Kagum dengan semangat juang yang tersemat kemas dalam diri wanita cekal ini. Mana tidaknya, walau mengalami keadaan lumpuh separuh badan namun Yang Berhormat (YB) Senator Ras Adiba Radzi berjaya membuktikan kemampuan diri. Bahkan lebih hebat berbanding insan sempurna lain!
Selain bergelar seorang senator, atlet para negara dan aktivis Orang Kurang Upaya (OKU), beliau mencatat satu lagi kejayaan membanggakan apabila menerima pelantikan sebagai Pengerusi baharu Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (BERNAMA) pada 24 November lepas di Parlimen. Perkhabaran gembira itu diumumkan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Saifuddin Abdullah. Tahniah!
Ads
Menariknya, YB Ras Adiba yang juga merupakan bekas personaliti TV ini menjadi wanita pertama dilantik menjawat tugas berkenaan dalam sejarah penubuhan BERNAMA selama 53 tahun. Menerusi pelantikan tersebut, wanita berjiwa kental berusia 52 tahun ini diberi kepercayaan untuk menguruskan operasi stesen radio Bernama Radio dan saluran Bernama TV. Beliau mengisi kekosongan jawatan itu yang pernah disandang Suhaimi Sulaiman sebelum ini.
Tanggal 20 Mei lepas, YB Ras Adiba mengangkat sumpah jawatan sebagai senator dan merupakan perwakilan OKU di Dewan Negara. Beliau dilaporkan menerajui sebuah badan bukan kerajaan yang memperjuangkan hak OKU atau lebih dikenali sebagai OKU Sentral. Semasa pandemik Covid-19 melanda negara, YB Ras mewakili OKU Sentral turut aktif memberi bantuan sumbangan kepada mereka yang memerlukan.
Nama Ras Adiba Radzi mula dikenali sejak beliau menjadi penyampai berita pada tahun 1986 ketika baru berusia 18 tahun. Beliau kemudian meninggalkan industri penyiaran selepas 34 tahun menceburi bidang yang diminatinya itu. Atas usaha gigih dan semangat jitu, YB Ras Adiba diberi anugerah Tokoh Srikandi Negara 2014.
Bagaikan tidak puas dengan pencapaian yang telah dicapai, beliau turut bergiat aktif dalam arena sukan termasuk pernah mewakili negara ke Sukan Para ASEAN 2015 dan Sukan Para ASEAN 2018 menerusi acara menembak 10m air rifle.
Gemar berkongsi aktiviti dan rutin harian buat tatapan umum, YB Ras Adiba menjelaskan, “Kini sudah 18 tahun saya menjadi seorang pesakit saraf tunjang yang lumpuh separuh badan di bahagian Thorasic 10 atau T10. Payah, sukar dan tak keruan hidup saya. Namun saya bersyukur akan segala yang telah terjadi dan akan menjelang.”
Berpeluang menemubual insan hebat ini sekitar tiga tahun lalu, perkongsian YB Ras Adiba cukup meninggalkan kesan. Detik hitam yang menimpa dirinya kira-kira 25 tahun lalu benar-benar menyentap semangat dan keyakinan diri. Mengakui kelu dan kaku menerima ketentuan takdir saat itu, langit cerah yang menerangi hidup beliau selama ini bertukar mendung sekelip mata. Baru ‘semalam’ dia berjalan lincah seperti insan normal lain tapi hari berkenaan dia terpaksa menggalas status Orang Kurang Upaya (OKU). Sekian lama bertarung dengan emosi dan diri sendiri, YB Ras Adiba akhirnya temui erti hidup yang lebih luas.
“Kita diberikan peluang untuk hidup dalam apa jua keadaan yang dilalui. Kena percaya semuanya telah tertulis. Kalau jatuh, susah… bangkit balik. Kita kena bertanggungjawab. Orang yang kita sayang kadang-kadang akan tinggalkan kita. Tak mengapa. Tapi Tuhan tak pernah tinggalkan kita. Ramai lagi orang yang susah. Hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih. Jangan benarkan masalah menjadikan hidup kita tak keruan. Biar kita menangis sebentar dan kemudian kita dapat berjalan terus.
Ads
Segalanya bermula pada tahun 1995 saya balik dari buat liputan di Stadium Shah Alam. Kereta depan brek dan kereta belakang langgar saya. Saya tercampak keluar dari motokar. Masa tu injury saya di leher saja. Masih boleh berjalan tapi kesakitan. Saya terpaksa makan ubat pain killer yang banyak. 2001, saya dipukul depan rumah mak saya sebab orang nak curi motokar. Masa dipukul, titanium di leher patah. Jadi injury lama turun ke bahagian dada. Masih makan pain killer dan waktu itu masih boleh berjalan.
2002 saya ambil barang dari almari yang tinggi. Saya jatuh dekat T10 iaitu bahagian pinggang. Ia patah dan putuskan urat saraf. Saya tak boleh merasa dan bergerak. Membuatkan saya separuh lumpuh. Setakat ini tiada lagi rawatan yang boleh menyembuhkan keadaan saya tapi manalah tahu ada yang diperbaiki oleh-Nya. Kita kena selalu bersangka baik kepada Tuhan sebab di sebalik kejadian ini pasti ada hikmah.
Sepanjang tempoh itu juga saya pernah berdoa agar Allah membawa saya pulang sebab saya tak tahu hidup sebagai OKU. Saya dah terbiasa panjat sana sini dan aktif. Tapi hari ini, saya bersyukur sebab kalau saya bukan OKU, saya tak akan dapat apa yang saya miliki sekarang. Bagi saya, kekurangan saya adalah keupayaan saya. Alhamdulillah.
Ads
Beza sekarang dan dulu adalah saya cuma tak boleh berjalan. Tapi saya tetap buat benda lain sama macam orang lain juga. Saya membersihkan rumah, mop lantai, gosok dan basuh baju, bawa kereta. Tak ada masalah. Tak ada excuse pun. Saya selalu beritahu diri agar menjaga diri sendiri. Tak akan ada orang menjaga kita selain Tuhan,” terangnya yang merupakan ibu dua anak.
Ujarnya lagi, “Saya mahu wanita mempercayai keupayaan diri dan percayalah perkataan mustahil tak ada. Anda boleh lakukan apa saja asalkan kuat semangat dan kerja keras. Hanya kita saja.. kaum wanita yang boleh menggoncangkan dunia.”
Semoga perkongsian YB Senator Ras Adiba Radzi menjadi pembakar semangat buat seluruh wanita agar terus maju ke hadapan dan mencipta kejayaan cemerlang.
Kredit foto: IG YB Senator Ras Adiba
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Untung Nur Ain Sufiah dikurniakan seorang ibu yang bukan hanya kaya dan berjaya. Tetapi juga prihatin terhadap anak. Baru-baru ini, Bonda Rozita berkongsi momen membelikan sebuah kereta Mercedes Benz buat anak perempuannya di media sosial.
Perkongsian tersebut nyata menarik perhatian warga maya yang kagum dengan kasih sayang usahawan Rumah Terapi Alam itu terhadap anak tersayang. Apatah lagi, Bonda Rozita Ibrahim memberitahu hampir enam tahun dia tidak membeli kereta baru.
Nur Ain Sufiah atau mesra disapa Ain yang kini meniti usia 18 tahun dikhabarkan bakal melanjutkan pengajian di universiti tidak lama lagi.
Demi memastikan Ain mudah berulang-alik ke universiti, Bonda Rozita Ibrahim berkunjung ke showroom Utama Motors untuk mencari kenderaan yang sesuai buat puteri kesayangan.
Dalam masa sama, Bonda Rozita turut mencari kereta untuk kegunaan di resort miliknya. Dedah ibu kepada usahawan Datuk Seri Aliff Syukri ini, “Ain nak masuk U insyaAllah Ogos nanti. Dia kerja sambil belajar.
Ain saya belikan Merc dan saya suruh try masuk Lamborghini. One day maybe Ain boleh beli Lamborghini harga RM3.5 juta. Jadikan ia sebagai satu exam explore diri boleh capai tak?
Jika Ain boleh capai, itu sebagai reward diri. Ami kasi target value bisnes. Saya tak akan beri hadiah mewah selagi tak buktikan pada saya.
Pesan saya pada Ain. Orang hebat mindset dia macam roket. Suka perubahan diri, suka duit, suka pencapaian, selalu upgrade semangat dan cita-cita. Jangan jadi orang sama sampai mati!”
Ujarnya lagi, “Bonda bukan jenis bermewah luxury car kerana bagi saya tak ada keperluan untuk saya menunjuk kereta mewah untuk membuktikan saya orang kaya atau berjaya.
Saya hanya suka alam. Resort Rumah Terapi Alam itu bukti kerja seni bonda (investment dunia dan akhirat saya) Jamu Ratu Malaya dan dari berniaga ni saya buat Yayasan Bonda Rozita (YBR) bantu agama dan kemanusiaan.
Ia bakal saya tinggalkan namun akan terus berjalan untuk sedekah pada Binatang dan manusia. Boleh je beli kereta mewah kalau setakat nak merasa 1 ke 3 biji. Tak salah sekiranya dah banyak buat kerja amal.
