Kejayaan Baddrol Bakhtiar dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Kedah baru-baru ini menarik perhatian masyarakat. Dia yang memulakan karier sebagai pemain bola sepak kini menceburi arena politik.
Percaturan Baddrol atau mesra disapa Badd ini nyata berbaloi apabila dia kini bergelar wakil rakyat di kawasan Gurun, Kedah.
IKLAN
12 Ogos lalu, Baddrol yang merupakan bekas ketua pasukan Kedah Darul Aman FC, Sabah FC dan skuad Harimau Malaya memenangi kerusi DUN Gurun.
Pertama kali bertanding dalam politik dan pilihan raya, dia yang berusia 35 tahun menjadi bualan ramai selepas meraih tempat di hati penduduk di Kedah.
Apatah lagi dengan kejayaannya sebelum ini mengharumkan nama negeri Jelapang Padi berkenaan dalam dunia bola sepak apabila menjulang Piala FA kali keempat bersama pasukan tersebut pada tahun 2007, 2008, 2017 dan 2019.
Tak hairanlah masyarakat di sana menerima baik kehadiran Baddrol sebagai wakil rakyat mereka. Memang anak jati Kedah!
Sejak kemenangan besar dalam PRN, turut menerima tempias populariti Baddrol Bakhtiar sudah pasti isteri tercinta iaitu Nur Izyan Mustafa Khalid. Rata-rata peminat bintang bola sepak itu menyenangi peribadi isteri Baddrol yang bukan saja cantik.
Malah penampilannya yang sopan juga menarik perhatian.
Baddrol menerusi perkongsian di media sosial, menitipkan ucapan romantis sempena ulang tahun kelahiran wanita kesayangannya.
“Selamat hari lahir sayang. Semoga berada dalam rahmatNya dianugerahkan kesihatan, dimurahkan rezeki dan berjaya dalam bidang yang diceburi.
IKLAN
Terima kasih menjaga anak-anak dan abang. Abang sayang sayang. Love you so much. Terima kasih sebab sudi jadi isteri abang dan ibu kepada anak-anak kita sayang.”
Nur Izyan yang berusia 35 tahun bukan calang-calang wanita. Ketika baru berkahwin, Baddrol pernah mendedahkan kepada umum mengenai isterinya yang tidak meminati dunia bola sepak namun menyokong kerjaya suami.
IKLAN
Tidak bersandar kepada rupa paras semata-mata, Nur Izyan merupakan seorang wanita bijak dan bekerjaya. Dia bertugas sebagai Pensyarah Matematik dan Statistik di Universiti
Islam Antarabangsa Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah (UniSHAMS).
Pasangan ini mendirikan rumah tangga pada 13 November 2015 dan hasil perkongsian hidup, mereka dikurniakan dua cahaya mata perempuan.
Diam tak diam, usia kandungan Emma Maembong kini memasuki trimester ketiga. Dalam debaran menantikan kelahiran cahaya mata kedua, pasangan suami isteri itu meleraikan teka-teki peminat apabila berkongsi video parti ‘gender reveal’ yang diadakan.
Kalau dulu tak puas mata memandang kecomelan Shariq Gabriel yang bermata kelabu, kini pastinya ramai ternanti-nanti kelahiran adiknya pula. Mewarisi keturunan Scotland daripada sebelah ibu Emma, kehadiran cahaya mata kedua ini nanti pasti menambah lagi kebahagiaan pasangan Emma dan suami yang kini berdebar menghitung hari.
Pasti tambah seronok lebaran ini dengan ahli keluarga baru. Menerusi sebuah video, Emma dan suaminya Muhammad Shazli Azhar menganjurkan sebuah parti gender reveal disertai ahli keluarga dan rakan-rakan pada malam Selasa.
Sambil ditemani suami tercinta, Emma memecahkan sebiji belon yang mengeluarkan kertas-kertas kecil berwarna biru yang menandakan jantina anak lelaki dalam kandungan.
Berita tersebut disambut dengan gembira oleh setiap tetamu dan peminat Emma. Untuk rekod, Emma atau nama sebenarnya Fatimah Rohani Ismail, 30 tahun, mendirikan rumah tangga pada 20 Februari 2020 dan mereka dikurniakan seorang anak lelaki bernama Shariq Gabriel.
