Cantik manis dan kecil molek saja orangnya. Memiliki susuk tubuh yang langsing persis anak dara tidak langsung menunjukkan dirinya seorang ibu kepada tiga cahaya mata ini.
Tania Zara bukan sekadar cantik bahkan seorang isteri dan ibu yang aktif sebagai pengusaha studio membuat kek iaitu Coffee Jeans & Co.
Tania Zara atau nama sebenarnya, Norzalina Mohd Sudin seorang yang merendah diri. Anak jati Kuala Lumpur yang berusia lewat 30an ini cukup mahir dalam membuat kek dan pastri.
Berjauhan dari suami yang bertugas sebagai Senior Drilling Fluid Engineering di Baker Hughes Saudi Arabia menjadikan Tania Zara seorang yang berdikari. Maka, tercetuslah idea untuk menubuhkan Coffee Jeans & Co sejak setahun lalu.
“Segalanya bermula dengan hobi saja sebab saya memang penggemar kek. Perancangan asal hendak membuka kafe tetapi memandangkan permintaan untuk membuka kelas lebih tinggi maka saya dan suami memutuskan untuk membuka studio Coffee Jeans & Co ini.
Ads
Secara asasnya Coffee Jeans & Co disewakan kepada mereka yang berminat untuk mengadakan kelas atau bengkel membuat kek, biskut, kuih dan sebagainya.
Coffee Jeans & Co juga menawarkan kelas yang bukan sahaja terdiri daripada tenaga pengajar tempatan bahkan dari luar negara. Saya antara salah seorang tenaga pengajarnya.
Ads
Antara klien besar Coffee Jeans & Co ialah Shell, Petronas dan Schlumberger.
Setakat ini sekurang-kurangnya 100 kelas yang telah kami tawarkan buat orang ramai seperti membuat dan mendekorasi kek, pastri, pavlova serta macaroon.
Ads
Momen terindah apabila berpeluang menghasilkan pastri berupa chicken pie, sardine puff dan cream horn istimewa buat Raja Permaisuri Perak iaitu Tuanku Zara Salim bersempena ulang tahun kelahirannya.
Saya amat bersyukur dan anggap ini adalah rezeki seterusnya menambahkan lagi semangat untuk saya berusaha lebih gigih demi menaikkan nama Coffee Jeans & Co.
Satu-satunya sumber inspirasi saya dalam perniagaan ialah Datin Vivy Yusof,” kongsi Tania Zara yang juga aktif sebagai model iklan komersil dan pelakon.
Kredit Foto: Instagram @taniazara dan @coffeejeansandco
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Begitu pentingnya doa dan restu seorang ibu buat seorang anak. Itulah kunci serta keberkatan kejayaan yang sebenar. Berkat sentiasa menyantuni ibu, ikon usahawan sukses, Dato’ Hajah Sharifah Shareen Almashoor bersyukur kerana perjalanan perniagaannya sentiasa dipermudahkan. Rezeki juga sentiasa murah. Segalanya berkat doa dan restu ibunya.
Berikut perkongsian ibu kepada dua cahaya mata yang berusia 42 tahun ini di akaun Instagramnya yang dapat kita jadikan inspirasi:-
“Lepas Mama bersara dari Lembaga Hasil Dalam Negeri kira-kira 15 tahun dahulu dan sebelumnya lagi memang Mama most of the time tinggal di rumah saya.
“Tapi semenjak 4 tahun lepas Mama banyak di rumah adik bongsu saya Faatin selepas dia melahirkan anak pertama. Lepas itu lahir pula anak kedua. So jaranglah Mama dapat tinggal di rumah saya selepas itu.
“Kali ini, Faatin kena balik kampung rumah mentua, apa lagi peluang keemasanlah. Mama is staying with me, hurray!!
“Seronok sangat bila Mama stay here, walaupun Mama dah kurang daya ingat. Cakap berulang-ulang kali yang sama but we enjoy it.
“Entah berapa lama lagi kita nak dapat peluang ada “syurga” dalam rumah dan hidup kita ini entah berapa lama lagi hayat mereka. So, semenjak Mama duduk sini, setiap hari saya keluar mesti bawa Mama sekali. Tak kiralah ke bank ke, office ke, meeting ke, lunch meeting, tea meeting, masjid, madrasah, saloon semua bawa Mama
“Dan setiap kali bersama saya selalu minta Mama doakan. Kadang-kadang sehari lebih dari 10 kali heheh.. tamakkan doa seorang ibu.
“Kepada semua sahabat, sekiranya masih ada ibu, ayah,jagalah sebaiknya kerana masa kita bersama mereka ibarat lampu isyarat jingga menanti merah. Lepas ini kita akan kehilangan sebesar-besar kasih sayang dan redha Allah dalam dunia ini.
“Juga Ingat, anak-anak memerhati cara kita layan ibu kita. Kerana begitulah cara mereka akan layan kita nanti. Lead by example.
“Kasih ibu membawa ke syurga.”
Dua anak perempuan Dato’ Shareen ialah Puteri Balqis, 18, dan Puteri Zara, 15. Kedua-duanya mempunyai minat yang sama dalam bisnes seperti ibu mereka. Tidak hairanlah, sejak kecil lagi mereka didedahkan dengan ilmu-ilmu bisnes dari Dato’ Shareen yang ingin melihat mereka berjaya dalam minat mereka serta akademik.
Kredit Foto: Instagram Dato’ Shareen Almashoor
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Tahukah anda, Indonesia merupakan pengeluar makanan laut kedua terbesar dunia tetapi dari segi pengedaran hasil laut ia masih jauh ketinggalan berbanding Malaysia? Di Indonesia, para nelayan terpaksa melalui 7 hingga 8 lapisan sehingga produk hasil laut sampai ke restoran dan sekaligus menjadikan margin keuntungan yang diperolehi oleh kaum nelayan amat sedikit. Malah, harga yang diletakkan oleh orang tengah jauh lebih tinggi dan keuntungan mereka berlipat kali ganda.
Menyedari kewujudan sistem yang tidak adil itu, ia mencetus idea buat tiga sahabat, Farid Naufal, Indraka Fadhillah dan Utari Octavianty menubuhkan laman sesawang dipanggil ARUNA.
Bermula daripada minat yang sukakan makanan laut, dan kegigihan untuk mengubah masa depan dirinya yang berasal daripada sebuah keluarga nelayan, perjalanan bisnes wanita muda bernama Utari Octavianty menjadi mudah selepas laman web ciptaannya, ARUNA popular pada tahun 2015.
Menurut laporan portak CNBC, Utari bersama dua rakannya membangunkan platform dagangan tersebut untuk menghubungkan pelanggan terus kepada pembekal hasil laut. Beliau pada mulanya menyertai pertandingan Hackathon Merdeka untuk mendapatkan modal perniagaan dan siapa sangka, mereka menangi pertandingan tersebut.
Bermodalkan dua buah komputer peribadi dan wang tunai berjumlah RM3,242 yang dimenangi, mereka bertiga terus membuka langkah drastik. Tiga anak muda Indonesia yang kesemuanya berusia bawah 30 tahun ini berjaya menubuhkan syarikat awalan digital atau startup yang kini dilaporkan telah menerima peruntukan berjumlah AS$100 juta!
Tiada siapa yang menyangka niat murni mereka yang pada mulanya hanya untuk membantu meningkatkan pendapatan nelayan di Indonesia akhirnya mendapat sambutan luar biasa dari ramai pelabur di seluruh dunia.
Menurut Utari, konsep Aruna cukup mudah. Ia bertindak sebagai platform yang menemukan pelanggan secara terus kepada nelayan. Mereka hanya membina laman sesawang hasil kemenangan pertandingan sebanyak RM2,000 seterusnya menerima tempahan yang begitu banyak pada minggu pertama dilancarkan.
KISAH PERIBADI JADI SANDARAN NAK UBAH NASIB
Bersandarkan kisah kehidupan peribadi yang berasal dari sebuah perkampungan nelayan di Kampung Bahru, Kalimantan Timur, Indonesia, Utari Octavianty gigih mengubah masa depan dirinya sehingga boleh dijadikan contoh dan teladan terbaik buat para wanita seluruh dunia.
Walaupun baru mencecah usia 28 tahun, Utari membuktikan tiada yang mustahil untuk merubah taraf hidup sehingga bergelar jutawan.
Kehidupan di perkampungan terpencil mengehadkan anak-anak nelayan untuk mendapatkan akses pendidikan sempurna dan dianggap tidak boleh berjaya. Namun begitu, ibu bapa Utari tidak pernah menjadikan soal kemiskinan sebagai halangan untuk mereka membekalkan ilmu kepada Utari. Malah, ibu bapa Utari tetap berusaha untuk menghantarnya ke sekolah di bandar.
“Disebabkan miskin, sementelah saya anak nelayan, saya diejek dan dibuli oleh rakan sebaya. Masa itu saya hanya pendam dan menulis semua itu dalam sebuah diari.
“Pada saat itu juga saya berazam untuk memastikan kampung saya terkenal bukan kerana kemiskinan, tetapi sebuah lokasi yang berpotensi,” katanya.
Benarlah, rezeki memihak kepada mereka yang rajin dan sentiasa berusaha. Semua yang dihasratkan menjadi realiti. Pada usia masih muda, Utari memulakan karier sebagai penyelaras (aggregator) rantaian bekalan makanan laut dan memberikan nelayan akses kepada rangkaian global.
“ARUNA sudah mencatat jumlah permintaan makanan laut bernilai 1,000 tan daripada pelanggan yang rata-ratanya pemilik restoran dan pengimport. Malah ARUNA berjaya mengeksport 44 juta kilogram makanan laut ke tujuh negara tahun lalu, antaranya termasuklah Amerika Syarikat dan China,” katanya.
Pada Januari lalu, ARUNA turut mengumumkan pembiayaan susulan Siri A bernilai RM138.9 juta diketuai oleh Vertex Ventures Asia Tenggara dan India. Hari ini, syarikat yang dibangunkan sudah bernilai jutaan ringgit.
Sehingga kini, lebih 26,000 nelayan merentasi 150 komuniti nelayan di Indonesia menggunakan perkhidmatan ARUNA untuk meningkatkan pendapatan. Utari Octavianty kini bukan sahaja menerajui ARUNA INDONESIA, malah mengembangkan sayap perniagaannya dengan menubuhkan Seafood By Aruna, menubuhkan Yayasan Maritim untuk membantu keluarga nelayan di daerah pesisir laut dengan konsep sustainabiliti serta mewujudkan kolam atau sangkar udang kara untuk meningkatkan pendapatan para nelayan.
Ketiga-tiga pengasas ARUNA turut terpilih dalam “30 Under 30 Asia 2020″.
Forbes 30 Under 30 Asia merupakan penghargaan tahunan untuk mengiktiraf usahawan dan penggerak perubahan berusia dibawah 30 tahun.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Krisis kemanusiaan melibatkan pelarian Rohingya seakan tiada kesudahannya. Secara umumnya, Rohingya merupakan kelompok minoriti Islam di Myanmar. Sebahagian besar orang Rohingya menetap di Arakan (kini dikenali Rakhine) terutamanya di sekitar Maungdaw, Buthidaung, Rathedaung, Sittwe dan Kyauktaw.
Terpanggil membantu pelarian Rohingya mengharungi kehidupan yang serba kekurangan, MERCY Malaysia UK telah bekerjasama dengan Mercy Malaysia untuk misi bantuan perubatan dan kemanusiaan di Cox’s Bazar, Bangladesh. Statistik terkini mencatat jumlah pelarian Rohingya di Bangladesh seramai 860,000. Keluasan kem Kutupalong kini menjangkau 800 hektar. Ia adalah antara kem pelarian yang terbesar didunia. Persekitaran kem dengan longkang terbuka, air bertakung, sampah dan sisa pembuangan pasti mengundang wabak penyakit.
Tanpa bekalan elektrik atau air, warga kem amat bergantung kepada air bawah tanah yang diambil dari telaga tiub. Di mana-mana kelihatan kanak-kanak dan kaum wanita beratur untuk mengambil air. Namun jumlah pam masih tidak mencukupi untuk menampung kegunaan puluhan ribu pelarian.
“Rata-rata kemudahan asas seperti bekalan air bersih, sistem perparitan, tempat pembuangan sisa dan kumbahan masih tidak sempurna namun masalah ini telah dikenal pasti oleh badan dunia. Mercy Malaysia misalnya membantu membina 20 tandas komuniti di sini. Setiap unit mempunyai 2 bilik mandi dan 4 tandas. Walaupun Bangladesh amat bermurah hati membenarkan kawasan hutan simpan ini dijadikan perkampungan kaum Rohingya hakikatnya pertubuhan perubatan dan kemanusiaan antarabangsa termasuk dari Malaysia menjadi penyambung nadi mereka.
Saban hari di pusat pengagihan makanan terdapat ratusan orang yg beratur untuk mengambil bantuan. Mereka menggunakan sistem kupon. Beras, tepung, minyak masak, sabun, selimut, tikar dan tong air antara yang diberikan. Berduyun-duyun mereka turun dari bukit ke food distribution centre pertubuhan antarabangsa. Berbanding dengan apa yang kita lihat pada September tahun lalu di mana mereka merebut-rebut untuk dapatkan sekampit beras, kali ini sistem pengagihan lebih teratur,” ujar Haliza lagi.
Haliza Hashim yang juga pemegang amanah MERCY Malaysia UK telah berkunjung ke kem pelarian Rohingya di Bangladesh bersama dua orang doktor yang berpengkalan di London, Dr Zehan Rahim dan Dr Thomas McKearney.
Pada hari pertama memasuki kem pelarian, jelas kelihatan warga tua, ibu hamil dan kanak-kanak mengalami masalah kesihatan seperti kekurangan zat makanan dan sebagainya. Malah, ada di antara mereka sanggup berjalan kaki hampir satu jam untuk sampai ke klinik dan menunggu sehingga tiga jam untuk berjumpa dengan doktor.
“Kaum wanita Rohingya amat pemalu. Mereka akan menoleh apabila saya menghalakan camera ke arah mereka walaupun dari jarak jauh. Mereka sering duduk di dalam rumah. Saya banyak buat kawan dengan kanak-kanak. Sebab mereka sering bermain di luar. Saya joined sekumpulan teenage girls main batu seremban. Saya tunjukkan taktik saya, tetapi mereka tunjukkan style mereka yang lebih cekap!
Antara pengalaman yang tidak dapat saya lupakan apabila melihat betapa masyarakat Rohingya ini amat menepati waktu solat. Ketika azan Zohor mula berkumandang, sahut-menyahut dari beberapa masjid dan madrasah di kem pelarian mula kedengaran. Dari atas bukit saya nampak anak-anak kecil berlari-lari ke telaga tiub untuk mengambil wuduk. Yang dewasa pula berjalan laju merebut giliran. Warga emas mengheret kaki turun dari lereng bukit untuk ke masjid atau madrasah. Subhanallah!” ujar Haliza seraya mengakhiri perkongsian bersama majalah NONA.
Haliza Hashim adalah pemegang amanah MERCY Malaysia UK dan juga wartawan TV3/Media Prima di London.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Setiap manusia diuji dengan pelbagai dugaan. Begitu juga Dr Fie Tawfek yang berdepan dengan penceraian pada 2 Disember 2025 setelah sedekad mendirikan rumah tangga dengan penyanyi dan usahawan, Nubhan Ahamad. Kenangan pahit yang terpaksa ditelan seolah-olah menjadi ‘kekuatan’ untuk dirinya melangkah lebih jauh dan berani.