Fiesta Homebakers Usha-usha Biskut Raya anjuran Mingguan Wanita bersama penaja utama Central Sugars Refinery Sdn. Bhd (Gula CSR) serta penaja bersama marjerin Adela dan rakan kerjasama lain Fruttose, Ever Miracle Solutions (barangan Tupperware Brand, Cadbury dan penaja belon dekorasi, Omeiluth Party Expert berlangsung penuh meriah di Setia City Mall semalam.
Biarpun hanya sehari sahaja, namun fiesta yang dirasmikan oleh Yang Berhormat Hajah Aiman Athirah Sabu, Timbalan Menteri Pembangunan Wanita Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) hadir bersama CEO NU Ideaktif, Syamil Fahim dan CFO Gula CSR iaitu Mohd Azahar Mohd Salleh bersama isteri memberi kenangan manis buat semua peserta.
Menghimpunkan 40 vendor usahawan biskut raya dengan hampir 10 ribu kupon sampel biskut raya diberikan secara percuma kepada pengunjung, dalam ucapan perasmian YB Hajah Aiman Athirah berkata, usaha dilakukan Mingguan Wanita ini sangat disokong kerana membantu golongan wanita menerusi kempen Bangkit Wanita.
“Golongan B40 dan M40 antara yang terkesan dengan pandemik sebelum ini. Jadi usaha menghimpunkan golongan wanita dalam fiesta begini dengan bermula dari rumah menghasilkan biskut, ternyata ia satu usaha sangat baik kerana ia selari dengan usaha KPWKM yang turut mempunyai kempen Wanita Bangkit.
Negara kita menyediakan banyak dana dalam membantu golongan wanita berpotensi untuk mencapai kejayaan dari segi ekonomi dan golongan wanita boleh merebut peluang memajukan diri dalam perniagaan menerusi dana disediakan,” katanya yang turut mengalu-alukan Mingguan Wanita datang ke Kementerian berbincang untuk program Bangkit Wanita.
Ads
Sementara itu, CEO Nu Ideaktiv, Syamil Fahim memaklumkan, selama lebih 40 tahun Mingguan Wanita berada di pasaran dengan jualan majalah dahulunya mencecah 160 ribu seminggu serta lebih 4 juta pembaca setia untuk media sosialnya terkini berjaya membawa suara wanita ke persada gemilang.
“Kempen Bangkit Wanita yang kita usahakan sejak 3 tahun lalu, dijayakan dengan pelbagai aktiviti menghimpunkan 40 pengusaha biskut raya dan moga usaha begini berterusan,” katanya semasa ucapan alu-aluan.
Dalam fiesta sehari semalam, selain promosi jualan dan tempahan biskut raya, banyak aktiviti pentas interaktif bersama pengunjung telah diadakan.
Ads
Menampilkan Hanif sebagai pengacara yang penuh lincah, penaja utama CSR turut memberikan pelbagai hadiah menarik di booth mereka. Dengan hanya follow laman sosial mereka, pengunjung menerima beg hadiah menarik di mana pelbagai produk Gula CSR diberikan secara percuma buat pengunjung bertuah.
Persembahan fiesta semalam dihangatkan dengan persembahan bertenaga dari Marsha Milan Londoh yang menyampaikan dua buah lagu iaitu Girls On Fire selain lagu popularnya, Kembali Terang.
Ads
Selain persembahan pentas dari Marsha, ada banyak aktiviti pentas berlangsung seperti demo bancuhan topping dekorasi biskut bersama pengasas Gula Cakery, Nor Arieni Adriena, pertandingan tekan-tekan semperit biskut raya, demo biskut raya kurang manis oleh pengasas Easy Bake Lab iaitu Cik Dayang, pertandingan susun-susun biskut raya, pertandingan tekan biskut semperit raya bersama Puan Hanani yang datang jauh dari Terengganu, happy hour dan banyak lagi di mana pengunjung selain membeli kuih raya dan membuat tempahan, mereka juga membawa pulang hadiah lumayan dan banyak disediakan pihak penganjur.
Turut diadakan, acara biskut raya terbesar oleh para pelajar kulinari dalam Pertandingan Biskut Raya Gergasi.
