Temasya Sukan Olimpik Musim Sejuk 2018 di Pyeongchang, Korea Selatan baru sahaja membuka tirai dan menyaksikan negara-negara di seluruh dunia berkumpul di atas semangat kesukanan. Lebih membanggakan, temasya kali ini menyaksikan Malaysia juga tidak ketinggalan menyertainya dan ini merupakan penyertaan sulung negara kita dalam temasya sukan tersebut.
Apabila menyebut tentang sukan luncur ais, pastinya pakaian yang digayakan oleh atletnya mengikut potongan bentuk badan dan dihiasi perhiasan manik-manik yang cantik untuk menarik perhatian tatkala melakukan aksi luncur di atas ais. Namun begitu, kemunculan seorang peserta luncur ais dari United Arab Emirates (UAE), Zahra Lari yang mengenakan pakaian yang sopan dan menutup aurat pastinya mencipta kelainan. Gadis berusia 22 tahun itu merupakan hijabi pertama yang bertanding di peringkat antarabangsa dalam sukan luncur ais.
Menampilkan imej bertudung dengan skirt labuh dan berseluar longgar, aksi Zahra sememangnya memukau kerana ketangkasannya dan tidak keterlaluan dikatakan bahawa Zahra mampu mencabar para peserta yang turut bertanding dalam sukan luncur ais.
Sejarah penglibatan awal Zahra bermula apabila minatnya menonton filem Disney bertajuk ‘Ice Princess’ ketika berusia 12 tahun. Dari situ Zahra mula memasang impian untuk menyertai aktiviti luncur ais. Dilahirkan di negara yang tidak mempunyai musim sejuk tidak mematahkan semangatnya untuk dirinya berjaya mencapai impiannya itu.
Malah, pujian wajar diberikan untuknya apabila dia sanggup melakukan apa sahaja dan komited dalam usaha memantapkan kemahirannya meskipun perlu bangun seawal jam 4.30 pagi untuk berlatih sebelum pergi ke sekolah.
Antara rintangan yang perlu dihadapi oleh Zahra termasuklah halangan dari bapanya. Berasal dari negara Islam yang bersifat konservatif, bapa Zahra sememangnya tidak bersetuju apabila dia melahirkan hasrat untuk bertanding. Menganggap ia bertentangan dengan budaya dan tradisi mereka, keputusan bapanya itu sedikit sebanyak menghalang kebolehannya pada usia remaja.
Ads
Disinilah ibu Zahra memainkan peranan untuk memujuk suaminya itu memberi keizinan untuk Zahra menyertai sukan tersebut. Salah satu keraguan yang disuarakan oleh bapanya termasuklah kostum yang menjolok mata untuk aktiviti sukan luncur ais ini.
Walau bagaimanapun, keadaan mula berubah selepas bapanya melihat Zahra dapat beraksi dengan begitu baik sekali. Lebih meyakinkan apabila Zahra menggayakan kostum yang tidak terlalu menjolok mata! Kini, Zahra telah mempunyai penyokong tegar iaitu bapanya sendiri!
Cita-cita gadis berusia 22 tahun ini adalah untuk terpilih mewakili UAE pada Sukan Olimpik Musim Sejuk. Di sebalik pandangan negatif masyarakat terhadap penglibatan wanita berhijab dalam sukan ini, Zahra membuktikan dirinya mampu mengatasi segala halangan.
Ads
Malah Zahra turut membantu negaranya untuk muncul sebagai negara Arab pertama menyertai Kesatuan Luncur Ais Antarabangsa (ISU) sekali pun rantau negaranya tiada salji dan ais.
Ads
Dengan mengenakan pakaian sopan dan seluar lebih tebal menutup aurat terutamanya kedua-dua belah kaki, aksi luncur ais Zahra begitu memukau apatah lagi tudung kepala yang dipakainya paling menarik perhatian dan muncul peluncur ais pertama bertanding dengan pendekatan itu pada Piala Eropah di Canazei, Itali pada 2012. Bagaimanapun, hakim menolak satu markah disebabkan perlanggaran peraturan pakaian digunakan.
Isu tudung kepala yang dipakai oleh Zahra turut mencetus kontroversi memandangkan tidak pernah ada mana-mana peserta yang mengenakannya dan faktor keselamatan penggunaan penutup kepala itu turut diperdebatkan agar ia selamat untuk digunakan di atas ais.
Bagi memastikan kostum tersebut boleh diterima di peringkat antarabangsa, Zahra turut berkempen untuk perubahan peraturan dan ketika Trofi Nebelhorn di Jerman, pegawai diberitahu agar tidak menganggap penutup kepala bertentangan dengan sut luncur ais.
“Sasaran saya melebihi mewakili UAE pada Sukan Olimpik musim sejuk. Saya mahu bertanding pada saingan Kejohanan Luncur Ais Empat Benua dan Kejohanan Dunia. Pertandingan ini adalah sasaran utama saya sekarang.”
Sumber:Klick.my/independent.co.uk
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Ketika seseorang berusaha menjauhi hidupmu, biarkanlah. Pemergiannya akan membuka pintu bagi seseorang yang lebih baik untuk masuk.
Mungkin begitulah kehidupan terkini Joy Revfa, isteri penyanyi nasyid terkenal Hafiz Hamidun apabila rumah tangga mereka bergolak kencang dibadai taufan.
Pada saat dia terduduk mengenang mimpi bahagia yang tak kesampaian, Tuhan datangkan bantuan dalam bentuk sebuah persahabatan. Dan mereka adalah para sahabat solehah untuk Joy sedar, ini bukan masanya untuk menyerah.
Semenjak ditimpa musibah membabitkan isu status perkahwinannya yang didakwa tidak sah, Joy Revfa atau Siti Arifah Mohd Amin, 30, dilihat akrab dengan selebriti Heliza Helmi dan Ustazah Asni Mansor.
Kerap kali terlihat usahawan kosmetik itu memuat naik aktiviti lapangnya bersama mereka. Sambil menambah ilmu agama bersama-sama, Joy cuba bangkit dengan semangat baru demi masa depan dirinya dan anak tersayang.
Inikah hikmah yang ingin Allah tunjukkan? Tatkala dia berusaha berubah untuk menjadi baik kerana Allah, Allah hantar orang-orang yang baik untuk bersamanya. Mungkin sekali gema doanya untuk berubah, menembusi pintu langit dan dimakbulkan tanpa sedar.
Ikuti temu bual Nona bersama Joy Revfa (JR) ini, berkisah penghijrahan hatinya yang cukup sebak dan menginspirasikan!
Nona: Kebelakangan ini, terlihat anda semakin akrab dengan beberapa teman baru iaitu selebriti Heliza Helmi, Ustazah Asni Mansor dan ramai lagi. Boleh ceritakan bagaimana perkenalan ini bermula?
JR: Itulah salah satu hikmah dan hadiah daripada Allah SWT yang terlalu indah untuk diri saya. Sebelum ini circle of friend saya tiada yang berilmu agama sedalam mereka.
Jauhnya orang yang saya cintai daripada diri saya mungkin kerana Allah SWT mahu dekatkan diri saya kepada-Nya. Allah nak saya rindu dan menyebut nama-Nya selalu.
Sejujurnya saya berkenalan dengan Heliza Helmi selepas saya solat tahajud dan istikharah di rumah. Saya minta pada Allah di bulan Ramadan, “Ya Allah, aku kesunyian dan tertekan. Aku telah diabaikan oleh orang yang aku cintai. Jika benar Kau menyayangi aku sebagai hamba-Mu, Kau hadirkanlah orang yang dapat membimbingku ke jalan-Mu.”
Dengan kuasa Allah Yang Maha Besar, saya dan Heliza (Ija) pun keep in touch dalam Whatsapp. Kami juga kerap berjumpa untuk berkongsi ilmu. Mula-mula dulu waktu Ramadan, setiap kali jumpa Ija, saya hanya mampu menangis dan takut luahkan apa-apa, tapi Ija tetap tenangkan saya dengan zikir, doa-doa dan panduan sebagai wanita solehah.
Kemudian saya kenal dengan beberapa ustazah yang baik-baik daripada Ija sendiri dan salah seorangnya adalah Ustazah Asni Mansor. Beliau adalah seorang yang cukup hebat dalam membahaskan soal hukum, fikah dan hak wanita dalam perkahwinan.
Saya menganggap mereka berdua sebagai rujukan pada saat saya perlukan sokongan jiwa, berasa khilaf dan sebagai penyejuk hati.
Nona: Secara peribadi, apa sifat-sifat mereka (Heliza dan Ustazah Asni) yang anda kagumi serta ingin contohi?
JR: Bagi saya, sahabat yang solehah adalah ‘malaikat’ yang mengangkat kita ketika sayap kita lupa caranya untuk terbang dan merekalah juga yang akan membentuk peribadi kita menjadi lebih sempurna di mata Allah SWT.
