Siapa lagi yang paling sesuai untuk memberikan pendapat tentang trend fesyen terkini kalau bukan pereka fesyen sendiri. Mendekati Rico Rinaldi yang baru sahaja mempersembahkan koleksi musim bunga 2018 beliau di butik barunya yang terletak di Plaza Damas, Kuala Lumpur. Dia berkongsi tip dan juga pandangan tentang bagaimana wanita harus meraikan fesyen untuk tahun baru 2018.
TREND
Gaya yang akan kembali popular pada tahun 2018 adalah potongan lewat 70an dan awal 80an. Seluar atau skirt yang betul-betul labuhnya di atas buku lali dan digayakan dengan blaus yang labuh serta ia tidak terlalu memeluk tubuh dan bersifat longgar. It is boxy but not too volumtric boxy. Pemilihan fabrik juga lebih kepada fabrik-fabrik lembut dan pemakaian item fesyen secara berlapis adalah satu trik menarik untuk dicuba. Gaya yang patut dilupakan pula adalah apa-apa sahaja yang berkaitan dengan peplum dan juga ketat. Kenapakah? Kerana gaya era 80an sudah kembali dengan pantas dan kalau anda faham tentang gaya era 80an ia adalah tentang keselesaan, praktikal namun versatil dan bergaya.
YAKIN DIRI
Bentuk tubuh kini bukanlah satu halangan untuk tampil bergaya, sejak pengertian ‘feminism’ telah di gembar-gembur dan makin ramai yang memahami yang setiap wanita memiliki lekuk tubuh badan tersendiri. Personaliti seseorang adalah perkara paling penting dalam membina gaya. Pemakaian yang nampak cantik tidak semestinya sarat, sebaliknya pemakaian yang ringkas harus diselitkan dengan warna-warna yang menarik. Jangan sesekali takut untuk memakai pakaian yang berwarna. Wanita yang bertubuh gempal boleh mengenakan rona pastel tetapi perlu memilih bentuk baju yang tepat. Warna-warna yang terlalu lantang bukanlah sesuatu yang trendy tetapi perincian dempak akan memberikan fokus kepada mata.
TIP PENGGAYAAN
- Jangan tampil terlalu sarat dalam bergaya.
- Pilih busana yang labuhnya terletak pada atas buku lali, ia amat sesuai digayakan dengan sepatu bertumit tinggi, sepatu baji atau sekadar sepatu leper
- Pilih satu titik fokus dalam penampilan anda. Misalnya jika anda menggayakan skirt yang sudah meriah dengan perincian yang menangkap mata jadi padankannya dengan blaus atau t-shirt yang polos.
- Tidak wanita bergaya tanpa solekan yang sesuai. Pilihan solekan juga perlu menjadi refleksi kepada busana yang dipakai. Jika busana yang digayakan ringkas, anda boleh mencuba jenis solekan yang lebih dramatik untuk menaikkan gaya anda. Manakala jika sudah memilih baju yang memberikan penyataan gaya, maka pilih solekan yang lebih ringkas.
PERSONALITI PILIHAN
Sejujurnya saya tiada personaliti fesyen tertentu, namun kalau disuruh memilih, saya suka dengan cara Scha Alyahya membawa dirinya. Anda boleh lihat yang dia tidak hanya melekat dengan seorang pereka fesyen dan dia suka mencuba sesuatu kelainan. Saya percaya dia faham tentang bagaimana untuk tampil gembira apabila berfesyen dan selalu memandang ke hadapan. Paling penting dia mengerti dengan apa yang terjadi dalam dunia fesyen semasa, dan sentiasa mengenakan busana pereka fesyen dengan baik.
Kredit Foto: Rico Rinaldi & Instagram Scha Alyahya