Kehadiran pelbagai tablet seperti vitamin A, B, C, E, ferum, evening primrose oil, omega dan minyak ikan kod yang berderet-deret di farmasi terkemuka nyata menawarkan pilihan buat pengguna. Pengambilan suplemen ini mempunyai fungsi-fungsi tertentu seperti untuk membantu menambah tenaga, melawan jangkitan penyakit, membina otot, meningkatkan daya ketahanan dan sistem imun tubuh, menyerlahkan seri wajah serta mencapai tahap kesihatan yang optimum.

Namun perlu diingat bahawa sebelum anda memilih untuk mengambil sebarang makanan tambahan, teliti beberapa aspek tertentu iaitu keperluan tubuh, keinginan membeli dan manfaat yang bakal diperolehi. Salah satu cara yang bijak untuk menjimatkan belanja ialah mengambil suplemen kesihatan daripada sumber semula jadi. Berikut merupakan saranan yang wajar untuk dipertimbangkan.

IKLAN

Teh

Kajian mendapati bahawa teh mengandungi polifenol yang bertindak sebagai antioksidan serta mengurangkan risiko penyakit kardiovaskular dan kanser. Malah, teh juga terbukti dapat meningkatkan kadar kolesterol baik (HDL), merendahkan gula darah, mencegah hipertensi, membantu fungsi ginjal dan meningkatkan penggunaan tenaga sehingga berpotensi untuk menurunkan berat badan anda. Selain itu, ia juga dapat melancarkan pencernaan dan mengatasi sembelit.

Jenis-jenis teh:

  • Teh Hijau, untuk detoksifikasi.
  • Teh Putih, kaya dengan polifenol untuk membunuh bakteria.
  • Teh Krisantemum, untuk anda yang ingin berjaga malam @ mengulangkaji.
  • Teh Wu Loong, untuk merendahkan paras kolesterol dan darah tinggi.
  • Teh Madu, sesuai untuk mengubati sembelit atau cirit-birit.
  • Teh Kamomil, meredakan otak kerana kandungan antiseptik yang tinggi.
  • Teh Ceylon, kaya dengan antioksidan untuk mencegah proses oksidasi DNA.

Susu

Susu ibu merupakan makanan pertama bagi hampir setiap orang di dunia ini. Semakin tubuh membesar, pengambilan susu diteruskan dengan khasiat susu lembu, susu kambing atau susu soya. Seterusnya produk hasil tenusu yang lain seperti krim, mentega, keju, yogurt, gelatin, laktos dan susu tepung boleh dijadikan makanan tambahan yang penuh dengan kebaikan protein.

Khasiat susu:

  • Vitamin D & K, untuk pembentukan tulang.
  • Iodin, membekal mineral untuk fungsi tiroid.
  • Vitamin B12 dan Riboflavin, untuk kesihatan kardiovaskular.
  • Biotin dan asid Panthothenik, bagi menghasilkan tenaga.
  • Vitamin A, untuk imunisasi.
  • Potassium dan Magnesium, untuk kesihatan kardiovaskular.
  • Selenium, dapat menghalang kanser.
  • Thiamin, untuk fungsi kognitif terutamanya daya ingatan.

Kismis

IKLAN

Sesuai dijadikan snek pada bila-bila masa, pemakanan kismis boleh membantu anda untuk mendapatkan bekalan oksigen yang secukupnya (terutama ke dalam otak) kerana ia cukup kaya dengan zat besi. Ini penting kerana kekurangan oksigen pada otak mudah membuatkan anda mengantuk, sering terlupa serta lemah daya fikiran. Ia juga amat baik untuk kesihatan wanita terutamanya ketika datang haid.

Kurma

IKLAN

Buah kurma diiktiraf sebagai makanan tambahan bagi gaya hidup sihat kerana ia mengandungi elemen asas untuk kecerdasan mental dan stamina. Berbanding buah-buahan lain, kurma membekalkan gula asli di dalam bentuk glukosa dan fruktosa. Malah kurma juga kaya dengan protein, serat, gula, vitamin A dan C serta zat galian seperti besi, kalsium, sodium, potassium dan juga vitamin.

Alternatif pemakanan kurma:

  • Diambil bersama susu dan yogurt.
  • Disalut coklat gelap.
  • Buang bijinya dan sapukan isi dalam kurma dengan mentega.
  • Biji kurma boleh dipanggang dan ditumbuk supaya menjadi kopi kurma.

Fakta menarik!

Kajian menunjukkan bahawa buah kurma mengandungi sejenis rangsangan yang memperkuatkan otot-otot rahim terutamanya bagi wanita hamil di bulan-bulan terakhir kehamilannya. Ia dikatakan membantu melebarkan pangkal rahim agar ibu dapat bersalin dengan mudah.