
Tiba dengan busana dress serba hitam rekaan Daniel Zharif, kehadiran Ifa Raziah malam itu memukau pandangan. Cantik elegan, orangnya kekal positif meskipun selalu terpalit kontroversi berkaitan persahabatannya dengan rakan-rakan seangkatan. Beliau juga bijak menangkis kata-kata netizen dengan kelembutan.
Selama lebih dua dekad dalam industri, kini Ifa Raziah mengadaptasi seluruh pengalamannya sebagai anak seni untuk memajukan bisnes pengurusan acara, Starvendors Event Sdn Bhd.
Namun seringkali viral apabila ‘circle’ sahabatnya diselar tidak senonoh. Antaranya dalam sebuah pertunjukan konsert yang menampilkan Kak KM, mereka bergelek sakan!
Sekadar suka-suka hiburkan hati, dengar jawapan padu Ifa Raziah ketika ditemui Nona baru-baru ini…
Seorang yang tegas berpendirian, karakter Ifa atau nama penuhnya Saripah Raziah Mustapha selaku Pengarah Urusan dan Pengasas StarVendors menjadi kekuatannya dalam mengendalikan urusan syarikat.
Tidak seperti di layar perak, selebriti itu bijak memainkan peranan sebagai pemimpin, sekaligus menambah keyakinan sesiapa pun yang datang berurusan.
Daripada individu berprofil tinggi seperti Menteri, pegawai kerajaan dan swasta, agensi atau badan korporat, ahli perniagaan hinggalah petugas media serta orang ramai, Ifa Raziah sentiasa profesional ketika bekerja.

Terkenal dengan imej Miss Diva dan sering tampil memakai barangan kemas seperti loket hati gergasi, Ifa Raziah juga merupakan pengasas Serifa Beauty & Health.
Produk pelangsingan Solid Molid dan produk Miss Diva Skincare yang diasaskan sejak lima tahun lepas antara yang mendapat permintaan tertinggi ketika musim PKP lalu. Beliau juga giat menjual korset Ifa Raziah Wonder Suit by Jovian.
Artikel berkaitan: https://www.nona.my/cantik-berdikari-ifa-raziah-nasihat-wanita-mesti-berduit-kerana-yang-cantik-dah-banyak/
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
BUKAN Sahaja Bergelar ISTERI, DR JEZAMINE JUAL BRANDING nama HARITH ISKANDER

Hidup beristeri sememangnya dikelilingi tuah dan rezeki. Itu antara ungkapan yang diungkapkan oleh Harith Iskander Musa ketika sesi fotografi bersama isteri tersayang, Dr Jezamine Lim baru-baru ini. Malah, sepanjang sesi fotografi dijalankan, terlihat sisi berbeza Harith bukan sebagai manusia paling kelakar di dunia, tetapi sebagai suami yang penyayang serta prihatin terhadap isteri tersayang.
Ternyata Harith merupakan seorang suami yang penyayang terhadap isteri tersayang yang dinikahinya pada 12 Jun 2010. Kini, setelah 9 tahun mendirikan rumahtangga, pasangan ini dikurniakan tiga cahayamata berusia antara 7 dan 3 tahun.

Di sebalik kejayaan seorang suami, pasti ada isteri yang berdiri teguh di belakangnya. Itu rumusan tepat yang boleh menggambarkan peri pentingnya tugas Dr Jezamine Lim, isteri kepada Harith Iskander. Dia bukan sahaja bertindak mengurus perjalanan seni dan karier Harith, malah menjadi pendorong serta motivasi untuk Harith dalam segala aspek kehidupan.
Bagi Dr Jezamine, tugas mengurus seorang suami yang bergelar selebriti bukanlah kerja mudah apatah lagi dalam masa sama, dia juga sibuk menguruskan kerjayanya sendiri serta menjadi ibu buat benih cinta bersama Harith Iskander.

Tidak dinafikan, Dr Jezamine berindak sebagai ‘faktor pendorong’ kejayaan Harith lantaran kebijaksanannya dalam ‘memasarkan’ karier Harith ke peringkat yang lebih tinggi.
Bagaimana dia ‘menjual imej’ mereka sekeluarga mengingatkan kita bahawa sejauh mana anda pergi, keluargalah induk penting yang memacu keberlangsungan semuanya. Itulah azimat yang dipegang oleh satu-satunya wanita yang berjaya memperoleh Ijazah Doktor Falsafah (PhD) dalam jurusan Kejuruteraan Tisu dan Sel Stem dari Universiti Kebangsaan Malaysia.

