Jangan terkejut, harga sehelai tudung itu boleh mencecah belasan ribu ringgit! Semakin lama usianya, semakin tinggi nilainya. Seni sulaman keringkam pada selendang dan selayah bukan sekadar pelengkap busana malah sebagai simbolik dalam adat istiadat Melayu Sarawak antaranya perkahwinan.

IKLAN

Memetik perkongsian portal Utusan Sarawak bersama pembuat kraf tangan keringkam, Norinda Su’ut:-

Nilai kain keringkam sama seperti harga emas kerana benang keringkam itu sendiri bersadur emas. Maka, nilai keringkam juga meningkat mengikut harga emas.

Cecah Belasan Ribu Ringgit Sehelai, Nilai Kain KERINGKAM Sama Seperti Harga Emas!
Pembuat kraf tangan keringkam, Norinda Su’ut. (Kredit Foto: Utusan Sarawak)

“Bagi menentukan harga, pembuat keringkam biasanya mengira helaian benang emas yang digunakan. Harga kain pula ditambah dengan upah,” kongsi wanita berusia 53 tahun ini yang juga Setiausaha Persatuan Keringkam dan Songket Sarawak.

Menguasai seni keringkam sejak usia sembilan tahun, wanita kelahiran Kampung Lintang ini sudah biasa menghasilkan tudung keringkam untuk golongan ternama. Apatah lagi, ia warisan keluarga dan menjadi tanggungjawabnya untuk meneruskan.

“Saya belajar seni ini dari nenek sebab masa kecil saya selalu mengacau beliau ketika menyulam keringkam. Bukan sahaja keturunan kami malah hampir semua wanita di Kampung Lintang ketika itu ada membuat keringkam, cuma bezanya mereka hasilkan untuk diri sendiri dan bukan untuk dijual,” katanya.

Tidak mahu seni ini pupus dari keturunan mereka, Norinda menurunkan seni keringkam ini kepada seorang daripada tiga anak perempuannya.

“Hanya seorang anak perempuan saya yang berminat tetapi disebabkan sibuk dengan pelajaran, dia tidak begitu fokus untuk menghasilkan keringkam.”

Cecah Belasan Ribu Ringgit Sehelai, Nilai Kain KERINGKAM Sama Seperti Harga Emas!
Kian terserlah kejelitaan Datin Seri Camelia dengan pemakaian keringkam Sarawak. (Kredit Foto: Instagram Khir Khalid)

Menurut Norinda, perkara pertama adalah mencari kain yang sesuai. Biasanya kain Kasa Rubia atau Chiffon, bergantung kepada kehendak pelanggan. Bagi Norinda sendiri, dia biasanya membeli tudung sedia ada yang berkualiti di pasaran kerana merasakan cara ini lebih mudah.

Seterusnya, menyediakan benang keringkam sama ada benang emas atau perak, juga berdasarkan permintaan pelanggan. Benang emas biasanya dibeli dengan harga RM200 seikat (anggaran lapan hingga 12 helai). Harga benang ini turun naik mengikut harga emas di pasaran.

IKLAN
Cecah Belasan Ribu Ringgit Sehelai, Nilai Kain KERINGKAM Sama Seperti Harga Emas!
Jelitanya! (Kredit Foto: Instagram Tom Abang Saufi)

Jumlah benang yang digunakan pula bergantung motif atau ‘tabur’ dalam istilah keringkam, yang diminta pelanggan. Lebih banyak benang diperlukan jika pelanggan meminta sulaman pada keseluruhan bahagian tepi tudung atau motif yang rumit.

Kain akan dibentang di atas satu rangka khas atau ‘pedangan’ bagi menegangkan kain agar mudah disulam. Kemudian barulah sulaman tepi atau ‘tali air’ dibuat dan seterusnya ‘tabur’ di bahagian dalam.

“Proses menyulam menggunakan teknik ‘tebus dan tarik’ atau mengira ke depan dan ke belakang berdasarkan urat benang. Selebihnya, kreativiti untuk menghasilkan corak yang diinginkan. Kesabaran paling penting dalam menyiapkannya” kata Norinda.

IKLAN
Cecah Belasan Ribu Ringgit Sehelai, Nilai Kain KERINGKAM Sama Seperti Harga Emas!
Ayunya Dayang Nurfaizah dalam busana tradisional Sarawak. (Kredit Foto: Instagram Dayang Nurfaizah)

Norinda tidak mengalami masalah untuk menyiapkan apa sahaja motif keringkam yang diminta pelanggan. Mempunyai kerjaya tetap, Norinda sentiasa mengejar masa untuk menyiapkan tempahan.

Bagi sehelai tudung keringkam dengan motif paling mudah seperti tudung bawal segi tiga, Norinda boleh menyiapkan dalam masa dua hari, manakala selayah pendek dengan sisi bersulam di empat sudut kain serta ‘tabur’ yang jarang pula mengambil masa antara sebulan hingga dua bulan. Bagaimanapun untuk selayah yang padat ‘tabur’ akan mengambil masa antara empat hingga lima bulan.

Mementingkan kualiti produk, Norinda sentiasa memastikan selayah keringkam yang dihasilkan adalah yang terbaik demi menjamin kepuasan pelanggan.

Walau bagaimanapun, dari segi jagaan kain ini agak rumit. Pemilik keringkam digalakkan mencuci tudung atau kain ini selepas dipakai kerana jika tidak, kandungan bahan kimia di dalam bahan pencuci boleh merosakkan warna benangnya.

“Selepas dipakai, anginkan sahaja dan elak menyembur minyak wangi pada tudung keringkam. Jagaan memang rumit tapi nilainya sentiasa meningkat. Sebab itu ia begitu berharga.”

Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI