Memang benar buat delima antara buah yang boleh membantu mengekalkan keanjalan kulit kerana kaya dengan vitamin C. Vitamin C berguna untuk membantu menghasilkan kolagen kulit yang sihat. Zat antioksida pula melindungi kulit daripada terkesan dengan pencemaran dan mencegah penuaan kulit serta kanser kulit. Di samping itu, buah delima berupaya membantu proses pembaharuan kulit, menghilangkan sel-sel kulit mati dan mencegah kulit kusam.
Sumber asid folat dan antioksida dapat merangsang, membuang toksik dan meningkatkan kecantikan kulit secara semula jadi. Kandungan gula dalam buah delima mampu bertindak sebagai skrub untuk menyingkirkan sel kulit yang mati.
Tip memilih buah delima
Ketika memilih buah delima pastikan memilih buah yang berat dan berkulit bersih. Jangan pilih jika kulit buah delima sudah merkah. Buah delima tahan disimpan sehingga enam bulan jika disimpan di dalam peti sejuk.
Xtra!
Ads
Buah delima kaya dengan antioksida tiga kali lebih tinggi berbanding anggur merah, beri biru, kranberi, dan oren. Antioksida berfungsi untuk melawan radikal bebas yang boleh merosakkan sel dalam tubuh.
Manfaat buah delima
Ads
Mencegah kanser
Buah delima memang terkenal dengan kekayaan antioksida. Di samping itu juga memiliki jumlah zat vitamin A, vitamin C dan zat besi yang tinggi. Nutrisi ini penting untuk menentang radikal bebas dan membantutkan kerosakan sel dalam tubuh dan seterusnya mencegah kanser menyerang terutama kanser prostat, kanser payudara dan kanser paru-paru.
Mencegah penyakit jantung
Keutamaan buah yang kaya dengan antioksida adalah kerana mampu menurunkan kolesterol jahat (LDL) dan meningkatkan kolesterol baik (HDL). Buah delima adalah di antara buah yang kaya dengan antioksida yang secara tidak langsung boleh meningkatkan aliran darah ke jantung yang sihat.
Ads
Meningkatkan kekebalan tubuh
Buah delima yang kaya dengan vitamin C ini sepatutnya menjadi buah yang wajib dimakan setiap hari. Ini kerana buah delima mengandungi hampir 15 peratus vitamin C yang diperlukan oleh tubuh. seperti yang diketahui vitamin C penting untuk meningkatkan kekebalan tubuh agar tidak mudah dijangkiti penyakit terutama demam selesema.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Usahawan kosmetik popular, Eriyca Baiduri atau lebih mesra disapa Madammu terpaksa dikejarkan ke hospital gara-gara mengalami kebocoran air ketuban pada pagi Jumaat.
Menurut sumber mStar, Madammu masih menerima rawatan dan sedang menunggu keputusan ujian daripada doktor pakar.
“Saya masih di labour room sedang kontraksi. Ada leaking sikit. Selalu orang nak bersalin air ketuban pecah terus, macam saya air ketuban tu keluar sikit-sikit.
“Sekarang saya sedang tunggu keputusan daripada doktor. Doktor sedang pantau jantung bayi. Mereka pun sedang check leaking tu sebab apa,” katanya.
Usia kandungan yang berusia 36 minggu itu mengalami kebocoran air ketuban pada pukul 1 pagi dan sedang mengalami kontraksi ringan.
“Sebenarnya saya sudah rasa leaking tu lewat malam tadi kira-kira pukul 1 pagi. Saya tidur saja dulu dan hanya pantau di rumah. Lepas tu air tu dah tak keluar. Pagi tadi sekitar pukul 11 pagi saya ke hospital, doktor panggil untuk check air ketuban.
Buat masa sekarang saya ada juga sakit tapi tidaklah terlalu sakit,” jelasnya.
Madammu yang hamil melalui proses in vitro fertilization (IVF), dia sepatutnya melahirkan bayi secara pembedahan namun akur jika perlu melahirkan secara normal.
“Saya nak cakap pun susah sebab bukaan pun belum ada. Saya pun tak rasa sakit yang keterlaluan lagi.
“Sepatutnya saya bersalin Jumaat minggu depan iaitu 9 Jun, tapi kalau hari ini ada bukaan kemungkinan saya perlu melahirkan secara normal.
“Kemungkinanlah, saya tak pasti sebab nak kena tunggu keputusan doktor juga. Kalau saya melahirkan hari ini, kiranya awal seminggulah,” ujarnya.
Terdahulu, Madammu dikejarkan ke hospital akibat mengalami tekanan darah tinggi secara tiba-tiba kerana tidak dapat rehat yang cukup.
Madammu juga akan tampil dengan rancangan realiti TV nya sendiri yang bakal bersiaran hari ini, setiap Sabtu pukul 10 malam.
Sumber: Mstar
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Jika satu-satunya keju cair yang anda pernah cuba ialah ketika menikmati piza atau roti bakar, ini bermakna banyak lagi yang perlu anda tahu mengenai keju cair ini. Tetapi apabila ia berkaitan dengan keju cair, tidak semua keju sama. Sesetengahnya mencair lebih baik daripada yang lain, membolehkan teksturnya terurai, dan membangkitkan rasa serta cita rasa.
Cef Pierre Gay, seorang artisan dan pakar keju yang berasal dari Perancis bukan sahaja mahir tentang keju tetapi juga merupakan seorang guru dan pakar mengenai keju telah berkongsi pengetahuannya mengenai keju Eropah pada parti Raclette bersama pihak media. Majlis yang dianjurkan bersama oleh Organisasi Tenusu Antara Perancis (CNIEL) dan Kesatuan Eropah (EU) bertujuan untuk mempromosikan kelebihan dan kehalusan keju Eropah.
“Raclette merupakan konsep baharu di Malaysia dan bagi negara yang sangat sukakan keju, ini adalah pengalaman yang pastinya rakyat Malaysia tidak mahu ketinggalan,” jelas Cef Pierre Gay. “Raclette merupakan keju yang diperbuat daripada susu lembu dan dipanggang atau dicairkan di bawah haba sehingga cair, sedikit ranggup dan biasanya diparut ke atas kentang, sayur-sayuran rangup atau daging kering.”
Dengan misi untuk mendidik rakyat Malaysia mengenai kepelbagaian jenis keju Eropah dan cara terbaik untuk menikmatinya, Cef Pierre Gay memberi pandangan mengenai dunia keju Eropah pada Parti Raclette baru-baru ini di Cocott’ KL.
Cef menggunakan keju Raclette yang dicairkan dalam mesin Raclette yang besar, kemudian dilapis di atas daging kering dan lain-lain makanan sampingan yang semestinya menggembirakan para tetamu. “Keju Raclette adalah keju cair yang terbaik dan keju utama yang digunakan dalam raclette dan fondue. Mempunyai bau yang kuat tetapi sedap, tahap pH Raclette memberikan titik cair yang sempurna menghasilkan cecair yang berserabut tetapi masih mengekalkan bentuk yang sama,” katanya.
Rakan-rakan media dan tetamu juga berpeluang mencairkan keju dan menikmati keju Brie, Reblochon, Fourme D’Ambert, Comte, Saint Nectaire, Gouda dan Scamorza di atas mesin Raclette bersama dengan sayur-sayuran mentah dan juga yang telah dimasak seperti hirisan lada Benggala, cendawan butang, tomato, jagung, hirisan bawang, nanas, kentang bakar, lobak merah dan kacang pis yang dimasak, hirisan buah pear, epal hijau dan anggur tanpa biji, bersama beberapa jenis daging seperti kambing, daging lembu, ayam dan sosej salai. Hidangan juga disertakan dengan roti baguette, hirisan seperti bawang kecil, timun, dan rempah seperti garam, lada hitam dan kepingan cili.
Dari sejuk ke panas, manis hingga pedas dan dari pembuka selera hingga pencuci mulut, kebanyakan resipi keju hanya memerlukan beberapa bahan tambahan untuk menjadikannya hebat. Dengan kawalan kualiti dan peraturan yang ketat di Eropah, keju Eropah sentiasa berkualiti tinggi, dan merupakan produk keju terbaik yang sentiasa tersedia untuk pengguna di Malaysia.
Raclette yang merupakan konsep baharu di Malaysia adalah cara terbaik untuk menikmati keju Eropah dan boleh dilakukan dengan mudah di rumah untuk dinikmati bersama rakan-rakan dan keluarga, memberikan hidangan keju tradisional yang segar dan menyeronokkan. Rancang Parti Raclette anda sendiri dan bersedia untuk cair dengan keju Eropah yang terbaik di dunia!
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Bait-bait lagu Tan Sri P Ramlee menyergah petang yang damai, “Andai dipisah lagu dan irama, lemah tiada berjiwa, hampa”. Ahh, rindu aku pada Zaleha, aku rindukan gelak tawanya, gurau sendanya, lebih-lebih lagi keletah manjanya. Masih aku ingat saat perkenalan kami di rumah terbuka seorang teman. Dia kelihatan begitu anggun berbaju kebaya merah, rambutnya yang diikat rapi menyerlahkan lagi wajah mulusnya. “Cantiknya dia ni.” getus hati kecil ku. Siapa sangka perkenalan kami di situ membawa aku ke mahligai cinta. Saat awal perkahwinan semuanya indah, namun satu perkara yang aku tidak pernah tahu tentang dia, kompetitif! Suka membanding-bandingkan. Lama aku bersabar dengan sikapnya yang tidak suka kalah dari segala segi, penampilan, gaya dan apa sahaja yang dilakukan. Kesabaran aku sampai ke kemuncak dan aku menangis saat jatuhnya talak! Allahuakbar!
Segala-galanya bermula Ramadan tahun lalu, satu bulan yang amat aku nanti-nantikan. Umat Islam menadah syukur kerana dipertemukan dengan bulan penuh keberkatan ini. Aku? Bukan bulan biasa, bulan ini memberi aku satu ujian yang maha besar. Tibanya Ramadan, Zaleha bukan sibuk menggandakan ibadah, puas aku mengajaknya ke masjid namun ditolak mentah-mentah. “Alah abang malaslah saya nak pergi masjid, abang pergilah seorang. Bukannya saya ada kawan pun kat masjid tu. Saya solat kat rumah je.” Ujar Zaleha.
Bak kata lirik, kerana sayang aku turutkan, itulah aku. Namun jika ada majlis di masjid, Zalehalah yang paling berkobar-kobar, namun bukan kerana ibadah, semuanya untuk menunjuk-nunjuk juadah yang disediakan, segala-galanya over the top. Dari baju ke persalinan sembahyang semuanya berlebih. Bila ditegur dia melenting. “Alah abang ni, saya pakai cantik-cantik buat makanan yang mahal-mahal nak hidang ni abang juga yang bangga, orang puji saya.” Rungut Zaleha. Sayang, tahukah engkau aku mahu engkau seperti isteri-isteri yang lain, bersederhana dari segala segi. Tahukah engkau ramai yang merungut dan meluat dengan sikap mu yang suka menunjuk-nunjuk?
Semakin hampir dengan Ramadan, satu perkhabaran buruk singgah di meja. Syarikat mengalami masalah kewangan dan perlu ditutup. Satu perkara yang tidak aku sangka akan terjadi sebelum tibanya hari lebaran. Pulang ke rumah, aku khabarkan perkara ini kepada Zaleha. “Sayang, I just lost my job, everybody in my company. Syarikat I akan ditutup.” Luah aku pada Zaleha, mengharap suntikan semangat darinya. “What? U kene berhenti? Habis tu macam mana? Ehh kita ada duit lagikan? Siapa nak beli barang-barang persiapan raya. U jangan buat hal. Tahun ni I nak buat rumah terbuka besar-besaran. I dah bagi tahu kawan-kawan I semua tau!” Tegas Zaleha.
Tersentak jantung mendengar kata-kata Zaleha, bukannya tiupan semangat yang aku peroleh, malah amaran pula yang aku terima. Aku menerangkan kepada Zaleha, jangan risau kerana masih punya simpanan, namun harus berjaga-jaga kerana sekarang aku menganggur dan bukan mudah untuk mencari pekerjaan pada zaman yang mana ekonomi tidak menentu.
Lebaran hampir tiba, Zaleha hampir setiap hari keluar mencari barangan untuk rumah terbuka. Dengan hiasan rumah baru, tempahan perabot baru. Aku bertanya, “Sayang, kenapa membazir sangat, kan masih elok semua barang-barang yang sedia ada?” Dia hanya menjawab “Abang, saya guna duit saya tau, nak harapkan abang tak merasalah saya nak buat rumah terbuka besar-besaran. Dah la tu, bila saya suruh keluarkan wang simpanan abang tak mahu. Jadi jangan ambil tahu mana saya dapat duit ini semua.” Ya, semestinya itu duit yang aku berikan setiap bulan sebagai duit poket mu.
Lebaran tahun ini di sambut meriah di kampung, tiba sahaja hari kedua, Zaleha tidak senang duduk. Dia mahu pulang cepat ke rumah bagi menyiapkan persiapan rumah terbuka impiannya. ‘’Sayang, I tak puas lagi beraya kat kampung,” ujar ku kepada Zaleha. “Eh abang ni, macam budak kecil, lain kali kita balik lah lagi.. Lagipun dah rimas dah saya kat kampung ni. Saya nak balik, nak siapkan segalanya untuk rumah terbuka kita,” bebel Zaleha.
Tiba hari rumah terbuka, khemah dipasang seperti kenduri. Zaleha menjemput rakan-rakannya yang terdiri daripada kalangan VIP. Memang segala-galanya sempurna, hidangan yang begitu panjang mengalahkan bufet di hotel. Hati sedikit hairan memikirkan bagaimana Zaleha boleh mengadakan majlis sebesar ini. “Banyak sangat ke duit yang aku berikan setiap bulan sampai boleh buat majlis besar seperti kenduri?” Zaleha begitu bangga mendabik dada, bermegah-megah dengan teman-temannya yang kagum dengan majlis yang diadakan.
Aku tahu, Zaleha mahu menunjuk kepada teman-temannya yang rata-rata anak-anak orang kenamaan. Usai majlis aku sekali lagi bertanya lembut kepada Zaleha, “Sayang boleh abang tanya? Banyak sangat ke duit yang sayang simpan sampai boleh buat rumah terbuka macam kenduri ni? Paling tak makan belanja dua puluh ribu ni.” Zaleha hanya menjawab ringkas, “Alah abang, abang tak tengok ke semua orang kagum dengan kita? Maruah kita juga yang jadi tinggi kan? Kalau saya ambil duit abang pun tak salahkan? Bukannya habis pun!” Aku hanya mendiamkan diri mendengar kata-kata sinis isteri ku itu.
Hujung bulan tiba, seperti biasa bil-bil mendatang dan aku terkejut melihat bil kad kredit yang melambung tinggi. Bulan lepas penggunaan mencecah 22 ribu ringgit!! Mata aku seakan berpinar dan terkejut, tidak pernah aku menggunakannya seperti itu. Lantas aku teringat kata-kata Zaleha. Aku seperti orang gila dan terus menyergah isteriku itu, “Leha, u guna kad kredit I untuk rumah terbuka?” Dia hanya menjawab selamba, “Eh, salah ke saya nak guna, sayakan isteri abang! Lagipun abang dah ada kerja kan.. Bayar je la!”
Saat itu tahap kesabaran telah meninggi dan dengan lancarnya mulut ini berkata “ Zaleha binti Zaidi, aku ceraikan engkau dengan talak satu!” Saat itu wajah Zaleha berubah dan dia terjelepok ke lantai seperti orang meroyan. “Abang gila ke ceraikan saya, mana saya nak pergi. Saya sayangkan abang!!”
Sayang-sayang buah kepayang, tidak akan aku makan Zaleha. Aku berlalu pergi meninggalkan rumah demi mencari kedamaian. Kini lebaran tiba lagi, dan aku pasti teringat peristiwa itu. Dengarnya Zaleha ligat mencari kekasih baru, tetapi sayang semuanya tidak setia padanya. Selamat tinggal Zaleha, semoga Allah memelihara kesejahteraan.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI. Download seeNI sekarang!