Tersentuh baca luahan ikhlas artis wanita tanah air ini terhadap suami masing-masing. Penuh rasa cinta dan hormat kepada lelaki bergelar suami meskipun mereka punya kedudukan yang tinggi di kalangan peminat. Ada yang dah berkahwin berbelas tahun pun masih lagi romantik macam baru semalam bernikah.
DATO’ SRI SITI NURHALIZA & DATO’ SRI KHALID
“Buat suami tercinta, semoga jalinan cinta yang terbina akan kekal hingga ke syurga. Kasih sayang yang dibelai laksana setianya ombak dan pantai, seperti utuhnya siang dan matahari dan teguhnya malam bersama purnama. Allah mewujudkan cinta di dalam hati kita dan semoga tersemai selama-lamanya. Terus tumbuh dan bercambah bahagia hingga ke akhir hayat kita.”
DATIN FOUZIAH GOUS & DATO’ ZHAFRAN
“Zhafran di mata saya adalah sebaik-baik lelaki kerana sikapnya yang sentiasa berlemah-lembut dan memahami saya sebagai isteri. Dia merupakan anugerah terindah yang tidak boleh dicari di mana-mana. Setiap pagi bangun daripada tidur dan melihat dia berada di sisi, I am filled with so much joy and happiness, syukur alhamdulillah. Allah telah makbulkan semua doa saya yang mengimpikan seorang suami yang baik dan juga seorang ayah yang sempurna.
Dia tidak pernah merungut walaupun saya sebaliknya. Zhafran tidak pernah suruh saya memasak sehingga saya bertanya apa yang dia mahu makan. Sehingga kini saya tidak tahu apa masakan saya yang menjadi kegemarannya kerana pada dia semua sedap. Terima kasih sayang kerana boleh bangun malam dan buat susu untuk anak tanpa perlu diminta.”
DATIN DIYANA HALIK & DATO’ AARON AZIZ
“Terima kasih di atas setiap pengorbanan siang dan malammu. Ketika susah mahupun senang dirimu sentiasa ada buat saya dan anak-anak. Terima kasih di atas segala keperluan yang disediakan buat keluarga kita. Saya berdoa dan berharap semoga kita terus saling mencintai, hanya maut yang dapat memisahkan. Doa terus dipanjatkan agar suatu masa nanti impian kita untuk menunaikan Haji bersama akan dimakbulkan oleh-Nya. Semoga Allah SWT sentiasa merahmati hubungan kita dan saya juga berjanji akan selamanya menjadi isteri yang terbaik buat dirimu. I love you, sayang!
Ads
IRMA HASMIE & REDZA SYAH AZMEER
“Tiada kata yang paling tepat untuk mengungkap betapa dalamnya kasih sayang ini. Buat suami tercinta, terima kasih atas segala didikan serta ketulusan membimbing jari-jemari saya menuju ke syurga Jannah. Setiap teguran kerana kesilapan mahupun kekhilafan diri ini, saya mohon agar selalu diampunkan. Semoga kasih sayang kita berkekalan dan semoga perhatian buat saya dan anak-anak dibalas dengan sebanyak-banyak kebaikan dan keberkatan daripada Allah SWT, insyaAllah.”
SCHA AL-YAHYA & AWAL ASHAARI
“Awal di mata saya adalah seorang lelaki yang sangat memahami dan tahu apa yang dimahukan. Walaupun ada kalanya cerewet dan kurang romantik, tapi dia adalah suami yang sangat baik! Saya bersyukur kerana dipertemukan jodoh dengannya, malah berpeluang menjalani hidup bersama dan menjadi ayah terbaik untuk anak kami. Kasih sayang Awal sesungguhnya terlalu besar dan saya selalu menyimpan impian agar Allah SWT memberi kebahagiaan kepada kami buat selamanya.”
ZIRA AYOUB & NABIL AHMAD
Ads
“Semoga suami terus sukses di dunia mahupun akhirat. Harapan saya juga agar kariernya dapat pergi lebih jauh pada masa akan datang. Saya dan anak-anak sentiasa mendoakan serta menyokong dari belakang. Suami sentiasa ada tika sedih mahupun gembira. Susah-senang kita akan sentiasa bersama hingga ke hujung nyawa. Sentiasalah menjadi teman setia di sisi untuk mendengar setiap luahan hati saya. Salinglah menegur demi kebaikan kita bersama. Teruskan menjadi seorang suami dan bapa yang baik buat keluarga, insyaAllah. Ingatlah selalu walau di mana dirimu berada, usah terlalu leka dengan nikmat dunia yang sementara. Terima kasih suami atas segalanya.”
