Sejak bergelar ibu kepada dua cahaya mata kini, pelakon jelita, Elfira Loy mengakui bahawa perkara yang paling dirinduinya adalah jika dapat menunaikan solat dengan penuh khusyuk dan tenang.
Perkara tersebut dikongsikan Elfira menerusi hantaran di laman Instagram miliknya.
Menurut Elfira, agak sukar dan amat mencabar bagi dirinya untuk menumpukan sepenuh perhatian sewaktu solat kerana terganggu dengan kerenah dan situasi anak-anak yang pelbagai ragam.
Pelbagai Ragam Anak-Anak, Susah Nak fokus Dan Khusyuk Dalam Solat
“Benda paling I rindu sekali nak buat after being a mom ni actually solat dengan khusyuk. Of course ramai kata solat je, biar je diorang main or nangis.
“Tapi kalau dah rakaat kedua macam ni (rujuk gambar anaknya), takut rakaat keempat sorang dah kat bawah (jatuh katil),” tulisnya pada ruangan kapsyen hantaran tersebut.
Tambahnya lagi, antara langkah dan usaha yang diambil oleh dia dan suami Faris Khairol Anuar bagi menyelesaikan masalah ini adalah cubaan mengajar anak sulungnya untuk tidur di bilik sendiri namun masih gagal.
Netizen Turut Berkongsi Tip Kepada El!
NONA sempat meninjau ruangan komen dan mendapati ruangan komen hantaran itu telah dibanjiri dengan pelbagai tip dan perkongsian pengalaman dari para pengikut El yang pernah menghadapi situasi serupa.
“Ya satu kerisauan…solat jemaah lepastu anak panjat basikal nak panjat belakang daddy dia….Allah khusyuk tu mmg mahal.
“Sama lah El,sama cm anak sy abg nyaa lagi pintar hurmm nk solat yg khusyuk mungkin hurmmm susahh tpi try laa walau susah.
“Try guna slow apparoach.. transitional bed dulu.. meaning si abang ada bed sendiri tapi dlm bilik yg sama dgn parents.. once dia dah biasa tidur sendiri atas katil sendiri baru slowly ajar tidur bilik sendiri.
Untuk rekod, Elfira dan Faris mendirikan rumah tangga pada 1 Januari 2019 dan dikurniakan dua cahaya mata iaitu Muhamad Rayyan Khalaf, 2 dan Nur Aria Mikayla yang kini berusia tujuh bulan.
Sekadar info, artikel ini merupakan artikel olahan semula dari HIJABISTA
Majalah Nona ada juga di Telegram. Mudah nak akses artikel menarik dan video-video terkini di sini. Follow kami sekarang di SINI!
Sumber: Instagram Elfira Loy
Tanda Rindu Pada Arwah Bapa, KD Umum Tukar Nama Pentas “Krisdayanti Kini Dipanggil…”
Penyanyi terkenal Indonesia Krisdayanti yang cukup terkenal dengan lagu-lagu seperti Aku Wanita Biasa dan Menghitung Hari mengumumkan pertukaran nama pentasnya yang sebelum ini dieja Krisdayanti (rapat) menjadi Kris Dayanti (berasingan).
Menurut sumber ejaan Kris Dayanti ialah nama asalnya sebelum diubah menjadi Krisdayanti kerana dianggap lebih menarik dan senang diingati.
“Sebetulnya nama pada kad pengenalan Kris Dayanti. Tapi saya banyak kerjasama dengan jenama besar dan memerlukan nama yang lebih menarik,” ujarnya.
Sementara itu, penyanyi yang lebih mesra disapa KD itu berkata, dia mahu kembali menggunakan nama sebenarnya sebagai tanda cinta terhadap Allahyarham bapanya yang sudah meninggal dunia.
Untuk rekap, bapa Kris Dayanti meninggal dunia pada usia 79 tahun di Denpasar, Bali pada Khamis. “Sejak ayah meninggal dunia pada 2021, saya sangat terkesan dan mahu menggunakan semula nama asal saya. Tindakan saya itu sebagai satu bentuk cinta kepada ayah,” ujarnya.
Sumber: Kosmo!
***
Majalah Nona juga ada di Telegram. Mudah nak akses artikel menarik dan video-video terkini di sini. Jemput sertai sekarang –> https://t.me/majalahnona
***
Beli Tanah Untuk Bina Tahfiz Buat Golongan Susah, Pengasas SHALICIOUS Kejar Keberkatan Berniaga
Siapa sangka dalam usia 25 tahun, anak jati Kota Bharu Kelantan ini sudah pun bergelar usahawan muda yang bukan calang-calang. Tak sekadar di Malaysia, perniagaannya turut menguasai pasaran Indonesia secara sah dan kini dalam proses ke pasaran Brunei dan Singapura. Selain produk kesihatan dan kecantikan, dia juga memiliki beberapa cabang perniagaan lain yang membantu orang ramai khususnya warga kampung dalam menambah pendapatan mereka.
Boleh dikatakan kehidupannya kini lebih selesa dan mewah. Melihat kepada tahap kejayaannya itu tidak keterlaluan untuk dikatakan bahawa gelaran jutawan itu sudah dalam genggaman. Kematian bapa dan berasal dari keluarga susah menjadi titik tolak kepada kebangkitan usahawan cantik ini.
Di kala anak muda seusianya sedang enjoy dengan dunianya, ibu kepada seorang anak ini gigih membina legasi perniagaannya, Shalicious bersama suami tercinta, Al Hafiz Zakaria. Kenali pengasas produk kesihatan berdaftar, Wan Nur Siti Aisyah Wan Hasan yang mesra digelar Sha Hasan.
“Saya berasal dari keluarga susah, arwah ayah dulu peniaga jalanan hanya buka gerai tepi jalan. Kami memang hidup susah. Ayah meninggal ketika saya berumur 10 tahun. Bermula saat itulah ibu terpaksa bekerja seorang diri untuk menyara kami sekeluarga. Tak sanggup tengok kepayahan ibu saya nekad nak berjaya dan ubah nasib keluarga.
Sejak dari sekolah lagi saya suka berniaga. Apa saja rasa nak jual saya jual. Bukan saja di sekolah rendah malah sekolah menengah juga. Bila dah habis SPM saya dapat sambung belajar peringkat matrik di Negeri Sembilan dan juga universiti tapi saya memilih untuk belajar di kampung saja iaitu Kota Bharu, Kelantan.
Ikutkan keluarga tak galakkan saya berniaga sebab nak saya ada kerja tetap, boleh ubah nasib keluarga. Tapi saya tetap teruskan berniaga sambil belajar. Sebab itulah saya pilih sambung belajar di kampung sebab dekat dengan rumah dan mudah nak berbisnes. Pelajaran tetap keutamaan saya sebab tak nak kecewakan harapan keluarga terutama ibu.
Saya berbisnes sampailah umur 18 tahun. Makin lama makin tak menang tangan dibuatnya. Mulalah saya ponteng kelas, tak sempat nak masuk kelas sebab kerap nak kena COD dan sebagainya. Ketika itu saya betul-betul struggle bina jenama Shalicious. Saya berusaha sungguh-sungguh sehinggalah setahun selepas itu saya dapat membina Wisma Shalicious.
Kini saya ada beberapa cabang bisnes tetapi personal branding dan marketing daripada saya sendiri hanyalah Shalicious. Wismanya di Kelantan dan ada second branch HQ di Bangi. Selain di Malaysia, Shalicious juga telah masuk ke pasaran Indonesia secara sah. Kini dalam proses nak masuk ke pasaran Brunei dan Singapura pula seterusnya ke negara-negara lain, Insha-Allah.
Best seller product ialah suplemen yang dianugerahkan Top Ten Asia Award tahun 2019 untuk high quality product kategori health and beauty. Terdapat 3 jenis suplemen iaitu Mixberry Powder dan NV Colly Beauty Secret, Glowee Oat serta skincare C-Shine Serum dan C-Shine Cleanser.
Sepanjang bergelar usahawan, saat paling memberi kesan kepada saya antaranya yang berlaku pada tahun 2018. Masa tu saya ada berpuluh-puluh orang staf dan bisnes pun bagus waktu itu. Namun tiba-tiba Allah SWT uji, saya kehilangan staf sekaligus dalam satu masa. Bila masuk pejabat, semua staf dah tak ada sebab berhenti secara serentak kerana telah ‘disailang’ oleh kawan sendiri yang kononnya nak membantu kita.
Kesannya, saya terpaksa berjumpa pakar psikologi kerana terlalu tertekan. Memang betul-betul depression dan ambil masa yang lama untuk pulih dan terpaksa bergantung dengan ubat. Saya juga ambil masa yang lama untuk move on.
ASET PERTAMA DIMILIKI
Aset pertama yang saya beli ialah tanah dan dirikan bangunan. Saya memang ‘gila’ beli tanah. Kalau ada sesiapa yang nak jual tanah murah-murah di Kelantan saya akan beli. Tapi saya akan tengok dulu ikut kesesuaian dan harganya. Bagi saya itulah aset paling bernilai sebab kita boleh buat macam-macam. Selain buat bisnes, bolrh generate more money.
Reward terbesar selepas berjaya capai target ialah selain dapat beli apa yang diimpikan, saya dapat mengeluarkan zakat secara konsisten dan membantu beberapa tahfiz serta kampung-kampung yang saya pegang untuk berikan sumbangan kepada ratusan keluarga asnaf. Itulah reward sebenar bagi saya. Tahun ini kami telah membeli tanah untuk membina tahfiz buat golongan kurang berkemampuan untuk hantar anak belajar agama.
Suami adalah tulang belakang utama saya selama ini. Terlalu banyak pengorbanannya untuk diceritakan. Selama saya bergelar usahawan, suamilah banyak membantu. Kami sama-sama usahakan bisnes ini dan pada masa sama suami pun ada bisnesnya sendiri. Dia tahu minat dan impian saya dalam bidang kecantikan terlalu besar. Sewaktu saya diserang depression, suamilah yang uruskan anak dan rumah. Suami tak pernah mengalah dan menyalahkan. Suami seorang yang sangat sabar dan support apa saja yang saya buat selagi ia tidak salah.
Semasa depression, saya terpaksa makan ubat setiap kali nak tidur. Suami pastikan saya tak terlalu berfikir yang bukan-bukan. Dia jugalah yang jaga anak, siapkan makanan dan uruskan hal-hal pejabat. Paling sedihnya bila suami dah tak tahu nak buat apa, dia pernah bawa saya ke sebuah kampung di Kelantan sebab dia tahu saya suka berkongsi kegembiraan dengan orang lain. Di situ ada lebih 150 buah rumah dan keluarga asnaf yang memerlukan.
Kami pergi rumah ke rumah untuk berikan bantuan. Semuanya diuruskan oleh suami sebab nak saya bersyukur dan bangkit semula. Katanya ramai lagi orang yang memerlukan saya. Sejak itu saya mula terfikir jika kita diuji dengan hebat, ramai lagi orang yang diuji lebih daripada kita. Itulah tugas kita untuk berjuang demi mereka. Suami selalu cakap Allah SWT tak akan beri kejayaan atau kekayaan kalau bukan demi sebuah perjuangan.
KEKALKAN BISNES
Dengan keadaan ekonomi sekarang orang dah kurang membeli barang-barang tak perlu atau ikut kemahuan. Kini orang lebih memilih barang-barang keperluan antaranya essential product. Apa yang saya jual ialah dari segi keperluan. Suplemen yang membantu kesihatan dan kecantikan. Jadi nasihat saya. jangan menjual benda-benda yang bukan keperluan.
Sekarang pun orang dah kurang walk in lagi-lagi lockdown sekarang ni. Jadi kuatkan jenama di sosial media supaya orang sentiasa nampak dan tahu kita menjual keperluan yang setiap keluarga perlukan. Satu lagi, simpanan. Sekarang ini bukan masanya untuk kita membeli belah. Kurangkan membeli yang tak perlu dan lebihkan kepada simpanan. Atau boleh tukarkan kepada emas. Sekarang saya banyak tukarkan wang kepada emas sebagai persediaan masa depan.
Selain itu, saya dan suami juga ada backup business berkaitan keperluan harian dalam bidang makanan. Kami ada involve dalam bidang agriculture iaitu membekalkan ayam. Kami ada tanah 12 ekar yang dijadikan tempat memelihara ayam. Bisnes ni sebenarnya untuk bantu orang-orang kampung. Tak perlukan marketing sebab kami ada regular customer. Bila ekonomi merosot orang tetap akan makan dan beli ayam. Itulah plan kami kalau rasa dah tak boleh teruskan bisnes yang tidak memerlukan.
Jangan mudah mengalah dan jangan takut untuk mencuba kerana sampai bila pun kita tidak akan berjaya. Bila dah cuba jangan jadi orang yang mudah mengalah sebab setiap yang kita buat memerlukan proses. Bila tengok mereka yang dah berjaya tetap akan ada ujian. Teruskan dan percaya kepada proses. Bagi yang nak berjaya dalam bisnes, jangan ada banyak alasan. Kalau tak pecahkan ketakutan dan rasa malu, sampai bila-bila pun kita tidak akan dapat tengok potensi diri.
Saya dulu pun tak pernah terfikir akan jadi seperti sekarang. Tapi bila dah mula, percayalah kita nak buat more and more. Bila dah pecahkan tembok tu kita mesti nak try benda yang lebih besar dan mencabar. Ibarat dah addicted, jadi mulakan.
Saya berkahwin ketika umur 19 tahun. Umur 20 tahun dah ada anak. Awal-awal tu bila ada anak kecil saya pula sibuk dengan bisnes. Uruskan suami lagi, memang susah nak sesuaikan keadaan itu dengan kita yang muda. Memang tak sempat nak merasai kehidupan seorang remaja, enjoy dengan kawan-kawan. Memang tak pernah.
Dulu pernah cakap menyesal kahwin awal, start bisnes awal, tak ada kawan tapi suami selalu cakap suatu hari nanti saya akan faham dan bersyukur sebab Allah SWT dah tetapkan yang terbaik untuk kita. Alhamdulillah kata-kata suami jadi kenyataan. Rasa berdosa sangat bila cakap begitu dulu. Bersyukur dengan apa yang Allah SWT beri. Dia tidak akan beri jika tak sesuai dengan diri kita. Allah SWT lebih kenal diri kita.
INISIATIF BUAT YANG TERKESAN
Inisiatif saya untuk mereka yang terkesan dengan pandemik COVID-19 ialah membuka bisnes tanpa modal di samping menggalakkan orang ramai untuk berbisnes. Saya ajar mereka cara nak buat bisnes dengan Shalicious.
Selain itu, saya turut beri bantuan kepada kampung-kampung dan sentiasa berhubung dengan Ketua Kampung. Selalunya saya sendiri yang akan turun memberi bantuan. Jika tidak, saya akan hantar wakil.
Mereka ini terdiri daripada suri rumah termasuk yang bekerjaya tetapi tak pernah buat bisnes. Memang sentiasa ada coaching daripada saya kerana kebanyakan mereka bergantung income dengan Shalicious. Berkat kesungguhan mereka mampu beli tanah, membantu keluarga dan membuat simpanan sendiri. Ikutkan produk Shalicious boleh masuk farmasi tetapi saya memilih untuk tidak lagi sebab nanti mereka yang bergantung income dengan Shalicious tidak boleh buat duit. Saya juga masih nak bekerja dengan mereka dan pada masa sama dapat bantu mereka menjana pendapatan.”
Kredit Foto: Instagram @shahasan22
Pegang Jawatan Pengarah Negara Meta Malaysia, Nicole Tan Lambang Pemimpin Wanita Disegani
Memimpin sebuah syarikat gergasi media sosial bertaraf dunia, tentunya kedengaran hebat. Apatah lagi jika bekerja di syarikat antarabangsa seperti Facebook. Nona mengatur pertemuan eksklusif dengan Country Director Meta Malaysia, Nicole Tan, bersembang tentang pengalaman beliau sebagai pemimpin di sini.
Melangkah masuk ke Meta Malaysia di KL Sentral, suasana santai dengan dekorasi yang ‘playful’ serta ruang kerja yang terbuka menyambut kedatangan.
Setenang perasaan di rumah, begitulah yang dirasai penulis saat dibawa berkunjung ke serata pejabat Facebook, yang kini dijenamakan semula sebagai Meta Platforms.
Ketika menatap tanda tangan Tun Dr Mahathir Mohamad yang terpampang di Facebook Wall, Nicole Tan tiba sambil membantu menerangkan serba-sedikit konsep di sini.
Wanita hebat yang memegang jawatan Country Director Meta Malaysia itu sesungguhnya cukup menyenangkan. Selama lima tahun memimpin syarikat, banyak perkara baru yang telah diperkenalkan untuk manfaat pengguna.
Meskipun berusia 40-an, Nicole Tan sebenarnya baru mendapat cahaya mata sulung. Lebih beruntung, beliau diberi tempoh cuti bersalin yang lama iaitu 6 bulan!
“Dalam tempoh pandemik dua tahun ini, banyak masa saya di rumah bersama si kecil yang kini sudah pun mencecah umur setahun.
Sebelum menyertai Meta, saya pernah berkhidmat di agensi kreatif, pengiklanan dan teknologi selama 20 tahun.” Nicole Tan
Pernah bertugas sebagai Pengarah Urusan di J.Walter Thompson Malaysia serta menetap di China selama beberapa tahun, pengalaman kerja Nicole selama ini sudah tentunya memberi kelebihan besar kepada Meta.
Beliau juga lambang wanita kuat, yang mengutamakan kerjaya serta berani menentang ‘norma’ demi mengejar minat dan impiannya.
Berperanan sebagai pemimpin di Meta Malaysia, wanita asal Petaling Jaya ini bertanggungjawab membantu rakyat agar lebih celik digital, membina teknologi yang lebih cekap dan menyokong perniagaan ke arah pengalaman baru.
“Di seluruh dunia, kami ada 2.8 billion pengguna yang menggunakan sekurang-kurangnya satu aplikasi Meta, tak kiralah Facebook, Instagram atau WhatsApp.
Di Malaysia pula, kami ada 26 juta pengguna yang menggunakan Facebook setiap bulan.
Bayangkan pada waktu pandemik, kajian mendapati trend penggunaan digital lima tahun telah dipercepatkan dalam masa satu tahun saja.
Dan di Malaysia, penetrasi penggunaan digital adalah 88% – yang tertinggi di rantau Asia Tenggara!” Nicole Tan
Tambahnya, orang ramai memang sering memilih aplikasi Meta untuk berhubung, mengekspresikan diri dan berniaga secara online sewaktu PKP berkuat kuasa.
Nicole turut berkongsi tentang pelancaran Reels di Facebook, susulan kejayaan Reels yang diperkenalkan sebelum ini di Instagram.
“Reels di Facebook baru dilancarkan dua minggu lalu. Berdasarkan kajian terhadap trend di media sosial, kami dapati jumlah tontonan terhadap video yang cepat, pendek dan menarik telah meningkat.
Kandungan berbentuk hiburan, masakan atau life hacks paling mendapat tontonan tinggi. Tambahan lagi jika ada ‘peralatan’ untuk mengekspresikan diri seperti filter.”
USAHAWAN
Sempena Hari Wanita Antarabangsa yang bertemakan #SaksamaBersama atau #BreakTheBias, Nicole menerusi Meta turut meraikan kecekalan wanita di Malaysia.
Selain ingin terus memperkasakan golongan Hawa dengan ilmu pengetahuan, beliau juga ingin membantu wanita yang berniaga serta yang menyokong perubahan.
Terdapat peningkatan sebanyak lebih 25% perniagaan Instagram dan lebih 40% halaman perniagaan (Pages) Facebook yang diterajui wanita sejak pandemik bermula.
Malah terdapat lebih 45% kumpulan Facebook berkaitan dengan keusahawanan telah dicipta oleh wanita sejak tahun 2021.
“Wanita mewakili separuh populasi dunia dan separuh daripada potensinya untuk berkembang, mencipta peluang dan membasmi kemiskinan.
Oleh itu kesaksamaan jantina amat penting untuk kemakmuran ekonomi dan komuniti. Kami percaya akan usaha bagi membantu wanita meneroka potensi diri dan pembinaan masyarakat yang lebih berdaya tahan.
Antara teras utama Meta adalah memupuk perkembangan perniagaan kecil dan sederhana (PKS) milik wanita dengan memberi akses kepada pendidikan, wawasan dan peralatan menerusi webinar, latihan, kursus dan program pensijilan seperti Blueprint, Facebook IQ dan sebagainya.” Nicole Tan
Di sebalik komitmen sebagai pemimpin, Nicole senang memberi tunjuk ajar dan menjadi mentor di tempat kerja. Beliau juga mahu melihat lebih ramai wanita lain bangkit menjadi pemimpin seperti dirinya.
Mengakhiri perbualan, Nicole sempat mengajak para wanita agar membeli daripada usahawan wanita sebagai sokongan.
“Kami akan menampilkan usahawan wanita tempatan seperti peniaga katering dari rumah (vegetarian), Preeti’s Farsan di Pages Facebook Meta Malaysia dan kami mengalu-alukan ahli komuniti untuk berkongsi perniagaan dan komuniti yang diterajui wanita kegemaran di bahagian komen bersama tanda pagar #BuyFromHer.”