Cerita mengenai anak kedua Khairy Jamaluddin dan Nori Abdullah yang menghidap autism bukan lagi rahsia. Baik Khairy mahupun isteri, kedua-duanya cukup terbuka dan enggan berselindung tentang keadaan sebenar anak istimewa mereka, Timor Abdullah Jamaluddin. Timor atau mesra dengan gelaran ‘Puma’ oleh Khairy… disahkan menghidap autism ketika dia baru mencecah usia tiga tahun.
Bertemu ibu berjiwa cekal ini dalam majlis pelancaran program Therapy Through Play (TTP) di gimnasium khas untuk kanak-kanak autism We Rock The Spectrum (WRTS) Damansara, Nori dengan nada tenang menjelaskan kehadiran Timor membuatkan mereka sekeluarga lebih matang menjalani kehidupan. Katanya, dugaan terbesar yang harus ditempuhi apabila dikurniakan anak autism ialah penerimaan.
“Macam-macam cabaran sebenarnya tapi yang paling utama ialah penerimaan. Penerimaan untuk kita faham keadaan dia, untuk kita tetap yakin yang dia juga mempunyai potensi dan untuk lebih memahami keadaan anak-anak kita. Itu antara first step. Timor didiagnosis autism secara rasmi ketika umur tiga tahun.
Jujurnya, ia bukan satu masalah besar kerana sebelum ini pun dalam keluarga kami dah ada anak istimewa. Jadi tak susah untuk faham dan terima bahawa Timor anak istimewa. Cuma sebagai ibu bapa kami perlu membuat sesuatu dan salah satu pendekatan yang kami ambil adalah melalui intervensi awal dan terapi.
Tiga anak kesayangan Nori & Khairy. Dari kiri, Raif, Timor & Jibreil
Memang ambil masa sedikit untuk betul-betul faham dan terima hakikat bahawa inilah keadaan dia. Mungkin masalah yang dia alami ini akan berlanjutan sampai dia dewasa atau sampai bila-bila. Walau macam mana pun, kita kena ada rasa yakin yang dia mempunyai potensi diri.
Sebab itulah ibu bapa kena pentingkan terapi dan intervensi awal yang saya percaya mampu mengubah sikap dan pemikiran anak-anak ini ke arah lebih positif. Sebagai seorang ibu, saya mahu usahakan sebanyak mungkin untuk Timor juga anak-anak autism lain yang perlukan terapi,” ujar Nori yang merupakan anak perempuan kepada bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi.
Ads
Jelas Nori lagi, keadaan akan jadi kritikal sekiranya kanak-kanak terlibat tidak diberi bantuan terapi atau rawatan selanjutnya. Sebagai contoh, mereka mungkin tidak dapat pergi ke sekolah atau tidak dapat melakukan aktiviti harian bersama adik-beradik atau ahli keluarga yang lain.
“Bila Timor meltdown, saya dan suami kena pastikan kami yang bersedia dulu. Kalau dia meltdown kami tak boleh terpengaruh sama. Tapi, iyalah kadang-kadang dia meltdown, kita pun boleh terikut sama. Sebaik-baiknya dalam keadaan dia dah terlalu sedih atau mengamuk atau dah tak tahan dengan rangsangan berlebihan ke… kita yang perlu tenang untuk beri dia masa tenteramkan diri dia sendiri atau dalam kata lain, meluahkan perasaan dia dalam keadaan yang selamat.
Jadi kalau dia jenis meronta atau susah nak duduk diam… tangan kaki bergerak-gerak, susah nak kawal, kita pastikan dia ada ruang yang selamat dan kita pun tak nak ada barang pecah dan sebagainya. Kita kena berikan dia masa. Ini bukan anak yang saja mengada-ngada nak mengamuk. Dia memang tak dapat nak mengawal dan perkembangan rangsangan dia kadang-kadang berlebihan.”
Yang pasti, autism melibatkan banyak jenis dan bukan tertumpu kepada satu masalah saja. Ada kanak-kanak yang boleh ditenangkan dengan muzik, gajet, alat mainan dan bermacam-macam lagi. Berbeza pula bagi Timor. Menurut Nori, salah satu cara untuk dia meredakan keadaan Timor adalah dengan memberikan anak kesayangannya itu segelas air.
Ads
“Kalau anak saya, saya akan berikan air. Ingatkan dia untuk minum, bagi dia slow down breathing supaya dia akan tenang. Bergantung kepada ibu bapa itu sendiri macam mana hendak menenangkan anak. Paling penting kita latih diri kita untuk tenang bila keadaan anak kita meltdown.”
Ditanya apa reaksi pertama beliau dan suami apabila anak mereka disahkan menghidap autism, Nori bagaimanapun mengakui terkejut dengan perkara tersebut. “Perasaan malu tu tak ada sebab dalam keluarga kami memang dah ada anak istimewa. Cuma terkejut sebab saya pasti mana-mana ibu bapa pun tak duga yang anak mereka akan ada kelainan.
Alhamdulillah, dari dulu sampai sekarang kami dalam ‘action mode’. Maksudnya, kami akan segera fikir apa langkah seterusnya, cari therapist, cari sekolah yang sesuai untuk Timor dan macam-macam lagi. Itu antara first mode kami.
Ads
Ibu bapa kena ambil masa juga untuk menerima dan betul-betul faham keadaan ini serta apa impaknya kepada keluarga. Impak ni macam-macam… dari segi emosi, rutin harian, termasuk juga kewangan. Macam saya sendiri, saya terapkan kepada anak-anak lain. Jibreil kini 13 tahun manakala Raif pula 5 tahun. Kedua-duanya pun saya terangkan keadaan sebenar Timor supaya mereka faham.
Saya selalu ingatkan mereka yang walau macam mana sekalipun dia tetap abang atau adik dan ahli keluarga kita. Kami suami isteri turut saling mengingatkan bahawa Timor tetap anak kami. Itu tak akan berubah dan seperti mana kami beri sokongan dan kasih sayang kepada Jibreil dan Raif, macam itu jugalah kami beri kepada Timor. Memang perlu tunjuk kesedaran itu bermula dengan keluarga kita sendiri.
Sejak kecil lagi Jibreil sudah didedahkan dengan keadaan adiknya dan kalau apa-apa berlaku, dia antara yang pertama yang akan pertahankan adik dia. Waktu mengandungkan Raif mula-mula dulu pun kami sekeluarga sudah mula buat persediaan untuk Timor melalui social stories. Kami sediakan social stories ini untuk Timor, agar dia lebih bersedia dan memahami sesuatu perkara melalui gambar dan teks yang mudah. Jadi kami terangkan yang dia bakal ada adik dan tidak terkejut.
Bagi anak-anak autism, mereka agak susah untuk terima pengalaman baru atau perkara yang di luar daripada rutin harian mereka. Sebab itu kami cuba sampaikan perkara baru kepada Timor melalui social stories memandangkan dia boleh membaca.
Mungkin bagi kanak-kanak yang tak mampu membaca lagi, kita boleh bagi visual saja. Tidak kisahlah melalui telefon ke, iPad atau apa-apa pun. Ikut kreativiti ibu bapa itu sendiri. Ini adalah antara tip yang boleh dipraktikkan kepada anak-anak autism yang masih kurang faham tentang apa yang berlaku di sekeliling mereka,” telus Nori yang tidak pernah lelah mengasuh Timor berusia 12 tahun.
Nori dan Khairy mendirikan rumah tangga sejak tahun 2001 dan hasil perkongsian hidup, mereka dikurniakan tiga cahaya mata iaitu Jibreil Ali, Timor Abdullah dan Raif Leo Averroes.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Siapa yang tak kenal dengan pereka duo terkenal, Rizman Ruzaini yang terkenal dengan rekaan-rekaan yang hebat. Ia sering menjadi pilihan golongan kerabat, VVIP dan artis-artis ternama tanahair.
Rizman Ruzaini ketika menerima anugerah The Most Glam Wedding Designer 2021/22 di Anugerah Pesona Pengantin.
Rizman Nordin dan isteri, Nurida Suraya dianggap antara pasangan sepadan dan sweet. Anak mereka, Rizqaa juga sangat comel dan adoreable!