DIANA AMIR & HABIB BULLAH
“Alhamdulillah, Diana amat bersyukur kepada Allah SWT kerana telah mengurniakan seorang suami yang baik dalam segala segi. Seorang lelaki yang banyak memberi tunjuk ajar dan kekuatan kepada Diana serta tidak pernah penat membimbing diri ini menjadi wanita terbaik setiap hari. Terima kasih juga kerana selalu ingat Diana dalam setiap doa dan amat terharu apabila sentiasa mendoakan agar kita dapat bersama-sama masuk ke syurga. Thank you so much.”
LISA SURIHANI & YUSRY ABDUL HALIM
Ads
“Sayang sangat dekat you, ayang. Harapan saya semoga perkahwinan antara Lisa dan Yusry hari ini dan hari-hari berikutnya sentiasa diredai Allah SWT. Sebagai isteri, Lisa turut mengharapkan agar kami berdua menjadi pasangan suami isteri yang selalu bersyukur dengan kurniaan yang diberikan, sbar dan saling mengingati akan kebesaran-Nya.”
ROZITA CHE WAN & ZAIN SAIDIN
“Zain adalah seorang lelaki yang berjaya memikat hati saya kerana dia bukannya seorang yang suka percaya cakap orang lain. Satu lagi perkara yang membuatkan saya hormat kepadanya adalah dia seorang lelaki yang tidak cerewet ataupun berkira. Sebagai contoh, kalau di rumah misalnya, dia tidak pula memilih hanya mahukan saya yang memasak, sebaliknya apa yang disediakan oleh pembantu rumah dia akan makan. Dan kami akan bersama-sama duduk menjamu selera, mungkin kalau suami ornag lain ada yang memilih namun tidak bagi Zain.
Dia tidak pernah merungut kalau saya perlu bekerja lebih masa, sebaliknya dia akan datang ke pejabat bersama dengan anak kami bagi menemani saya. Alhamdulillah, Allah menjodohkan saya dengan dia dan insyaAllah saya berharap agar perkahwinan kami ini akan kekal ke akhir hayat. Untuk Zain, saya akan berusaha menjadi seorang isteri yang terbaik di dunia dan akhirat. Amin!”
HANIS ZALIKHA & HAIRUL AZREEN
“Hairul mengambil hati keluarga saya sebaiknya kerana dia tahu saya Daddy’s girl dan saya juga seakan bestfriend dengan Mama. Dia menghormati keluarga saya dan cuba mencari persamaan kesukaan untuk dijadikan aktiviti bersama mereka. Dia juga mula fokus untuk mengumpul harta kerana matlamatnya sangat jelas, untuk memperisterikan saya dan bina hidup bersama. Sikap tidak bertangguh-tangguh dan juga jelas dengan apa yang dimahukannya menjadikan saya tertarik kepadanya. Apabila saya sudah bersedia mentaatinya, saya sedia mengahwininya.
Apabila akad kami termeterai dia adalah suami dan sumber pahala serta teman ibadah saya. Sebagai isteri, saya sangat taat kepadanya kerana dia adalah orang yang sangat saya sanjungi. Saya meletakkannya sebagai orang yang pertama dalam setiap keputusan yang hendak dilakukan. Saya berharap Allah terus melindungi perkahwinan kami daripada sebarang perkara yang tidak diundang. Saya berharap kami dipanjangkan kebahagiaan, dilimpahkan rezeki dan rahmat serta cinta kami terus kuat untuk satu sama lain dan misi hidup kami kekal seiring iaitu untuk bertemu kembali di syurga. Amin.”
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Wah, seronoknya jadi Datin Noor Kartini Noor Mohamed. Pada sambutan hari lahirnya yang ke-54 pada 8 Julai lalu, beliau tidak hanya diraikan seluruh ahli keluarga malah menerima kejutan sangat istimewa daripada suami tercinta, Datuk Abdul Halim Khan. Berkongsi momen indah itu di Instagram miliknya, ibu kepada Noor Neelofa Mohd Noor ini dihadiahkan sebuah kereta SUV mewah BMW yang dianggarkan berharga lebih 200 ribu ringgit! Bukan sebarangan hadiah tu.
Berkongsi foto terbaharu, jelas kelihatan wajah bahagia Datin Noor Kartini di samping suami dan kereta mewahnya. Kenderaan Sports Utility Vehicle (SUV) dari BMW yang berwarna putih tersebut turut memiliki nombor plat pendaftaran eksklusif, KY1 yang dianggarkan bernilai ribuan ringgit! Lebih mengharukan, Datuk Abdul Halim membawa bersama sebiji kek hari lahir beserta sejambak bunga. Bertuah ibu kepada sembilan orang cahaya mata ini.
Wah, sambut hari jadi ke 54 tahun, Datin Noor Kartini terima hadiah istimewa daripada suami, sebuah kereta berjenama mewah 😍 Happy birthday Datin Noor Kartini 🍰🎂#majalahnona #inspirasinona #nonasuperwoman
Sama sekali tidak menyangka sambutan hari lahir ke-54 disambut dengan cukup meriah, Datin Noor Kartini melahirkan rasa syukur atas segala yang dimilikinya hari ini. “Alhamdullilah syukur… kasih sayang dari zat kekuasaanmu Ya Allah terpancar seluruh ke jiwa-jiwa yang berdamping denganku. Ini adalah rahsia kekuasaan dalam genggamanmu yang tak pernah terfikir di fikiran makhluk
Alhamdullilah Ya Allah, mashaAllah hari ni menerima suprise dari suamiku tercinta. Yang terharu bukan kejutan atau hadiah, tapi… usahanya yang membuatku cukup-cukup terharu. Love you sayang. Kaulah sinar hidupku, kebahagiaanku.
Semoga Allah merahmati dan sentiasa menyayangi serta melindungmu dan memberkati rezekimu sayang dengan kesihatan yang afiyah. Amiiinn. Love you sayang. Amiin Allahumma Amiin.”
Datin Noor Kartini yang dilahirkan pada 8 Julai 1966 di Pasir Mas, Kelantan mempunyai darah kacukan Pakistan dan Arab. Selain mengusahakan empayar Naelofar bersama anak-anak, beliau turut menguruskan produk kosmetik Young & Glow selain mengendalikan badan amal Pertubuhan Kasih Neelofa.
Di samping kejayaannya dalam bidang perniagaan, Datin Noor Kartini juga menjadi sumber inspirasi ramai kerana disifatkan seorang ibu hebat yang melahirkan anak-anak yang
berjaya dalam akademik mahupun kerjaya. Biarpun mencecah usia 54 tahun namun Datin Noor Kartini memiliki aura tersendiri dan kekal nampak awet muda.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Kemelut yang melanda rumah tangga pengarah dan pelakon Syamsul Yusof dan Puteri Sarah Liyana meletus apabila baru-baru ini dia mengumumkan sudah berkahwin dengan Ira Kazar di Thailand, nyata mengejutkan dan menerima pelbagai respon dan maklum balas.
Namun yang menariknya secara tidak langsung membuatkan nama pelakon kacak Edika Yusof, 55, kembali ‘trending’, menjadi bualan warganet di media sosial dek kesetiannya pada isteri yang dikahwininya sejak 18 tahun lepas.
Malah melihat pada ruangan Instagram nya, Edika tidak pernah sesekali lupa meraikan hari jadi isterinya, malah sering kali memuat naik momen dan gambar sama ada berdua dengan isteri mahupun dengan keluarga.
Walau diuji sakit di mana isterinya Nor Hidayah menghidap penyakit meningitis sehingga menyebabkannya koma, bisu, hilang deria pendengaran selama setahun, diikuti lumpuh separuh badan selepas melahirkan anak kedua namun Edika tidak pernah beranjak dari sisi Hidayah dan setia menemani malah melayannya bak permaisuri.
Apatah lagi Edika sendiri mengakui pernah digoda dan didekati apabila isterinya lumpuh, tetapi Adika tetap setia bersama isterinya walaupun Hidayah pernah menyuruhnya untuk berkahwin lain.
“Saya pernah suruh suami kahwin lagi tetapi suami beritahu untuk apa tambah masalah lagi? Cukuplah satu wheel chair (kerusi roda) ini saya tolak,” katanya.
Sementara itu, mengintai akaun instagram Edika pula, rata-rata pengikutnya memuji kesetiaan pelakon itu menjaga isterinya serta mendoakan kebahagiaan rumah tangganya supaya berkekalan dan dirahmati.
NONA mendoakan agar perhubungan dan rumahtangga Adika Yusof dan isteri sentiasa di dalam lindungan Allah hendaknya.
***
Majalah Nona juga ada di Telegram tau. Mudah nak akses artikel menarik dan video-video terkini di sini. Jemput sertai sekarang –> https://t.me/majalahnona
***
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Rohingya tidak ubah seperti pengemis di negara sendiri. Bukan hanya berdepan penafian hak kerakyatan, kini isu lebih besar datang menghimpit masyarakat Islam Rohingya apabila mereka diperlakukan dengan begitu kejam oleh junta tentera Myanmar.
Nyawa Rohingya bagaikan tiada nilai. Dengan sewenang-wenangnya mereka dibakar hidup-hidup, disembelih, dirogol, di penjara tanpa sebab dan diseksa sehingga mati. Bagi menutup kezaliman yang dilakukan, tiada satu pun agensi media termasuk pertubuhan kemanusiaan dibenarkan masuk ke kawasan yang kini dikenali sebagai Rakhaine itu.
