Pelantikan Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin Abu Bakar sebagai Menteri Kesihatan Malaysia baru-baru ini disifatkan sebagai tindakan bijak bagi menyelesaikan kemelut COVID-19 di Malaysia.
Beliau dianggap sebagai role model seorang menteri yang mempunyai objektif jelas terhadap apa yang mahu dicapai.
Boleh dilihat ketika mengemudi kementerian terdahulu dan mengetuai jentera pengagihan vaksin, Khairy Jamaluddin adalah pemimpin yang efisien dan mempunyai sasaran yang jelas.
Berusia 45 tahun, lelaki kelahiran Kuwait dan bapa kepada Jibriel Ali, Timor Abdullah serta Raif Averroes ini pernah memangku beberapa portfolio penting dalam negara, antaranya Menteri Belia dan Sukan; Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi serta terkini Menteri Kesihatan.
Sejak memikul tanggungjawab Menteri Kesihatan, kredibiliti menantu bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi itu jelas menginspirasikan.
Graduan Universiti Oxford, United Kingdom ini tekad memerangi wabak COVID-19, malah menambah baik sistem MySejahtera, pautan web covidnow.moh.gov.my serta menyalurkan lebih banyak keperluan perubatan ke hospital dalam tempoh yang singkat.
Sayangnya tatkala pelbagai inisiatif diusahakan oleh Khairy Jamaluddin serta jentera KKM pada waktu ini, sikap rakyat yang seolah-olah ‘berpesta’ selepas peralihan Fasa 2 PPN amat mengecewakan.
Malah beliau sendiri turut meluahkan rasa terkejut melihat gambar-gambar di sekitar ibu kota pada hujung minggu lepas.
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh,
YAB Perdana Menteri pada 8 September lalu, telah mengumumkan peralihan Lembah Klang iaitu Selangor, WP Kuala Lumpur dan WP Putrajaya, ke Fasa 2 Pelan Pemulihan Negara (PPN) dan berkuatkuasa 10 September 2021.
Seperti yang dimaklumkan, antara kelonggaran yang dinikmati penduduk di negeri-negeri Fasa 2 PPN termasuklah kebenaran dine-in di premis kedai makan dan aktiviti pelancongan di dalam negeri yang sama bagi individu yang telah menerima vaksinasi lengkap.
Susulan pengumuman YAB Perdana Menteri, saya dapati ramai penduduk di Lembah Klang yang mengambil kesempatan cuti hujung minggu baru-baru ini dengan membawa keluarga, termasuk anak-anak kecil, ke pusat beli-belah dan juga berkelah di taman-taman rekreasi.
Saya faham ramai yang teruja dengan kelonggaran ini terutamanya setelah hampir tiga bulan berada di dalam Fasa 1 PPN dan Perintah Kawalan Pergerakan menyeluruh sebelum itu.
Bagaimanapun, aktiviti-aktiviti seperti ini pasti menyebabkan berlakunya perkumpulan orang ramai dan pematuhan SOP yang rendah.
Penting untuk saya ingatkan bahawa vaksinasi lengkap bukan alasan untuk kita leka dalam melakukan tindakan kesihatan awam kendiri seperti memakai pelitup muka, menjaga jarak fizikal dan mencuci tangan dengan kerap.
Tindakan-tindakan ini kelihatan mudah tetapi ia mampu melindungi kita daripada jangkitan virus COVID-19.
Berdasarkan pemantauan dan analisa yang dilakukan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), situasi penularan jangkitan COVID-19 di Lembah Klang mula menunjukkan trend penurunan.
Pastinya perkembangan yang positif ini akan membantu memastikan Pelan Pemulihan Negara berjalan lancar dan selamat.
Saya juga sebelum ini telah nyatakan beberapa kali tentang sasaran kerajaan untuk mula beralih kepada fasa endemik pada akhir Oktober ini.
Namun untuk merealisasikan sasaran ini, ia memerlukan kerjasama seluruh masyarakat untuk terus mematuhi SOP serta mengamalkan tindakan kesihatan awam kendiri.
Jika perkara ini gagal untuk diamalkan dan dipatuhi, kebimbangan saya adalah kita tidak akan mampu beralih ke fasa endemik, sekaligus membantutkan usaha pemulihan negara oleh kerajaan.
Saya ingin tegaskan bahawa kejayaan untuk membawa negara keluar dari pandemik ini tidak hanya bergantung kepada usaha dan strategi Kerajaan tetapi juga sangat bergantung kepada tahap pematuhan masyarakat kepada SOP yang telah ditetapkan.
Sekiranya masyarakat mengambil mudah kelonggaran yang diberikan, tidak mustahil situasi jangkitan kembali menjadi teruk.
Sehubungan itu, saya amat berharap agar seluruh masyarakat dapat memanfaatkan kelonggaran yang diberikan dan terus mengamalkan pembudayaan norma baharu dalam menjalani kehidupan seharian kita.
Ingatlah, kejayaan membendung pandemik ini melibatkan penglibatan dan pendekatan menyeluruh kerajaan serta masyarakat.
Coretan anak lelaki tunggal pasangan bekas diplomat Allahyarham Dato’ Seri Haji Jamaluddin bin Haji Abu Bakar dan Datin Seri Dato’ Rahmah binti Haji Abdul Hamid itu turut mencuit perhatian rakyat.
Dengan perkongsian di Facebook mencapai 2,300 dan 15,000 tanda suka, rata-rata pengikut beliau banyak menzahirkan komen positif khasnya berkaitan pemberian vaksin dan kebaikannya untuk masa depan.