“Jezamine adalah pemacu untuk diri saya maju dalam kerjaya dan kehidupan peribadi. Saya amat bersyukur dikurniakan seorang isteri yang bukan sahaja bijak dari segi pelajaran, tetapi lengkap dengan pakej merebut peluang untuk diri saya. Lebih istimewa, dia adalah doktor yang menjaga diet saya sejak hari pertama berkahwinan. No more uncontrol diet for me,” ujar Harith yang menghargai kelebihan yang dimiliki oleh wanita berdarah kacukan Cina dan India itu.
Mengimbas detik perkenalan Jezamine dan Harith Iskander, menurut Harith segalanya bermula apabila wajah Jezamine pernah menghiasi sampul majalah FHM.
“Bila melihat sampul majalah tersebut, terdetik untuk berkenalan. Melalui seorang teman yang kebetulan mengenalinya, saya dapat track akaun Facebook Jezamine. Dari situ, saya meninggalkan mesej di FB. Secara kebetulan, ketika itu Jezamine menetap di Klang dan saya juga berulang-alik ke Klang atas dasar kerja. Jadi, saya ambil inisiatif ini untuk mengenalinya,” ujar Harith ketika mengimbas perkenalan bersama sang isteri.
“Hanya selepas tiga minggu, kami berjumpa kerana kebetulan ketika itu Harith mempunyai sesi penggambaran di Klang yang lokasinya hanya lima minit dari rumah saya.Our first date hanya bertahan selama 20 minit kerana dia seorang yang pendiam dan agak serius. Dalam 20 minit itu, sayalah yang banyak bercakap, bertanya itu dan ini, membuatkannya tertawa. Saya musykil dan bertanya kepadanya adakah dia benar-benar mahu dating dengan saya dan kemudian saya mohon untuk beredar,” sambung Dr Jezamine pula yang ternyata ramah berbanding Harith yang lebih bersikap cool sepanjang sesi fotografi dijalankan.
“Jangan tak tahu, Harith mengirimkan mesej melalui kiriman SMS ketika itu. Mesejnya panjang lebar mengalahkan karangan untuk esei SPM.Hanya selepas beberapa siri pertemuan, barulah kami ‘klik’. Lebih kurang setahun setengah kami bercinta dan kemudian berkahwin,” ujar Dr Jezamine yang memilih tarikh 12 Jun 2011 yang juga merupakan tarikh lahir ibu mentuanya.

“Sepatutnya kami berkahwin sebelum Allahyarham ibunya meninggal dunia, namun ajalnya mendahului perancangan penyatuan kami. Dan kami tetap menunaikan permintaan arwah untuk melihat kami bersatu pada tarikh hari lahir ibunya iaitu 12 Jun 2011 walaupun tanpa kehadiran ramai ahli keluarga masing-masing.
Umum mengetahui tentang rintangan yang terpaksa diharungi oleh Jezamine sebelum disatukan bersama Harith sebagai suami isteri di mana hubungan mereka pernah mendapat tentangan dari keluarga. Namun, cabaran tersebut diambil sebagai faktor untuk menguji sekuat mana kasih sayang antara mereka berdua.
“Kami tidak pernah berputus asa kerana tidak ada apa yang sempurna dalam dunia ini, walaupun pada mulanya tidak direstui tapi lama-kelamaan segalanya menjadi lebih baik. Sekarang ini, hubungan kekeluargaan telah kembali bersatu dan anak-anak saya menjadi kesayangan keluarga,” kata Jezamine lagi.
Harith mengukuhkan jenamanya dalam bidang stand up comedy ini dengan menubuhkan The Joke Factory bersama isteri tersayang yang terletak di Publika Kuala Lumpur. Harith berkata, beliau membuka The Joke Factory di kompleks beli-belah, Publika, di sini, sejak 3 Ogos 2018 yang lalu.Apa yang menarik, premis itu bukan sekadar ruang penggiat komedi beraksi, malah bakal menjadi hab pendidikan untuk semua lapisan usia daripada golongan korporat hingga kanak-kanak.
“The Joke Factory menjadi babak sejarah baharu kepada saya, sesuatu yang sudah bermain dalam fikiran namun hanya sekarang dapat disempurnakan. Paling penting, selain medan perhimpunan peminat lawak tunggal dan penggiatnya, saya mahu premis ini berkembang sebagai hab pendidikan yang menawarkan bimbingan dalam pengucapan khalayak dan korporat selain membina keyakinan diri anak kecil.
“Saya juga mahu berkongsi ilmu dan pengalaman bersama penggiat lawak tunggal lain melalui penganjuran kelas atau bengkel komedi,” katanya seraya mengakhiri perbualan.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Ada 20 Kolam Ternakan Ikan Arowana, Selain Nyanyi DATO’ JAMAL Juga Usahawan Berjaya!

Aura Jamal Ubaidillah Ali atau lebih dikenali sebagai Dato’ Jamal Abdillah nyata cukup memukau. Melangkah penuh bergaya, susuk tubuh segak seniman lagenda tanah air ini berjaya membuatkan setiap mata yang memandang terpegun dengan karisma beliau. 43 tahun bergelar anak seni, Dato’ Jamal Abdillah sudah pun berada dalam kelas tersendiri!
Tanggapan awal penulis yang menyangka penyanyi kelahiran Perak ini seorang yang tegas kerana memiliki raut wajah serius berubah sama sekali, sejurus kami mula berbicara. Keperibadian Dato’ Jamal yang mudah mesra, menepati masa dan komited sepanjang sesi fotografi berlangsung begitu menyenangkan.
Tidak hairanlah namanya terus segar dalam industri kerana sangat menghormati hubungan baik dengan semua pihak demi menjaga reputasi diri.
Pembabitan Dato’ Jamal dalam arena muzik bermula seawal tahun 1978 yang menyaksikan beliau bergelar Juara Bintang RTM 1979. Umpama mengikut resmi padi, makin berisi makin tunduk, Dato’ Jamal ketika ditemui menzahirkan rasa terharu kerana kerja kerasnya selama ini mendapat penghargaan Nona.


“Saya pun tak sangka yang umur saya macam ini, 62 tahun, orang masih hendak tengok saya menyanyi. Alhamdulillah saya bersyukur. Semuanya adalah rezeki yang Tuhan beri kepada saya.”
Istimewanya insan bernama Dato’ Jamal Abdillah tidak sekadar terletak pada bakat yang dimiliki tetapi juga kerana personaliti beliau yang merendah diri. Berkali-kali ungkapan syukur terpacul dari bibirnya apabila mendengar kata-kata pujian daripada peminat.
Tambah Dato’ Jamal lagi, “Bercerita kenangan manis pula saya berjaya capai beberapa anugerah besar dan tertinggi bagi saya sendiri antaranya Juara Bintang RTM, Anugerah Pencapaian Sepanjang Hayat, Vokal Terbaik, dan Penyanyi Lelaki Popular.
Kalau saya tak jadi penyanyi, saya mungkin jadi ahli sukan sebab dari bangku sekolah lagi memang saya minat dengan sukan.



Sampai pernah dinobat sebagai olahragawan sekolah. Pernah juga simpan cita-cita hendak jadi pemain bola sepak masa sekolah dulu. Pendek kata, memang seorang yang aktif bersukan. Semua jenis sukan saya suka tapi nampaknya bakat saya lebih menyerlah dan Allah bagi rezeki dalam bidang ini.”
Selain menyanyi, Dato’ Jamal juga sebenarnya seorang usahawan. Tidak bergantung kepada kerjaya seni semata-mata, suami kepada Datin Zai Izzati Khirudin ini memanfaatkan populariti dirinya untuk melangkah maju dalam dunia perniagaan. Khabarnya Dato’ Jamal sudah pun mengeksport produk perniagaan ke pasaran luar negara.
“Sebenarnya saya sudah pun menceburi bidang perniagaan sejak tahun 2009. Saya ada mengusahakan kolam penternakan ikan Arowana di Bukit Merah, Perak. Sehingga kini sudah pun mempunyai 20 kolam. Banyak bidang saya dah ceburi sebenarnya.
Bagaimana pun penternakan ikan Arowana tersebut pada mulanya hanya sekadar hobi tapi lama-kelamaan mendatangkan hasil lumayan. Jadi saya teruskan sampai sekarang.
Saya ada satu lagi syarikat yang dinamakan DJA Worldwide yang mengeluarkan produk lelaki dan wanita.

Untuk fasa pertama ini kami menghasilkan produk seperti sabun, kopi, serum dan ubat tenaga. Itu antara jenis produk yang akan berada di pasaran pada Januari 2022. Saya juga berhasrat untuk ada butik bertaraf antarabangsa macam H&M tapi jenama DJA Worldwide yang mungkin akan mengeluarkan kasut lagend kegemaran saya, seluar jeans dan jaket.
Semua itu perancangan untuk fasa kedua. Dalam berniaga saya lebih selesa ketengahkan produk yang saya guna dan produk itulah yang saya jual. Bukan sekadar mahu berniaga semata-mata tanpa menggunakan produk tersebut.
Biasanya, saya akan guna terlebih dahulu dan apabila nampak hasil baru saya berani keluarkan untuk pasaran. Saya juga memasang impian untuk bergelar usahawan berjaya kelak dan menjadi figura yang disayangi dan disegani ramai. Juga dapat hidup lebih tenang dengan anak-anak dan keluarga.”
Dato’ Jamal merupakan bapa kepada empat cahaya mata iaitu Osama Yamani, Ahmad Zaki Yamani, Nur Azura Yamani dan El Issac Yamani. Hasil perkongsian hidup dengan Datin Zai Izzati sejak 1 April 2017, pasangan ini bakal menimang cahaya mata baharu pada tahun hadapan.
Semoga pengalaman hidup dan pencapaian Dato’ Jamal Abdillah mencetus semangat dan inspirasi kepada masyarakat untuk tidak mengalah menghadapi ujian demi menggenggam sebuah kejayaan.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
“Kesenangan & Kemewahan Umpama RACUN Pembunuh Jiwa” Wanita Ini Didik Anak-Anak Yatim JANGAN MEMINTA-MINTA

