Cuba anda fikirkan semula, bilakah kali terakhir anda memberi perhatian kepada tahap kesihatan otak anda?

Otak kita bukan sahaja bertanggungjawab untuk mengawal setiap pergerakan kita dan memastikan kehidupan kita terkawal, ia juga bertanggungjawab untuk mengawal tindak balas kognitif, reseptor deria, malahan untuk mengingati hari ulang tahun ahli keluarga anda.

Kesihatan otak sama pentingnya dengan kemampuan kita untuk berfikir, bertindak dan hidup dengan baik. Kesihatan otak mengurangkan faktor risiko, memastikan minda anda aktif dan memastikan otak anda sihat apabila anda semakin tua.

Pada waktu pandemik Covid-19 ini, kita secara sedar tidak sedar akan membina tabiat baharu. Sepanjang tempoh ini, kita mungkin akan menghadapi cabaran yang boleh memperburuk atau meningkatkan risiko gangguan otak seperti migrain, strok bahkan demensia.

Cukup Tidur & Kerap Bersenam, Amalan Otak Sihat Apabila Usia Semakin Meningkat
Dr Kok Chin Yong

Pakar Neurologi Sunway Medical Centre Velocity, Doktor Kok Chin Yong sangat mengesyorkan untuk mengamalkan SEMMMS, yang merupakan beberapa langkah untuk mencegah penyakit di bahagian otak dan untuk memastikan otak sentiasa berada dalam keadaan yang baik.

Pengertian SEMMMS

(1) Tidur adalah kunci

Banyak kajian menunjukkan tabiat tidur yang lemah boleh menyebab atau mempercepat penurunan kognitif. Dua kajian susulan yang dilakukan di Sepanyol dan Iceland menunjukkan orang tua yang menghidapi insomnia lebih berisiko mengalami penyakit Alzheimer (AD), dan tidur yang terlalu sedikit boleh mencetuskan migrain.

Kebersihan tidur yang baik atau ‘sleep hygiene’ adalah kunci untuk tidur malam yang baik. Ini termasuk mengelakkan alat yang memancarkan cahaya 1-2 jam sebelum tidur, elak sebarang aktiviti lain kecuali tidur di atas katil, mengambil kafein selepas jam 3 petang dan mengambil makanan berat atau melakukan senaman berintensiti tinggi pada waktu malam.

(2) Bersenam secara kerap

Gaya hidup yang aktif telah terbukti memberi manfaat kepada kesihatan otak. Pada tahun 2019, Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) sangat menyarankan untuk mengamalkan gaya hidup aktif yang di mana ia sangat bermanfaat untuk mengurangkan risiko demensia.

Fizikal yang tidak aktif juga merupakan faktor risiko yang boleh dikawal bagi penyakit strok. Kita perlu menetapkan matlamat untuk melakukan aktiviti fizikal sekurang-kurangnya 40 minit pada satu masa, tiga kali seminggu.

(3) Kawal penyakit anda

Tekanan darah tinggi adalah salah satu faktor risiko untuk menghidap strok. Oleh itu, adalah sangat penting untuk mengawal tekanan darah anda. Hipertensi yang tidak terkawal akan menyebabkan perubahan pada saluran darah kecil pada otak, yang seterusnya akan menyebabkan anda berisiko mengalami strok dan demensia di kemudian hari.

Mereka yang menghidap diabetis mesti berdisiplin untuk rawatan susulan kerana mereka berisiko tinggi minghidap hipertensi dan kolesterol tinggi, di mana kedua-duanya memerlukan untuk mengambil ubat tepat pada masanya.

(4) Amalkan meditasi

Amalan berdasarkan meditasi telah ditemukan boleh mengurangkan serangan berulang kemurungan dan ketagihan. Pandemik Covid-19 di seluruh dunia telah meningkatkan jumlah masalah kesihatan mental, terutamanya yang berkaitan dengan kegelisahan.