Sifat-sifat peribadi mereka yang saya kagumi adalah mereka menjaga cara penampilan mengikut syariat Islam namun tetap cantik dan kemas. Mereka juga pandai menyentuh hati saya dan membuat saya tenang.
Mereka meyakinkan saya bahawa sayalah insan terpilih oleh Allah utk melalui dugaan ini. Mereka ajarkan saya zikir harian, doa-doa dan sekali gus membuat hati serta jiwa saya benar-benar dekat dengan Tuhan.
Saya dapat rasakan keikhlasan hati mereka mendekati saya. Bahkan jika dunia menyerang saya sekalipun, sahabat-sahabat inilah yang selalu ada untuk memberi saya semangat, sokongan jiwa, bimbingan dan tunjuk ajar.
Walau saya bukanlah wanita solehah yang sempurna, mereka tetap memuliakan saya. Tetap selalu bersama dan bukan semakin membenci atau menjauhi saya.
Nona: Kata-kata atau nasihat mereka yang paling menyentuh hati anda?
JR: Zikir-zikir dan doa-doa yang diajar oleh sahabat saya Heliza Helmi banyak menjadi penyejuk hati saya pada saat jiwa tidak tenang. Kadang-kadang, pagi-pagi pun dia sanggup call saya untuk kasi tazkirah, kerana dia seolah-olah tahu seandainya hati saya tidak tenang.
Kata-katanya seolah memeluk saya dengan erat dan mengatakan bahawa, tawakal dan berserah saja pada Allah. Sesungguhnya Allah SWT sahaja yg merancang semuanya. Jika niat awal sememangnya berpaksikan Allah, maka Allah akan berpihak kpd kita.
Sehingga hari ini Ija sentiasa bertanya khabar malah hubungan kami semakin akrab dan saya cuba berusaha menjadikan diri sebagai seorang Muslimah yang sempurna.
Puisi daripada Ustazah Asni Mansor ini istimewa untuk saya. Ia selalu membuat saya rasa kuat dan lebih bersemangat.
Renungan jauh..
Renungan firasat..
Renungan emosi..
Renungan tiada asbab..
Renungan penuh prasangka..
Renungan tiada tawakal..
Renungan cemburu..
Renungan tanpa akal..
Itulah renungan fitrah seorang wanita..
Lemah jika tidak berdalil..
Salah jika tidak dipandu..
Kabur jika tidak digilap..
Goyang jika tiada sandaran..
Jatuh jika tidak disambut..
Kusut jika tak diurai..
Sesat jika tak ditunjuk ..
Itulah wanita..
Tapi.. Himpunan dari kelemahan itu.. Apabila dia menadah tangan..
Hasilnya makbul, doanya qobul
Berhati-hati mereka yang menari dan beriadah di atas longgokan kelemahannya.
Sokongan jiwa yang mereka berikan bermula sebelum Ramadan 2017 yang lalu, sangat memberi kesan mendalam pada saya. Saya jadi lebih tenang dan saya serahkan segalanya kepada Allah SWT, tetapi dalam masa yang sama, saya berusaha untuk perbaiki mana yang termampu.
Tapi apakan daya. Ketika saya cuba untuk meraih mimpi, pihak di sebelah sana cuba untuk menghentikan mimpi. Saya sentiasa percaya dengan Qada’ dan Qadar kerana saya yakin, apapun yang terjadi tidak ada yang kebetulan, semua yang terjadi adalah ketentuan-Nya. Pasti akan hadir hikmah terindah nanti.
Saya juga banyak mendapat nasihat daripada Ustaz Izhar Arif, Ustaz Syed Kadir, ustaz-ustaz dan ustazah-ustazah yang lain. Syukur, nasihat mereka saya jadikan panduan untuk memperbaiki khilaf dan menjadikan diri lebih sempurna.
Nona: Perubahan hidup anda selepas bersahabat dengan golongan agamawan? Serta bagaimana persahabatan itu bantu meningkatkan ilmu dan amalan anda sebagai Muslimah?
JR: Alhamdulillah, hidup saya semakin tenang dan ceria. Saya semakin ligat dalam melakukan amal ibadah serta sentiasa mendidik jiwa supaya terus bahagia di jalan Allah SWT kerana cita-cita terbesar saya adalah menjadi ketua bidadari di syurga Allah SWT nanti.
Nona: Selalunya apa aktiviti bila bersama mereka? Selalu ke berjumpa dan topik yang selalu dibualkan?
JR: Topik yang selalu kami bualkan adalah tentang pemakaian Muslimah yang mengikut syariah, cara solat yang betul, ilmu fikah, cara sebutan Al-Quran dan alat muzik Islamik. Semakin hari saya bersama mereka, buat saya semakin bahagia.
Nona: Perasaan anda sekarang?
JR: Tenang dan saya yakin Allah SWT pasti berpihak pada saya kerana niat awal saya hanya ingin menjadi isteri yang taat, solehah dan yang membahagiakan.
Allah tahu niat saya, Allah tahu betapa saya impikan kebahagiaan bersama suami dan Allah tahu siapa saya. Alhamdulilah, rezeki saya juga semakin mencurah-curah dan yang paling penting, anak dan keluarga saya sihat walafiat.
Nona: Jika tak keberatan, boleh beri pencerahan makna ‘buku bertemu ruas’ yang dimaksudkan kepada Hafiz Hamidun?
JR: Bagi saya, Allah SWT telah menyusun jalan pengakhiran rumah tangga saya dgn dia seperti ini. Buku bertemu ruas maksudnya, saya adalah lawan yang tepat untuk dia.
Kasihan jika lawan dia adalah wanita lain yang tak mampu berbuat apa-apa atau tak berani menegakkan keadilan. Maka Allah SWT telah susun, saya adalah lawan yang tidak boleh dipermain-mainkan.
Nona: Akhir sekali, anda selalu dilabel netizen sebagai orang yang suka membuka aib suami. Komen?
JR: Jika fikir secara logik, terlalu bodoh jika saya ingin membuka aib suami kerana seboleh-bolehnya saya ingin simpan. Namun, aib saya pula (kisah penceraian tidak didaftar di Malaysia itu) yang sepatutnya hanya kami berdua saja yang tahu, dibongkar pada wartawan serta blogger kenalan rapatnya.
Banyak kali saya pesan pada dirinya, jangan bongkar sebab benda ini boleh diselesaikan. Dan tiba-tiba saya terlihat di muka akhbar, terpampang cerita yang tidak benar bahawa saya ini masih isteri orang.
Itu tidak benar, sedangkan saya telah diceraikan pada 2 tahun lalu dan isunya penceraian bersama bekas suami yang dulu tidak didaftarkan. Jadi kerana artikel itulah saya decide untuk adakan sidang media bagi memberitahu perkara sebenar.
Netizen mula menghidu keretakan rumah tangga kami selepas Hafiz tiba-tiba memfitnah diri saya pada wartawan Mstar, 4 Julai 2017 lalu bahawa akaun IG beliau telah di block oleh saya.
Sedangkan saya tidak block dia dan saya hairan kenapa dia setegar itu memfitnah saya. Akhirnya berita itu mulai tersebar dan orang mula berkata-kata tentang keretakan hubungan kami.
Sejak dari itu ramai yang kecam saya, kata saya isteri derhaka disebabkan gambar billboard serta kenyataan palsu Hafiz tentang kes IG tu, netizen bertubi-tubi menghukum saya tanpa belas kasihan. Betapa beratnya fitnah yang saya kena lalui.
Lebih memburukkan keadaan, pada 10 Ogos 2017, Malaysia digemparkan lagi dengan berita tentang Hafiz Hamidun yang telah memadamkan semua gambar saya daripada akaun Instagramnya. Ramai yang mula membuat andaian sampaikan ada blogger menulis ‘Joy & Hafiz bakal bercerai’.
Saya amat kecewa dengan tindakannya seperti itu sedangkan gambar dia selalu saya upload di IG supaya orang lain tidak terhidu, namun apakan daya ini jalan yang dia sendiri pilih.
Namun saya yakin daripada kontroversi yang tercetus, Allah SWT sebenarnya ingin saya memahami sesuatu yang tersirat kerana Allah uji sebab sayang.
Keretakan rumah tangga pasangan ini mula dihidu sebulan selepas tarikh pernikahan mereka pada 1 Mei 2017. Hafiz mendakwa status pernikahan mereka tidak sah kerana Joy Revfa masih lagi isteri orang dan bukan isterinya, gara-gara perceraian lalu tidak didaftarkan di Malaysia.
Kes mereka akan dibicarakan semula pada 28 September 2017. Sebagai orang luar, Nona mendoakan pengakhiran yang baik buat pasangan ini. Norzalina Mohd Alias
Dapatkan lebih banyak kisah menarik tentang Joy Revfa secara eksklusif dalam majalah Nona Oktober 2017… Di pasaran sekarang!
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Amboi, makin cantik dan matang buah hati kesayangan Kajol! Bakal meniti usia 17 tahun pada 20 April depan, kecantikan yang dimiliki Nysa Devgan iaitu puteri sulung Kajol dan Ajay Devgan ini memang saling tak tumpah mewarisi kejelitaan ibunda tersayang. Bermata bundar, hidung mancung… dan paling menarik perhatian adalah senyuman manisnya. Boleh buat orang ‘cair’!
Meskipun populariti Nysa sebagai anak kepada selebriti popular India ini tidak seglamor seperti anak gadis Shah Rukh Khan iaitu Suhana Khan, namun rata-rata peminat di sana terpikat dengan kesederhanaan yang dimiliki Nysa.
Melihat Nysa sahaja sudah mengingatkan peminat kepada kecantikan asli ibunya. Tidak dinafikan Nysa mewarisi sepasang mata yang cantik dan senyuman memikat. Tidak terlepas daripada tempias dunia glamor ibu dan ayah, kelibat Nysa turut kelihatan di majlis-majlis hiburan dan kebajikan yang disertai kedua-dua ibu bapanya.
Enggan si anak terlalu didedahkan dengan spotlight dunia glamor… dalam satu gambar yang dimuatnaik Ajay, kelihatan dia dan anak gadis kesayangan hadir menjayakan aktiviti kebajikan yang dianjurkan badan amal Smile Foundation. Walau baru berusia belasan tahun tapi Nysa sudah diajar tentang tanggungjawab dan rasa prihatin kepada golongan memerlukan. Pandai Ajay dan Kajol mendidik anak.
Menerusi perkongsian terbaharu Kajol di Instagram miliknya, aktres berusia 45 tahun ini ada memuat naik wajah terkini puteri kesayangan. Nysa yang dahulunya masih kelihatan kanak-kanak dan memakai cermin mata, kini tampil dengan imej matang dan cantik.
Mengintai ruangan komen di IG Kajol, rata-rata peminat memuji kejelitaan anak gadisnya. Tidak kurang juga yang mengagumi keanggunan pelakon Tanhaji ini yang sentiasa tampak awet muda.
Kajol dan Ajay yang kedua-duanya merupakan pelakon berbakat besar di India berkahwin pada 24 Februari 1999 dan hasil perkahwinan selama 21 tahun itu mereka telah dikurniakan dua orang anak iaitu Nysa Devgan dan seorang anak lelaki yang diberi nama Yug Devgan.
Nysa dilahirkan pada 20 April 2003 dan ketika masih di dalam kandungan, Ajay memasang hasrat untuk menamakan bayi perempuan mereka dengan nama Nysa yang bermaksud ‘Goddess of purity’.
Ketika Nysa dilahirkan, Kajol memberi tumpuan penuh terhadap perkembangan anaknya itu berbanding tawaran berlakon memandangkan bintang Kuch Kuch Hota Hai ini pernah mengalami keguguran.
Kredit: Instagram Kajol
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah hari ini berkenan mengurniakan Darjah Panglima Jasa Negara (PJN) yang membawa gelaran Datuk kepada pelakon veteran, Datuk Fauziah Nawi.
Pelakon veteran itu mendahului senarai 297 penerima Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Persekutuan bersempena Hari Keputeraan Rasmi Yang di-Pertuan Agong 2023 pada istiadat pengurniaan di Istana Negara di sini.
Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah turut berangkat ke istiadat itu.
Pada istiadat pengurniaan itu, Al-Sultan Abdullah turut berkenan mengurniakan Darjah Panglima Setia Diraja (PSD) yang membawa gelaran Datuk kepada Setiausaha Sulit Kanan kepada Yang di-Pertuan Agong, Datuk Nazim Mohd Alim.
Seri Paduka juga berkenaan menganugerahkan Darjah Johan Mangku Negara (JMN) kepada 14 individu dan Darjah Setia Mahkota (JSM) kepada 17 individu.
Yang di-Pertuan Agong turut mengurniakan Bintang Kesatria Mangku Negara (KMN) kepada 58 individu, Bintang Kesatria Setia Diraja (KSD) kepada 15 individu dan Bintang Ahli Mangku Negara (AMN) kepada 75 individu.
Pada istiadat pengurniaan hari ini, Al-Sultan Abdullah juga berkenan mengurniakan Pingat Pangkuan Negara (PPN) kepada 72 individu dan Pingat Bentara Setia Diraja (BSD) kepada 43 individu.
Turut hadir pada istiadat itu ialah Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamad Hasan dan Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming.
Sumber: Bernama
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!