Tahniah Emma dan Shazli, didoakan mudah-mudahan segala urusan kelahiran berjalan lancar. Tak sabar nak tunggu si comel adik Shariq Gabriel!
Bukan menjadikan berpuasa sebagai alasan untuk ‘culas’ berpuasa tetapi terdapat individu yang terpaksa mengharunginya. Aneka juadah yang terhidang di depan mata memang mengundang kita untuk menjamah kesemuanya tetapi perlu diingat, sistem penghadaman yang satu ini perlu dipelihara.
Ramai yang akan mengeluh mengalami masalah ketidakselesaan perut, sehingga mengakibatkan niat berpuasa kerap kali tergendala. Antaranya gejala perut yang tidak selesa, pedih ulu hati, masalah penghadaman atau penyakit ulser peptik yang menjadi-jadi.
Terdapat dua masalah utama yang berlaku kepada sistem gastrousus iaitu:
a) Masalah akut pada bahagian atas sistem gastrousus
Refluks gastroesofagus
Aliran kandungan daripada perut atau duodenum ke bahagian esofagus. Kesannya bergantung kepada campuran asid, pepsin, garam hempedu dan enzim.
Gastritis
Inflamasi pada bahagian lapisan perut. Antara perkara yang menyebabkan keradangan ialah ubat, termakan bahan yang menghakis atau tekanan emosi.
Esofagitis
Inflamasi pada bahagian esofagus akibat aliran berlawanan kandungan di dalam duodenum. Kandungan ini mungkin mengandungi hempedu enzim atau alkali.
Dispepsia (bukan ulser)
Ketidakselesaan bahagian atas abdomen yang sekejap-sekejap selepas makan. Masalah ini dikaitkan dengan gangguan fungsi atau keupayaan penghadaman.
Ulser akibat ubat dan bahan kimia
Hakisan dan kecederaan pada bahagian lapisan perut dan usus. Bahan-bahan seperti ubat, alkohol, kafein dan asap rokok boleh menyebabkan keadaan ini.
Ulser akibat tekanan
Hakisan dan kecederaan pada bahagian lapisan perut (bahagian utama), duodenum dan esofagus akibat tekanan emosi.
b) Masalah kronik pada bahagian atas sistem gastrousus
Gastritis kronik
Berlaku kecederaan berpanjangan yang boleh memberi kesan negatif kepada fungsi perut untuk menghasilkan rembesan bagi proses penghadaman. Terdapat kaitan yang rapat antara masalah ini dengan tabiat merokok.
Ulser peptik
Secara umum, ulser dalam perut dan duodenum dikenali sebagai ulser peptik. Ini merupakan masalah kronik tetapi kadangkala pesakit boleh mendapat serangan akut (secara tiba-tiba). Kajian menunjukkan bahawa ulser peptik disebabkan oleh kuman Helicobacter Pylori. Kuman ini kerap hadir bila berlaku keradangan pada bahagian lapisan perut.
Selain itu, ia ada kaitan dengan kesan menghakis asid dan pepsin. Bahagian yang paling kerap menghadapi masalah ini ialah duodenum dalam perut. Masalah ulser peptik membawa implikasi kesihatan dan ekonomi yang serius. Kos rawatan agak mahal kerana ia melibatkan kemasukan ke hospital, kos profesional kesihatan dan kos ubat-ubatan serta kos dari sudut kehilangan produktiviti akibat tidak dapat bekerja dalam tempoh yang lama.
Ulser gastrik
Pesakit mungkin mempunyai kandungan asid yang rendah atau normal. Ulser gastrik peringkat primer dikategorikan oleh rembesan asid yang sedikit, manakala ulser gastrik sekunder akibat ulser duodenal dikategorikan oleh rembesan asid yang tinggi. Pesakit sering merungut kesakitan dan pendarahan berlaku pada bahagian gastrousus. Darah boleh dikesan dalam muntah atau najis.
Kesakitan dirasakan dalam tempoh 30 hingga 60 minit selepas makan dan kekal selama 60 hingga 90 minit. Ini kerana makanan yang masuk ke dalam perut akan mengembangkan bahagian perut serta merangsang rembesan asid. Pesakit akan kerap berasa sakit apabila makan dan ini akan membuatkan pesakit tidak mahu makan dan mengakibatkan kehilangan berat badan.
