“Kebanyakan orang bila dengar kena kanser, dia rasa pengakhirannya ialah death (mati). Bukan macam tu. Bukan semua macam tu…” bergetar suara Dr Siti Zubaidah Hakam kala diminta berkongsi pengalamannya menjalani rawatan mengubati kanser.

Sesungguhnya hujan yang jernih itu berasal dari awan yang gelap. Dalam hidup ini, tiada ujian yang terasa nikmat melainkan jika kita ikhlas melewatinya dengan selalu mendekat pada-Nya.

IKLAN

Pengalaman cancer survivor, Dr Siti Zubaidah yang kini berusia 33 tahun seperti mengingatkan kita semua bahawa sesiapa pun boleh menghidap kanser payudara. Tapi dengan pengesanan dan rawatan awal, nyawa yang berharga boleh diselamatkan.

 

Dr Siti Zubaidah turut membayangkan bagaimana pengorbanan kedua orang tuanya yang tidak berhenti-henti menjaga dan memberi sokongan kepada beliau ketika diuji 8 tahun lalu. Sebagai anak sulung, sudah pastilah penyakit itu membimbangkan ibu bapanya.

“Segalanya bermula di Moscow ketika saya di sana untuk menyambung pengajian. Ketika sedang mandi, saya perasan ada ketulan di bahagian puting menyebabkan saya terus terfikir untuk lakukan pemeriksaan.

Sebagai seorang pelajar perubatan, pensyarah adalah tempat untuk kami membuat pemeriksaan dan nyata, selepas scan, pensyarah saya mencadangkan untuk membuat biopsi kerana ia nampak seperti sedang merebak.

Saya terus hubungi keluarga di Malaysia dan petang itu juga saya dipaksa pulang ke tanah air. Kebimbangan kedua ibu bapa saya membuatkan otak ini ligat berfikir. Entahlah, macam-macam bermain di fikiran,” ceritanya.

Dalam sesi Nona On Air yang ke udara pada Rabu, wanita jelita yang merupakan doktor estetik dan Pengasas Cosmoglam Clinic itu turut mendedahkan bagaimana keadaan dirinya sewaktu menjalani rawatan radioterapi.

 

Di Malaysia, temu janji sudah pun ditetapkan di salah sebuah hospital swasta. Pembedahan membuang ketulan terus dilakukan sebanyak dua kali…” Dr Siti Zubaidah

Semuanya berlaku terlalu cepat. Kehadiran ketulan sebesar 3×4 sentimeter itu tidak langsung memberikan rasa sakit.

“Pembedahan kali kedua dilakukan untuk membuang ketulan yang sudah merebak ke bahagian bawah lengan dan payudara. Sebaik selesai, saya menjadi sangat lemah dan sakit.

Ketika itu bohonglah jika saya tak terfikirkan soal kematian. Tidak cukup dengan pembedahan, saya juga melalui radioterapi. Ya Allah, lembik sungguh badan selepas itu sehingga ayah terpaksa mengangkat saya. 42 saat radioterapi terasa seperti 42 minit!

IKLAN
“Badan Saya Lembik…” Dr Siti Zubaidah Sebak Imbau Kenangan Jalani Rawatan Kanser Payudara
Instagram: @dr.sitizh

 

“Badan Saya Lembik…” Dr Siti Zubaidah Sebak Imbau Kenangan Jalani Rawatan Kanser Payudara
Instagram: @dr.sitizh

 

Saya teringat masa doktor beritahu pada saya dan ibu bapa mengenai kanser ini, ayah saya terduduk di hadapan pintu lif. Ibu pula menangis sehingga saya memaksa diri menjadi kuat untuk mereka.

Saya hanya minta kekuatan ibu dan ayah untuk saya bangkit dari perasaan takut dan sedih. Saya mohon agar mereka menyembunyikan rasa sedih di hadapan saya kerana sokongan keluarga adalah kekuatan untuk mana-mana pesakit kanser untuk pulih,” katanya.

 

View this post on Instagram

 

A post shared by Dr Siti ZH (@dr.sitizh)

IKLAN

 

“Selepas lima tahun, saya dikategorikan sebagai survivor. Alhamdulillah saya bebas kanser. Terdapat juga kes di mana kanser datang kembali dan saya sentiasa berdoa agar ia tidak terjadi kepada saya.

Selepas pembedahan, saya sambung pengajian yang tertangguh walaupun dihalang oleh keluarga. Mereka meminta saya sambung pengajian di sini sahaja untuk memudahkan mereka menjaga saya.

Akhirnya, saya berjaya di Moscow. Saya kembali ke Malaysia dengan cita-cita untuk membuka klinik estetik dan alhamdulillah Cosmoglam Clinic, sebuah klinik estetik yang saya usahakan kini bertapak di Cheras,” katanya.

Sempena bulan kesedaran kanser payudara ini, Dr Siti Zubaidah turut menyeru kepada semua wanita Malaysia agar segera membuat pengesanan tak kira di rumah atau pun dengan melakukan mamogram di pusat-pusat mamografi berdekatan. Banyak pesanan dan nasihat yang bermanfaat telah disampaikan dalam sesi Nona On Air kali ini.

“Badan Saya Lembik…” Dr Siti Zubaidah Sebak Imbau Kenangan Jalani Rawatan Kanser Payudara

 

Tangisan itu adalah kekuatannya. Bertahun-tahun berjuang melawan penyakit kanser payudara, tipulah kalau tiada air mata yang tumpah menangisi pedihnya rawatan yang dilalui.

Kini selepas 8 tahun, hidup Dr Siti Zubaidah kembali normal seperti sediakala. Beliau bangkit untuk mengingatkan kita semua bahawa sesiapa pun boleh menghidapi kanser payudara seperti dirinya.

Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI