Tahniah! Tanpa khabar angin mengenai perhubungan cintanya, Vanidah Imran selamat melangsungkan pernikahan dengan jejaka pilihan hari ini. Tampak berseri-seri di atas pelamin sambil ditemani dua anak tersayang, pelakon cantik tersebut sah bergelar isteri Arifabillah Idris dengan sekali lafaz.
Vanidah berusia 49 tahun menjadi milik Arifabillah iaitu seorang jurutera berusia 43 tahun. Malah, Arifabillah juga pernah meraih pingat perak Chungju World Martial Arts Masterships (WMC) di Korea Selatan pada tahun 2016.
Menerusi kenyataan media yang dikongsikan kepada Nona, majlis pernikahan pasangan berkenaan dikendalikan Pendaftar Nikah Cerai Rujuk, Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI), Ustaz Muhammad Fairudz Saderi.
Berwalikan adik lelaki kandungnya iaitu Johan Imran, pasangan ini disatukan di sebuah premis di Titiwangsa, sekitar pukul 12.12 tengah hari. Majlis pernikahan mereka dihadiri 50 tetamu terdiri ahli keluarga dan teman rapat.
Vanidah dan suami bagaimana pun sepakat untuk tidak berkongsi jumlah wang hantaran demi memenuhi permintaan keluarga.
Ads
Pelakon filem Perempuan Melayu Terakhir dan Red Kebaya itu turut menerima mas kahwin berbentuk seutas rantai leher emas daripada suami selain berbalas dua dulang hantaran.
Dalam majlis yang berlangsung sederhana namun penuh bermakna itu, Vanidah mengenaikan persalinan rekaan Rizman Ruzaini dan solekan Syed Faizal. Majlis turut mendapat sentuhan perancang perkahwinan EZS Concept.
Ads
Kembali bergelar isteri, kata Vanidah, ia bukan sesuatu yang mudah namun berkat restu seluruh ahli keluarga dan sokongan rakan-rakan, niat baik itu dipermudahkan oleh Allah. Justeru, sebelum tiba hari bahagia itu, Pelakon Wanita Terbaik Festival Filem Malaysia (FFM) Ke-20 tersebut selesa ‘mengunci mulut’ tanpa menghebahkannya.
“Sejujurnya yang hanya tahu saya dan Arifabillah mempunyai hubungan istimewa hanyalah kawan rapat selain keluarga dan dua anak saya, Mikail Aimran dan Maryam Rashika.
Ads
Kawan rapat pun hanya dimaklumkan saya beberapa hari sebelum majlis pernikahan. Ada di antara mereka terkejut dengan berita ini, namun dalam masa sama tumpang gembira dengan keputusan dibuat.”
Ujarnya, dia gembira dan bersyukur kerana bertemu jodoh dengan suami yang berkongsi banyak persamaan. Apatah lagi kedua-dua mereka berpengalaman melalui kegagalan dalam perkahwinan pertama dan dikurniakan anak. Jadi, persefahaman lebih mudah dicapai.
“Kami pernah berkahwin. Masing-masing pernah melalui pengalaman hidup berumah tangga. Dia sebelum ini berstatus duda kepada empat cahaya mata.
Jadi paling utama dalam memutuskan soal membina masjid kami, perasaan dan hati anak-anak perlu diutamakan,” kata Vanidah yang kini bertugas sebagai pensyarah Kolej Seni Kreatif, Universiti Teknologi MARA (UiTM).
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Nieza Muslimah Salon jaga kebajikan pekerja, sediakan kondo penginapan percuma – Shasha Masrey. Tak ramai majikan prihatin dengan kebajikan pekerja khususnya menyediakan penginapan selesa buat pekerja. Namun sejak memulakan perniagaan salon muslimah lima tahun lalu, pemilik Nieza Salon, Shasha Masrey mengakui antara yang dititik beratkan adalah menjaga kebajikan pekerja bagi pekerja kekal selesa dan setia bersama-sama memajukan syarikat.
Sejak kecil sudah didedahkan dengan dunia salon, pengalaman pemilik Nieza Salon iaitu Shasha Masrey membesar dengan melihat ibunya menggunting rambut di sebuah salon di PPR Kerinchi, Pantai Dalam, membentuk jiwa usahawan yang begitu kental.
“Saya sering melihat ibu sibuk melayani pelanggan setia yang datang untuk menggunting rambut mereka di Nieza Salon. Sejak diasaskan pada tahun 1988, ibu saya memandang setiap pelanggan yang datang bukan sekadar pelanggan tetapi keluarga. Saya melihat bagaimana kepercayaan dan hubungan yang terjalin antara ibu dan pelanggan adalah kunci kepada kejayaan salonnya.
Pengalaman berharga itu kini menjadi panduan bagi saya dalam mengembangkan Nieza Salon agar berkembang ke arah lebih premium dengan pengkhususan untuk pelanggan Muslimah. Pun begitu saya masih mahu mengekalkan aura yang sama,” demikian jelas pemilik Nieza Salon, The Best Salon Muslimah iaitu Shasha Masrey.
Bermula dengan pembukaan Nieza Salon di Bandar Sri Permaisuri, Cheras, pada tahun 2020 memperlihatkan bagaimana salon pilihan Muslimah ini berkembang pantas menjadi enam cawangan iaitu di Wangsa Maju, Kuantan, Putrajaya, Kajang dan terkini Shah Alam.
Berbicara dengan anak muda penuh inspirasi ini, Shasha menyerlahkan semangatnya yang sentiasa ingin meneroka teknik dan ilmu baru dalam dunia salon yang sedang berkembang pesat. Tak hairanlah, dirinya dan pasukan baru saja pulang dari Budapest Hair Show 2024 pada September lalu, iaitu acara yang menghimpunkan individu dari salon terbaik di seluruh dunia.
Lebih menarik, Nieza Salon menjadi satu-satunya salon Muslimah yang terpilih mewakili Malaysia di acara professional paling popular ini.
“Tahun ini, sudah dua kali Nieza Salon dipilih mewakili negara. Sebelum Budapest, acara profesional ini turut diadakan di Shanghai. Tahun sebelum itu di Greece. Kami didedahkan dengan teknik-teknik baru dalam potongan gaya rambut termasuk mewarnakan rambut dengan mudah dan cepat tapi hasilnya memuaskan.
Sebagai orang baru dalam industri salon, saya akui agak kerdil apabila terpilih berada bersama mereka yang hebat-hebat tapi dalam masa yang sama bangga kerana berjaya mewakili negara dalam industri. Pendedahan yang saya dapat, saya akan ajar kepada pasukan di mana kami mahu berikan yang terbaik buat pelanggan Nieza Salon,” katanya sambil mengakui teknik perawatan dan potongan rambut di Eropah berkembang begitu pantas.
Tambah Shasha, boleh dikatakan industri ini masih lagi kecil di Malaysia dan segelintirnya mengekalkan cara lama berniaga.
Dalam memastikan aurat dan keperibadian pelanggan terjaga, Nieza Salon melarang sama sekali lelaki untuk berada di dalam salon biarpun hanya untuk menunggu pasangan selesai menggunting rambut.
“Demi keselesaan pelanggan, Nieza Salon ada menyediakan ruang tertutup. Di sini pelanggan bebas membuka tudung masing-masing. Hairstylist juga berpengalaman malah bila datang ke sini, kami akan berkongsi ilmu pengetahuan. Bukan sekadar gunting rambut atau cuci semata-mata tapi juga berkongsi ilmu tentang penjagaan rambut,” ujarnya.
Shasha menjelaskan hair scalp treatment atau rawatan kulit kepala sentiasa menjadi pilihan pelanggan ketika mengunjungi Nieza Salon. “Rambut itu mahkota wanita. Biasanya masalah sering dihadapi oleh mereka yang berhijab ialah kelemumur, rambut gugur dan berbau. Masalah ini dapat di atasi melalui Hair Scalp Treatment.
Untuk rawatan kulit kepala ini ada banyak kelebihannya di mana ia dapat memelihara akar rambut, dapat memperbaiki rambut rosak, menyihatkan rambut dan kulit kepala, mencegah rambut daripada rosak selain melembutkan rambut.
Alhamdulillah, ramai yang memilih membuat rawatan ini untuk rambut kembali subur dan tak gugur. Bahan yang kita gunakan juga bebas bahan kimia dan selamat digunakan,” katanya mengenai kelebihan rawatan yang ditawarkan di Nieza Salon.
“Bagi saya, untuk berjaya dalam industri ini, kemahiran teknikal adalah amat penting. Bukan sahaja fokus pada potongan rambut dan rawatan yang terbaik tetapi juga kepada pengetahuan tentang bahan-bahan yang digunakan, pemahaman tentang keperluan rambut setiap individu dan sentuhan seni yang membolehkan kita mencipta gaya yang sesuai dengan personaliti setiap pelanggan. Tapi satu yang paling utama ialah kita meraikan pelanggan seperti ahli keluarga.
Inilah yang saya nampak ketika ibu membuka perniagaannya. Ramai selesa bersama ibu walaupun ada banyak pilihan salon lain. Jadi segala ilmu yang baik daripada ibu iaitu Anizah Othman atau Kak Nieza, saya bawa ke Nieza Salon ini.
Dalam masa yang sama, Shasha menjelaskan perbezaan di antara Nieza Salon dengan salon Muslimah lain adalah daripada segi perkhidmatan terbaik serta produk berkualiti. “Bagi saya apa yang penting ialah kejujuran kepada pelanggan. Di Nieza Salon, kita sediakan produk berkualiti tapi pada harga berpatutan. Tak ada charge yang mahal-mahal hanya disebabkan produk di gunakan berkualiti. Bagi saya biarlah cari rezeki yang berkat. Bila kita jujur dengan pelanggan, mereka akan datang lagi ke salon ini. Alhamdulillah, ramai pelanggan setia bersama Nieza Salon.”
Selain meraikan pelanggan, Shasha akui bahawa aspek menjaga kebajikan pekerja turut menjadi keutamaan syarikat. “Selain gaji berpadanan mengikut kemahiran seseorang pekerja, syarikat turut sediakan penginapan di kondominium secara percuma buat staf yang masih bujang. Kita juga sediakan elaun makan setiap hari selain bonus dan penghargaan buat mereka dengan membawa mereka bercuti ke luar negara. Baru-baru ini, Nieza Salon meraikan staf seramai 30 orang di semua cawangan dengan membawa mereka pergi bercuti ke Hatyai.
Nieza Salon juga merupakan syarikat Sistem Latihan Dual Nasional (SLDN) di bawah Jabatan Pembangunan Kemahiran, Kementerian Sumber Manusia. Jadi mana-mana individu yang mahu bekerja sama ada berkemahiran atau tidak, boleh datang ke Nieza Salon.
Kami akan berikan gaji permulaan sebanyak RM1,200 (mengikut syarat kerajaan sebelum ini sebelum asas gaji baru diperkenalkan) bagi menempatkan mereka dalam latihan industri. Yang tak ada kemahiran pun boleh memohon kerana Nieza Salon mahu membuka peluang pekerjaan kepada semua. Maksudnya pekerja boleh bermula dari bawah sebagai shampoo girl.
Kemahiran pekerja akan terus dipertingkatkan melalui latihan termasuk jika mahu bergelar hairstylist. Alhamdulillah, rata-rata pekerja setia bersama Nieza Salon sehingga ke hari ini,” kongsi Shasha. Demi mengekalkan kesetiaan pelanggan pula, mereka sering membuat pelbagai promosi seperti Wash & Cut pada harga RM30 sahaja selagi tawaran masih berlangsung.
Berpegang kepada nasihat ayah, Masri Abu Talib, prinsip ‘tempuh saja, jalan terus’ adalah pegangan Shasha dalam dunia perniagaan. “Kalau kita tak mencuba, kita tak akan tahu. Saya sendiri tak pernah menyangka akan berada sejauh ini dalam perniagaan salon. Dulu saya bermula sebagai make-up artist freelancer untuk penggambaran drama dan filem, sebelum dipanggil merias wajah selebriti selepas tamat pengajian.
Sampailah dapat peluang bisnes begini termasuk mempunyai rakan kongsi. Alhamdulillah, rezeki itu sentiasa ada. What you give you get back. Di Nieza Salon, saya mengambil aura ibu yang mana dirinya sering memberikan harga murah dan kadangkala tidak mengambil sesen pun bayaran daripada pelanggan yang kurang mampu. Tak hairanlah kedainya sentiasa dipenuhi orang.
Saya mengambil aura kebaikan ini di mana kami setiap bulan akan mengunjungi rumah anak-anak yatim, orang tua dan sebagainya untuk memberikan perkhidmatan gunting percuma. Alhamdulillah, Allah merezekikan kami untuk terus kekal bertahan. Mudah-mudahan 10 tahun akan datang, Nieza Salon mampu berkembang ke seluruh negara. Itulah Impian saya,” katanya penuh semangat.
Akhiri Shasha, sejak kecil dia sudah terdedah dengan Majalah Nona kerana ia majalah pilihan ibunya. “Wanita itu sendiri memiliki kekuatan luar biasa. Dari sosok penuh kelembutan namun megah teguh memacu ekonomi keluarga. Bagi saya, Nona itu sendiri signifikan dengan semua wanita kerana ia sudah dikenali sejak dulu.
Samalah seperti Nieza Salon. Impian saya mahu melihat salon ini terus kekal selamanya. Menjadi pilihan orang ramai kerana perkhidmatan yang kita sediakan. Doakan bisnes ini terus sukses,” katanya penuh semangat.
Bagi individu yang terlalu fokus dengan kerja dan dalam usaha untuk membina kerjaya sedikit sebanyak sikapnya itu akan memberi kesan terhadap pasangan. Mungkin ada pasangan yang tidak kisah dan sentiasa memberikan sokongan namun berapa ramai pula yang terpaksa memendam rasa akibat kurangnya perhatian.
Ada yang terpaksa ‘mengalah’ di tengah jalan kerana tidak mampu lagi mempertahankan hubungan akibat jarang berjumpa mahupun berkomunikasi. Namun bagi yang masih bertahan atas rasa cinta dan sayang, 8 kunci utama ini boleh dipraktikkan agar kekal bahagia bersama pasangan yang kuat kerja ini.
MEMAHAMI
Sebelum melayan emosi, sebaiknya tanyakan dulu alasannya yang terlalu fokus dengan kerja. Bercakaplah baik-baik, dari hati ke hati. Tanya pasangan mengapa sering tidak mempedulikan anda. Mungkin pasangan anda mempunyai alasan logik yang memaksa dirinya untuk memberi perhatian 100% terhadap kerja.
RANCANG MASA BERKUALITI BERDUA
Kalau susah sangat untuk luangkan masa bersamanya, apa kata anda buat jadual khas. Berbincanglah dengan pasangan untuk mendapatkan sekurang-kurangnya satu hari untuk masa berkualiti berdua. Ingat, sepakat membawa berkat. Kalau nasib anda baik mungkin boleh dapat lebih daripada satu hari kan? Pastikan pasangan melupakan seketika segala hal kerjanya ketika meluangkan masa bersama. Cara ini membantu menjadikan hubungan anda berdua lebih sihat.
LUAH PERASAAN
Agar komunikasi terjaga dengan baik, usahakan untuk meluahkan hal-hal yang berbangkit. Contohnya kesan terlalu fokus dengan kerja akan menjejaskan masa berkualiti bersama keluarga mahupun diri sendiri. Luahkan sepenuhnya dari hatid agar dirinya sedar dan tahu bagaimana perasaan anda ketika itu.
SABAR
Kunci sukses ialah sabar. Ia juga sangat penting dalam hubungan suami isteri. Jika pasangan anda sering bekerja di luar kawasan dan sukar untuk mempunyai masa berkualiti berdua, luahkan kepada pasangan secara baik. Buat senarai prioriti iaitu ketika pasangan berada dekat dengan anda dan juga ketika ketiadaannya. Ia dapat membantu anda berhadapan dengan pasangan yang terlalu kuat kerja.
RAJIN BERTANYA APA YANG DIPERLUKAN
Mungkin pasangan anda betul-betul sibuk. Salah satu cara terbaik menghadapi kesibukan itu ialah dengan bertanya. Tanya pasangan, anda perlu bersikap bagaimana dan apa yang dia perlukan dari anda. Cara ini dapat membantu mengeratkan hubungan anda berdua.
INGATKAN PASANGAN
Di saat anda sedang berusaha menyelami ‘kehidupan sibuk’ pasangan, anda juga perlu mengingatkannya agar tahu untuk menyeimbangkan antara kehidupan dengan kerja. Kemungkinan besar pasangan anda tidak menyedari bahawa pentingnya memberikan sedikit ruang waktu hanya sekadar untuk berbincang dengan anda.
TERIMA PASANGAN SEADANYA
Jika anda tidak berjaya mengubah sikapnya dan keadaan ini masih berlanjutan terimalah pasangan seadanya. Tetapi ingat, menerima bukan bermaksud membiarkan sahaja pasangan memperlakukan anda begitu. Ini hanyalah satu kesepakatan dengan diri anda sendiri agar dapat menjalani kehidupan dengan tenang setiap hari.
FOKUS DENGAN DIRI SENDIRI
Dunia anda bukanlah hanya untuk pasangan. Di saat anda sedang berusaha untuk memahami dirinya, carilah kesibukan sendiri agar anda tidak terlalu memikirkannya. Fokus terhadap kerjaya anda termasuk melakukan hobi, berjumpa dengan rakan-rakan baik atau bersama ahli keluarga.
Kesimpulannya, sebuah hubungan perlu ada kepercayaan dan keinginan daripada kedua belah pihak untuk menyuburkan lagi rasa cinta. Kalau hanya sebelah pihak sahaja yang berusaha untuk mempertahankannya maka sukarlah untuk menjaga keutuhan hubungan.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Pelantikan Dato’ Hanifah Hajar Taib sebagai Timbalan Menteri Kesihatan Malaysia bukan sekadar menyaksikan pertukaran kepimpinan dalam pentadbiran negara, malah menjadi simbol kebangkitan seorang wanita yang membina perjalanan politiknya dengan penuh kesabaran, prinsip dan dedikasi.
Di sebalik nama besar yang diwarisi daripada Allahyarham Tun Abdul Taib Mahmud, beliau memilih untuk membina identiti sendiri menerusi khidmat kepada rakyat serta komitmen terhadap pembangunan negara.
Pada usia 54 tahun, anak bongsu kepada Allahyarham Tun Pehin Sri Haji Abdul Taib Mahmud dan Allahyarhamah Tun Puan Datuk Patinggi Hajah Laila Taib ini membuktikan bahawa legasi bukan sekadar diwarisi, tetapi perlu diteruskan dengan amanah dan tanggungjawab.
Isteri kepada Datuk Syed Ahmad Alwee Alsree serta ibu kepada dua cahaya mata ini kini menggalas tugas sebagai Timbalan Menteri Kesihatan selepas sebelum ini pernah berkhidmat sebagai Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak) pada tahun 2020 serta Timbalan Menteri Ekonomi pada tahun 2022.
Nama Allahyarham Tun Abdul Taib Mahmud cukup sinonim dengan pembangunan Sarawak. Namun bagi Dato’ Hanifah, kenangan paling bermakna bukanlah mengenai kedudukan bapanya sebagai pemimpin negeri, sebaliknya pengalaman membesar melihat sendiri bagaimana kedua-dua ibu bapanya turun padang membantu masyarakat.
Beliau mengakui minat terhadap politik bukanlah sesuatu yang hadir sejak awal.
“Nak cakap pasal politik, saya tak minat sebenarnya. Tetapi sejak kecil saya selalu ikut arwah ibu ayah masuk ke kawasan pedalaman. Saya tengok kawasan yang daif diperbaharui dan dilaksanakan pembangunan.”
Pengalaman itu akhirnya membentuk cara beliau melihat kepimpinan bukan sebagai satu kedudukan, tetapi satu amanah untuk membawa perubahan kepada kehidupan rakyat.
Pengaruh ibunya, Allahyarhamah Tun Puan Datuk Patinggi Hajah Laila Taib, juga cukup besar. Dikenali sebagai seorang dermawan dan tokoh kebajikan, perjalanan hidup Allahyarhamah yang berhijrah dari Eropah akibat peperangan sebelum menetap di Australia dan akhirnya membina kehidupan di Sarawak menjadi inspirasi kepada semangat kemanusiaan yang diteruskan oleh Dato’ Hanifah hingga ke hari ini.
Selepas menamatkan persekolahan di Sarawak, Dato’ Hanifah melanjutkan pengajian ke Amerika Syarikat dalam bidang pentadbiran dan pengurusan sebelum memperoleh ijazah daripada University of San Francisco.
Pendedahan dalam persekitaran akademik antarabangsa memperkayakan pemikiran beliau terhadap ekonomi moden, tadbir urus yang telus serta kepimpinan strategik. Selain mengikuti pengajian, beliau turut aktif dalam program pembangunan pelajar yang menekankan komunikasi rentas budaya dan kemahiran membuat keputusan.
Pengalaman tersebut menjadi asas penting kepada pendekatan beliau dalam merangka dasar, khususnya berkaitan pembangunan ekonomi luar bandar, pemerkasaan komuniti pesisir dan pembangunan Sabah serta Sarawak dalam kerangka nasional.
Sebelum bergiat aktif dalam politik, beliau terlebih dahulu membina pengalaman dalam dunia korporat melalui beberapa syarikat berkaitan pembangunan ekonomi Sarawak. Dalam tempoh itu juga, beliau terlibat secara aktif dalam pelbagai program tanggungjawab sosial korporat yang memfokuskan pendidikan, bantuan kemanusiaan dan kebajikan masyarakat luar bandar.
Tidak seperti kebanyakan ahli politik yang memulakan perjalanan pada usia muda, Dato’ Hanifah hanya melangkah ke arena politik pada tahun 2018 ketika berusia 46 tahun.
Keputusan itu juga bukan dibuat secara tergesa-gesa.
“Sebenarnya suami dan (arwah) bapa melewatkan penglibatan saya dari segi politik kerana anak-anak ketika itu masih memerlukan bimbingan saya di rumah.”
Kenyataan tersebut memperlihatkan bagaimana beliau memilih untuk mengimbangi tanggungjawab sebagai ibu sebelum menerima amanah sebagai pemimpin negara.
Pada Pilihan Raya Umum ke-14, beliau dipilih sebagai Ahli Parlimen Mukah, sekali gus memulakan lembaran baharu dalam kerjaya politiknya.
Sebagai Ahli Parlimen Mukah, Dato’ Hanifah memberi keutamaan kepada pembangunan luar bandar, pemerkasaan komuniti pesisir serta peningkatan akses kepada pendidikan dan perkhidmatan asas.
Mukah yang sedang berkembang sebagai kawasan strategik di koridor pesisir Sarawak memerlukan perhatian terhadap pembangunan infrastruktur, capaian internet, peluang pekerjaan dan pelaburan baharu. Beliau konsisten memperjuangkan peluasan rangkaian jalur lebar, penambahbaikan kemudahan asas serta usaha menarik pelaburan yang mampu merancakkan ekonomi tempatan.
Dalam masa yang sama, beliau turut memperjuangkan kebajikan komuniti nelayan, keselamatan pesisir, usahawan kecil, keluarga berpendapatan rendah serta peluang ekonomi untuk golongan belia. Pendekatan beliau yang gemar turun padang menjadikan Dato’ Hanifah dekat dengan masyarakat dan memahami sendiri cabaran yang dihadapi rakyat.
Perjalanan Dato’ Hanifah Hajar Taib membuktikan bahawa legasi keluarga hanya menjadi titik permulaan. Apa yang membezakan seseorang pemimpin ialah kesungguhan meneruskan amanah dengan integriti, kebijaksanaan dan keikhlasan.
Daripada seorang anak yang membesar menyaksikan pembangunan di pedalaman Sarawak, beliau kini berdiri sebagai antara figura wanita yang terus mengangkat suara rakyat di pentas nasional, sekali gus meneruskan reputasi besar yang pernah dibina Allahyarham Tun Abdul Taib Mahmud dengan acuan kepimpinan tersendiri.