Saya bukan suka kereta yang high performance. Saya suka invest dan property sahaja.”
Bonda Rozita Ibrahim yang sebelum ini dikenali menerusi jenama Sendayu Tinggi menjadi sumber inspirasi golongan wanita kerana kemampuannya mengemudi empayar perniagaan. Jiwa kental, sifat berani dan pemikiran optimis Bonda Rozita menyuntik semangat masyarakat untuk turut berjaya sepertinya.
Walau kaya-raya namun dunia kebajikan sering dititikberatkan. Selain berusaha mendekatkan diri kepada Yang Maha Esa dan menjadi hambaNya yang lebih baik daripada sebelum ini.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Benarlah kata orang, setiap kejayaan anak-anak bermula dari doa dan restu seorang insan bergelar ibu dan bapa. Memang tidak dapat dinafikan kuasa doa dari sang ibu mahupun bapa menjadi azimat yang penting untuk kejayaan anak-anak. Malah, kejayaan anak-anak bukan sahaja diukur dari kejayaan mengenggam segulung ijazah, malah ia lebih dari itu.
Penyanyi yang terkenal dengan lagu Hantu Atau Buaya tidak menyesal meninggalkan bidang nyanyian buat sementara waktu untuk memberi perhatian penuh terhadap pengajiannya di Universiti Teknologi MARA atau UiTM. Nur Nabilah Hashimi atau lebih dikenali Nana Sheme membuktikan pilihannya untuk bergelar penyanyi tetapi tidak mengabaikan pelajaran adalah hadiah terbaik yang dapat diberikan buat ibu tersayang, Nur Aisyah Abdullah
Setelah bertungkus lumus selama empat tahun sebagai pelajar, Nana boleh berbangga menghadiahkan segulung ijazah buat ibu tersayang. Lebih manis lagi apabila dia berjaya menerima Anugerah Cemerlang Kelas Pertama dalam bidang Pengajian Pengurusan Pembinaan dari Fakulti Senibina, Perancangan dan Ukur pada Majlis Istiadat Konvokesyen ke-90 di Universiti Teknologi MARA baru-baru ini.
Nana melahirkan rasa bersyukur dan berterima kasih di atas penghormatan yang diberikan untuknya. Sebagai seorang pelajar yang mengutamakan pengajian dari bidang nyanyian sepanjang tempoh pengajiannya memberitahu penat lelah dan usaha yang diusahakan selama ini berbaloi bukan sahaja untuk dirinya, malah ia lebih kepada menunaikan janji buat ibu tersayang.
“Alhamdulillah. Andainya dengan tawfiq Allah saya memiliki sekelumit kejayaan, maka kredit tersebut haruslah diberikan untuk ibu tersayang. Dia adalah rahsia dan kunci segalanya. Saya tidak pernah khuatir dengan sebarang ujian dan dugaan hidup andainya saya mempunyai doa wanita ini, Saya bersyukur kerana pengorbanan saya meninggalkan bidang seni buat seketika ketika nama saya mula dikenali berbaloi.
Nana menganggap faktor utama kejayaannya itu banyak bergantung kepada restu dan sokongan daripada ibunya yang tidak henti-henti memberi semangat serta berdoa untuknya terus kuat menghadapi segala cabaran dalam bidang pelajaran.
Katanya, tanpa doa, restu dan sokongan ibu, dia mungkin tidak akan berjaya sehingga kini dan berjanji akan terus membahagiakannya sehingga akhir hayat wanita itu.
“Banyak pengajaran saya dapat selepas mendengar nasihat ibu. Memang betul orang kata kalau kita mendapat restu ibu dalam apa jua yang dilakukan, banyak ganjaran yang Allah beri hinggakan saya doa minta satu, tapi saya dapat 10 rezeki.”
Ya, wanita yang menjadi rahsia kejayaan ini ialah insan teristimewa bergelar ibu yang telah berkorban segalanya melalui pelbagai keperitan hidup demi kebahagiaan anak-anaknya. Walaupun pelbagai “luka” dan air mata yang telah beliau titiskan apabila terpaksa berjauhan ketika melanjutkan pelajaran, namun wanita yang dipanggil sebagai “ibu” ini tidak pernah berputus asa mengirimkan doa dan bimbingan.
“Memang pada mulanya agak sayang untuk mengambil keputusan berehat seketika dari bidang nyanyian untuk menumpukan perhatian dalam pelajaran, tetapi saya berpegang pada janji terhadap ibu untuk berjaya dalam bidang akademik. Ibu mana yang tidak mahu melihat anaknya berjaya. Sebagai anak sulung juga, saya perlu buktikan kepada adik-beradik tentang kepentingan akademik. Saya perlu menjadi contoh yang terbaik buat adik-adik,” jelas Nanaa yang percaya doa ibu adalah kuasa doa mustajab untuk dirinya.
“Sepanjang pengajian di kampus utama, saya terpaksa berjauhan dengan keluarga yang menetap di Sarawak. Jadi, saya bulatkan tekad untuk belajar berdikari dan jadikan kata-kata semangat ibu sebagai motivasi untuk berjaya. Walaupun berjauhan, namun ibu sentiasa berkorban untuk anak-anak. Bila ada masa terluang, dia sanggup terbang ke Kuala Lumpur dan berjumpa saya,” ujar anak sulung dari lima bersaudara ini.
Selepas menamatkan pengajian, Nana bakal memberi tumpuan sepenuh masa dalam bidang nyanyian dan tidak menolak jika diberi peluang dan rezeki untuk menyambung pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi.
“ Jika dahulu keluarga hanya membenarkan saya menyanyi sekadar hobi sahaja, tetapi kini mereka sudah memberi lampu hijau untuk saya meneruskan karier dalam bidang nyanyian. Sebagai artis yang baharu , saya perlu bekerja lebih keras untuk menempatkan nama dalam industri hiburan. Nanaa kini bernaung di bawah pengurusan Xeno Asia.
Nana juga bakal melancarkan lagu single terbaru dalam masa terdekat dan akan terus membina kerjaya dalam bidang nyanyian. Ini merupakan minat Nana dan akan meneruskan cita-cita dalam bidang nyanyian pula,” ujar Nana yang memuji keperibadian ibunya sepanjang sesi fotografi dijalankan.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Rezeki tidak pernah salah alamat! Demikian kata Dr Iznee Adlina Mohd Sofi yang terpilih daripada 1.8 juta jemaah yang kini berada di Tanah Suci.
Berkhidmat sebagai Pegawai Perubatan di sebuah Klinik Kesihatan di Kuala Lumpur, Dr Iznee berkata, dia seolah-olah tidak percaya apabila namanya tersenarai untuk mengerjakan ibadah haji tahun ini.
Ini kerana mengikut perancangan awal, panggilan menunaikan haji beliau adalah pada tahun 2073.
Namun selepas permohonan rayuannya untuk menemani suami, Ahmad Hafizuddin Shamsul Bahri diluluskan, dia akhirnya selamat tiba di Mekah pada 5 Jun lalu.
“Saya anggap ini hadiah terhebat yang ALLAH SWT telah kurniakan buat saya yang tidak pernah saya jangka.
“Kalau ikutkan giliran tunai haji saya masih ada 50 tahun lagi daripada sekarang.
“Bila dapat tahu rayuan untuk mengikut suami diluluskan, saya tengok skrin telefon banyak kali.
“Ketika itu saya tengah hadiri kursus. Senyum sampai ‘telinga’ waktu itu.
“Macam tak percaya dijemput untuk mengerjakan Rukun Islam kelima tahun ini,” katanya kepada Astro Awani.
Tambah ibu kepada dua cahaya mata ini, suaminya mula memiliki akaun simpanan Tabung Haji (TH) sejak lebih 14 tahun lalu.
“Alhamdulillah ia kelebihan kepada mereka yang sudah berdaftar lebih awal dan dipanggil dan menunaikan haji pada usia muda sebelum mencapai umur 40 tahun.
“Saya sangat bersyukur dengan peluang menjadi Dhuyufurrahman pada tahun ini.
“Apa-apa pun, ia adalah panggilan dari ALLAH, syukur Alhamdulillah” katanya yang juga sudah mula mendaftar haji untuk dua anaknya ketika masih bayi.
Berkongsi pengalaman di sana, Dr Iznee memaklumkan gembira dapat menjejakkan kaki buat kali pertama di tanah suci Mekah.
“Masa mula nampak Kaabah, tak boleh digambarkan perasaan saya. Sayu, gembira, teruja, semua ada.
“Bila dekat tanah air, saya hanya nampak Kaabah dalam TV, atas sejadah, kali ini depan mata. Subhanallah.
“Tambahan pula saya berpeluang berjumpa dengan sahabat karib dari zaman persekolahan.
“Ini betul-betul hadiah terindah daripada ALLAH SWT buat saya,” akhirnya penuh syukur.
Sumber: Astro Awani
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Tak dinafikan sejak menyertai program realiti One In A Million (OIAM), nama Zazzleen Zulkafli semakin melonjak dan dikenali ramai. Bukan semata-mata kerana statusnya sebagai anak seniman tanah air iaitu Datuk Zulkifli Zain, tetapi juga kerana bakat nyanyian ...