Kesusahan adalah kunci kepada kejayaan dalam mendidik jiwa anak-anak. Kesusahan juga dapat melahirkan seorang insan berjiwa kental. Sebaliknya, kesenangan dan kemewahan umpama racun yang mampu membunuh jiwa insan.
Perkongsian Pengurus Rumah Amal Limpahan Kasih Puchong, Rashidah Abdullah membuka membawa kita untuk melihat lebih dekat kehidupan anak-anak yatim di Rumah Amal Limpahan Kasih. Jelas terpancar raut wajah mereka yang bersih dan menenangkan jiwa.
Rumah Amal Limpahan Kasih, ia merupakan pusat kebajikan dan pendidikan yang menaungi anak-anak yatim, anak fakir miskin, ibu tunggal, warga emas dan asnaf zakat yang beroperasi sejak Januari 2007 di atas tanah milik persendirian.
SUKARELAWAN SEPENUH MASA
Sejak kematian suami beberapa tahun lalu, Rashidah yang berusia 54 tahun ini menjadi sukarelawan sepenuh masa di Rumah Amal Limpahan Kasih. Rashidah amat bertuah kerana arwah suaminya juga seorang yang sangat menyokong tugas-tugas sukarelawan.
Atas alasan itulah Rashidah mengambil keputusan untuk membantu anak-anak yang kurang bernasib baik di Rumah Amal Limpahan Kasih.
“Saya tidak mengambil masa yang lama untuk berfikir kerana arwah suami sangat menggalakkan saya melakukan tugas-tugas sukarelawan. Memandangkan saya seorang ibu tunggal maka mudah untuk saya menyelami perasaan dan kehidupan anak-anak ini.

Naluri keibuan saya sangat kuat, maka mudah untuk menyemai kasih sayang dalam jiwa anak-anak di sini. Ada caranya untuk mendekati mereka yang sentiasa ingin dibelai dan dimanja.
Mereka kurang kasih sayang. Rasulullah SAW juga seorang anak yatim piatu, Baginda juga membela anak-anak yatim. Saya mengambil inspirasi daripada Rasulullah SAW.
Hubungan kami umpama ibu dengan anak. Mereka menggelarkan saya Ibu. Tiada langsung jurang sebaliknya kami lebih mesra dan rapat. Apa jua masalah mudah dikongsi kerana keselesaan dan kemesraan telah ada.
Selain saya, terdapat beberapa lagi kakitangan wanita di sini yang digelar Ibu,” jelas anak kelahiran Negeri Sembilan ini yang memiliki 4 orang anak.
CABARAN
“Untuk mendidik anak-anak ini tak boleh terlalu tegas atau terlalu berlembut. Perlu banyak bersabar dan berikan kasih sayang sepenuhnya buat mereka. Ini salah satu cabaran buat saya selain mendapatkan dana untuk pendidikan dan pentadbiran.
Selain usaha dan doa, saya serahkan segalanya kepada Allah SWT. Alhamdulillah rezeki datang menjemput tanpa diduga. Apa yang penting jangan meminta. Itulah yang kami didik ke dalam jiwa anak-anak di sini.
Anak-anak juga perlu dididik agar seimbang rohaniah dan lahiriah. Anak-anak dilatih dengan ketabahan, kekuatan jiwa dan hubungan hati dengan Allah SWT. Usaha secara berterusan ialah mendapatkan rasa takut setakutnya pada Allah SWT dan rindu serindu rindunya pada Nabi SAW.
Segalanya dilakukan melalui disiplin ibadah solat, selawat dan aktiviti kerohanian. Juga melalui usrah yang dapat mengasah bakat kepimpinan, rasa tanggungjawab, meningkatkan kemahiran hidup dan keyakinan diri mereka. Semua penghuni dibantu sehingga mereka dapat merasai hidup umpama sebuah keluarga,” kongsi Rashidah.
RAMADAN
“Setiap kali menjelang Ramadan, selain memenuhi jemputan berbuka puasa di luar kami turut menjemput warga emas dan ibu tunggal untuk sama-sama berbuka puasa di sini. Maka dapatlah kami berkongsi rezeki bersama-sama di samping mengeratkan silaturrahim,” akhiri Rashidah.
Foto: Amy Mohd
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!


