
Baru berusia tiga bulan tapi kecomelan anak kepada Raja Pop, Datuk Jamal Abdillah ini jelas terserlah. Berkulit putih kemerahan dan bermata bundar, permata hati Datuk Jamal dan Datin Zai Izzati Khairuddin ini bikin peminat terpaku dengan wajah Nur Azura Yamani. Pantang sahaja diagah… anak kecil ini pasti tertawa manis. Alahai, cair tengok!
Nur Azura Yamani yang dilahirkan pada 10 Oktober lalu merupakan cahaya mata pertama Datin Zai Izatti sementara zuriat ketiga bagi Datuk Jamal Abdillah. Awal kehamilan, baik Datuk Jamal mahupun isteri memilih untuk tidak mengumumkan berita gembira tersebut kepada peminat.
Ini kerana ujar penyanyi yang berasal dari Perak itu… isterinya pernah mengalami keguguran sebanyak tiga kali dan mendapatkan rawatan pakar bagi menguatkan rahim.

https://www.instagram.com/p/B68Uafulq1b/
Syukurlah kerana kehadiran Nur Azura Yamani ini menyerikan lagi rumah tangga Datin Zai Izzati dan Datuk Jamal Abdillah. Mereka sah bergelar suami isteri pada tanggal 1 April 2017 di Ipoh, Perak selepas berkenalan selama dua bulan dan berjumpa hanya sekali sebelum bernikah.
Hampir tiga tahun melayari bahtera perkahwinan dan kini diserikan dengan kehadiran cahaya mata comel, pastinya pasangan selebriti ini sedang diulit bahagia!
Bercerita tentang suri hati Datuk Jamal Abdillah, Datin Zai Izzati yang sedang meniti usia 26 tahun sememangnya seorang wanita yang cukup sempurna. Rupa paras beliau yang sarat dengan kelembutan dan berkulit mulus mampu membuatkan sesiapa sahaja toleh beberapa kali.

Walau sudah bergelar ibu, Datin Zai Izatti tetap mementingkan kecantikan diri dan memastikan penampilannya dari hujung rambut ke hujung kaki tetap terjaga. Untung Datuk Jamal!
Ini merupakan perkahwinan keempat Datuk Jamal Abdillah selepas pernah mendirikan rumah tangga dengan Basariah Abdul Latiff, Noraina Mohd Yusof dan Fatimatuzahrah Samad. Walau jarak usia 35 tahun dengan Datin Zai namun ia bukan halangan buat kedua-duanya melayari perkahwinan bahagia sama seperti suami isteri lain.
Perkahwinan yang diatur keluarga itu juga diterima baik anak-anak lelaki Datuk Jamal iaitu Osama Yamani, 18 tahun hasil pernikahan dengan Noraina dan Ahmad Zaki Yamani, 12 tahun anak dengan isteri ketiganya iaitu Fatimatuzahrah.
Semoga Nur Azura Yamani membesar dengan sihat dan menjadi kebanggaan ibu bapa kelak. Mesti Datuk Jamal teruja dengan kelahiran Nur Azura kerana ia adalah kali pertama beliau menimang cahaya mata perempuan.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Tak Tumpang Publisiti Bapa, NJWA MAHIADDIN Selesa Bergelar Anak Seni Dari Ceburi Politik!

Bersandarkan status dan pangkat bapanya sebagai ahli politik terkenal, Najwa Mahiaddin boleh mengambil ‘jalan singkat’ untuk dikenali dan berjaya dengan mudah. Namun anak seni berusia 33 tahun ini memilih untuk bermula dari bawah dan jauh daripada ‘spotlight’ populariti bapa tersayang. Apatah lagi, kini bapanya merupakan Perdana Menteri ke-8, Tan Sri Muhyiddin Yasssin.
Sepanjang bergelar pemuzik, Najwa yang kini dikenali sebagai Njwa Mahiaddin dilihat tidak gemar mencampuri urusan politik bapanya. Malah, ketika Tan Sri Muhyiddin masih memegang jawatan Timbalan Perdana Menteri (TPM) pun… dia seboleh-bolehnya mengelak status sebagai anak TPM diketahui umum. Mungkin kerana bimbang hal tersebut lebih menarik perhatian masyarakat berbanding bakatnya dalam karier muzik.

Nama Njwa mula meniti di bibir peminat sejak dendangan lagu duetnya bersama Malique iaitu Senyum berkumandang di corong stesen radio tanah air sekitar tahun 2010. Dari situ, Njwa semakin aktif mengubah lagu dan menyertai pertandingan nyanyian. Antara lagu popular Njwa termasuk Got To Go, Sweet October dan Sama Saja.
Tidak pernah selektif dalam membuat persembahan, Njwa dikhabarkan tetap menerima mana-mana pelawaan nyanyian tidak kira berskala kecil mahupun besar. Semuanya kerana rasa cintanya terhadap muzik. Lebih membanggakan, wanita berusia 33 tahun ini pernah menggondol anugerah Lagu Inggeris Tempatan Terbaik di Anugerah Industri Muzik ke-18.


Mengintai latar belakang penyanyi bersuara unik ini, Njwa merupakan anak ketiga daripada empat beradik bagi pasangan Tan Sri Muhyiddin Yassin dan isteri, Puan Sri Noorainee Abdul Rahman. Njwa juga pernah mendedahkan dia tidak datang dari keluarga yang berlatar belakangkan muzik tetapi minat terhadap dunia seni hadir ketika dia mengikuti kelas piano dan muzik sejak kecil. Dia turut menjalin hubungan baik bersama penyanyi bertaraf antarabangsa, Yuna ketika kedua-duanya pernah berpadu suara dalam sebuah konsert.
Meniti tanggal 26 Mac ini genap lima tahun Njwa bergelar isteri kepada Idris Koh yang merupakan salah seorang ahli muzik yang sering mengiringi Njwa dalam setiap persembahannya.
Kredit foto: Instagram Njwa Mahiaddin
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Malam Resepsi Perkahwinan Aazief & Izza Berkonsepkan Venice, Pelamin Mewah Saksi Cinta Abadi

Umpama magis, malam resepsi perkahwinan Aazief dan Izza berkonsepkan kota cinta Venice, pelamin mewah saksi cinta abadi.
Bagaikan masih terbayang-bayang keindahan malam resepsi perkahwinan anak bongsu Dato’ Sri Khalid Jiwa dan bekas isteri, YM Tengku Datin Seri Zawyah iaitu Muhammad Aazief dan Izza Atirah Shirafuddin pada 30 Ogos lalu.
Memilih venue ikonik, The Majestic Hotel Kuala Lumpur, pasangan mempelai selamat bernikah pada 23 Ogos dengan sekali lafaz dengan pengantin perempuan menerima satu dinar emas sebagai mas kahwin.



Saksikan video majlis akad nikah Aazief dan Izza yang sempat Nona rakamkan…
Kagum melihat dekorasi pelamin dan ballroom dari sentuhan perancang perkahwinan mahsyur, Reka Teemor. Terinspirasi daripada jendela ikonik seni bina Venice, majlis resepsi perkahwinan Aazief dan Izza bertemakan hitam putih ini berlangsung dalam suasana penuh romantis, elegan dan sarat kemewahan.
Para tetamu disambut oleh gondola di pintu masuk, sedang panorama memukau Venice menjadi latar pelamin yang terpahat sebagai kenangan indah buat setiap tetamu yang diundang.
Kedua mempelai melangkah di atas lorong yang seakan-akan mencerminkan lembutnya alunan air Venice. Setiap langkah mengabadikan magis terusan kota itu dan cinta yang dikongsi.



Di bawah kilauan candelier gemerlapan, meja-meja dihias kristal dan bulu burung unta yang halus, diserikan lagi dengan hydrangea dan mawar hitam yang langka serta diterbangkan dari Kenya.
Keindahan dekorasi pelamin dan Grand Ballroom sentuhan Reka Teemor…
PERSALINAN
Untuk majlis resepsi ini, ratu sehari tampil mempesona dalam gaun renda berhias manik halus rekaan Teh Firdaus. Elegan, berkelas dan penuh kelembutan, seindah bayangan peribadi Izza Atirah sendiri.

Siluet yang abadi dihiasi dengan perincian halus yang berbisik perlahan, namun meninggalkan kesan yang takkan pernah padam. Sopan dan kemas kerudung sifon yang dikenakan, terletak rapi hasil jari-jemari Nazrul Anas Zunaidi atau Nazlivingstyle.
Tambah menawan, layangan solekan jurusolek terkenal, Razzi Musa, menyerlahkan kecantikan semula jadi milik gadis yang menawan hati Aazief ini. Manis dan timeless, membuat setiap mata tak jemu memandang.
Raja Sehari pula segak dalam balutan tuksedo hitam rekaan Lord’s Tailor. Bow tie hitam melengkapi gaya maskulin Aazief, menyerlahkan sifat seorang suami yang ideal, tampan dan bertanggungjawab.
KELUARGA BESAR
Umpama magis, malam resepsi perkahwinan Aazief dan Izza berkonsepkan kota cinta Venice, pelamin mewah saksi cinta abadi.
Bahagianya tengok keluarga besar Dato’ Sri Khalid Jiwa, Dato’ Sri Siti Nurhaliza, Dato’ Sri Rayyan Joseph dan YM Tengku Datin Sri Zawyah berkumpul meraikan malam resepsi perkahwinan Aazief dan Izza Atirah.
Turut kelihatan adik-beradik Aazief terdiri tiga orang abang kandung iaitu Anas dan isteri, Nasha Alyssa Hishamuddin; Adib dan isteri, Izara Aishah; serta Asyraf dan isteri, Tya Arifin; selain dua adik tiri hasil perkahwinan bapa mereka dengan Biduanita Negara Dato’ Sri Siti Nurhaliza iaitu Aafiyah dan Afwa.





Bertuah Aazief ada dua orang ibu dan ayah terbaik, saling berbahagia dengan jalan hidup masing-masing namun tetap bersatu sebagai sebuah keluarga.
Majlis yang berlangsung di The Majestic Hotel, KL ini turut diserikan kehadiran isteri Perdana Menteri, Dato’ Sri Dr Wan Azizah, selain barisan tetamu kehormat antaranya Menteri Komunikasi, Datuk Ahmad Fahmi Fadzil serta ramai lagi kerabat VVIP.


Artikel berkaitan: https://www.nona.my/anak-tanah-merah-kelantan-dilantik-akauntan-negara-zainani-jusoh-urus-wang-amanah-rakyat/
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Bekas Pelajar Cemerlang Sekolah Cempaka & Pandai Cakap Jepun, Chryseis Tan Warisi Bakat Niaga Ayah!

Seorang genius, bekas pelajar cemerlang Sekolah Cempaka dan pandai cakap Jepun, wanita korporat bernama Chryseis Tan ini warisi bakat niaga ayah tersayang!
Di sebalik karakternya yang elegan, Chryseis Tan mewakili jiwa wanita yang rajin bekerja, optimis dan bersifat pemimpin. Ikon fesyen yang juga isteri kepada ahli perniagaan SM Faliq Nasimuddin itu bukan saja menggalas jawatan Pengarah Eksekutif Berjaya Corporation Berhad, bahkan Ketua Pegawai Eksekutif Cosway (M) Sdn Bhd dan Pengasas LUMI Beauty.
Seorang yang profesional dan menyenangkan, kehadiran Chryseis Tan dalam persalinan serba putih ke Diplomat Suite, Grand Hyatt Kuala Lumpur menebarkan aura luar biasa.
Dari tutur katanya yang lembut, ibu dua anak berusia 36 tahun ini tidak langsung meninggi diri meskipun umum mengenali latar belakang Chryseis daripada keluarga hartawan. Turut digelar ikon fesyen terkenal, beliau yang cukup bijak bergaya mengakui selesa bekerja seperti wanita lain.
BEKAS PELAJAR CEMERLANG SEKOLAH CEMPAKA
“Sebenarnya keluarga kami amat mementingkan soal pendidikan dan perniagaan. Dalam pelajaran, ibu bapa saya tidak terlalu garang, tapi sangat supportive dan mereka mahu saya selalu belajar dari kelemahan. Semua perkara ini memang amat penting untuk jadi seorang usahawan,” ujar Chryseis sambil tertawa sebaik ditegur kefasihannya berbahasa Melayu.

Membesar dengan menggunakan Bahasa Inggeris sebagai bahasa pertuturan di rumah, ramai tidak menyangka bahawa Chryseis sebenarnya boleh bercakap Bahasa Melayu dengan baik.
Sambil tersenyum, beliau menjawab, “Not so fluent, tapi okeylah! Mula-mula dulu terkejut juga bila ramai sangkakan saya tak tahu cakap Melayu. Tapi memandangkan suami saya orang Melayu, jadi saya banyak belajar tentang bahasa, adab dan budaya keluarga suami saya,” kata Chryseis dengan lembut.
Bekas pelajar Cempaka International School ini mengakui sejak di bangku sekolah sudah bertutur dalam Bahasa Melayu dan Cina. Tambah Chryseis yang merupakan anak kepada ahli perniagaan terkemuka, Tan Sri Dato’ Seri Vincent Tan, mereka sekeluarga juga serasi menerima perbezaan budaya, adat dan kepercayaan masyarakat majmuk di negara ini.
“Saya dan adik-beradik saya tidaklah terlalu dimanjakan. Of course our parents spoiled us in some ways but they also teach us to be very grounded. Dan paling penting menerapkan nilai-nilai kehidupan yang baik dari kecil hingga sekarang.”
Suka tengok Chryseis Tan bercakap Bahasa Melayu, tonton video penuh vodcast bersama beliau di bawah…
PANDAI CAKAP JEPUN
Seorang genius, bekas pelajar cemerlang Sekolah Cempaka dan pandai cakap Jepun, wanita korporat bernama Chryseis Tan ini warisi bakat niaga ayah tersayang!
Wanita yang memiliki kelulusan Bachelor of Arts in Liberal International Studies dari Universiti Waseda, Tokyo (2012) ini juga mampu berbahasa Jepun. “Arigato gozaimasu! Negara Jepun sangat istimewa di hati kami sekeluarga. Memang pada awalnya saya agak skeptikal, tapi ayah kata ia sebuah negara yang selamat dan saya boleh banyak belajar tentang budaya serta bahasa baru.
Momen melanjutkan pengajian di Negara Matahari Terbit itu sangat menyeronokkan. I had a good times and I enjoyed it. Saya rindu makanan di sana dan vibe gabungan moden-tradisional yang menjadi jiwa masyarakat Jepun. Ia menjadi pengalaman hidup terindah dan bermanfaat untuk saya.”
Tidak mensia-siakan ilmu dan pengalaman yang dituntut di Jepun, Chryseis kini sibuk berulang-alik dari tanah air ke sana bagi membantu kelancaran operasi dua buah hotel milik Berjaya Hospitality Group iaitu ANSA Okinawa Resort, Okinawa dan Berjaya Hakkoda Ski Resort, Aomori. Sememangnya melancong ke luar negara sudah sebati dengan jiwanya sejak kecil kerana syarikat ini sudah mencecah empat dekad ditubuhkan dengan puluhan hotel dan resort terkemuka di serata pelosok dunia.
Meskipun dilahirkan dalam dulang emas, Chryseis tidak memilih menjalani kehidupannya tanpa bekerja. Selain menerajui syarikat konglomerat Berjaya Corporation Berhad sebagai Pengarah Eksekutif, beliau juga memimpin syarikat antarabangsa Cosway (M) Sdn Bhd di tanah air dan terbaharu, mengasaskan jenama produk kecantikan LUMI BEAUTY pada tahun 2020.
“Idea melancarkan produk sendiri timbul daripada minat saya dalam bidang keusahawanan, and also spotting gaps in the market. Saya nak hasilkan sesuatu yang betul-betul bermakna bagi diri saya – I love skincare, I love beauty… you know, semua wanita sukakan kecantikan. Kini kami ada dua kiosk di The Exchange TRX dan Bangsar Village II, gedung-gedung farmasi terpilih serta berkembang pesat di pasaran online seperti Shopee, TikTok dan Zalora.”

Berkongsi tentang perasaan ketika melihat produk pertamanya di pasaran, tanpa berselindung Chryseis bercerita dalam nada teruja. “Masa melihat produk pertama LUMI BEAUTY mula dijual, saya memang sangat happy dan nervous! Tak sabar-sabar nak tengok reaksi pelanggan.
Bila produk akhirnya dijual, saya rasa bangga dan sangat lega kerana ia diterima baik oleh semua pihak. Masa itulah saya tahu yang LUMI ada potensi untuk berkembang dan betul-betul boleh bantu banyak orang untuk mendapatkan kulit yang lebih cantik.”
Ditanya rahsia kejayaan mengembangkan bisnes dalam masa yang singkat, Chryseis yang sememangnya membesar dalam keluarga usahawan tidak lokek berkongsi ilmu. “Sebenarnya untuk mengembangkan bisnes dengan cepat kena sentiasa fleksibel dan betul-betul dengar apa kemahuan pelanggan. Saya lebih fokus untuk bina presence jenama yang kuat menerusi online kerana ia membantu pengusaha mencapai lebih ramai orang.
Sebenarnya personaliti saya berubah-ubah mengikut keadaan. Tegas di tempat kerja apabila membuat keputusan dan memastikan semua siap pada waktunya. Apabila di rumah atau bersama kawan-kawan, personaliti bertukar lebih santai dan menyeronokkan,” jawabnya yang dilihat sangat penyayang dan suka memanjakan anak-anak, Arianna dan Arman.
“Kuasa networking juga memainkan peranan besar. Berkat connection saya dan kerjasama baik dengan orang-orang dalam industri. Satu lagi perkara penting, mesti peka dengan trend!” ujar Chryseis sambil menekankan kepentingan ketua menjaga hubungan dengan staf. “Nilai ini sangat penting kerana di LUMI, saya pastikan setiap kakitangan ada peluang untuk berkembang secara profesional dan saya cuba yang terbaik untuk melabur dengan masa depan mereka.
Untuk memulakan perniagaan itu mudah tapi untuk mengekalkannya agar terus relevan dan berdaya maju di pasaran perlukan usaha yang konsisten. Sebagai ketua, saya pastikan ada penghargaan, aktiviti team building serta work-life balance untuk setiap pekerja. Semua ini penting untuk memastikan syarikat terus berkembang.”

Sepanjang kerjaya Chryseis, pastinya berdepan dengan banyak cabaran atau kecaman negatif. Namun satu perkara yang mengagumkan, beliau kekal tenang dan bijak menyelesaikan setiap isu dengan profesional. “Bila berlaku situasi yang mencabar, pertama sekali saya akan cuba tenangkan diri. Saya akan dengar betul-betul apa yang dikatakan supaya jelas dengan keadaan. Daripada stres, saya terus fokus cari solusi dan jalan penyelesaian segera supaya situasi tak berlarutan.
Kedua, saya selalunya akan libatkan team saya untuk brainstorm bersama-sama. Fikirkan punca dan penyelesaian terbaik, bincangkan segala kemungkinan atau implikasi kemudian barulah bertindak. Saya lebih kepada cara kerja berpasukan. Kemudian selepas selesai masalah, saya akan fikir apa yang kita boleh belajar daripada masalah yang berlaku dan pastikan untuk buat lebih baik pada masa hadapan,” kongsi Chryseis yang diiktiraf sebagai penerima Nona Corporate Award.
Jangan cepat putus asa. Itu antara nasihat Tan Sri Vincent Tan kepada Chryseis dalam perniagaan selain harus berusaha gigih dan bijak beradaptasi dalam pelbagai situasi. ‘Adapting is so important!’ kata Chryseis sambil memberi nasihat kepada bakal usahawan agar memberi fokus penuh kepada kualiti serta keberkesanan produk atau servis yang ingin diusahakan. Berikan yang terbaik. If it’s good, people will like it and they will come back for more!
“Saya rasa zaman sekarang dah berubah. Sekarang, masyarakat lebih moden dan berfikiran terbuka. Tiada lagi sentimen gender umpamanya hak bersuara atau isu staf lelaki tak menghormati staf wanita. Kini sangat ramai wanita bekerja, bergelar ketua dan usahawan berjaya. Bahkan di Berjaya Corporation sendiri, barisan Lembaga Pengarah syarikat juga terdiri daripada semua wanita dengan Pengerusinya, YAM Tunku Tun Aminah Sultan Ibrahim Ismail,” kata Chryseis yang menggemari hobi baking.
Kebolehan wanita ini membahagikan masa untuk semua perkara; menjadi ibu, isteri dan pemimpin di tempat kerja, serta yang utama meluangkan masa untuk diri sendiri, benar-benar menjadi inspirasi. Akhiri Chryseis, faktor pengurusan masa memang sangat penting dan beliau sendiri akan pastikan untuk selalu mengutamakan keluarga, kerjaya dan diri sendiri. Memiliki sistem sokongan yang kuat juga sangat membantu untuk mengimbangi semua perkara dengan sebaiknya.
Artikel berkaitan: https://www.nona.my/sentiasa-berpijak-di-bumi-nyata-muabellaz-tak-lupa-asal-usul-anak-nelayan-pernah-hidup-susah/
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!


