah, dalam mencari kekuatan, sokongan dari keluarga tersayang menjadi azimat untuk dirinya kekal positif dan berani berhadapan dengan apa jua situasi yang mendatang. “Saya amat positif dalam menjalani kehidupan seharian. Untuk memastikan kekal positif, harus ada semangat. Semangat saya tentulah keluarga. Saya juga berazam untuk hidup dengan lebih bermakna kerana masih banyak perkara yang belum saya selesaikan. Apabila kita mempunyai target atau tujuan, kita bersemangat dan enjoy untuk laksanakannya sehingga kita lupa segala masalah yang berlaku. Itulah kunci rahsia positivity perjuangan hidup saya. Saya juga tidak menjadikan sakit sebagai alasan untuk tidak fokus terhadap kerjaya dan minat,” ujar Izanasma penuh ceria. Sebelum mengakhiri perbualan, Izanasma sempat menitipkan pesanan yang berguna untuk direalisasikan dalam kehidupan seharian. Menurutnya, kunci kehidupan yang positif yang dimilikinya hari ini bertitik tolak dari perasaan sabar dan yakin terhadap segala hikmah yang terjadi terhadap dirinya.
“Disebalik kesusahan ada kesenangan, itu janji Allah. Bertawakkallah dan rujuk pakar perubatan yang diiktiraf jika terdapat sebarang perubahan kesihatan. Apa yang penting, jauhi tekanan kerana ia merupakan musuh utama sikap positif. Jika seseorang itu stres, ia akan membangkitkan aura negatif, punca segala penyakit. Percaya atau tidak namun begitulah rutinnya.Segalanya terletak pada pemikiran kita. Hindari stress, sihatkan juga mental dan emosi. Selain merawat kesihatan fizikal dengan kaedah rawatan moden, tubuh yang sihat datang dari minda yang sihat juga.Insyaallah kita mampu menghadapinya,” ujar Izanasma seraya mengakhiri perbualan.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Tahniah buat Uyaina Arshad dan Raja Syahiran atas kelahiran cahaya mata ketiga mereka. Syukur kepada Allah, pengacara jelita berkenaan selamat melahirkan permata hati yang merupakan anak lelaki ketiga mereka pada 28 Januari lalu. Khabar gembira itu dikongsikan Uyaina di media sosial miliknya.