Selama lebih dua dekad berbakti kepada negara, bekas atlet Datuk Leong Mun Yee kini menikmati kehidupan selepas persaraan dengan tenang dan bahagia. Biarpun tidak lagi bergelar jaguh sukan namun pengalaman luas yang diraih sepanjang menjadi atlet membolehkannya menjadi jurulatih bagi skuad terjun negara.
Kejayaan Datuk Leong Mun Yee
Kejayaan yang ditempa anak jati kelahiran Ipoh, Perak ini bukan calang-calang. Atas komitmennya dalam sukan akuatik, nama Datuk Leong Mun Yee tersenarai dalam Malaysia Book of Records apabila menjadi atlet wanita pertama melayakkan diri ke Sukan Olimpik sebanyak lima kali.
Lebih manis, dia berjaya menyumbangkan 17 pingat emas, lima perak dan lima gangsa di temasya dwi tahunan Sukan SEA.
Bersandarkan pencapaian membanggakan itu, figura ini dikurniakan pingat Panglima Mahkota Wilayah (PMW) yang membawa gelaran Datuk pada Istiadat Pengurniaan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Wilayah Persekutuan pada Februari 2022.
Ads
Dalam temu bual bersama Nona sebelum ini, personaliti ini terbuka berkongsi amalan gaya hidup sihatnya bagi menjaga kecergasan diri.
“Untuk mengekalkan kecergasan, saya ada juga belajar shuffle dance tapi sekadar di peringkat asas sajalah. Tapi bila sudah tidak lagi bergelar atlet sepenuh masa, rutin harian berbeza sedikit tetapi saya tetap kekal aktif dengan latihan ringan seperti bermain bola tampar dengan atlet-atlet lain.”
Datuk Leong Mun Yee Bahagia Galas Tugas Ibu
Meniti usia 41 tahun, fasa kehidupan Datuk Mun Yee lebih bermakna apabila menimang cahaya mata sulung lelaki yang dikenali sebagai Lucas pada Mei 2023.
Menerusi perkongsian di media sosial jelas terserlah wajah bahagia rakan gandingan Dato’ Pandelela Rinong berkenaan menggalas tugas sebagai ibu.
Bahkan kebanyakan posting Datuk Mun Yee kini banyak berkisar mengenai anak kesayangan. Difahamkan dia mendirikan rumah tangga dengan jejaka pilihan yang tidak didedahkan identitinya pada pertengahan tahun 2022.
Tidak hanya berjaya mengharumkan nama negara di pentas dunia dalam bidang sukan, Datuk Leong Mun Yee melakar kejayaan peribadi menggenggam Sarjana Komunikasi Korporat dari Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi, Universiti Putra Malaysia (UPM) pada November 2022.
Semoga kejayaan diraih Datuk Mun Yee jadi inspirasi kepada golongan muda untuk berjaya dalam apa jua bidang yang diceburi.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Kagum dengan semangat anak muda ini. Walau sudah mempunyai kerjaya yang menjamin masa depan namun tetap rajin berusaha mencari kemahiran dan menambah pendapatan. Tekad menjadi wanita yang serba boleh dan mahu menjadi inspirasi kepada keluarga serta masyarakat, keberanian Nur Atiqah Rozali mencabar potensi diri untuk bergelar ahli perniagaan patut diberikan pujian.
Meniti usia 31 tahun, Nur Atiqah atau mesra disapa Iqa dilahirkan pada 6 Mac 1990 di Kuala Lumpur. Anak sulung daripada tiga beradik dan satu-satunya anak perempuan dalam keluarga ini merupakan graduan Perguruan di Institut Perguruan Kampus Keningau, Sabah dan ibu kepada dua cahaya mata.
“Saya berasal dari Batu Pahat, Johor. Bersekolah rendah dan menengah di daerah Parit Sulong, Johor kemudian melanjutkan pelajaran ke peringkat Ijazah Sarjana Muda Perguruan. Saya bukan berasal dari keluarga yang senang. Ibu bapa berniaga secara kecil-kecilan untuk menyara kami sekeluarga. Dari berniaga kain untuk buat baju, sampai jual produk kesihatan pun mak ayah buat.
Sebagai anak sulung dalam keluarga, saya cuba sedikit sebanyak untuk membantu mereka. Alhamdulillah, sekarang saya bekerja sebagai pendidik yang mengajar subjek Bahasa Melayu dan Sejarah di salah sebuah sekolah di daerah Yong Peng dan telah berkhidmat selama 7 tahun. Suami pula kerja sebagai pegawai perubatan di Klinik Kesihatan Yong Peng dan kami dikurniakan dua cahaya mata iaitu Nur Ameena Humaira dan Norameen Mukmin.”
