Saat mengatur janji temu dengan personaliti ini, ternyata sifat rendah diri yang dimilikinya membuatkan penulis selesa untuk berbual dan bertukar pandangan dengannya. Ternyata, bergelar Pensyarah Kanan di Pusat Penyelidikan Teknologi dan Pengurusan Perisian (SOFTAM), Fakulti Teknologi dan Sains Maklumat (FTSM), Universiti Kebangsaan Malaysia banyak mendedahkan YM Dr Tengku Amirah Ibni Almarhum Tengku Haji Ismail dengan pelbagai lapisan masyarakat.
Beliau yang merupakan cicit kepada Almarhum DYMM Bendahara Seri Maharaja Tun Mutahir Ibni Almarhum DYMM Bendahara Siwa Raja Tun Ali bangga memilih kerjaya sebagai seorang pensyarah di salah satu universiti terbaik di Malaysia.
“Bergelar pensyarah sememangnya menjadi impian saya sejak kecil lagi. Apatah lagi Almarhum ayahanda saya, Almarhum Tengku Haji Ismail Ibni Almarhum Tengku Haji Sham. juga merupakan pensyarah kanan di Universiti Kebangsaan Malaysia suatu ketika dahulu.
“Saya tertarik dengan tugas murni seorang pensyarah dalam mendidik anak bangsa. Tugas hakiki pensyarah adalah mengajar, mendidik serta menyelia pelajar di peringkat sarjana muda, sarjana dan juga PhD. Pensyarah juga perlu menyelidik dan berupaya meneroka bidang-bidang yang berkaitan dengan kepakaran masing-masing.
Melihat senarai jawatan serta penglibatan yang pelbagai dalam pertubuhan bukan kerajaan, penulis tertanya-tanya bagaimana wanita yang juga merupakan ibu kepada tiga cahayamata ini mempunyai cara tersendiri untuk membahagikan masa antara kerjaya dan rumahtangga.
KERJAYA DAN RUMAHTANGGA SEIRING
“Wanita bekerjaya mempunyai cabaran tersendiri lebih-lebih lagi pada masa yang sama mereka memikul tanggungjawab sebagai isteri dan ibu. Wanita harus sedar bahawa kesibukan dalam menguruskan kerjaya haruslah diseimbangkan dengan tanggungjawab dalam urusan rumahtangga.
Keseimbangan kerjaya dan kehidupan bukan sekadar membahagikan masa sama rata antara keluarga dan kerjaya. Mereka mempunyai tanggungjawab terhadap suami, anak dan majikan. Tidak dinafikan wanita memikul tanggungjawab yang besar di rumah. Tanggungjawab ini jauh lebih besar daripada sekadar memberikan layanan kepada suami, memberi anak-anak makan minum dan mengurus rumah. Wanita yang bergelar isteri merupakan sumber inspirasi atau faktor kemajuan suaminya.
Seseorang wanita yang bekerjaya turut mempunyai peranan sebagai seorang pekerja. Mereka seharusnya menggembeleng tenaga untuk memajukan negara. Sebagai seorang wanita bekerjaya, mereka seharusnya bersikap lebih profesional dan tidak terbawa-bawa masalah rumahtangga ke tempat kerja dan sebaliknya,” ujarnya yang memetik pepatah Arab yang menyatakan ‘pengurusan masa adalah penting bagi wanita yang bekerjaya kerana mereka perlu bijak dalam membahagikan masa antara tanggungjawab dalam kerjaya sebagai seorang pekerja dan tanggungjawab terhadap keluarga’.
“Sebagai isteri dan ibu, saya perlu bijak membahagikan masa antara kerjaya dan rumahtangga. Tambahan pula, saya mempunyai anak-anak yang masih kecil dan semestinya memerlukan perhatian. Jadi, pengurusan masa yang sistematik perlu bagi memastikan saya tidak melepaskan momen istimewa bersama keluarga sekaligus mengatur jadual tugas yang baik untuk portfolio kerjaya. Wanita perlu bijak mengawal emosi dan melaksanakan jadual untuk memastikan kedua-duanya dapat berjalan seiring,” ujarnya seraya mengakhiri perbualan.