“Akibat krisis ini kira-kira 70 peratus masyarakat Rohingya tidak mendapat akses air bersih dan hanya diberikan seorang doktor untuk sejumlah 160 ribu penduduk di Hospital Daerah Maungda! Bayangkan, bagaimana seorang doktor mampu merawat pesakit seramai itu. Malah, dua peratus wanita Rohingya saja dibenarkan bersalin di hospital. Sementara 44 peratus daripada mereka tinggal di bawah paras kemiskinan.
Disebabkan kekurangan sumber dan kedaifan hidup di Rakhaine, tiada pilihan lain buat etnik Rohingya melainkan melarikan diri ke negara jiran. Misalnya, ada yang masuk ke Bangladesh dan tinggal di kem pelarian di sempadan Cox Bazar. Ada juga yang terpaksa menggadai nyawa menaiki bot untuk ke Malaysia, Indonesia mahupun Thailand.
Paling menyedihkan apabila bot yang dinaiki karam di tengah laut atau mati akibat bersesak-sesak di atas bot. Sampai muncul istilah keranda terapung dan ‘ping pong boat’ kerana bot yang dinaiki tidak dibenarkan mendarat serta dipaksa belayar semula ke negara yang menerima kehadiran mereka. Sebagai saudara seakidah, saya perlu mengambil tahu dan membantu apa yang termampu,” bongkar Dr Syarifah Aisyah Syed Abdul Halim yang merupakan aktivis Ikatan Pengamal Perubatan dan Kesihatan Muslim Malaysia (I-Medik).
Dia yang juga Pensyarah Perubatan Pelatih Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) yang pernah berhajat untuk menjejakkan kaki ke bumi Myanmar terpaksa akur untuk membatalkan niat itu kerana kerajaan negara tersebut melarang kemasukan orang luar ke penempatan Rohingya di Rakhaine.
Sebahagian besar kelompok etnik ini dipercayai menetap di Rakhaine terutamanya di Maungdaw, Buthidaung, Rathedaung, Sittwe dan Kyauktaw. Kerana dihalang masuk ke Rakhaine, dua sukarelawan I-Medik iaitu Prof Dr Zainur Rashid Zainuddin selaku Naib Presiden 1 dan Setiausaha I-Medik, Prof Dr Azizi Ayob termasuk beberapa ahli Yayasan Ikhlas terpaksa menukar haluan misi dengan mengunjungi kem pelarian masyarakat Rohingya di Kutupalong, Ukhiya, Cox Bazar pada hujung Disember lalu.
Nona turut difahamkan kem yang terletak di Bangladesh dan bersempadan Myanmar ini mengambil masa kira-kira 10 jam perjalanan untuk sampai ke sana jika bertolak dari Dhaka.
“Sebenarnya untuk masuk ke kem Kutupalong juga bukan mudah. Pihak kami kena lalui banyak sekatan sebab isu politik dua negara, Bangladesh dan Myanmar. Tapi Alhamdulillah usaha itu diberkati Allah dan berjaya rakam situasi di sana untuk tatapan rakyat Malaysia dan dunia hendaknya. Jika mampu lihat keadaan di kem tersebut pasti anda terfikir betapa sukarnya takdir hidup Rohingya.
Di sebuah kawasan yang tandus dan kecil, seramai 150 ribu pelarian ditempatkan dalam kem serba daif tanpa bekalan air terawat dan elektrik. Khemah pula dibina dari batang kayu beratapkan nipah dan berdindingkan tanah atau plastik. Tiada sebarang kemudahan disediakan buat mereka.
Survival hidup Rohingya begitu mencabar. Kanak-kanak terpaksa berdikari pada usia yang sangat muda untuk mengait jala, mencari kayu api, mengambil air dan sebagainya. Jauh sekali mendapat pendidikan formal sepertimana yang dilalui kanak-kanak seusia mereka di negara lain. Yang ada hanyalah inisiatif orang alim di kem pelarian itu untuk mengajar Al-Quran dan asas agama.
Kezaliman yang dilakukan tentera Myanmar meninggalkan trauma yang teruk di kalangan etnik ini. Lebam kebiruan dan parut akibat dipukul dan dikelar di anggota tubuh menjadi sebahagian bukti keganasan yang dirasai sehingga ke hari ini.”
Biarpun bermacam-macam bentuk gesaan dibuat pelbagai pihak termasuk sektor awam dan swasta namun derita yang dialami Rohingya masih tidak menemui jalan penyelesaian. Sebagai insan yang dibekalkan pemikiran yang waras, tunjukkan rasa belas terhadap mereka sama ada melalui huluran wang ringgit mahupun kiriman doa. Moga masyarakat Rohingya mendapat kebebasan hidup yang diinginkan selama ini.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI. Download seeNI sekarang!