Ulser duodenal
Ia disebabkan oleh rembesan asid dan pepsin yang terlalu banyak. Pesakit berasa sakit dua hingga tiga jam selepas makan dan boleh berterusan sehingga waktu makan yang selanjutnya. Ia berlaku apabila perut kosong. Sebaliknya pesakit ulser duodenal mempunyai selera makan yang baik dan peningkatan berat badan berlaku akibat pengambilan makanan yang kerap untuk mengurangkan atau mencegah rasa sakit.
Antara faktor yang menyebabkan ulser ialah gaya hidup, merokok, kafein, alkohol, tekanan, asid dan pepsin dan kuman bakteria Helicobactor Pylori.
RAWATAN
Pesakit boleh memilih sama ada untuk merawat sendiri atau merujuk kepada doktor. Kesemua in bergantung kepada tahap serta jenis masalah yang dialami oleh individu. Jika rungutan berkaitan dengan maslah bahagian atas sistem gastrousus seperti gastritis akut tanpa pendarahan dan refluks, pesakit boleh berjumpa ahli farmasi dan mendapatkan nasihat serta ubat yang sesuai. Ubat dalam kumpulan antasid hanya boleh disarankan jika pesakit mengalami serangan akut atau maslah tersebut disebabkan oleh jenis dan jumlah makanan yang dimakan, pengambilan minuman beralkohol atau tekanan emosi.
Individu yang mengalami masalah yang akut tetapi terdapat tanda-tanda yang menunjukkan berlaku kecederaan yang teruk pada bahagian lapisan perut, pesakit tersebut harus dirujukkan kepada doktor. Pemerhatian doktor sangat penting jika individu mengalami gangguan yang kronik atau menghidap penyakit ulser. Ini penting kerana pesakit mungkin mengalami masalah lain seperti kanser pada bahagian perut atau duodenum. Gastritis akut yang berlaku berulang-ulang boleh mengakibatkan ulser gastrik.
Adakah anak anda berkembang lebih lambat daripada teman seusianya? Masih belum pandai bertutur walaupun umurnya sudah 4 tahun ke atas? Nah, jika si kecil menunjukkan tanda-tanda pertumbuhan abnormal, ini masanya untuk mencari penyelesaian sebelum terlambat.
Lebih daripada 200,000 rakyat Malaysia menghidap autisme, cerebral palsy, sindrom down, kelewatan pertumbuhan serta pelbagai lagi kecacatan melibatkan emosi, fizikal dan mental. Setiap hari tanpa rawatan, menyebabkan kanak-kanak ini kehilangan masa berharga dan melengahkan perkembangan mereka.
Kuda sebagai penyembuh? Ya, salah satu kaedah terbaik untuk merangsang mereka adalah menggunakan kaedah hipoterapi. Satu-satunya pusat terapi yang menyediakan rawatan hebat ini adalah Green Apple Hippotherapy yang terletak di Jalan Lapangan Terbang Lama, Pengkalan Tentera Udara Diraja Malaysia, Kuala Lumpur.
Nona bersama Nurirdiyana Idros, salah seorang pakar terapi bertauliah dari Green Apple Hippotherapy bagi mendapatkan penjelasan mendalam tentang kaedah ini.
Terangkan maksud hipoterapi?
Hipoterapi bermaksud ‘rawatan dengan bantuan kuda’. Perkataan hippo dalam bahasa Greek bermaksud kuda dan hipoterapi adalah rawatan perubatan oleh ahli terapi seperti doktor, occupational therapist, physiotherapist atau speech therapistmenggunakan pergerakan multidimensi kuda bagi mencapai matlamat terapeutik.
Hipoterapi telah diterima sebagai rawatan perubatan di Eropah sejak tahun 60-an serta Amerika Syarikat dan Kanada pada tahun 70-an.
Mengapakah kuda digunakan sebagai terapi penyembuhan?
Kuda berjalan mengikut tiga dimensi pemboleh ubah kuda, pergerakan yang berulang-ulang dan berirama. Ini membantu pesakit menerima input deria ke otak dan sistem saraf mereka.
Kuda mengambil masa seminit untuk 120 langkahnya. Ini membolehkan 120 peluang pada setiap minit untuk pesakit mengalami pergerakan yang unik ini, yang tidak boleh ditiru oleh perkakas atau peralatan lain.
Sewaktu sesi, pakar terapi bekerjasama dengan pengendali kuda yang dilatih khas untuk memberikan cabaran ‘tepat’ bagi setiap pesakit. Kebanyakan pesakit akan menunjukkan semangat tinggi sewaktu rawatan hipoterapi. Ia juga menawarkan persekitaran yang jauh berbeza daripada klinik terapi biasa.
Jumlah kuda dan nama-nama kuda milik anda?
2 ekor kuda iaitu Tommy (kuda pony) dan Cherokee.
Siapakah kanak-kanak yang sesuai menjalani terapi ini?
Hipoterapi dapat membantu kanak-kanak yang mengalami masalah:
Cerebral palsy
Celebral atrophy
Kelewatan pertumbuhan
Autisme
Kecederaan otak
Trauma otak
Epilepsi
Sindrom Down
ADHD
Dyspraxia
Masalah pembelajaran
Gangguan pemprosesan sensori
Tempoh sesi terapi?
Di Green Apple Hippotherapy, kami menyediakan satu program yang mengandungi 12 sesi. Setiap sesi dijalankan selama 30 – 45 minit.
Mengapa kurang pendedahan terhadap hipoterapi?
Ya, tidak ramai yang sedar tentang kewujudan hipoterapi di Malaysia serta bagaimana ia berkesan membantu kanak-kanak istimewa. Kekurangan kakitangan dan pakar berpengalaman dalam bidang ini juga membantutkan pendedahan terhadap hipoterapi.
Ramai yang menyangka kaedah ini mahal, tambahan pula insurans kesihatan di Malaysia tidak meliputi terapi kuda. Tapi sebenarnya, yuran yang dikenakan oleh Green Apple Hippotherapy masih dalam kemampuan. Kami menyediakan satu program yang mengandungi 12 sesi berharga RM3,500. Ini termasuklah dua penilaian (initial & final assessment) serta yuran pendaftaran.
Untuk 12 sesi (satu program) ini, biasanya dijalankan seminggu sekali. Ini bermaksud untuk menyelesaikan satu program terapi, mengambil masa selama 3 bulan. Setiap sesi dijalankan bersama seorang pakar terapi, seorang pakar pengendali kuda dan seorang pembantu pakar terapi. Ini bermakna satu sesi yang dijalankan melibatkan tiga orang.
Siapakah pengasas Green Apple Hippotherapy?
Iliza Muhammed Ikhbal. Beliau merupakan ibu kepada tiga cahaya mata dan seorang anak istimewa. Beliau mengambil inisiatif untuk terus mendalami hipoterapi dengan menghadiri pelbagai bengkel antaranya di Hunter Valley Sydney, Australia (Mei 2014) dan bengkel yang dijalankan oleh EATSA di Cape Town, Afrika Selatan (2014). Pada tahun 2017, Iliza mendalami ilmu NLP dalam perkembangan kanak-kanak.
Selain Iliza, Green Apple Hippotherapy turut diterajui oleh Dr. Ali Azman iaitu seorang konsultan paediatrik serta saya sendiri, Nurirdiyana Idros, yang merupakan seorang occupational therapist dan pengamal Autism Movement Therapy (AMT) bertauliah.
Saya pernah menjalani latihan ‘Fundamental in Hippotherapy by Equine Assisted Therapy Association of South Africa (EATASA)’ di Noordhoek, South Africa pada September 2014 dan menghadiri kursus advance Hippo Kinesio Educational Rehabilitation (Hi.K.E.R) daripada Greek Scientific Association of Therapeutic Riding And Hippotherapy (G.S.A.T.R.H) in Athens, Greece. Norzalina Mohd Alias
Semakin kejar akhirat, semakin melimpah ruah rezeki Rozita Che Wan. Sebut sahaja nama selebriti popular ini pasti ramai yang membayangkan kejelitaan dan imej glamor isteri Zain Saidin ini ...