Sebanyak tiga universiti / kolej memasuki pertandingan ini terdiri dari Food Institute Of Malaysia (FIM), Saito University dan Institut Kemahiran Belia Negara Kemasek Kemaman Terengganu. 9 kumpulan telah bertanding melibatkan 36 penyertaan pelajar.
Kumpulan juri yang diketuai oleh Puan Norhayati dari Taylor Universiti, Puan Nor Arieni Adriena dari Gula Cakery dan Marsha sepakat memilih kumpulan Zucchero dari IKBN yang menghasilkan biskut Giant Golden Flakes seberat 15 kg.
Kumpulan Zucchero memenangi hadiah utama sebanyak RM700 serta nilaian RM10,000 bagi artikel mengenai sekolah masakan terbaik, hadiah iringan serta sijil penyertaan.
Pemenang kedua dan ketiga dimenangi oleh pelajar dari Food Institute Of Malaysia yang menerima wang tunai RM500 dan RM300. Bagi saguhati, hadiah sampingan dan sijil disediakan buat kesemua pelajar yang bertanding.
Fiesta diteruskan dengan pelbagai aktiviti bermula seawal jam 10 pagi dan menghampiri kemuncak acara pada jam 9 malam bila mana penganjur utama Gula CSR menawarkan hadiah lumayan sebanyak 36 kg gula Better Brown kepada vendor yang memenangi tiga kategori yang dipertandingkan iaitu vendor Paling Aktif Promosi Di Sosial Media, vendor Sampel Biskut Paling Laris dan vendor Booth Tercantik.
Yums Delicacies telah memenangi vendor paling aktif promosi di media sosial, diikuti Ayu Bakery bagi kategori sampel biskut paling laris sementara pemenang vendor booth tercantik jatuh kepada The Kelopak Bakes. Masing-masing teruja membawa 36 kg gula Better Brown yang sememangnya digunakan dalam pembuatan biskut raya untuk menambah rasa enak pada biskut.
Fiesta yang penuh kemeriahan dan warna-warni ini dijangka akan dianjurkan sekali lagi dengan tema yang berbeza pula. Hingga jumpa lagi di fiesta akan datang.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Kempen duduk di rumah ketika mendepani penularan pandemik COVID-19 ini secara tidak langsung akan buat kita kuat makan. Tak tahu nak pergi mana, belajar masak macam-macam dan makan. Tak kurang juga nak membantu rakan-rakan dengan membeli hasil jualan mereka. Bukan tak boleh makan tapi kena berhati-hati dengan pengambilan makanan.
Amalan pemakanan yang sihat amat penting bagi memastikan kesihatan yang optimum dan meningkatkan kualiti kehidupan. Jika dulu ramai yang suka makan di luar tidak kira sama ada B40, M40 atau T20 di mana mereka memperuntukkan 12.6 peratus, 14.5 peratus dan 13.8 peratus perbelanjaan masing-masing untuk makan di luar pada tahun 2019.
Gambar Hiasan. Foto: Instagram @mfmirafilzah
Berdasarkan Survei Pendapatan, Perbelanjaan Isi Rumah dan Kemudahan Asas (HIES&BA) 2019, rakyat Malaysia memperuntukkan 11.2 peratus untuk makan di luar dan kini beralih ke corak jual beli ke arah perniagaan digital dengan khidmat penghantaran makanan.
Tinjauan Pemakanan Dewasa Malaysia (MANS 2014) menunjukkan 56 peratus dewasa Malaysia mengambil gula setiap hari dan 46 peratus dewasa Malaysia mengambil lemak yang tinggi setiap hari.
Menyedari hakikat betapa seriusnya isu kesihatan di negara ini, Bahagian Pemakanan, Kementerian Kesihatan Malaysia telah mengambil inisiatif untuk memperkenalkan Program MyChoice atau Pilihanku.
Gambar Hiasan. Foto: Instagram @haniszalikha
Program ini merupakan program baru di mana Logo MyChoice akan diberikan kepada hidangan makanan/minuman yang memenuhi kriteria nutrien yang ditetapkan. Program ini telah pun dilancarkan pada 9 April 2021 oleh YB Menteri Kesihatan Malaysia.
Tujuan program ini adalah untuk memudahkan pelanggan membuat pilihan yang lebih bijak dengan memilih makanan/minuman yang mempunyai Logo MyChoice. Secara tidak langsung, situasi ini dapat mewujudkan persekitaran yang menyokong amalan makan secara sihat. Selain itu, inisiatif ini juga bertujuan untuk menggalakkan industri perkhidmatan makanan untuk menghasilkan hidangan makanan dan minuman yang lebih sihat.
Setiap set hidangan makanan yang mendapat logo MyChoice mempunyai kalori tidak lebih daripada 500 kcal, kandungan natrium tidak lebih daripada 650 mg dan mempunyai sekurang-kurangnya satu sajian sayuran dan terdiri daripada kumpulan makanan yang seimbang.
Bagi kategori minuman pula, setiap hidangan minuman yang mendapat Logo MyChoice mempunyai kalori tidak lebih daripada 120 kcal dan tidak lebih daripada 5 gram, 7 gram atau 12 gram jumlah gula bagi setiap 100 ml minuman bergantung kepada jenis minuman.
Permohonan bagi mendapatkan Logo MyChoice ini adalah percuma dan terbuka kepada semua rangkaian restoran termasuk restoran francais, syarikat makanan segera dan syarikat persendirian di Malaysia yang mempunyai menu yang sama di semua cawangan.
Pihak restoran boleh membuat permohonan kepada Bahagian Pemakanan, Kementerian Kesihatan Malaysia, untuk menggunakan logo MyChoice pada menu mereka. Maklumat lanjut boleh didapati daripada Guidelines on MyChoice Logo Malaysia dengan melayari laman web, http://nutrition.moh.gov.my/ atau emel ke mychoice@moh.gov.my untuk sebarang pertanyaan lanjut berhubung MyChoice.
Pemaparan logo MyChoice ini diharap memudahkan pelanggan memilih makanan dan minuman yang lebih sihat sewaktu makan di luar.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Tuah ayam nampak di kaki, tuah manusia siapa yang tahu. Dari seorang gadis biasa dan bintang program realiti TV, kini Sofia Kristina Hellqvist merupakan ahli keluarga diraja Sweden! Semuanya bermula ketika Sofia bertemu putera kacak Sweden iaitu Carl Philip of Sweden semasa beliau mengusahakan sebuah pusat kesihatan yoga di Manhattan.
Mengintai latar belakang Princess of Sweden dan Duchess of Varmland ini, Sofia dilahirkan di Stockholm pada tahun 1984 dan bergiat aktif dalam bidang peragaan. Beliau juga merupakan anak kedua daripada tiga adik-beradik perempuan. Meskipun pernah melanjutkan pengajian dalam jurusan Perhubungan Antarabangsa dan Perakaunan di dua institut berbeza di Sweden dan Amerika, namun puteri diraja berusia 36 tahun ini tidak pernah bekerja dalam bidang yang dipelajari.
Sebaliknya, Princess Sofia lebih selesa bekerja sebagai pelayan restoran, pembantu jualan dan model. Semasa menjadi model, wajah cantik Princess Sofia telah banyak menghiasi banyak majalah di negara kelahirannya. Bersandarkan kepada kecantikan dan tubuh menawan yang dimiliki, Princess Sofia juga dilaporkan menyertai pelbagai pertandingan ratu cantik termasuk pernah menjadi juara Miss Slitz 2004.
Rentetan daripada gelaran ratu cantik tersebut, beliau mula berjinak-jinak dalam bidang lakonan dan menyertai sebuah program realiti ‘Paradise Hotel’ di salah satu saluran televisyen Sweden.
Bertitik tolak daripada program realiti ini, kelibatnya mula mencuri tumpuan ramai sehingga meraih populariti luar biasa. Princess Sofia kemudian berhijrah ke New York dan membuka sebuah pusat kesihatan yoga di Manhattan. Di sinilah beliau bertemu Carl Philip of Sweden dan masing-masing dikatakan jatuh cinta pada pandang pertama.
Carl Philip mengambil langkah permulaan untuk memenangi hati Sofia dengan mengajak jelitawan tersebut menyaksikan perlumbaan go kart. Hubungan mereka dikatakan semakin serius pada Ogos 2010. Tanggal 27 Jun 2014, pasangan kekasih ini mengumumkan berita pertunangan mereka.
Episod ala kisah dongeng rakyat biasa menjadi puteri kayangan tercetus pada 13 Jun 2015 apabila Princess Sofia secara rasmi menjadi isteri Prince Carl dalam majlis perkahwinan gilang-gemilang yang berlangsung di Chapel of Stockholm’s Royal Palace.
Gaun perkahwinan Princess Sofia direka khas oleh pereka Sweden, Ida Sjostedt. Istimewanya gaun indah berlengan panjang dan rekaan leher V berkenaan diperbuat daripada silk crepe dan sulaman tangan. Mahkota yang dipakai pula merupakan pemberian hadiah daripada Raja dan Permaisuri Sweden.
Dek kerana kehidupan lama Princess Sofia, ada segelintir pihak memberi persepsi buruk terhadapnya dan menganggap beliau tidak layak menjadi puteri diraja. Berbeza pula bagi Carl Philip of Sweden yang digambarkan seorang putera raja sempurna, kacak, ramah dan berpendidikan tinggi. Malah putera kedua King Carl Gustav XVI dan Queen Silvia of Sweden ini juga sangat disenangi keluarga diraja Sweden.
Bagaimana pun kecantikan Sofia Hellqvist dan kebaikannya bersama Carl Philip of Sweden lama-kelamaan diterima baik rakyat jelata. Dia kini mendapat gelaran Her Royal Highness Princess Sofia of Sweden dan Duchess of Varmland.
Kehidupan Princess Sofia berubah sepenuhnya pada 19 April 2016 apabila beliau bergelar ibu. Putera sulung mereka dilahirkan nama Alexander Erik Bertil. Setahun kemudian, pada 31 Ogos 2017… perkahwinan mereka tambah meriah dengan kehadiran cahaya mata kedua iaitu Gabriel Carl Walther.
Dikurniakan suami penyayang, anak-anak comel dan disayangi rakyat… membuatkan Princess Sofia teruja dan mahu terus memberikan sumbangan terbaik kepada masyarakat.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan berangkat ke Majlis Santapan Seluhur Budi Sekalung Kasih dan melancarkan setem serta syiling komemoratif 100 tahun Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) di Dewan Tuanku Canselor UPSI pada 1 Disember 2022.
Al-Sultan Abdullah (tengah) dan Tunku Azizah (tiga dari kanan) berkenan berangkat pada Majlis Santapan Seluhur Budi Sekalung Kasih sempena Kemuncak Sambutan 100 Tahun UPSI di Dewan Tuanku Canselor, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Tanjong Malim. (Kredit Foto: Bernama)
Keberangkatan tiba Seri Paduka Baginda bersama Raja Permaisuri Agong, Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah disambut oleh pihak pengurusan UPSI dan lebih 600 tetamu.
“Setem komemoratif 100 tahun UPSI merupakan hasil kerjasama universiti itu dengan Pos Malaysia sementara syiling edisi khas itu merupakan kerjasamanya dengan Bank Negara Malaysia.
“Setem edisi khas itu mempunyai seni reka bentuk tersendiri yang menampilkan ilustrasi Bangunan Suluh Budiman yang terletak di Kampus Sultan Abdul Jalil Shah sebagai monumen ikonik UPSI sementara syiling edisi khas bernilai RM1 dan RM10 mempunyai logo komemoratif 100 tahun UPSI dan logo UPSI.
Turut berkenan berangkat ke majlis itu Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah dan Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim.
Turut hadir Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad; Ketua Polis NegaraTan Sri Acryl Sani Abdullah Sani dan Naib Canselor UPSI, Profesor Datuk Dr Md Amin Md Taff.
Md Amin dalam sembah ucapannya turut menjunjung kasih Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong serta Sultan Perak dan Raja Permaisuri Perak atas kesudian mencemar duli berangkat ke majlis tersebut.
Majlis diadakan bersempena sambutan ulang tahun ke-100 UPSI sejak penubuhannya pada tahun 1922 yang bermula sebagai Sultan Idris Training College (SITC) kepada Maktab Perguruan Sultan Idris (MPSI) pada tahun 1957 dan Institut Perguruan Sultan Idris (IPSI) pada tahun 1987 sebelum dinaik taraf ke UPSI pada tahun 1997.
Sumber: Bernama
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI. Download seeNI sekarang!