Siti Fatimah Az-Zahra R.A merupakan puteri bongsu Nabi Muhammad SAW bersama isteri pertama baginda iaitu Siti Khadijah. Wanita hebat ini dilahirkan di Mekah pada hari Jumaat, 20 Jamadilakhir lebih kurang lima tahun sebelum Rasulullah SAW diangkat menjadi Rasul.

Siti Fatimah Az-Zahra R.A membesar di bawah naungan wahyu Ilahi, di saat kancah pertarungan sengit antara Islam dan jahiliah tatkala hebatnya perjuangan melawan penyembah berhala.

IKLAN

Bersuamikan Ali bin Abi Thalib bukanlah satu kebanggaan yang menjanjikan kekayaan harta. Kerana Ali bin Abi Thalib adalah salah seorang daripada empat sahabat yang sangat rapat dengan Rasulullah namun sangat miskin berbanding dengan yang lain.

Rasulullah pernah bersabda kepada Ali bin Abi Thalib, “Fatimah lebih kucintai daripada engkau, namun dalam pandanganku engkau lebih mulia daripada dia.” (HR Abu Hurairah).

Dengan demikian wanita pilihan untuk lelaki pilihan. Fatimah mewarisi akhlak ibunya Siti Khadijah yang tidak pernah membebani dan menyakiti suami dengan kata-kata atau sikap. Sentiasa senyum menyambut kepulangan suami hingga hilang separuh masalah suaminya.

Dalam suatu kisah menceritakan tentang keadaan rumah tangga Ali bin Abi Thalib yang hidup miskin dan serba kekurangan setelah dengan Fatimah. Rasulullah SAW bersabda, “Wahai anakku bersabarlah. Sesungguhnya sebaik-baik wanita adalah yang bermanfaat bagi keluarganya”.

Ali bin Abi Thalib cukup memaklumi isterinya yang setiap hari menguruskan anak-anak, memasak, membasuh dan menggiling tepung. Lebih memenatkan lagi apabila Fatimah terpaksa mengambil air melalui jalan yang berbatu-batu jauhnya sehingga kelihatan tanda di bahu kiri dan kanannya.

Suatu hari ketika Ali bin Abi Thalib berada di rumah, dia turut menyingsing lengan membantu isterinya menggiling tepung di dapur. “Terima kasih suamiku,” bisik Fatimah kepada suaminya. Usaha sekecil itu, di celah-celah kesibukan sudah cukup berkesan dalam membelai perasaan seorang isteri.

Fatimah Az-Zahra R.A memiliki keperibadian yang sabar, penyayang  dan tidak pernah melihat atau dilihat lelaki bukan mahramnya. Rasullullah pernah berkata Fatimah merupakan bidadari yang menyerupai manusia. Sesungguhnya dia adalah pemimpin wanita dunia dan penghuni syurga paling utama.

Nilai-nilai murni yang boleh diambil daripada sifat Siti Fatimah Az-Zahra R.A:

IKLAN

(a) Menjaga Hubungan Dengan Allah SWT

Sesuatu perkara itu tidak berlaku melainkan atas izin Allah SWT. Apabila kecintaan yang tinggi kepada Maha Pencipta maka insan akan lebih dekat kepada sang Pencipta dan mendatangkan ketenangan yang luar biasa.

(b) Sabar Dalam Segala Hal

Sifar sabar harus dipupuk kerana Allah SWT bersama orang-orang yang sabar.

IKLAN

(c) Yakin

Kehidupan ini penuh dengan onak duri dan cabaran dalaman serta luaran. Yakinlah dengan ketentuan Allah dalam susah mahupun senang.

(d) Mendidik Anak & Keluarga Mengenal Allah SWT

Contoh terbaik ialah melihat bagaimana Rasulullah SAW mendidik dan menasihati Fatimah dengan penuh hikmah. Setiap tutur kata penuh dengan bijaksana. Baginda mendidik anaknya dengan kefahaman Islam yang betul.

Perkongsian Oleh: Ustazah Sharifah Khasif Fadzilah Mohd Badiuzzaman. Amy Mohd