Sebagai adik kepada penyanyi tersohor negara, Siti Sairah Tarudin tidak terkecuali terkena tempias glamor Dato’ Sri Siti Nurhaliza. Apa saja yang dilakukan Sairah turut menjadi perhatian khalayak. Tambahan pula, penyanyi berusia 34 tahun ini kembali mewarnai industri muzik negara dengan membuat comeback single terbarunya, Hanya Restu.
Masih dalam mood pengantin baru, nama Sairah kian menjadi bualan ramai sejak dia mendirikan rumah tangga dengan jejaka pilihan, Mohd Sharidan Johari pada 24 Februari lalu. Khabarnya Sharidan adalah kenalan lama Sairah dan mereka sudah mengenali sejak tahun 2009 lagi. Namun hubungan itu terputus selepas Sairah berkahwin pada 2010. Takdir Tuhan, mereka berdua dipertemukan semula dan kembali berhubung rapat sekitar dua tahun lepas.
Siti Sairah di samping suaminya, Sharidan
Lumrah bagi kebanyakan pasangan baru berkahwin, sama ada keluarga mahupun peminat pastinya ternanti-nantikan ‘berita gembira’ daripada mempelai. Iyalah, mana tahu sudah bunting pelamin. Dan status yang dimuat naik Sairah ini nyata mengundang pelbagai reaksi.
“Hye semua, hari ni kita tak berapa sihat sebab sakit gigi. Terus kita teringat kat husband kita yang jauh dari kita. SAKIT GIGI ADOIII! Sabar je lah Sairah,” kongsinya di laman Instagram @sitisairahtarudin petang tadi.
Ads
Sakit gigi saja rupanya. Ingatkan Sairah hendak umumkan berita kehamilan. Apa-apa pun, moga kesakitan yang dialami Sairah beransur pulih dan melayari bahtera perkahwinan dengan penuh sabar di samping suami tercinta.
Ads
Pada majlis pernikahan yang berlangsung penghujung Februari lalu, Sairah sah bergelar isteri Sharidan dengan sekali lafaz kira-kira jam 11 pagi di Pusat Antarabangsa Cornerstone selain menerima mas kahwin RM100. Namun jumlah wang hantaran dirahsiakan. Usai ijab kabul, mereka berdua diraikan dalam majlis resepsi penuh meriah bertemakan rona putih dan ungu yang diadakan di lokasi sama.
Ini merupakan perkahwinan kedua Sairah selepas berpisah dengan bekas suami pada 2014. Hasil perkahwinan terdahulu, Sairah mempunyai tiga orang cahaya mata iaitu Ummi Umairah, Ahmad Daiyan dan Ahmad Aisy.
Selendang, bawal, awning, half moon dan instant shawl… semua itu antara jenis tudung yang menjadi pilihan para hijabi. Tidak kiralah apa juga jenis yang digayakan, tujuannya tetap satu iaitu untuk menutup aurat seorang wanita muslimah daripada pandangan bukan mahram.
Selaku wanita muslimah dan selebriti berhijab yang dikenali masyarakat, Uyaina Arshad punya pandangan tersendiri tentang pemakaian hijab. Tidak bermaksud bait-bait pantun nukilannya ditujukan kepada segelintir pihak… Nona percaya apa yang dikongsikan wanita cantik ini adalah sebagai peringatan buat diri tentang betapa tingginya martabat bergelar seorang wanita.
Ada apa dengan sehelai kain? Yang digunakan untuk menutupi mahkota, Kerna letaknya di kepala, Darjatnya juga harus tinggi bertahta,
Indahnya wanita bertutup, Disulami akhlak yang manis, Dalam Quran sudah temaktub, Memuliakan peribadi si gadis,
Sekali dipakai, jangan pernah ragu, Jangan dibuka, jangan keliru, Indahnya wajahmu, seindah tudung yang membaluti rambutmu, Muliakan ia, dan ia akan memuliakan kamu.
Uyaina atau nama sebenarnya Shaidatul Naseha Uyaina Arshad mula menngasah bakat pengacaraan pada tahun 2015 dan merupakan graduan Undang-Undang dari Universiti Malaya (UM). Meniti usia 27 tahun, Uyaina yang berasal dari Perak ini juga merupakan Juara Puteri Muslimah Asia 2018 yang berjaya menewaskan gadis-gadis muslimah berbakat dan berilmu dari Indonesia, Turki, Singapura, Brunei dan Timur Leste.
Selain petah berbicara, kerjaya seni Uyaina juga semakin berkembang sejak memenangi pertandingan yang berlangsung di Indonesia itu, tahun lalu. Memandangkan popularitinya yang kian meningkat naik di sana, Uyaina turut mendapat tawaran menjadi pengacara bagi program televisyen di Indonesia… menjadikan dia sebaris dengan pengacara popular di negara jiran tersebut.
Di Malaysia, nama Uyaina tidak kurang hebatnya dan semakin mekar bergelar pengacara dan pelakon. Terbaru, dia turut terlibat membintangi sebuah drama popular dan bakat lakonan Uyaina nyata tidak menghampakan dan mendapat pujian ramai.
Semoga kejayaan dan penampilan sopan Uyaina terus menjadi inspirasi kaum wanita sama ada di dalam dan luar negara.
Kredit: Instagram Uyaina Arshad
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Satu demi satu jenayah seksual melibatkan hubungan sejenis dan liwat dilaporkan saban hari. Dan di antara yang paling tular mengejutkan rakyat Malaysia adalah kes penderaan seksual seorang bapa terhadap anak daranya sendiri yang kini berumur 15 tahun.
Naluri seorang ibu, Nona sendiri cukup terkesan dengan laporan kes keji ini. Heboh diperkatakan, suspek telah didakwa dengan 626 pertuduhan termasuk 600 kali meliwat, merogol dan melakukan perbuatan seksual fizikal ke atas anak kandungnya hari ini.
Kegilaan bapa itu memang di luar jangkauan fikiran, apabila dia tergamak melakukan perbuatan keji tersebut hampir setiap hari di bulan Ramadan termasuk pada 1 Syawal. Lelaki durjana tersebut turut dilaporkan meliwat anaknya tiga kali sehari bermula Januari lalu.
Apakah manusia semakin hilang pertimbangan dan perikemanusiaannya? Tidakkah kita belajar dari sejarah kaum Nabi Luth dan azab bencana yang Allah turunkan kepada mereka?
Kaum Nabi Luth Lahir Semula?
Kes hubungan songsang, perkahwinan sejenis dan LGBT kini merupakan fenomena sosial yang amat menakutkan. Barangkali sudah ramai yang lupa kisah kaum Nabi Lut ini? Ayuh ulang kaji malam ini.
Luth bin Haran bin Tarah (Azar) adalah anak saudara Nabi Ibrahim. Luth adalah antara orang beriman yang mengikut Nabi Ibrahim berpindah dari Babylon ke Palestin dan Mesir. Kemudian Nabi Luth mendiami kota Sadum (Sodom) di wilayah Jordan.
Namun, penduduk kota itu berakhlak keji, malah mereka derhaka dan kufur dengan nikmat Tuhan. Kegiatan merompak barangan yang dibawa kafilah dan mengunjungi pusat maksiat menjadi darah daging mereka. Lebih menjijikkan mereka mengamalkan liwat (homoseks).
Nabi Luth menasihati kaumnya supaya meninggalkan perkara maksiat, sebaliknya beriman kepada Allah dan mengingatkan mereka mengenai azab yang bakal diturunkan jika terus bergelumang dengan perbuatan keji itu.
Kaumnya tidak pedulikan nasihat itu, Malah berani memberi amaran kepada Nabi Luth: “Jika kamu tidak berhenti memperlekehkan kami, kami akan mengusirmu dari negeri ini.” Luth berkata: “Sesungguhnya aku mengingkari dan benci perbuatan yang kamu lakukan.”
Seterusnya mereka mencabar Nabi Luth dengan berkata: “Jika benar dengan azab yang kamu ancam ke atas kami, segerakanlah dan datangkan ia kepada kami.”
Mendengar perkataan mereka, Nabi Luth berdoa kepada Allah. Dalam Al-Quran dijelaskan, maksudnya: “Luth berdoa, wahai Tuhanku, tolonglah aku dengan menimpakan azab ke atas kaum yang melakukan kebinasaan itu.” Doa Nabi Luth diterima Allah, lalu diutuskan-Nya beberapa malaikat untuk menurunkan azab ke atas kaumnya.
Sebelum itu, malaikat berkenaan mengunjungi Nabi Ibrahim dan memberitahu tujuan kedatangan mereka. Nabi Ibrahim berkata: “Ya Allah, di dalam negeri itu ada Luth dan bagaimana dengan beliau jika negeri itu dimusnahkan?”
Perkara ini dapat diperhatikan melalui al-Quran, maksudnya: “Berkata Ibrahim; sesungguhnya di kota itu ada Luth. Malaikat berkata: “Kami lebih mengetahui siapa yang ada di kota itu. Kami akan menyelamatkan dia dan pengikutnya, melainkan isterinya, dia termasuk orang yang tertinggal, dibinasakan.”
Setelah mengunjungi Nabi Ibrahim, tidak berapa lama selepas itu malaikat dengan menyamar sebagai lelaki yang tampan pergi ke Sadum. Sampai di Sadum, mereka berjumpa dengan anak perempuan Luth.
“Wahai saudari, sudikah saudari menerima kami sebagai tetamu keluargamu?” ujar salah seorang daripada tiga malaikat yang menjelma sebagai pemuda tampan bertubuh sasa itu.
Si gadis yang sedari tadi begitu leka mencedok air dari perigi itu terkejut. Hampir sahaja timba yang sedang dipegangnya lucut ke dalam perigi. Wajahnya menjadi pucat. Lidahnya serta-merta kelu.
Dia tidak dapat berkata apa-apa. Hatinya tiba-tiba diserang bimbang. Kebimbangan yang bukan disebabkan oleh kehadiran pemuda-pemuda kacak di hadapannya itu. Tetapi kerana dia telah dapat mengagak apa yang bakal berlaku sekiranya mereka diterima bertamu di rumahnya.
Anak gadis Nabi Luth itu cukup arif dengan amalan buruk warga Sadum yang pantang melihat lelaki muda, berwajah tampan dan bertubuh sasa.
Demi mendengar kedatangan tiga tetamu muda remaja itu, Nabi Luth mula gusar dan berasa tidak tenteram. “Ini adalah hari yang amat sulit bagiku,” kata Nabi Luth.
Nabi Luth yang pada mulanya tidak mengetahui tetamu itu adalah malaikat berasa cemas kerana bimbang mereka yang berwajah lelaki begitu tampan itu menjadi mangsa kaumnya yang bernafsu gila iaitu homoseksual.
Kepada isteri dan puteri-puterinya dipesan agar perkara itu dirahsiakan, jangan sampai tersebar kepada orang ramai. Kelak mengundang bahaya yang besar.
Malangnya, si isteri tidak mampu berlaku setia. Dihebahnya berita perihal tetamu-tetamu mereka kepada kaumnya. Berita kedatangan tetamu (malaikat) itu diketahui kaumnya, lalu ramai kalangan mereka pergi ke rumah Nabi Luth, semata-mata untuk melakukan perbuatan terkutuk itu dengan tetamu Nabi Luth.
Apabila kaumnya berkumpul di pekarangan rumahnya, Nabi Luth cuba menghalang mereka daripada melakukan perbuatan terkutuk itu dengan menawarkan anak perempuannya untuk diperisterikan, supaya tetamunya itu tidak diusik.
Kaum Luth langsung tidak mengendahkan larangannya, malah berkata: “Sesungguhnya kamu tahu kami tidak mempunyai selera sedikit pun terhadap anak perempuan kamu. Sesungguhnya tidak ragu-ragu lagi, kamu tahu apa yang kami inginkan.”
Seketika keadaan di pekarangan rumah Nabi Luth kacau-bilau. Nabi Luth gagal mententeramkan kaumnya yang dahagakan hubungan sejenis daripada tetamunya itu. Tanpa berlengah malaikat yang menyamar sebagai tetamu itu terus membutakan mata mereka.
Perkara ini diceritakan Al-Quran: “Dan sesungguhnya mereka telah memujuknya (agar menyerahkan) tetamunya (kepada mereka), lalu Kami butakan mata mereka, maka rasakanlah azab-Ku dan ancaman-Ku.”
Selepas itu tetamu berkenaan memperkenalkan diri kepada Nabi Luth mereka sebenarnya malaikat. Kedatangan mereka semata-mata untuk menghancurkan kaum Luth. Ketika itu juga Luth diminta membawa bersama ahli keluarganya keluar dari negeri berkenaan pada waktu malam.
Al-Quran memperjelaskan: “Utusan malaikat berkata; wahai Luth, sesungguhnya kami adalah utusan Tuhanmu. Sekali-kali mereka tidak dapat mengganggu kamu. Oleh itu, pergilah dengan membawa keluarga dan pengikut kamu pada lewat malam.
Dan janganlah ada seorang pun antara kamu yang tertinggal, melainkan isterimu. Sesungguhnya dia akan ditimpa azab kerana saat jatuhnya azab ke atas mereka adalah pada waktu Subuh. Bukankah Subuh itu sudah dekat?” Kaum Luth ditelan bumi
Kemudian azab yang ditunggu kaum Luth menimpa mereka. Kehancuran mereka pada waktu Subuh dalam keadaan sungguh dahsyat kerana bumi negeri itu diterbalikkan.
Mereka turut ditimpa batu daripada tanah keras dan terbakar. Al-Quran menyebut azab yang menimpa mereka: “Maka Kami jadikan bahagian atas kota itu terbalik ke bawah dan Kami hujani mereka dengan batu daripada tanah yang keras.” Norzalina Mohd Alias
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Baik wanita mahupun lelaki, kedua-duanya mesti peka tentang soal menutup aurat. Jika aurat wanita hanya dibenar menampakkan wajah dan tapak tangannya saja, kaum lelaki pula perlu menjaga aurat mereka di antara bahagian pusat dan lutut. Selain menjaga kepentingan aurat daripada terlihat golongan bukan muhrim, sebagai umat Islam adalah wajib bagi kita memelihara aurat daripada pandangan jin.
Merujuk artikel Konsultasi Syariah berhubung perkara berkenaan, adalah menjadi kewajipan seluruh umat Islam untuk menyebarkan ilmu agama ini sebagai panduan bersama. Moga-moga kita beroleh manfaat. InshaAllah.
====================
Soalan: Ketika membuka pakaian misalnya mandi atau buang air, ini bererti jin juga boleh melihat aurat kita. Apa jalan penyelesaiannya agar aurat kita tidak dilihat jin?
Jawapan: Dari akh_walid. Benar bahawa jin bisa melihat kita sementara kita tidak bisa melihat jin. Allah telah tegaskan dalam Al-Quran, ‘Wahai anak Adam, janganlah sekali-kali kamu dapat ditipu oleh syaitan sebagaimana ia telah mengeluarkan kedua-dua ibu bapamu dari syurga, ia menanggalkan pakaiannya dari kedua-duanya untuk memperlihatkan keduanya – auratnya. Sesungguhnya. iblis dan golongannya bisa melihat kamu dari suatu tempat yang kamu tidak bisa melihat mereka.” (Qs Al-A’raf 27)
Ayat ini berlaku umum. Ertinya jin bisa melihat kita dalam semua keadaan, baik ketika memakai mahupun menanggalkan pakaian. Sehingga jika dibiarkan, jin bisa melihat aurat manusia ketika dirinya tidak mengenakan pakaian.
Penyelesaian Agar Aurat Tidak Dilihat Jin
Bahagian dari kasih sayang Nabi Muhammad SAW kepada umatnya, baginda ajarkan kepada mereka berbagai macam sunnah yang akan menyelamatkan merkea dari bahaya dunia dan akhirat. Tidak terkecuali bahaya jin yang berada di sekitarnya.
Cara yang baginda ajarkan agar aurat kita tidak dilihat jin adalah dengan membaca ‘basmallah’ ketika membuka pakaian.
Dari Abu Said Al-Khudri r.a, Rasulullah SAW bersabda, “Tabir antara pandangan mata jin dengan aurat bani Adam (manusia) adalah apabila seseorang melepaskan pakaiannya, dia membaca bismillah. (Hadis Riwayat Ibnu Adi, at-Thabrani dalam Mu’jam al-Ausath- al- Mathalib al-Aliyah, al-Hafidz Ibnu Hajar, no37).
Demikian pula ketika seseorang hendak masuk kamar mandi, dia dianjurkan untuk membaca basmalah sebagai tabir auratnya dari pandangan jin. Dari Ali bin Abi Thalib r.a, Rasulullah SAW bersabda, “Tabir antara pandangan mata jin dengan aurat bani Adam (manusia) adlaah apabila seseorang masuk kamar mandi, dia membaca bismillah (Hadis Riwayat Turmudzi 606 dan disahihkan al-Albani).
Imam An-Nawawi mengatakan, para ulama mazhab kami – syafiiyah mengatakan, “Dianjurkan membaca basmalah ini baik ketika buang air di dalam bangunan atau di luar rumah.”
Mereka juga menjelaskan dianjur untuk membaca ‘Bismillah’ terlebih dahulu kemudian membaca “Ya Allah, aku berlindung kepada-Mu dari keburukan dan segala sebab keburukan, (al-Adzkar, halaman 26)
Allahu a’lam.
Sumber: Konsultasi Syariah
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Bersandarkan prestasi cemerlang dan populariti Emma Raducanu, tidak hairanlah ratu tenis nombor 1 Britain ini mendapat perhatian label ternama dunia, Uniqlo! Dia yang pernah mencipta sensasi menjadi pemain tenis termuda menang gelaran Grand Slam selepas menjuarai Terbuka US 2021 disunting menjadi Duta Jenama Global terbaharu Uniqlo baru-baru ini.