Rizqaa juga sangat comel dan adoreable!
Tak sekadar itu, penampilan mereka juga sering menjadi tumpuan. Setiap busana yang disarungkan oleh sang isteri dan anak adalah hasil rekaan suami sendiri. Bertuahnya!
Nurida Suraya Mohd Suhaimi atau lebih mesra disapa sebagai Suraya berusia 32 tahun dan berasal dari Kuala Lumpur. Suraya merupakan lady boss kepada Rizman Ruzaini Beauty dan Rizman Ruzaini Cosmetics.
Suraya dianggap sangat bertuah kerana selain bergelar isteri kepada pereka fesyen tersohor Malaysia, setiap penampilannya dari hujung rambut sampailah ke hujung kaki dijaga rapi oleh Rizman. Sebab itulah Suraya sentiasa tampil stunning dengan rekaan-rekaan sang suami. Begitu juga dengan penampilan comel Rizqaa. Secara tak langsung, Suraya dan Rizqaa turut menjadi ‘wajah’ kepada label Rizman Ruzaini.
Berikut temu bual Nona bersama Suraya yang berkongsi pengalamannya sepanjang bergelar isteri pereka fesyen terkenal.
“Saya sebenarnya seorang yang simple dan tak suka melaram. Anak pun tak semestinya kena matchy dengan Mommy. Selalunya Rizman akan sediakan apa yang sesuai untuk dipakai oleh saya dan Rizqaa. Rizman mereka pakaian kami mengikut keperluan dan pada setiap kali perayaan. Saya amat bersyukur memiliki suami yang tidak pernah penat untuk menggayakan saya dan Rizqaa.
Sebagai suami juga, Rizman seorang yang sangat memahami dan sentiasa mengutamakan kebahagiaan keluarga. Saling bertolak ansur, memahami dan sentiasa mencuba membaiki kelemahan masing-masing adalah tunggak utama keharmonian rumah tangga kami, alhamdulillah. Terima kasih juga buat suami yang sentiasa menyokong saya untuk menjadi seorang yang lebih baik setiap hari. Terima kasih sayang!
Sepanjang bergelar ibu pula, momen paling mengujakan pastinya pengalaman melihat setiap proses tumbesaran dan pembelajaran Rizqaa pada setiap bulan. Melihat keletahnya yang macam-macam ragam membuatkan saya sangat bahagia. Rizqaa anak yang tak banyak ragam. Sepanjang mengandungkannya selama 9 bulan pun saya hanya alami morning sickness dan mengidam makanan kegemaran suami, itu saja.
Rizqaa sangat rapat dengan kami berdua. Antara keletahnya yang saya rasa paling cute ialah pada setiap pagi dia akan tepuk-tepuk muka saya dan suami untuk kejutkan kami bangun pagi.
Untuk masa depannya, kami akan sentiasa menyokong Rizqaa dalam apa jua bidang yang dia pilih dan berharap agar legasi RR bakal diterajui Rizqaa suatu hari nanti,” kongsi Suraya yang digelar Mommy manakala suaminya sebagai Daddy oleh Rizqaa.
RAHSIA CANTIK & SIHAT Saya sentiasa mengamalkan pemakanan dan melakukan aktiviti sihat 5 kali seminggu. Di samping pengambilan suplemen dan RR Beauty, minum air putih serta rehat secukupnya antara rahsia kekal sihat saya.
Disebabkan saya amat mementingkan kecantikan dan kesihatan, RR Beauty adalah impian saya. Ia juga hadiah dari saya buat semua wanita yang ingin tampil cantik dari segi luaran dan dalaman.”
Kredit Foto: Instagram @nuridasuraya @rizmanruzaini
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Jatuh bangun dalam perniagaan sudah menjadi lumrah. Ramai usahawan berjaya mengakui pengalaman pahit yang diharungi ketika membina empayar perniagaan sangat berharga. Berjaya melalui onak dan duri dalam bisnes jadi pemangkin semangat untuk terus berjuang hingga ke puncak jaya.
Semangat juang yang ada dalam diri wanita yang berusia 34 tahun ini akhirnya memberi sinar bahagia buatnya. Melalui pengalaman 11 tahun dalam dunia perniagaan benar-benar mematangkan usahawan makanan, Farhah Izzati Haris ini.
Tempuh pengalaman pahit apabila kerap ditipu dan dianiaya oleh musuh dalam selimut dalam dunia perniagaan bukan alasan untuknya berundur serta menyerah sebelum kalah.
“Kalau ikutkan pengalaman, memang sejak daripada sekolah rendah lagi saya dah suka berniaga. Apa sahaja barang boleh dijual, saya akan jual. Sampai kawan-kawan sekolah ‘cop’ muka saya sebagai kedai runcit bergerak.
Masa di universiti pun saya jual pakaian seperti hijab dan baju. Saya juga ada membuat kerjasama kecil dengan rakan perniagaan di Jakarta, Indonesia menjual aiskrim yogurt bergerak,” kongsi usahawan muda ini.
CABARAN
“Pengalaman menjual sejak kecil ini sedikit sebanyak membina keyakinan kita untuk terus berdepan dengan segala cabaran dunia perniagaan. Ketika masih lagi bergelar siswi, saya nekad buka sebuah kafe menggunakan hasil wang simpanan sejak berniaga kecil-kecilan dulu.
Izzaza bersama suaminya. Foto: Koleksi Peribadi Farhah Izzati HarisPasangan ini baharu berkahwin pada bulan Februari yang lalu. Foto: Koleksi Peribadi Farhah Izzati Haris
Pada awalnya, mak dan ayah kat kampung memang tak setuju dengan keputusan saya. Sebolehnya mak dan ayah mahu saya mengikuti jejak langkah mereka bekerja di pejabat.
Tapi akhirnya mereka menyokong setelah melihat sendiri keupayaan saya untuk berjaya dalam bisnes,” ujar wanita yang memegang Ijazah Sarjana Muda Pemasaran Perniagaan dari University of Wales Cardiff ini.
Sememangnya mengusahakan perniagaan berasaskan F&B bukan semudah yang disangka. “Memang betul, orang melihat saya sebagai usahawan yang berjaya walaupun masih lagi bergelar pelajar. Kafe sentiasa penuh, orang datang berpusu-pusu dan ramai memuji menu masakan saya.
Namun, ramai yang tak tahu saya kerap ditipu dalam perniagaan. Ditipu yang bukan sedikit malah puluhan ribu. Lebih terhiris apabila kena tipu dengan orang yang paling rapat. Memang betul kata orang, biasanya musuh kita adalah orang yang paling kenal siapa diri kita ataupun ‘musuh dalam selimut’.
Sehinggakan pada ketika itu saya membuat keputusan mengajak kedua ibu bapa saya untuk bertenang dan memujuk hati dengan menunaikan umrah di tanah suci.
Akaun simpanan saya sampai negatif dan terpaksa menjual kafe. Jual kafe pun kena tipu juga sehingga saya tak tahu nak buat apa pada masa itu. Tapi saya sangat bersyukur kerana tak ambil masa yang lama untuk pulihkan semangat.
Kalau nak menangis, menangislah puas-puas tapi jangan ambil masa yang lama. Paling lama, seminggu cukup dan kita perlu bangkit untuk meneruskan usaha. Setiap yang berlaku pasti tersimpan hikmah yang kita tak nampak,” ucap wanita yang mesra disapa Izzaza juga gemar melancong ini.
DANA KERAJAAN
“PKP 1.0 lalu juga sebuah hikmah buat saya apabila berjaya mohon peruntukan Geran Khas Prihatin (GKP). Dengan duit RM3000 itu saya bangkit semula. Dalam pada itu, saya juga bersyukur kerana mewarisi resipi sajian Istana Negeri Perak.
Ini kerana arwak opah saya dulu seorang tukang masak di Istana Iskandariah Kuala Kangsar. Mujur saya masih simpan buku resipi sajian Istana arwah opah yang dibukukan oleh ibu saya.
Sedikit sebanyak dapat saya kongsi menu kegemaran Almarhum Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Idris II Al-Mutawakkil Allahahi Afifullah Shah Ibni Almarhum Sultan Iskandar Shah Kadasullah,” tutur Pengasas Bersama Kek Terbang ini.
Tambahnya lagi, “Saya bangkit dari kegagalan berbekalkan duit GKP dan resipi arwah opah jual kek mentega. Mungkin juga dah nama rezeki, waktu PKP orang tak keluar rumah, kek mentega saya laris terjual.
Sampai ada satu ketika saya bakar hampir lebih 60 buah kek sehari. Semua saya buat seorang diri tapi alhamdulillah saya berjaya. Saya tak ada masa nak meratapi nasib akibat kena tipu dan siapa yang akan tolong kita kalau bukan diri kita sendiri.
Selain itu, saya menerima tempahan katering signature dish daripada beberapa syarikat korporat dan majlis kenduri ketika saya masih buka kafe dulu, antaranya Nasi Kambing dan Laksa Kuala Kangsar. Sehingga kini saya masih menerima tempahan daripada pelanggan yang dah biasa menikmati dua hidangan ini.
Nasihat saya, dalam situasi sekarang kita tak boleh nak memilih sangat. Apa sahaja yang kita usaha pasti akan ada hasil dan percaya bahawa setiap orang ada rezeki masing-masing.
Apa yang penting kita perlu berdisiplin, sentiasa tambah ilmu dan kekalkan momentum untuk terus berjaya. Yang lain-lain kita serahkan kepada Allah SWT,” tutur Izzaza yang memiliki Ijazah Sarjana Psikologi Perniagaan dari Heriott Watt University, Scotland ini mengakhiri perbualan.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Bertuahnya insan bernama Noor Neelofa Mohd Noor. Daripada belum bertudung dan kemudian berhijab hingga kini tampil berpurdah, nilai eksklusiviti Neelofa masih bertahan sampai sekarang.
Tidak hanya perniagaan Naelofar dan Nunha miliknya semakin berkembang maju, personaliti Neelofa juga sering menjadi perhatian walau dia sudah pun berkahwin dan bergelar ibu!
Siapa sangka meskipun sudah berpurdah dan sedang hamil anak kedua ketika ini, jenama-jenama mewah antarabangsa tetap mahu menjadikan usahawan berusia 34 tahun ini sebagai penghias kempen mereka.
Pastinya kejayaan isteri Haris Ismail ini mengemudi perniagaan dan populariti dirinya menjadi salah satu faktor label fesyen dan produk mewah memilih Neelofa.
Bukan hanya dijemput menghadiri majlis fesyen mewah dunia, terbaharu Neelofa tampil menghiasi kempen terkini Louis Vuitton (LV) dengan menggayakan busana dan aksesori LV from head to toe!
Lebih istimewa, dia muncul di samping adik perempuannya iaitu Athisha Khan dan Ameera Khan.
Mengulas tawaran dari Louis Vuitton itu, Neelofa berbesar hati menerima tawaran jenama berkenaan.
“Kebetulan saya baru tahu yang LV for the first time keluarkan koleksi ‘modest’ untuk pasaran Timur Tengah yang memang untuk Muslim Wear berkonsepkan jubah, abaya dan long dress.
Mungkin itu juga antara sebab kenapa LV memilih untuk saya dan adik perempuan ada bersama dalam kempen itu dan boleh gayakan baju yang disediakan untuk pasaran Timur Tengah tersebut. Mungkin juga ada demand di sini.”
“Bila ditawarkan untuk mempromosikan produk muka walaupun berpurdah, saya sangat berbesar hatilah.
Saya rasa mereka nampak lebih daripada sekadar menonjolkan kulit wajah dan mungkin kerana kemampuan individu boleh bawa jenama itu dengan baik,” ujarnya yang pernah dilantik sebagai Duta pertama Lancome bagi Asia Tenggara.
Sebelum ini wajah cantik Neelofa juga pernah menghiasi jenama aksesori bertaraf dunia, Swarovski.
Meskipun Mira Filzah merupakan selebriti terkenal tanah air dan cukup sebati dengan dunia fesyen namun aktres jelita ini mengakui ibu mentua, Datuk Mastura Yazid lebih pandai bergaya dan berani mencuba pelbagai warna dalam fesyen harian berbanding dirinya.