Kesemua mereka memiliki apa yang diimpikan ramai orang. Populariti, kebijaksanaan, kaya dan ternama. Namun di sebalik kelebihan itu para pemimpin tertinggi dunia ini turut tidak terlepas diuji dengan ketiadaan zuriat. Meskipun sudah mencuba bertahun lamanya tetapi rezeki masih belum memihak kepada mereka untuk menimang cahaya mata sendiri. Apa yang pasti, masalah ketidaksuburan boleh berlaku kepada sesiapa sahaja tidak kira pangkat, warna kulit mahupun bangsa.

Pun begitu, ada dalam kalangan pasangan suami isteri yang memilih untuk tidak memiliki zuriat dengan alasan tersendiri. Dek kerana masalah kesuburan dan pilihan untuk tidak mempunyai anak… dunia hari ini menyaksikan penurunan kadar kelahiran yang ketara berbanding generasi sebelum ini terutamanya di negara-negara maju seperti Eropah.

IKLAN

Salah seorang pemimpin dunia yang masih belum dikurniakan zuriat ialah bekas Perdana Menteri United Kingdom, Theresa May. Berkhidmat dari 13 Julai 2016 hingga 24 Julai 2019, Theresa yang berkahwin dengan suaminya iaitu Philip May selama empat dekad tetap hidup berdua hingga ke saat ini. Bahkan, Theresa pernah beberapa kali membincangkan mengenai hal tersebut kepada umum.

Menerusi satu wawancara radio ‘Leading Britain’s Conversation’, beliau diaju pertanyaan kerana ketiadaan anak. Tanpa berselindung, Theresa menyatakan ia adalah satu perkara yang menyedihkan. Tambahnya, beliau dan suami telah berusaha untuk mendapatkan anak dengan pelbagai cara tetapi nasib masih belum menyebelahi mereka.

Satu lagi pemimpin tertinggi wanita dunia yang mengalami nasib serupa ialah Canselor Jerman, Angela Merkel. Menyandang jawatan tersebut sejak tahun 2005, Merkel dikhabarkan tidak pernah mempunyai zuriat sendiri.

Bagaimanapun beliau mempunyai dua orang anak tiri hasil perkahwinan dengan suaminya, Joachim Sauer pada tahun 1998. Suami Merkel merupakan seorang ahli kimia dan profesor fizik di Berlin.

Angela Merkel yang berusia 65 tahun dijangka bakal menamatkan perkhidmatan sebagai Canselor Jerman pada tahun 2021.

Begitu juga bagi Menteri Pertama Scotland, Nicola Ferguson Sturgeon yang juga merupakan Ketua Parti Kebangsaan Scotland. Beliau ialah wanita pertama yang memegang kedua-dua jawatan penting berkenaan.

IKLAN

Sturgeon berkahwin dengan suaminya, Peter Murrel sejak 2010 namun belum mempunyai anak. Pasangan suami isteri ini dikatakan telah berusaha untuk mendapatkan zuriat tetapi
malangnya beliau keguguran kira-kira 9 tahun yang lalu. Waktu itu Sturgeon berkhidmat sebagai Timbalan Menteri Pertama.

Perdana Menteri Jepun, Shinzo Abe juga masih belum dikurniakan zuriat hingga kini. Pernah menjadi Perdana Menteri Jepun buat pertama kali pada tahun 2006 hingga 2007, Abe sekali lagi memimpin negara Matahari Terbit itu sejak tahun 2012 lalu sampai sekarang.

Ia sekaligus menyaksikan beliau sebagai Perdana Menteri kedua paling lama memegang jawatan dalam sejarah Jepun.

IKLAN

Abe mendirikan rumah tangga bersama isterinya, Akie Abe atau nama sebenarnya Akie Matsuzaki pada tahun 1987. Seperti Theresa May, Akie Abe juga mendedahkan beliau dan suami bergelut untuk menimang cahaya mata sebelum ini.

Hakikatnya, ramai di antara pemimpin tertinggi dunia yang masih belum dikurniakan zuriat meskipun sudah mendirikan rumah tangga bertahun-tahun lamanya. Ini termasuk Perdana Menteri Perancis, Emmanuel Macron; Perdana Menteri Belanda, Mark Rutte dan ramai lagi. Semoga tahun baru 2020 impian mereka untuk menjadi ibu dan ayah akan jadi kenyataan.

Presiden Perancis, Emmanuel Macron di samping isterinya

 

Sumber: Iluminasi