“Saya bangga melahirkan ramai student PhD dan Masters…” itu antara jasa saintis negara, Profesor Datuk Wira Dr Raha Abd Rahim yang dijulang tinggi.
Bukan mudah menyelit temu janji di celah-celah lembaran takwim saintis negara ini. Jadual Profesor Datuk Wira Dr Raha Abd Rahim begitu padat, seiring dengan tanggungjawab berat yang dipikulnya sebagai Ketua Pegawai Eksekutif di National Institutes of Biotechnology Malaysia (NIBM) dan Profesor Amal di Universiti Putra Malaysia.
Air mukanya lembut dan keibuan. Sejuk mata memandang kecantikan wanita genius yang merupakan ibu kepada dua cahaya mata perempuan itu. Mengenali Prof Dr Raha, anak Johor ini membawa resmi padi – makin berisi makin tunduk ke bumi. Beliau menyerlahkan pesona wanita Melayu yang bijak dan sukses, namun tetap utuh menjaga adab kesopanan serta merendah diri.
Berpaksikan kelayakan Prof Dr Raha dalam bidang bioteknologi dan sains biomolekular, wanita yang merupakan seorang pendidik ini diberi mandat menerajui agensi NIBM yang merangkumi tiga institusi bioteknologi negara.
Di bawah Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), agensi beliau berperanan memimpin ratusan saintis negara dalam menjalankan aktiviti penyelidikan & pembangunan (R&D), merancang pengkomersilan hasil R&D dan meningkatkan ekosistem R&D dalam menjadikan Malaysia sebagai hab bioteknologi global.
Sejak dilantik ke jawatan ini pada tahun 2022, Prof Dr Raha banyak membuat pembaharuan dalam memperkasa penyelidikan dan inovasi yang dapat memberi manfaat kepada negara. “Dengan kepakaran dalam bidang bioteknologi, saya berharap dapat membantu masyarakat dan industri-industri di Malaysia.
Antara projek R&D yang dijalankan adalah menghasilkan vaksin keluaran tempatan dengan kerjasama KKM. Ia sememangnya menepati bidang khusus saya iaitu mikrobiologi dan genetik molekul.”
Memiliki kelulusan Doktor Falsafah (PhD.) dalam Genetik Molekular dari Universiti Strathclyde, Glasgow, Prof Dr Raha telah melahirkan ramai anak didik yang mengikut jejak langkahnya dalam bidang sains. Terdahulu sebelum itu, beliau menggenggam Ijazah Sarjana Muda Mikrobiologi dan seterusnya Sarjana Sains dari Oklahama State University, USA.
Mengimbau kenangan persekolahan, bekas alma mater Kolej Tunku Kurshiah itu rupa-rupanya mula meminati bidang sains biologi selepas tamat Tingkatan 5. “Dulu di bangku sekolah, kalau ditanya antara subjek fizik, kimia atau biologi, jujur saya paling faham biologi. Di situlah titik permulaan pengajian saya dalam bidang ini sehingga bergelar seorang saintis.
Sebenarnya saya tak percaya dengan stigma bahawa pelajar sains ini nerd atau ulat buku. Bayangkan di sekolah dulu, saya seorang yang aktif. Saya masuk tarian, ahli band, main hoki dan bersilat, tapi pelajaran tetap jadi keutamaan. Pihak sekolah sendiri amat menekankan keseimbangan akademik dan kokurikulum, bukan hanya belajar semata atau jadi anti-sosial.”
Tambahnya, didikan ibu bapa turut memainkan peranan penting dalam membentuk karakter diri beliau hari ini. “Arwah abah saya merupakan seorang Settlement Officer (Penyelesai Pegawai Tanah) manakala ibu pula seorang kerani di pejabat kesihatan. Keluarga kami sederhana saja, taklah terlalu senang atau terlalu susah. Tapi mereka berdua sangat menitik beratkan pelajaran anak-anak.
Saya masih ingat waktu kecil-kecil dulu, arwah abah pernah belikan set ensiklopedia yang ada 24 buku tu. Saya juga peminat buku-buku bacaan klasik seperti Heidi, The Tale of Two Cities dan sebagainya. Memang kami rajin beli buku, sebab dia nak terapkan minat membaca dan cintakan ilmu pengetahuan. Bahkan arwah abah memang garang, beliau sentiasa ingatkan saya supaya belajar rajin-rajin demi masa depan dan keluarga.