Mengimbau perjalanan awal sebagai pengusaha kolam ternakan ikan, Iqa mengakui tidak pernah terlintas untuk menjadi usahawan akuakultur. Segalanya bermula selepas kedua-dua ibu bapa berpisah dan membuatkan dia lebih tabah mendepani masa depan demi keluarga tersayang.
“Idea untuk jadi usahawan tercetus pada tahun 2019. Waktu itu ibu berpindah ke Negeri Sembilan selepas berpisah dengan ayah. Di sini bermulalah titik kesedihan buat kami adik-beradik. Namun, kami perlu terima dan reda dengan perancangan Allah SWT.
Dari situ timbul hasrat untuk saya bantu ibu dengan mengusahakan tanah pusaka miliknya yang telah lama terbiar. Terdetik untuk berbakti kepada tanah dan saya buat keputusan tersebut atas faktor geografi yang menarik dan bersesuaian.
Maka tercetuslah idea untuk memulakan bidang akuakultur ini. Tak lupa juga, galakan daripada suami dan ibu yang menjadi faktor utama saya menceburi bidang ini,” telus isteri Noralim Azhim ini.
Menjadikan Saidatina Khadijah Khuwailid sebagai sumber inspirasi dalam perniagaan, Iqa cukup bersemangat mendalami selok-belok dunia akuakultur walau tidak mempunyai pengetahuan yang luas mengenai bidang berkenaan.
“Banyak perkara yang boleh dipelajari tentang cara Khadijah berniaga yang boleh dicontohi pada zaman moden ini. Beliau sangat bijak mengembangkan harta selain sangat pandai berniaga walaupun pada ketika itu, masyarakat Arab memandang rendah pada kaum wanita yang berniaga.
Begitu juga pada zaman ini, wanita perlu berani mencuba dan bersaing dengan golongan lelaki. Pada zaman moden ini, semua wanita yang berjaya telah menjadi sumber inspirasi buat saya. Ramai wanita di luar sana yang saya kagumi dan ingin contohi keperibadian dan kehebatan mereka dalam perniagaan.”
Tambahnya lagi, “Tak dinafikan, dua bidang ini merupakan bidang yang berbeza. Saya beranggapan bahawa saya tidak boleh terlalu selesa dengan pencapaian yang ada. Menjadi guru merupakan profesion yang mulia di mana saya perlu sentiasa komited dalam mencurahkan ilmu kepada anak bangsa.
Saya amat menyayangi profesion perguruan ini dan dalam masa yang sama saya juga ingin menjadi guru yang mempunyai pelbagai kemahiran yang lain. Setiap orang berhak untuk belajar pelbagai bidang kemahiran, sama juga seperti saya yang ingin belajar dengan lebih mendalam lagi mengenai bidang akuakultur ini.
Saya juga menganggap bahawa bidang penternakan ikan merupakan ‘terapi diri’ di mana saya dapat mendekatkan diri dengan alam flora dan fauna. Selain ia juga membuahkan hasil suatu hari nanti. InshaAllah. Setiap orang mempunyai keupayaan dan kecenderungan yang tersendiri yang perlu kita cungkil untuk memperkasakan diri.”
Status guru dan peranan Iqa sebagai anak sulung dalam keluarga telah membentuk dirinya menjadi seorang wanita yang matang dan berfikiran jauh. Sedar risiko yang perlu dihadapi apabila menceburi bidang keusahawaan, Iqa tanpa berselindung mengakui berdepan dugaan sebaik mengusahakan kolam ternakan ikan.
“Dalam perniagaan sudah tentu ada cabaran tersendiri. Antara yang tidak dapat dilupakan apabila saya mengalami kerugian sewaktu proses menukar ikan ke dalam sangkar. Proses penukaran ini mengakibatkan ikan ‘stres’ dan banyak yang mati. Ini pengalaman baru buat saya.
Selain itu, situasi pandemik Covid-19 ini juga membataskan pergerakan saya untuk memantau perkembangan ternakan. Sepatutnya tiap minggu saya akan berulang alik dari Johor ke Negeri Sembilan untuk mengendalikan proses ternakan ini tapi saya tak dapat rentas negeri. Sudahnya, ibu yang terpaksa kawal selia,” dedah Iqa yang mengusahakan ternakan ikan di Linggi, Negeri Sembilan.
Bercerita mengenai impian yang diinginkan dalam tempoh 10 tahun akan datang, dengan nada semangat Iqa memberitahu, “Jujur saya katakan, saya masih belum berjaya dan masih jauh lagi perjalanan yang perlu saya tempuh. Banyak yang perlu dipelajari dan perbaiki dalam bidang ini. Tapi dalam masa 10 tahun akan datang, saya ingin memperluas lagi pasaran ikan tilapia ke seluruh Malaysia.
Buat masa sekrang, saya mensasarkan pasaran ke kawasan tempatan seperti di kedai-kedai makan, kedai runcit dan pasaraya terdekat. InshaAllah jika diizinkan saya ingin membuka dan memberi peluang pekerjaan kepada sesiapa sahaja yang berminat dalam penternakan ini. Terutamanya kaum wanita.
Dalam masa sama, membantu mereka yang memerlukan. Saya ingin terus berbakti kepada tanah milik Allah Yang Esa. Mungkin mencuba jadi petani yang berjaya pula.”
Semoga segala impian Iqa dipermudahkan kelak dan semangat ibu ini dapat dijadikan inspirasi kepada lebih ramai kaum wanita di luar sana.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Sebut sahaja jenama Duck, pasti terbayangkan warna ungu yang menjadi trademark jenama itu. Malah, umum sedia maklum bahawa pengasas disebalik jenama gah ini merupakan figura yang sememangnya dikenali ramai.
Kejayaan pemilik nama Vivy Sofinas Yusof, atau lebih mesra disapa sebagai Vivy yang berjaya menempa nama sebagai usahawan pada usia 28 tahun sememangnya cukup membanggakan rakyat Malaysia dan wajar dijadikan sumber inspirasi.
Lebih mengagumkan lagi, Vivy bukan sahaja seorang model, blogger, ikon fesyen dan juga ibu kepada tiga orang cahaya mata. Malah, ia juga adalah antara perintis dalam dunia perniagaan dalam talian paling popular di Malaysia.
Anak kelahiran Kajang ini merupakan pengasas bersama FashionValet, salah satu laman sesawang dalam talian yang menawarkan pelbagai label popular. Kejayaan yang diraih wanita muda ini bukanlah mudah yang disangka.
Mula Berjinak Di Alam Perniagaan Di Usia Muda 28 Tahun!
Vivy bermula dengan menulis di blognya sendiri, Proudduck.com dan telah mengelola laman blognya lebih tujuh tahun bermula dari zaman kolej ketika belajar di London.
Menerusi Blog itu, Vivy banyak bercerita mengenai kisah cinta, kerjaya, keluarga dan kini kehidupan hariannya sebagai seorang ibu. Ramai follower yang mengikut blognya dan dari situ Vivy mula mengumpul peminat tersendiri.
“Sebenarnya Vivy tidak mempunyai latar belakang dalam bidang perniagaan mahupun fesyen. Vivy mengambil jurusan undang-undang dari London, ‘School Of Economics’, manakala Fadzaruddin (suami Vivy) pula lulusan kejuruteraan penerbangan angkasa.
“Pada awalnya, FashionValet mula beroperasi sejak bulan November 2010 dengan hanya 10 jenama tempatan sahaja yang mengambil bahagian. Kini, Vivy dan suami mempunyai 30 orang pekerja dan stok barangan lebih dari 400 jenama dari serata Asia Tenggara,” ujar wanita kecil molek anak kelahiran Kajang ini.
Sekadar info, FashionValet menawarkan pelbagai pakaian fesyen dan aksesori dari pereka karya seni tempatan dan luar negara seperti Minz, Gallo by Thian, PU3, Sereni & Shentel, Mimpikita, Dusk Till Dawn dan banyak lagi.
Meskipun harga produk yang dijual di FashionValet agak mahal, tetapi menurut Vivy mereka berpegang kepada prinsip menyediakan produk yang berkualiti kepada pelanggan.
Kembangkan Perniagaan Hijab Sebagai Soerang Muslimah
Tidak hanya berhenti di situ – sebagai seorang wanita Islam, Vivy mengembangkan perniagaannya daripada hanya menjual pakaian kepada mempunyai tudung jenama sendiri, selendang dUCkscarves.
Selain daripada itu, dia juga turut menjual peralatan alat tulis, iaitu alat tulis dUCk dengan pelbagai reka bentuk sesuai untuk pelanggannya yang kebanyakannya merupakan kaum wanita.
Sejak pelancaranya, hingga ke hari ini selendang dan alat tulis dUCk sentiasa menerima sokongan yang menggalakkan daripada pelanggan dan sering habis dijual setiap sekali dilancarkan.
Ituah keistimewaan Vivy Yusof yang kini menjadi ikon fesyen. Mempunyai follower di laman instagramnya berjumlah 1.8 juta dan apa sahaja yang digayakan Vivy akan menjadi ikutan serta sorotan warganet.
Biarpun sibuk dengan kerjaya, Vivy tetap menjalankan tugas sebagai seorang isteri dan ibu kepada keluarganya. Pelbagai kejayaan ditempa dan menjadi inspirasi kepada hijabi di luar sana yang mengangkat Vivy sebagai idola mereka.
Beliau bukan sekadar jaguh sukan, malah simbol ketabahan seorang wanita yang berjuang melawan arus hidup.
Lakar Sejarah Pada Usia Remaja
Dilahirkan pada tahun 1998 di Karaj, Iran, Kimia membesar dengan minat mendalam terhadap dunia sukan. Sejak kecil, taekwondo menjadi teman setianya. Di gelanggang, beliau belajar tentang disiplin, keberanian dan semangat juang.
Siapa sangka, pada usia 18 tahun Kimia melakar sejarah besar apabila meraih pingat gangsa di Sukan Olimpik Rio 2016. Ia bukan sahaja kejayaan peribadi, tetapi juga sejarah buat negaranya.
Kimia menjadi wanita pertama Iran yang membawa pulang pingat Olimpik. Saat itu, seluruh dunia memuji semangat gadis muda ini.
Di Sebalik Sorakan, Ada Luka Tersembunyi
Namun, tidak semua yang kelihatan indah di mata umum benar-benar mudah untuk ditanggung. Di tanah airnya, Kimia berdepan dengan pelbagai tekanan dan batasan. Sebagai seorang wanita, ruangnya begitu sempit. Lebih menyedihkan, kejayaannya sering dipergunakan oleh pihak tertentu untuk kepentingan politik.
Dalam sebuah kenyataan, Kimia pernah meluahkan rasa kecewanya. Beliau tidak mahu menjadi alat propaganda. Kata-kata itu menggambarkan keberanian seorang gadis muda yang mahukan kebebasan untuk menentukan jalannya sendiri.
Akhirnya, Kimia membuat keputusan yang sangat besar dengan meninggalkan Iran. Bayangkan, seorang gadis yang pernah menjadi kebanggaan negara terpaksa melepaskan tanah kelahirannya demi mencari ruang untuk hidup sebagai dirinya sendiri.
Bukan mudah. Ia bermakna meninggalkan keluarga, sahabat dan segala yang pernah dikenali. Tetapi bagi Kimia, kebebasan lebih berharga daripada apa pun.
Wakili Suara Pelarian Dunia
Langkah berani itu membawanya ke pentas dunia dengan wajah yang baru. Bukan lagi sekadar atlet Iran tetapi sebagai atlet pelarian.
Pada Sukan Olimpik Tokyo 2020, Kimia tampil di bawah bendera Pasukan Olimpik Pelarian (Refugee Olympic Team). Walaupun tidak membawa pulang pingat, kehadirannya menggetarkan hati berjuta orang. Beliau berdiri sebagai simbol harapan kepada mereka yang kehilangan tanah air, seolah-olah berkata:
“Walau siapa pun kita, walau dari mana kita datang, mimpi kita tetap berharga.”
Lebih Dari Sekadar Pingat
Hari ini, nama Kimia Alizadeh dikenang bukan hanya kerana tendangan dan pukulannya di gelanggang taekwondo. Beliau dikenang kerana keberaniannya memilih jalan yang sukar kerana ketabahannya bangkit walau diuji, dan kerana suaranya yang mewakili ramai yang tidak mampu bersuara.
Kisahnya mengingatkan kita bahawa kejayaan sebenar bukanlah sekadar pingat atau gelaran tetapi keberanian untuk terus melangkah.
Jadi Inspirasi
Kimia Alizadeh, lebih daripada seorang atlet. Beliau adalah inspirasi hidup dan cerminan bahawa walau siapa kita, walau di mana kita berada jika kita punya tekad dan semangat tidak ada apa yang mustahil untuk dicapai.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Buat pertama kalinya Datin Paduka Seri Afzaa Fadini Dato’ Abdul Aziz hadir ke majlis ulang tahun Hari Keputeraan Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj.