Khabar mutakhir tentang bencana banjir di utara, setakat petang tadi sekurang-kurangnya 3,232 mangsa banjir membabitkan 887 keluarga telah ditempatkan di 37 Pusat Pemindahan Sementara (PPS) sekitar Kedah dan Perlis.

Bagi mangsa-mangsa yang telah diarahkan pulang ke rumah masing-masing, tugas pembersihan yang amat memenatkan pasti akan bermula. Tentu terbayang dinding-dinding yang berlumpur, kawasan laman yang berselut serta kenderaan dan peralatan elektrik yang dimasuki air.

IKLAN

Selain bersiap-sedia dengan kepenatan yang menanti, sebenarnya ada banyak risiko lain yang perlu dititikberatkan selepas pulang ke rumah. Ikuti panduan keselamatan dan kesihatan yang Nona himpunkan ini agar kesihatan serta keselamatan anda seisi keluarga sentiasa terpelihara.

(a) Risiko Renjatan Elektrik, Haiwan Berbahaya, Runtuhan & Lantai Licin

Foto: Agensi/Mynewshub.cc/HAA
  • Lakukan pemeriksaan di dalam rumah bagi memastikan haiwan dan serangga berbahaya seperti ular, lipan atau kala jengking tidak menjadi ancaman kepada anda dan ahli keluarga.
  • Periksa tempat-tempat yang mungkin boleh menjadi tempat persembunyian haiwan-haiwan tersebut seperti di belakang almari, kerusi, kabinet dan lain-lain.
  • Pastikan punca utama elektrik dimatikan bagi mengelakkan renjatan elektrik terutamanya jika air masih bertakung.
  • Pastikan keadaan struktur rumah selamat bagi mengelakkan kecederaan akibat objek terjatuh semasa berada di dalam rumah.
  • Lantai jenis tile adalah sangat licin bila terendam air dan ditumbuhi kulat. Hati-hati bagi mengelakkan terjatuh dan cedera.

(b) Risiko Jangkitan Kuman

  • Air dan tanah yang dibawa banjir mungkin mengandungi pelbagai kuman yang boleh menyebabkan penyakit. Kulat juga akan tumbuh dengan cepat pada dinding, lantai dan perabot rumah.
  • Pakai alat perlindungan diri seperti but dan sarung tangan getah terutama jika terdapat luka-luka kecil pada kaki dan tangan.
  • Pakai topeng muka (mask) dan goggles bagi mengelakkan bahan kotoran tidak memasuki saluran pernafasan dan mata semasa aktiviti pencucian.
  • Buka semua tingkap bagi memastikan peredaran udara yang baik sebelum melakukan aktiviti pencucian di dalam rumah.

(c) Perkara Mesti Dielakkan

Foto: Utusan
  • Jangan bersentuhan langsung dengan bahan-bahan kotoran dan juga perabut rumah seperti sofa yang ditenggelam air terutamanya jika ada luka-luka kecil di tangan. Pakai sarung tangan getah terlebih dahulu.
  • Halang kanak-kanak bermain/berada di dalam kawasan rumah yang hendak dicuci.
  • Buang karpet atau bahan seumpamanya yang ditenggelami air banjir kerana ia berpotensi memerangkap bahan kotoran dan bakteria dalam jumlah yang tinggi. Ia mungkin boleh mendatangkan risiko kesihatan kepada anda.
  • Simbah semua permukaan lantai dan dinding dengan air bagi membuang kotoran. Kemudian basuh dengan menggunakan air yang dicampur bahan pembasmi kuman seperti clorox atau bahan pencuci detergen bagi membasmi kuman-kuman dan juga mencegah kulat (mold) dari tumbuh.
  • Alatan memasak seperti periuk dan pinggan mangkuk yang terendam air banjir juga perlulah dibasuh dengan air campuran clorox atau bahan pencuci.

(d) Keselamatan Air Minuman

  • Sistem paip. Pastikan flush dahulu semua paip di dalam dan di luar rumah sebelum mengambil airnya bagi kegunaan keluarga anda. Dikhuatiri sistem paip yang ditenggelami air banjir akan mengumpul bakteria yang boleh memberi risiko kesihatan.
  • Pastikan semua air minum dimasak terlebih dahulu.

(e) Keselamatan Makanan

IKLAN
  • Buang semua makanan yang terendam air banjir.
  • Elak memakan makan mentah seperti ulam-ulaman sehinggalah semua keadaan pulih.
  • Kupas buah-buahan dan sayuran yang berkulit sebelum dimakan.
  • Basuh tangan selepas keluar tandas dan sebelum makan.

(f) Tong Gas

Peralatan dapur gas memasak dan paip getah boleh dimasuki air menyebabkan aliran gas tersekat dan keluar melalui injap dan liang yang tidak sepatutnya. Periksa sistem gas memasak terlebih dahulu sebelum menggunakannya.

(g) Peralatan Elektrik

Foto: Astro Awani

Periksa semua suis elektrik dan peralatan elektrik lain seperti lampu dan kipas sebelum menghidupkannya. Ia mungkin dimasuki air dan kotoran lain yang boleh mendatangkan risiko renjatan elektrik dan litar pintas.

IKLAN

(h) Kebersihan Diri

Kebersihan diri perlu diutamakan. Bersihkan diri anda secukupnya dengan menggunakan sabun mandi setiap kali melakukan aktiviti pembersihan di rumah.

(i) Dapatkan Rawatan Awal

Sekiranya anda atau ahli keluarga anda mengalami deman atau cirit-birit, muntah-muntah dan tidak sihat selepas balik ke rumah, segeralah berjumpa doktor untuk pemeriksaan dan rawatan. Norzalina Mohd Alias

Kredit: MMGazette