
Cantiknya Dian Sastrowardoyo! Tak nampak macam umur 40 tahun je. Terserlah kecantikan sebenar seorang wanita Indonesia. Berkebaya lengkap bersanggul.
Bagi penulis penyanyi, model dan pelakon terkenal yang mula dikenali menerusi filem ‘Ada Apa Dengan Cinta’ ini adalah lambang kecantikan asli seorang wanita Indonesia.
Dian yang pernah membintangi filem epik Puteri Gunung Ledang ini merupakan selebriti wanita yang sering tampil berkebaya dan busana Jawa. Memang terserlah aura klasik pada isteri kesayangan kepada usahawan muda, Indraguna Sutowo ini.
Dian yang merupakan ibu kepada 2 anak dilihat bukan saja kerap tampil dengan kebaya bahkan gemar menggayakan busana Jawa ketika menghadiri majlis-majlis rasmi.
Terkini, Dian atau sebenarnya Diandra Paramitha Sastrowardoyo adaah salah seorang aktres yang menyokong gerakan kebaya sebagai warisan budaya dunia. Dalam perkongsiannya di laman Instagram, Dian mengajak masyarakat Indonesia untuk sama-sama menyokong kebaya.
Jom tengok beberapa gaya Dian Sastrowardoyo ketika menyarungkan kebaya klasik dan busana Jawa. Sangat anggun!
Kredit Foto: IG Dian Sastrowardoyo
Suami Melebihkan Isteri Atau Ibu, Kupasan Ustaz Ahmad Fuad Mohamad Mokhtar Yang Menyentuh Hati

Memang banyak terjadi dalam masyarakat apabila seorang anak lelaki berkahwin terus melupakan tanggungjawabnya terhadap ibu. Lebih-lebih lagi ibu yang sudah uzur dan tinggal di kampung.
Mungkin kadang-kadang bukan suami terlupa tetapi tenggelam dalam tanggungjawab di tempat kerja dan tanggungjawab keluarga kecil yang baru dibinanya. Namun, jika situasi ini terus berlarutan bimbang akan mengecilkan hati ibu yang mengandungkannya.
Sebaliknya, ada juga seorang suami yang melebihkan tanggungjawab terhadap ibunya sendiri sehingga mengabaikan isteri dan tidak mengendahkan perasaan isteri yang menjeruk rasa.
Ini adalah antara fenomena yang sering dihadapi oleh seorang suami apabila berhadapan dilema untuk memilih ibunya sendiri atau isteri tercinta. Kupasan Ustaz Ahmad Fuad Mohamad Mokhtar tentang isu ini ialah;

“Hadis yang diriwayat oleh Imam Al-Tarmizi, nak bagitahu kepada kita bagaimana pula tanggungjawab suami untuk dapat reda Allah SWT dengan memberikan tanggungjawab yang cukup sempurna.
Ada sebuah kisah tentang sahabat yang dimuliakan oleh Allah SWT telah membelakangkan mentuanya. Mentua dalam adab keseluruhannya, peringkat atau bahagian adab kita dengan mentua itu selaras dengan kedua orang tua kita sendiri.
Maka ada orang dia bernikah bersama dengan anaknya semata-mata. Dia tidak bernikah bersama kedua orang tuanya. Maka sebab itulah kita mesti letakkan bahawa keutamaan ataupun khidmat kepada ibu dan ayah kita setanding juga kepada mentua kita.
Bagaimana pula kalau ada ibu yang berkecil hati dengan suami ketika mana mengutamakan isteri? Jadi pada hari ini apabila seorang suami keluarkan dana yang cukup besar kepada isteri tapi terlupa untuk berikan kepada ibunya.
Saya nak bagitahu kepada sahabat wanita di luar sana, seorang wanita yang solehah dia akan ingatkan kepada suaminya untuk berbakti kepada ibunya.
Dan itulah lantunan permintaan kata-kata seorang wanita yang minta kepada suami agar bukan sahaja dia seorang sahaja yang peroleh bahagia tapi suaminya itu juga memberi kebahagiaan kepada kedua orang tuanya.
Dalam satu kisah yang tidak berapa kuat riwayatnya iaitu kisah Iqamah yang ketika Iqamah ini mendukacitakan hati ibunya sehingga menyebabkan ringkasannya Iqamah ini jenazahnya tidak boleh mengucap, tak dapat dimandikan dan tak boleh pergi dengan elok.
Sedangkan Iqamah ini adalah seorang yang taat kepada perintah Allah SWT. Tetapi hatinya berpaling saat mempunyai isteri.
Isteri itu adalah madrasah dan madrasah kepada anak-anak juga madrasah kepada sang suami.
Walaupun seorang lelaki itu sudah menikah tapi tidak akan lepas daripada beberapa tanggungjawab iaitu;
- Yang pertama; lelaki itu tidak akan lepas tanggungjawab terhadap bapanya, sakit pening bapanya adik-beradik lelaki mesti bertanggungjawab maka sebab itu faraid (pembahagian harta) lebih kepada anak-anak lelaki. Sebab dia kena bantu keluarkan duit dahulu.
- Yang kedua; tanggungjawab terhadap mak dia. Apa pun seorang suami dia kena dahulukan ibunya.
- Yang ketiga; adik perempuannya. Walaupun dah menikah pada ketika itu, dia mesti tahu apa yang berlaku pada adik perempuannya. Sebab jika berlaku perceraian adik perempuannya abangnya ini yang menjadi wali kepadanya.
Sebab itu sahabat yang dimuliakan oleh Allah SWT perhatikan perkara ini, jangan sampai kita bahagiakan wanita yang dinamakan sebagai isteri tetapi lupa pada tiga tanggungjawab ini.
Sahabat sekalian, maaf bicara, isteri bila-bila boleh diganti tapi ibu itu hanya satu dan tiada gantinya. Doa isteri itu mungkin boleh berubah-ubah tetapi doa ibu itu tiada hijabnya.

Di saat kita membelakangkan ibu kita adalah saat kita kita sedang membelakangkan doa kita terhadap Allah SWT. Antara punca doa kita tak makbul, perniagaan kita tak maju, rezeki kita sempit adalah kerana kebiadapan kita kepada kedua orang tua. Paling halus adalah apabila kedua orang tua kita sudah tidak sudi untuk berdoa kepada kita, maka berhati-hatinya pada ketika itu,” kongsi Ustaz Ahmad Fuad.
Sumber: FB Kuliah Ustaz Fawwaz Mad Jan
Pengasas Mustika Ratu, Mooryati Soedibyo Cecah 94 Tahun, Cucu Buktikan Eyang Masih Sihat & Awet Muda!

Pada usia yang bergulir senja, nama Ibu Mooryati Soedibyo masih disanjung tinggi sebagai wanita inspirasi. Namun di sebalik kejayaan tersebut, niat cucu Raja Jawa itu untuk berniaga pada awalnya pernah dipandang rendah kerana darah istana yang mengalir pekat.
“Tidak pantas puteri keraton dagangan, itu asor, rendah, nista.” Ibu Mooryati mengimbau kenangan
Bukan mudah untuk menjejak kisah terbaru usahawan wanita bertaraf legenda ini. Barangkali di atas faktor umur dan tidak lagi memimpin PT Mustika Ratu, beliau lebih senang menikmati sisa kehidupan jauh daripada perhatian media. Ibu Mooryati juga selesa beristirahat dan menyerahkan urusan dunia kepada para pewaris.
Mesra dan menyenangkan. Seperti masih terbayang momen penulis menemu bual Ibu Mooryati dan anakanda, Putri Kuswinu Wardani saat mereka berkunjung ke Malaysia.
Biarpun sudah sedekad lamanya, kenangan itu kini bertukar rindu terhadap jenama gergasi Indonesia yang cukup sebati di hati. Bayangkan walau berstatus jutawan kosmetik serta memiliki segudang harta yang melimpah-ruah, keluarga ini tetap merendah diri.
Kerana rindu menemukan penulis dengan cucu-cucu Ibu Mooryati iaitu adik-beradik Dr Kusuma Puteri dan Kusuma Anggraini, anak kepada Djoko Ramiadji (anak sulung Ibu Mooryati).
Menerusi akaun Ninik yang memegang posisi Pengarah Hotel Sheraton Mustika, Yogyakarta, perkongsian mereka bersama nenda kesayangan yang dipanggil Eyang Ti, mengubat kerinduan. Paling seronok tengok sambutan hari jadinya yang ke-94!



Masih kelihatan sihat dan bertenaga pada usia mencecah seabad, rahsia pengasas Mustika Ratu itu tak lain dan tak bukan hanyalah amalan minum jamu.
“Dari masih muda saya rajin minum jamu, saat ini pun saya masih rajin. Saya biasanya minum beras kencur yang saya buat sendiri di rumah.” Ibu Mooryati
Dengan kulit wajah yang masih licin, Ibu Mooryati membuktikan bahawa jamu adalah rahsia awet muda yang sangat mustajab.
Tengok kehidupan keluarga dan cucu-cucu beliau pun harmoni belaka. Semua cantik-cantik dan tampan, paling penting hidup senang serta berkerjaya bagus. Antaranya dua beradik ini yang bergelar doktor dan pengurus hartanah.


CUCU RAJA JAWA
Barangkali tidak ramai menyedari bahawa pengasas Mustika Ratu, Dr. B.R.A Mooryati Soedibyo ini merupakan seorang cucu Raja Jawa yang juga digelar pahlawan nasional Indonesia, Sri Susuhunan Pakubuwana X.
Dilahirkan pada 5 Januari 1928 di Solo, Ibu Mooryati membesar di istana, atau keraton, di Surakarta yang sarat kebudayaan Jawa. Di sini jugalah beliau mengenal tumbuhan berkhasiat, meramu jamu dan kosmetik tradisional dari bahan semula jadi.
Nenda Ibu Mooryati merupakan pemerintah dari susuhunan kesembilan Kesunanan Surakarta (1893-1939) sekaligus menjadikan keluarga itu susuhunan paling lama memerintah dalam sejarah Surakarta.
Gelaran B.R.A pada pangkal nama Ibu Mooryati adalah singkatan kepada Bendara Raden Ayu yang diberikan oleh kerajaan kepada golongan putera puteri Sultan, cucu cicit hinggalah generasi di bawahnya.


BERNIAGA
Cantik dan pintar. Begitulah gambaran masyarakat terhadap sosok Ibu Mooryati sejak dahulu lagi.
Beliau merupakan alumni Universitas Saraswati, Universitas Terbuka dan Universitas Sebelas Maret Surakarta. Bahkan gelaran Doktor diperoleh dari Universitas Indonesia dalam jurusan Ekonomi.
Bukan itu sahaja, Ibu Mooryati merupakan penerima gelaran doktor tertua di Indonesia dan tercatat dalam The Indonesia World Records Museum (MURI)!
Seorang yang pandai menari, wanita ini menikah saat usianya menginjak 37 tahun. Beliau mendirikan rumah tangga dengan Soedibyo Purbo Hadiningrat pada tahun 1965, kemudian mengikuti suaminya bertugas di Sumatera Utara.


Sebagai suri rumah, Ibu Mooryati fokus terhadap tugasnya sebagai ibu anak lima. Sambil menjaga Djoko Ramiadji, Putri Kuswinu Wardani, Dewi Nur Handayani, Haryo Tejo Baskoro dan Yulia Astuti di rumah, beliau mengamalkan jamu setiap hari.
Siapa sangka, hobi minum jamu Ibu Mooryati menjadi ikutan wanita lain. Beliau menggunakan resipi asli Keraton Surakarta untuk meracik jamu dan kosmetik dari bahan alami.
Jamu racikan ini mula digemari dan mendapat banyak tempahan. Di situlah bermulanya idea untuk berniaga.
Tanpa mempedulikan komen-komen negatif, beliau merintis perniagaan jamu dari ruangan garaj di rumah. Waktu itu (tahun 1973) Ibu Mooryati hanya sekadar mempunyai modal Rp 25,000 (sekitar RM7) untuk membangunkan Mustika Ratu.
“Trahing kusumo rembesing madu, trahing sinatrio mustikaning ratu.” Peribahasa Jawa
Mengambil nama Mustika Ratu dari peribahasa Jawa, empayar Ibu Mooryati pun berkembang ketika umurnya 45 tahun. Dari bantuan dua orang pembantu menjadi 25 orang dan kemudian meningkat 50 orang. Kesemua pekerja ini mendiami rumahnya.


Ingat lagi nama-nama jamu Mustika Ratu yang pernah kita amalkan dulu? Antaranya Perawatan Remaja Putri, Perawatan Wanita, Kesepuhan dan Sepetan Sari yang sering dijual di toko-toko jamu dan salun kecantikan.
Tahun 1981, Ibu Mooryati membangunkan gedung sendiri hasil pinjaman bank berjumlah Rp100 juta untuk memajukan Mustika Ratu. Sejak itu beliau tidak menoleh ke belakang lagi. Maju terus dan memartabatkan produk tempatan Indonesia secara holistik.
‘Semangatmu, dedikasimu, karyamu dan kerja kerasmu akan selalu menjadi inspirasi yang berharga untuk wanita Indonesia’ Mustika Ratu
LEGENDA
Ibu Mooryati banyak menjalankan program di peringkat nasional dan antarabangsa dalam mengangkat sosok wanita yang kuat. Salah satunya pertandingan Puteri Indonesia yang berinspirasikan daripada acara Miss Universe yang dihadirinya pada tahun 1990.
Percaya bahawa wanita mampu memimpin dan menguruskan organisasi, beliau menerapkan prinsip Pemberdayaan Perempuan untuk mencapai kesamarataan gender.
Tak hairanlah syarikat beliau terpilih sebagai advocate dalam G20 EMPOWER serta menjadi antara 60 perusahaan di Indonesia dan antara 4,637 perusahaan di dunia yang tergabung dalam Women’s Empowerment Principle.
Kini meskipun Ibu Mooryati tidak lagi bekerja keras seperti dulu namun legasi Mustika Ratu terus menjadi kebanggaan rakyat jiran dan menjana ekonomi rakyatnya. Semoga segala jasa dan usaha keras wanita ini mendapat penghargaan sewajarnya!
Foto: Instagram @ninik102
#NonaMerdeka 10 Wanita Paling Berpengaruh & Sumber Inspirasi Wanita Malaysia

Dalam perkembangan era globalisasi ini, wanita telah mula memperlihatkan aspek yang penting ini dan sejajar dengan kaum lelaki dalam pembangunan ekonomi dan negara. Oleh itu tidak mustahil kedudukan wanita kini menjadi tunggak utama kejayaan sebuah negara.
Malah kejayaan yang dikecap telah menyuntik inpsirasi kepada wanita lain untuk terus berjaya dalam bidang masing-masing. Jom, ikuti 10 wanita paling berpengaruh di Malaysia;
1) Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali
Tarikh lahir: 12 Julai 1926
Umur: 92 tahun
Asal: Klang, Selangor
Jawatan: Isteri kepada Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad
Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali sememangnya lambang wanita inspirasi bagi seluruh rakyat Malaysia. Tun Dr Hasmah berkahwin dengan Perdana Menteri Malaysia, Tun Dr Mahathir Mohamad pada tahun 1956 dan mereka dikurniakan tujuh orang anak iaitu Marina, Mirzan, Melinda, Mokhzani, Mukhriz, Maizura dan Mazhar. Tun Dr Hasmah mencintai muzik dan beliau kini aktif bermain biola.
2) Dato’ Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail
Tarikh lahir: 3 Disember 1952
Umur: 66 tahun
Jawatan: Timbalan Perdana Menteri
YAB Dato’ Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail ialah Timbalan Perdana Menteri wanita PERTAMA dalam sejarah Malaysia, merangkap Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat. Dr Wan Azizah berpengalaman selama 15 tahun sebagai Ahli Parlimen Permatang Pauh, kini berkhidmat sebagai Ahli Parlimen Pandan. Dr Wan Azizah bertanggungjawab mengemudi Parti Keadilan Rakyat sebagai Presiden Parti selama 19 tahun. Beliau juga merupakan Presiden Pakatan Harapan sejak penubuhannya sehingga kini.
3) Tan Sri Dato’ Sri Dr Zeti Akhtar Aziz
Tarikh lahir: 27 Ogos 1947
Umur: 71 tahun
Asal: Johor Bahru, Johor
Tan Sri Dato’ Sri Dr Zeti Akhtar Aziz, bekas Gabenor ke-7 Bank Negara Malaysia merupakan wanita pertama dalam kedudukannya selama 16 tahun (1 Mei 2000 hingga 28 April 2016), mentadbir perihal kewangan dan ekonomi negara dan kini menjadi ahli Majlis Penasihat Elit Kabinet Perdana Menteri Malaysia, Tun Dr Mahathir Mohamad. Beliau juga kini merupakan Pengerusi Permodalan Nasional Berhad.
4) Tan Sri Michelle Yeoh
Tarikh lahir: 6 Ogos 1962
Umur: 56 tahun
Asal: Ipoh, Perak
Tan Sri Michelle Yeoh merupakan seorang penyanyi dan pelakon yang kini tinggal di Hong Kong. Beliau memenangi gelaran Miss Malaysia World 1983. Dipilih oleh majalah People sebagai salah seorang daripada 50 wanita paling cantik di dunia pada tahun 1997. Terkenal setelah berlakon filem antarabangsa Crouching Tiger, Hidden Dragon dan yang terbaharu Crazy Rich Asian.
5) Datuk Seri Siti Nurhaliza Tarudin
Tarikh lahir: 11 Januari 1979
Umur: 40 tahun
Asal: Pahang
Datuk Seri Siti Nurhaliza mula menyinar setelah menjuarai Bintang RTM 1995 dan masih mengekalkan kedudukannya sebagai penyanyi nombor satu negara. Beliau juga adalah pengasas jenama alat solek SimplySiti dan Creacion by Siti Nurhaliza. Beliau juga telah dilantik sebagai Ahli Lembaga Pengarah Akademi Seni dan Warisan (ASWARA).
6) Noor Neelofa Mohd Noor
Tarikh lahir: 10 Februari 1989
Umur: 30 tahun
Asal: Pasir Mas, Kelantan
Walaupun masih muda namun Neelofa sentiasa berfikiran jauh dan pintar mengatur perjalanan hidupnya. Kejayaan demi kejayaan yang dicapai oleh Juara Dewi Remaja 2009/10 ini. Neelofa merupakan seorang pelakon, model, pengacara, duta, jurucakap produk dan ahli perniagaan. Terkini, beliau menerima pencalonan dalam kategori Usahawan untuk anugerah berprestij antarabangsa, Influencer Awards 2019 Monaco.
7) Dr Nur Amalina Che Bakri
Tarikh lahir: 7 Disember 1987
Umur: 32 tahun
Asal: Kota Bharu, Kelantan
Bekas Pelajar Cemerlang 17A1 SPM 2004 ini memang begitu istimewa kerana dilahirkan sangat cemerlang dalam pendidikannya. Ke mana sahaja Dr Amalina pergi menuntut ilmu apa yang pasti keputusan cemerlang pasti menjadi miliknya. Dr Amalina merupakan pakar pelatih bedah di bahagian surgikal dan trauma di Imperial College Healthcare NHS Trust di bawah seliaan The Royal College of Surgeons of England. Beliau membantu proses pembedahan membuang tumor Ainul Mardhiah berusia 10 bulan yang mengidap germ cell tumour di hospital kanak-kanak di London.
8) Datin Vivy Sofinas Yusof
Tarikh lahir: 11 Disember 1987
Umur: 32 tahun
Asal: Kajang, Selangor
Datin Vivy Yusof, Pengasas Bersama dan Ketua Pegawai Eksekutif laman membeli-belah terkemuka, FashionValet dan The dUCk Group. Beliau merupakan usahawan muda dan berjaya yang tersenarai dalam Forbes Under 30. Baru-baru ini Datin Vivy telah dilantik sebagai Ahli Lembaga Pengarah UiTM.
9) Yunalis Dato’ Mat Zara’ai
Tarikh lahir: 14 November 1986
Umur: 33 tahun
Asal: Alor Setar, Kedah
Penyanyi bertaraf antarabangsa, pemuzik, komposer dan penulis lirik berjaya melebarkan sayap sehingga ke Amerika Syarikat. Pernah berkolaborasi bersama penyanyi terkenal seperti Usher, Pharell Williams dan Jhene Aiko.
10) Datuk Nicol Ann David
Tarikh lahir: 26 Ogos 1983
Umur: 35 tahun
Asal: Pulau Pinang
Datuk Nicol berjaya mempertahankan gelaran Ratu Squasy dunia selama 9 tahun. Mula menceburi sukan squasy ketika zaman remaja, hari ini Datuk Nicol mampu tersenyum bangga apabila beliau berjaya tersenarai dalam 10 nama pemain squasy wanita dunia selama 177 bulan atau lebih daripada 14 tahun. Kejayaan itu sekali gus memecahkan rekod pemain squasy dalam kategori wanita dan lelaki.
Sumber: Sinar Harian