Kajian oleh Beth Israel Deaconess Medical Centre baru-baru ini menunjukkan meditasi memainkan peranan yang penting untuk memperlahan pengembangan demensia yang berkaitan dengan Alzheimer. Sekiranya diamalkan secara berkala, meditasi boleh membantu menenangkan fikiran seseorang, mengurangkan kegelisahan dan membantu mengurangkan tekanan.

(5) Mengamalkan diet MIND

MIND bermaksud Mediterranean-DASH untuk penundaan Neurodegeneratif dan merupakan gabungan kedua-dua diet Mediterranean dan DASH. Diet ini terdiri daripada sayur-sayuran hijau, sayuran berdaun, bijirin, beri, minyak zaitun, ayam, ayam belanda dan ikan. Kajian Epidemiologi menunjukkan diet ini dapat melambatkan penuaan otak sekitar 7.5 tahun dan mengurangkan risiko penyakit Alzheimer.

Tabiat pemakanan yang buruk seperti pengambilan garam yang tinggi dan pengambilan buah-buahan dan sayur-sayuran yang rendah adalah tingkah laku utama yang boleh diubah suai yang menyumbang kepada peningkatan kecacatan dari penyakit kardiovaskular dan strok.

(6) Bersikap aktif dari segi sosial

Menjadi seorang yang aktif secara sosial dapat mengurangkan risiko mengalami demensia. Interaksi sosial tidak terhad kepada perbualan secara bersemuka sahaja. Kita juga boleh berinteraksi melalui perbualan telefon, emel ataupun panggilan video. Situasi pandemik ini tidak sepatutnya membatasi interaksi sosial kita tetapi sepatutnya mendorong kita untuk melihatnya dengan cara yang baru.

Terdapat banyak platform yang membolehkan perbualan lebih dari dua orang pada satu masa secara maya dan ini boleh menjadi cara yang baik untuk terus berhubung dengan rakan-rakan anda. Membentuk rangkaian sokongan yang baik juga boleh membantu mengurangkan kemurungan dan kegelisahan.

Kesihatan Otak

Strok merupakan penyebab kematian ketiga tertinggi di Malaysia. Terdapat dua jenis strok iaitu Strok Iskemik, yang berlaku apabila bekalan darah ke otak tersekat atau berkurang kerana darah beku dan Strok Hemoragik, yang berlaku apabila arteri otak pecah dan menyebabkan pendarahan.

Di SMCV, banyak penekanan diberikan kepada pesakit yang memerlukan penjagaan neurologi. Hospital tertiari ini mempunyai Pusat Neurocentre Velocity (VNC) yang terdiri daripada pasukan Penjagaan Strok Akut yang khusus untuk memberi pelbagai jenis rawatan kepada pesakit strok dari tahap awal hingga rawatan selepas pulih dari strok.

VNC merupakan satu dari hanya beberapa pusat tertiari swasta yang menawarkan rawatan trombolosis strok hiperakut, iaitu rawatan yang berpotensi mengembalikan peredaran darah pada pesakit Strok Iskemik. Rawatan ini paling berkesan jika dilakukan pada tahap awal pengesanan strok.

Setiap saat sangat berharga ketika merawat pesakit strok. Dalam kebanyakan kes, pesakit strok dikaitkan dengan faktor yang tidak boleh diubah seperti umur dan sejarah keluarga. Faktor yang boleh diubah ialah sejarah perubatan, gaya hidup dan pemilihan diet.

Sekiranya anda mengalami gejala strok seperti masalah keseimbangan, perubahan pada tahap penglihatan, lemah di bahagian muka atau lengan, atau kesukaran untuk bercakap, pastikan untuk memberitahu orang terdekat dengan anda dan segera hubungi hospital atau pusat perubatan. Ingatlah, setiap detik sangat berharga. Amalkan SEMMMS, dan jaga kesihatan otak anda setiap masa!

Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI