Kebiasaannya, sebulan sebelum menjelang Ramadan, industri fesyen tanah air akan dipenuhi dengan persembahan fesyen koleksi raya dari pereka fesyen tanah air yang mengetengahkan koleksi Aidilfitri mereka untuk tatapan media dan para peminat fesyen. Dalam tempoh kurang sebulan menjelang Ramadan, kebiasaannya tempahan baju raya sudah tutup sepenuhnya bagi membolehkan tukang jahit menyiapkan tempahan mengikut waktu yang telah ditetapkan.
Namun, bulan Syaaban tahun ini suasana tersebut begitu berbeza buat industri fesyen dan beberapa pereka fesyen tempatan yang memilih untuk menjahit pakaian PPE untuk kegunaan frontliners di hospital yang bertungkus lumus merawat pesakit yang berhadapan musibah wabak Covid-19.
Beberapa hari yang lalu, pereka fesyen senior tanahair, Dato Radzuan Radziwill memulakan projek menjahit PPE untuk kegunaan frontliners di hospital. Projek tersebut telah mendapat kerjasama dari beberapa lagi pereka fesyen tempatan yang lain termasuklah Salikin Sidek, Qudyn dan Shabri Saad.
Menurut Salikin Sidik, idea tercetusnya menjahit PPE melalui Datuk Radzuan Radziwill dan hasil perbincangan, beberapa lagi pereka fesyen tempatan turut melibatkan diri dalam usaha murni untuk membantu pihak hospital mengatasi maslaah kekurangan pakaian PPE ini. Saya rasa sudah tiba masanya untuk kita berbakti membantu di saat pihak lain memerlukan bantuan. Anugerah yang Allah kurniakan ini kita gunakan untuk mengumpul pahala di saat kepakaran kita diperlukan untuk mengatasi masalah kekurangan baju-baju PPE ini.”
SALIKIN SIDEK
“Sebagai seorang rakyat Malaysia yang prihatin keadaan semasa, saya terpanggil untuk membantu ketika memasuki hari ke14 Perintah Kawalan Pergerakan dilaksanakan. Jadi, kami mengambil inisiatif menubuhkan team bersama Dato Radzuan Radziwill dan dibantu oleh NGO untuk membuat pakaian PPE ini.”
“Syukur Alhamdulillah kain yang digunakan untuk menjahit PPE ini adalah dari material woven mixed seperti beg kitar semula yang mudah didapati. Kami menyediakan 5 hingga 7 item terdiri daripada sarung kepala, tudung, baju, sarung kasut dan boots”, ujar Salikin lagi.
Salikin turut mempunyai 7 orang ahli kumpulan yang sama-sama bekerjasama menyiapkan pakaian tersebut. Malah Salikin mengharapkan lebih ramai individu yang mempunyai kemahiran menjahit untuk sama-sama membantu menjahit baju PPE tersebut.
“Ya, sudah tiba masanya masyarakat yang mempunyai kemahiran menjahit tampil menghulurkan bantuan di saat negara amat memerlukan. Saya mencari individu atau pasukan yang mempunyai kedai jahit untuk membantu kerana lebih senang mereka mempunyai pengetahuan dan skill jahitan.
Bagi memastikan kelancaran projek ini secara berterusan sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan, satu tabung khas turut ditubuhkan bagi mengumpul dana membeli material PPE memandangkan pakaian PPE ini digunakan hanya sekali sahaja atau konsep pakai buang.