Saya pula anak sulung dalam tiga beradik, alhamdulillah adik perempuan kini berjawatan Pengurus Besar di syarikat minyak dan gas multinasional manakala adik lelaki pula seorang Jurutera Perisian di Kuala Lumpur,” cerita Prof Dr Raha sambil tersenyum mengingatkan kenangan arwah yang susah menyebut perkataan ‘Microbiology’ dan ‘Molecular Genetics’ sehingga ke akhir hayatnya.
Sporting dan penuh kata-kata motivasi, ikuti temu bual eksklusif Nona bersama Prof Dr Raha sewaktu sesi fotografi Nona Superwoman Award 2024 baru-baru ini…
Wanita genius asal Johor ini merupakan Ketua Pegawai Eksekutif di National Institutes of Biotechnology Malaysia (NIBM) dan Profesor Amal di Universiti Putra Malaysia. Memiliki kelulusan Doktor Falsafah (PhD.) dalam Genetik Molekular dari Universiti Strathclyde, Glasgow, beliau telah melahirkan ramai anak didik yang mengikut jejak langkahnya dalam bidang sains.
Ads
Berpaksikan kelayakan Profesor Datuk Wira Dr Raha Abdul Rahim dalam bidang bioteknologi dan sains biomolekular, wanita yang memimpin ratusan saintis dalam menjadikan Malaysia sebagai hab bioteknologi global ini diberi pengiktirafan Nona Professional Award dalam Nona Superwoman Award 2024.
Orang yang mengejar dunia, pasti dunia dan akhirat akan meninggalkannya manakala jika orang itu mengejar akhirat, pastinya dunia dan akhirat akan mengikutinya. Itulah prinsip hidup yang dipegang oleh Prof Dr Raha, selain berusaha sebaik mungkin dalam menggalas amanah serta tanggungjawab yang diberikan kepadanya.
“Just do your best in life. Kalau kita sudah buat yang terbaik, saya percaya kita tak payah terkejar-kejar jawatan dan pangkat, ia akan datang dengan sendirinya, insyaAllah. Kalau tak datang sekali pun kepada kita, mungkin akan datang kepada anak-anak atau saudara mara kita,” kongsi Prof Dr Raha yang sangat menggemari puisi Rumi.
Merasakan rahsia kejayaan yang sebenar adalah bantuan dan sokongan suami, ibu bapa serta ahli keluarga tercinta, Prof Dr Raha turut merakamkan penghargaan beliau terhadap sahabat-sahabat dan juga kerajaan yang telah membiayai pengajiannya sehingga sukses.
PENDIDIK
Berusia 61 tahun, penyelidikan Prof Dr Raha banyak tertumpu kepada bidang mikrobiologi umpamanya pembangunan bakteria asid laktik. Beliau juga terlibat dalam pelbagai penyelidikan lain termasuk mengenal pasti penanda genetik dan pengesahan produk halal melalui kaedah molekul.
Ads
Sebagai pendidik pula, beliau telah membimbing dan menyelia lebih daripada 50 pelajar pasca siswazah, menerbitkan lebih daripada 130 kertas kerja dalam jurnal terpilih dan memfailkan beberapa hak harta intelek.
Mantan Naib Canselor Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) itu juga berperanan sebagai perunding kepada beberapa agensi kerajaan dan industri berkaitan bioteknologi. Prof Dr Raha pernah memegang pelbagai jawatan pentadbiran di Universiti Putra Malaysia, memegang gelaran Presiden Persatuan Bakteria Asid Laktik Malaysia, Presiden Persatuan Mikrobiologi Malaysia dan berkerjasama dengan pelbagai persatuan profesional lain antaranya Persatuan Biologi Molekul dan Bioteknologi Malaysia serta Persatuan Genetik Malaysia.
Di peringkat antarabangsa, beliau adalah ahli Persatuan Mikrobiologi Amerika dan pernah memegang jawatan Setiausaha Agung di Persekutuan Persatuan Bakteria Asid Laktik Asia.
“Pada peringkat ini, saya kira sudah ada sumbangan sedikit sebanyak kepada negara. Tapi yang paling bermakna adalah apabila saya berjaya menghasilkan pelajar-pelajar yang cemerlang, bukan saja dalam pelajaran bahkan tingkah laku yang baik. Saya bangga melahirkan ramai student PhD dan Masters, serta kemudian mereka pula menjadi pensyarah atau terlibat dengan penyelidikan,” katanya.
Menjadikan tokoh sains wanita terkemuka, mendiang Marie Curie, sebagai inspirasi, Prof Dr Raha memasang impian untuk menabur jasa kepada dunia. “Beliau adalah wanita pertama yang meraih Nobel Prize sebanyak dua kali (1903 & 1911) di atas penyelidikan yang dibuat terhadap X-Ray bagi tujuan perubatan terutamanya pencegahan kanser. Teori yang diperkenalkan oleh Marie Curie diguna pakai untuk pembuatan mesin X-Ray yang kita gunakan sehingga ke hari ini dan merupakan antara salah satu penemuan terhebat dalam teknologi sains.
Seorang lagi idola saya adalah mendiang Barbara McClintock. Beliau merupakan saintis wanita Amerika yang turut meraih Nobel Prize (1983) serta amat dikenali kerana penemuan ‘the jumping genes’. Dua wanita ini banyak menukar cara saya berfikir termasuk kemampuan kita untuk mengatasi halangan… and of course, breaking the glass ceiling!”
Mengakhiri temu bual, Prof Dr Raha yang diiktiraf Nona Professional Award 2024 sempat menitip pesan agar wanita harus berterusan membuat self-improvement. Tidak kira berapa pun usia kita, teruslah belajar dan memberi manfaat kepada orang lain. “Saya ada dua anak perempuan, Adeela dan Adreena yang kedua-duanya baru selesai pengajian Sarjana. Kepada mereka saya selalu berpesan bahawa kejayaan ini adalah berkat doa ibu bapa dan keluarga. Be humble and always remember your roots, ini juga pesanan saya kepada pelajar-pelajar saya,” akhiri beliau.
Wanita memainkan peranan yang penting dalam pelbagai aspek kehidupan termasuk keluarga, pendidikan, ekonomi, sosial, politik, kesihatan, dan seni budaya. Mereka adalah tunjang keluarga, pendidik, dan penjaga nilai moral serta penyumbang besar kepada ekonomi melalui pelbagai sektor pekerjaan.
Semalam telah berlangsung Malam Gala Ibu Inspirasi Mingguan Wanita dan Majalah NONA yang bertujuan memartabatkan figura ibu hebat yang berjasa dan menjadi inspirasi kepada masyarakat itu.
KDYMM Sultanah Nur Zahirah, Sultanah Terengganu berkenan berangkat mencemar duli hadir ke majlis bersama anakandanya, YAM Tengku Puteri Daulath. Turut hadir ialah YB Datuk Seri Dr. Noraini Binti Ahmad, YBhg. Dato’ Sri Suriani binti Dato’ Ahmad serta Tan Sri Sharizat Jalil.
Mingguan Wanita dan NONA dengan bangganya menganjurkan program “Sehebat Wanita Ini,” yang bertujuan untuk meraikan dan mengiktiraf sumbangan wanita-wanita hebat di Malaysia. Program ini merupakan inisiatif daripada team Wanita di Ideaktiv bertujuan mengetengahkan kisah-kisah inspirasi, pencapaian luar biasa, dan dedikasi wanita-wanita yang telah memberi impak besar dalam pelbagai bidang.
Program sehari yang berlangsung dari pagi hingga malam ini terbahagi kepada dua (2) aktiviti iaitu “Forum Anak Syurga” berlangsung pada sebelah siang dihoskan oleh Nani Roslan yang dibawakan oleh Al Kauthar Eduqids yang menampilkan panel-panel seperti Dr. Norzila Zakaria, selebriti Zarina Zainuddin, Datin Nor Fadilah Alias, Norhaidda Hassan, Dr Malar, Fynn Jamal dan Dr Robiah K Hamzah yang mengupas mengenai isu perkembangan, kesihatan dan kecerdasan anak-anak istimewa.
Dr Malar dan Norhaidda HassanZarina Zainuddin bersama Editor Pengurusan Mingguan Wanita & Nona, Kiffy Razak dan Dr. Norzila ZakariaFynn Jamal dan Dr Robiah K Hamzah
Seramai 500 orang ibu bapa yang mempunyai anak-anak istimewa yang menyertai forum ini yang menunjukkan betapa besarnya minat dan keperluan untuk membincangkan topik-topik seperti Power Up Mental & Fizikal, Kapsul Sihat & Cergas Dan Anak Istimewa Selangkah Ke Syurga. Forum ini bukan sahaja memberikan platform untuk berkongsi ilmu dan pengalaman tetapi juga bertujuan untuk membina komuniti sokongan antara ibu bapa yang mempunyai anak-anak istimewa. Melalui perkongsian ini, diharapkan para ibu bapa dapat memperoleh pengetahuan baru, sokongan moral, dan inspirasi dalam menjaga dan membesarkan anak-anak mereka.
Manakala pada sebelah malamnya berlangsung “Ibu Inspirasi Gala Night Mingguan Wanita dan NONA” yang dibawakan oleh Al Kauthar Eduqids di mana wanita-wanita hebat ini diraikan pada majlis “Ibu Inspirasi Gala Night Mingguan Wanita dan NONA” yang gilang-gemilang bertempat di Hotel Seri Pacific, Kuala Lumpur. Kebawah Duli Yang Maha Mulia (KDYMM) Sultanah Nur Zahirah, Sultanah Terengganu dan YAM Tengku Puteri Daulath Raja Tengku Fatimatuz Zahra binti Al-Wathiqu Billah Sultan Mizan Zainal Abidin mencemar duli berangkat menyerikan majlis. Yang Berhormat Datuk Seri Dr Noraini Ahamd, Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat juga turut hadir ke malam gala ini.
“Ibu Inspirasi Gala Night Mingguan Wanita dan NONA” bertujuan memartabatkan dengan memberi anugerah kepada ibu-ibu dan wanita -wanita berjaya dalam pelbagai bidang. Malam Gala ini dirancakkan lagi dengan pengacara terkenal Fiza Frizzy dan persembahan nyanyian oleh artis Atilia Haron dan ibunya Salamiah Hassan serta Mila Jirin. Ia merupakan malam yang penuh dengan kegemilangan, di mana pencapaian dan dedikasi wanita-wanita ini akan diraikan dengan penuh kemeriahan.
Wanita seringkali dikaitkan dengan mempunyai kesabaran dan kekuatan dalaman yang tinggi. Melalui program “Sehebat Wanita Ini,” Mingguan Wanita dan Nona ingin menonjolkan sifat-sifat murni ini yang telah mendorong wanita-wanita di Malaysia untuk mencapai kejayaan walaupun menghadapi pelbagai cabaran dalam kehidupan.
“Program ‘Sehebat Wanita Ini’ bukan sahaja platform untuk meraikan kejayaan tetapi juga untuk memupuk jaringan sokongan antara wanita. Ia adalah satu inisiatif daripada Mingguan Wanita dan Nona dalam menghubungkan wanita-wanita hebat ini dengan peluang-peluang baru, sumber-sumber penting, dan hubungan yang boleh membantu mereka berkembang dan berjaya dalam bidang masing-masing. program ini akan menjadi pemangkin kepada perubahan positif dan kemajuan wanita di Malaysia.”
Program ini menampilkan wanita-wanita dari pelbagai latar belakang, termasuk usahawan, selebriti, ahli profesional, serta individu-individu yang telah membawa perubahan positif dan memberi impak positif dalam masyarakat.
Dengan dua aktiviti utama ini, program “Sehebat Wanita Ini” tidak hanya meraikan kejayaan dan sumbangan wanita, tetapi juga memberi peluang untuk pendidikan dan sokongan komuniti yang sangat diperlukan. Ideaktiv berharap bahawa inisiatif ini akan menjadi satu titik permulaan kepada lebih banyak program dan aktiviti yang memberi manfaat kepada wanita-wanita di Malaysia.
Editor Pengurusan Grup Wanita, Kiffy Razak berkata, “Kami sangat bangga dapat memainkan peranan dalam penganjuran program ‘Sehebat Wanita Ini.’ Melalui inisiatif ini, kami berharap dapat memberi penghormatan kepada wanita-wanita yang telah menunjukkan dedikasi dan keberanian yang luar biasa. Kami ingin menyampaikan mesej bahawa setiap wanita memiliki potensi untuk mencapai perkara-perkara hebat dan program ini adalah platform untuk meraikan dan mengiktiraf sumbangan mereka. Diharapkan program ini dapat menginspirasikan lebih ramai untuk mengejar impian mereka dan memberi sumbangan yang bermakna kepada masyarakat.”
Pengasas Al Kauthar Eduqids, Datin Dr Nor Fadilah Alias berkata “Forum Anak Syurga Al Kauthar Eduqids ini merupakan platform yang sangat bermakna untuk berkongsi ilmu, pengalaman, dan inspirasi dalam usaha Al Kauthar Eduqids mendidik anak-anak syurga, khususnya mereka yang berkeperluan khas. Al Kauthar Eduqids komited dalam menyediakan pendidikan inklusif yang terbaik, memastikan setiap anak mendapat peluang yang sama untuk berkembang dan berjaya. Semoga dengan adanya forum ini, kita dapat memperkukuhkan lagi usaha Al Kauthar Eduqids dalam memberikan yang terbaik untuk anak-anak syurga kita”.
Pengasas Datin Nor Fadilah Alias bersama suami Dato’ Dr Kapten Bakhtiar Aliff menyembahkan cenderahati istimewa buat KDYMM Sultanah Nur Zahirah
“Selain itu, hari ini, kita berkumpul untuk meraikan Ibu Inspirasi, wanita-wanita hebat yang telah menunjukkan ketabahan, kasih sayang, dan komitmen yang luar biasa dalam membentuk keluarga dan masyarakat. Mereka adalah contoh teladan yang bukan sahaja menginspirasi kita semua tetapi juga membuktikan bahawa peranan seorang ibu adalah sangat berharga dan tak ternilai. Semoga pengiktirafan ini menjadi sumber inspirasi kepada kita semua untuk terus menghargai dan menyayangi ibu-ibu dalam kehidupan kita. Kepada semua Ibu Inspirasi, tahniah diucapkan, dan semoga terus sukses dalam setiap langkah yang diambil” tambah Datin Dr Nor Fadilah Alias lagi.
Senarai Penerima Anugerah Ibu Inspirasi Mingguan Wanita dan NONA.
Dalam kemeriahan menyambut Syawal, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Al-Wathiqu Billah Sultan Mizan Zainal Abidin dan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultanah Nur Zahirah mengingatkan rakyat di Terengganu dan seluruh negara khususnya agar tidak lupa menunaikan puasa sunat Hari Raya. Perkara itu disampaikan dalam Titah Perutusan Baginda Sultan Terengganu sempena kedatangan Aidilfitri 1440 Hijrah yang lalu.
Dalam perutusan yang dikongsikan di laman Instagram rasmi Terengganu, baginda Sultan Mizan bertitah agar kehadiran bulan mulia ini disambut penuh meriah dan bukan berlandaskan keseronokan semata-mata… sebaliknya perlu turut diisi dengan kesinambungan amal ibadah yang dilakukan sepanjang bulan Ramadan.
KDYMM Sultan Terengganu bersama keluarga tercinta
“Hari Raya tetap hari untuk bergembira. Tetapi agama Islam juga menggalakkan kita merayakan hari yang mulia ini dengan membanyakkan amalan-amalan yang membuktikan kesyukuran kita serta kesedaran bahawa ibadat puasa yang telah kita tunaikan perlu memberi kesan kepada nilai-nilai hidup kita secara berpanjangan dan dapat menginsafkan kita terhadap apa jua nikmat yang ada pada kita.
Dan jika kita menyerapkan ajaran ini dalam kehidupan kita, sudah tentu kita akan dapat banyak nikmat daripadanya. Ibadat puasa yang baru sahaja kita amalkan adalah di antara ibadat terpenting yang mempunyai banyak pengajaran untuk kita hidup dan mati dengan lebih sempurna.”
DYTM Yang Di Pertuan Muda Terengganu, Tengku Muhammad Ismail dan YAM Tengku Fatimatuz Zahra’
Titah baginda lagi… “Sehubungan dengan itu, bagi menjamin kesungguhan istiqamah dalam ibadah khususnya berkaitan puasa Ramadan, sukacita Beta mengingatkan kepada seluruh rakyat Beta supaya melakukan amalan puasa sunat enam Syawal.
Tuntutan puasa enam ini juga disebut oleh Rasulullah SAW dalam sebuah hadis yang bermaksud, ‘Sesiapa yang mengerjakan puasa pada bulan Ramadan dan enam hari selepas hari Raya, dia telah menyempurnakan puasa sepanjang tahun.
Ini kerana sesiapa yang mengerjakan kebaikan, dia akan mendapat ganjaran sebanyak 10 kali ganda.’
Di samping itu mengulangi dan meneruskan puasa yang dilakukan di dalam bulan Ramadan dengan harapan agar tahap keimanan kita terhadap Allah SWT akan kekal serta bertambah walaupun tidak lagi berada dalam bulan Ramadan.”
Selain menekankan kebaikan berpuasa di bulan Syawal… Sultan Mizan turut berpesan agar umat Islam mengambil peluang Aidilfitri ini untuk mengeratkan silaturahim dengan kunjung-mengunjung dan saling bermaafan.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Yang Amat Mulia (YAM) Tengku Datin Paduka Setia Zatashah Sultan Sharafuddin Idris Shah sememangnya dikenali sebagai puteri diraja yang berjiwa rakyat. Tanggal 12 Oktober semalam merupakan ulang tahun keputeraan Tengku Zatashah yang ke-47. Tak sangka rupa-rupanya puteri diraja Selangor ini sudah meniti usia lewat 40an. Memang nampak awet muda! Mungkin sebab Tengku Zatashah sangat mementingkan gaya hidup aktif dan sihat.
Bagi mereka yang sering mengikuti perkembangan Tengku Zatashah pasti menyedari puteri jelita ini seorang wanita berjiwa klasik dan gemar mengenakan persalinan tradisional kebaya. Tidak kira ketika menghadiri majlis rasmi mahupun tatkala menyambut musim perayaan… busana tradisi sentiasa menjadi pilihan.
https://www.instagram.com/p/CGOT7eAhKcw/
Tengku Zatashah di samping ibunda tersayang
Jika diamati koleksi baju kebaya Tengku Zatashah memang bermacam-macam rekaan dan warna ada dalam simpanannya. Tidak mahu terikat dengan style dahulu semata-mata Tengku Zatashah bijak mempelbagaikan gaya agar sentiasa tampil segar. Ada masanya juga, Penaung Make-A-Wish Malaysia ini mengenakan padanan seluar panjang yang dilihat cukup sesuai dengan cita rasa moden.
Selain sarat dengan budaya ketimuran dalam pemakaian, Tengku Zatashah juga seorang puteri diraja berjiwa rakyat. Mana tidaknya, penglibatan Tengku Zatashah dalam badan kebajikan bukan lagi rahsia. Ada saja peluang untuk membantu golongan kanak-kanak, individu kurang berkemampuan dan warga emas… pasti kelibat Tengku Zatashah muncul dalam aktiviti kemasyarakatan sedemikian. Termasuklah usaha untuk melindungi hidupan liar dan laut yang kini diancam mati akibat pencemaran.
Tengku Zatashah sebelum ini pernah terlibat dan masih aktif menyertai kempen Zero Food Wastage, Women Empowerment, No Bully dan Save Wild Life. Malah, puteri ini juga merupakan sukarelawan Kechara Soup Kitchen Society iaitu sebuah organisasi yang berperanan memberi bantuan makanan kepada golongan gelandangan. Difahamkan, tahun ini ialah tahun kelima Tengku Zatashah bersama organisasi tersebut.
Moga segala usaha murni Tengku Zatashah dalam mempromosikan budaya Malaysia dan keprihatinan terhadap semua pihak termasuk haiwan mencetus inspirasi kepada wanita lain.
Masjid Habib di Pulau Pinang menampilkan seni bina Jawi Peranakan, kubah berinspirasikan intan, serta kemudahan mesra komuniti — sebuah wakaf bernilai RM30 juta yang menjadi simbol cinta dan syukur.