
Dari sekadar isi masa lapang, kini Shariffah Asdalina Habib Ahmad pengusaha pusat asuhan dan kanak-kanak berjaya apabila sudah pun memiliki 16 cawangan! Mempunyai kelulusan kejuruteraan awam, personaliti ini bagaimana pun tidak pernah berkhidmat dalam bidang berkenaan.
Sebaliknya memilih industri penerbangan dan muzik sebagai kerjaya sebelum akhirnya ‘jatuh cinta’ dengan pusat pendidikan awal kanak-kanak.
Ujar wanita berjiwa kreatif ini, minat mengurus pusat asuhan dan jagaan kanak-kanak terbit secara tidak sengaja ketika dia melahirkan anak keempat.
Usahawan berusia 40 tahun dan selesa disapa Kak Pah ini menambah, “Sebelum ini saya dah lapan tahun berkecimpung dalam industri penerbangan sebagai Pegawai Eksekutif Pemasaran Korporat.
Kemudian saya menyertai bidang muzik sebagai Pegawai Perhubungan Awam di Universal Music Malaysia selama empat tahun dan berehat seketika di rumah bila dapat anak kecil.
It’s a long break kerana beza anak ketiga dan keempat saya ialah lapan tahun. Jadi waktu itu, saya banyak menghabiskan masa di rumah untuk urus anak-anak. Dalam masa sama, saya turut memikirkan apa pekerjaan lain yang boleh saya buat.”


Bertitik tolak daripada ‘cuti panjang’ selepas melahirkan anak itulah merupakan detik permulaan Kak Pah sebagai pengusaha pusat asuhan dan jagaan kanak-kanak.
Hasil penat-lelah selama lima tahun, ibu kepada lima anak ini mampu tersenyum bangga apabila legasi pusat asuhan dan jagaan kanak-kanak yang diberi nama Koolkidz Academy miliknya kian bertapak kukuh di Lembah Klang.
Sehingga kini, Koolkidz sudah pun mempunyai 16 cawangan berdaftar antaranya di Damansara, Klang, Setia Alam, Bangi, Sepang dan Puncak Alam.
“Koolkidz ditubuhkan secara rasmi pada tahun 2018. Sebelum itu, saya sudah pun menjalankan operasi pusat asuhan tetapi tidak diberi nama.
Jujurnya, kalau tengok perjalanan Koolkidz sekarang memang saya tak sangka ia berkembang maju sebab pada mulanya saya cuma jalankan bisnes ini sekadar untuk mengisi masa lapang.
Tapi bila saya dapat tawaran daripada pihak pengurusan apartment yang menawarkan satu unit taska berdekatan tempat tinggal, bisnes ini jadi serius dan dari situ dapat idea menamakan ia sebagai Koolkidz,” dedah Kak Pah yang mengeluarkan modal permulaan kira-kira RM50,000.



“Saya bermula dengan hanya tiga orang saja yang terdiri daripada ahli keluarga sebab tak berani ambil orang dan bimbang tiada orang nak hantar anak dan sebagainya. Macam-macam yang saya fikirkan. Tetapi bila buka saja tempat ini, saya terima pendaftaran yang sangat menggalakkan iaitu 60 orang kanak-kanak.
Saya rasa Allah dah bagi saya jalan dan saya kena buat dengan serius. Bermula dari situ juga kami berjaya dapatkan followers dan ramai yang mula kenal Koolkidz seterusnya tend to look into us. Sehingga kini, kami mempunyai hampir 70 orang kakitangan termasuk staf operasi dan pengurusan.
Cawangan yang kami ada setakat ini adalah 16 buah. Setiap satu cawangan saya dah letak satu numbers line iaitu maksimum 50 orang saja untuk setiap pusat jagaan. Ini kerana kami mengambil kira dari aspek keselamatan dan keselesaan kanak-kanak. Di samping ada kuota dan ratio yang perlu kami patuhi.”
Koolkidz Academy turut terbahagi kepada pusat jagaan bayi, playschool, preschool dan pusat transit anak-anak. Pengambilan kanak-kanak pula bermula daripada usia dua bulan hingga 12 tahun.
‘Saham Akhirat’ HELIZA HELMI, Reda Kaki Terperosok Dalam SALJI TEBAL Demi Rakyat SYRIA!

Demi membantu dan menyelamatkan rakyat Syria meniti musim sejuk melampau ketika ini, Heliza Helmi sanggup mengenepikan urusan keduniaan lain dan berangkat ke negara bergolak tersebut tiga hari lalu. Menerima panggilan kecemasan Misi Musim Sejuk Rescue Syria dalam masa kurang sehari, tanpa berfikir panjang selebriti berjiwa murni ini tiba di bumi Syria bersama adiknya, Hazwani Helmi. Meskipun diberitahu dalam masa yang suntuk namun kedua-duanya sudah mempersiapkan diri untuk berjuang ke jalan yang diredai Allah SWT.
Menerusi salah satu video yang dikongsikan Heliza, kelihatan dia dan adiknya sedang berlari di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sebaik menerima panggilan daripada Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM). Ini merupakan misi bantuan kemanusiaan kali ke-10 bertujuan membantu masyarakat Syria keluar dari belenggu kesukaran.
Cukup sinonim dengan aktiviti sukarelawan dan pernah menyertai beberapa siri bantuan kemanusiaan di Sulawesi, Gaza dan sebagainya.. Heliza mengakui keadaan di Syria waktu ini sangat sejuk hingga mencengkam tulang. Allahu, tidak dapat dibayangkan kesukaran penduduk di sana.

“Kaki tangan semua makin kebas dan pedih! MENGGIGIL! Walaupun semua kelengkapan ada, tetap sejuk ke tulang hitam!
Terus terang nak share, sekarang suhunya terlampau sejuk. Kakja habis pakai berlapis-lapis baju, stokin, pakai selimut tebal, namun sepanjang malam Kakja menggigil kesejukan. Kelmarin ke kem pelarian Syria, ada yang tiada langsung kelengkapan musim sejuk, khemah mereka sangat usang dan senang runtuh.
Tak dapat lena semalam fikir, “Ya Allah macam manalah mereka nak survive ni, mereka macam dah sehelai sepinggang dah ni,” ujarnya.
Setakat ini, team MAPIM tersebut telah mengagihkan bantuan kepada 95 keluarga di 2 titik penempatan dan khabarnya masih ada ribuan rakyat lagi yang masih dalam mode ‘frozen to death’.
Antara bantuan terdesak yang disumbangkan kepada mangsa kemanusiaan Syria termasuk selimut, khemah pelarian, ubat-ubatan, food pack, alat pemanas dan baju sejuk.
View this post on InstagramA post shared by ?H E L I Z A H E L M I ? (@nurhelizahelmi) on
“Kami merayu.. tolong share, VIRALKAN, biar lebih ramai yang membantu, tak tahu macam mana nak gambarkan keadaan di sini. Namun KUASA VIRAL ANDA SANGAT POWER, mungkin menyelamatkan ramai nyawa.”
Anda yang berhasrat menyumbangkan sumbangan boleh dilakukan melalui dua cara iaitu layari laman web www.tabungsyria.com atau Maybank Islamic di bawah akaun SYRIA EMERGENCY APPEAL di 5628 3463 6987. Moga sumbangan kecil kita di dunia ini dapat memudahkan kehidupan saudara Islam di Syria selain menambah amal kebaikan sebagai bekalan di akhirat kelak.
Kredit: Instagram Heliza Helmi
Cetus Fenomena Minuman Bubble Tea, Keberanian Aliza Ali Bawa Jenama Chatime Jadi Inspirasi!

Keberanian Aliza Ali membawa masuk jenama Chatime ke pasaran Malaysia kira-kira 14 tahun lalu sememangnya wajar diberi pujian. Kewujudan minuman bubble tea berasal dari Taiwan tersebut ke pasaran negara ini bukan hanya satu bentuk pelaburan menguntungkan. Malah berjaya mencipta fenomena luar biasa dalam industri makanan dan minuman (F&B) tanah air.
Chatime ialah rantaian francais kedai teh terbesar di dunia yang berpangkalan di Taiwan dan Aliza merupakan Pemegang Lesen Induk serta Ketua Pegawai Eksekutif Chatime Malaysia. Sepanjang lebih sedekad mengemudi syarikat makanan dan minuman berkenaan, anak jati kelahiran Kuala Pilah, Negeri Sembilan ini menempa pelbagai kejayaan dan pengiktirafan di dalam dan luar negara.
Dianugerahkan Nona F&B Business Award 2024, Aliza tanpa berselindung menjelaskan perjalanan beliau sebagai usahawan bermula dari bawah dan bukan berasal dari keluarga yang mempunyai latar belakang perniagaan.
CHATIME, EMPAYAR KEBANGGAAN ALIZA ALI
“Saya dibesarkan di Kuala Pilah sampai usia 11 tahun. Kemudian, keluarga berpindah ke luar Negeri Sembilan dan seterusnya menetap di Kuala Lumpur. Mengusahakan perniagaan memang menjadi impian saya. Disebabkan itu, saya tak kisah melibatkan diri dalam apa jua bidang sekalipun asalkan ia saya dapat berniaga.
Tak ada dalam kalangan ahli keluarga saya yang menceburi bisnes. Hanya saya seorang saja. Sebelum mula perniagaan F&B ini saya juga pernah cuba banyak benda lain. Saya pernah timba pengalaman dalam bisnes melibatkan pembinaan. Bahkan saya juga pernah jual produk usahawan lain hanya untuk memahami bagaimana proses perniagaan itu berlaku.
Saya tidak meletakkan minat bisnes terhadap satu-satu produk semata-mata atau kena buat perniagaan F&B saja. Saya terbuka untuk menjalankan apa juga bisnes lain. Cuma bila mengusahakan Chatime dan lihat potensi perniagaan ini yang semakin berkembang maju, saya terpaksa buat keputusan ketepikan bisnes lain untuk fokus kepada hanya satu benda.
Tak boleh bagi tumpuan kalau terlampau banyak sangat buat cabang bisnes. Lebih-lebih lagi kalau nak ia berkembang lebih besar. Saya percaya untuk fokus kepada satu bisnes saja dan tinggalkan bisnes yang lain untuk fokus dengan Chatime.”
Ujar graduan Kejuruteraan Kimia dari Imperial College London ini, mengendalikan empayar Chatime banyak mengajarnya tentang selok-belok dunia perniagaan dan menghidangkan pelbagai prospek untuk beliau meneroka peluang di peringkat global.
Mengimbas kembali momen pembukaan cawangan pertama Chatime di Genting Highlands pada tahun 2010, detik berkenaan sentiasa terpahat segar di ingatan Aliza. Beliau sama sekali tidak menyangka menerima sambutan luar biasa daripada pelanggan dari segenap lapisan umur dan bangsa.
“Saya ingat lagi waktu itu tengah bulan puasa. Tak jangkakan apa-apa pun masa pembukaan outlet pertama di Genting sebab pada tahun 2010 kebanyakan yang datang ke sana ialah mereka yang berbangsa Cina kerana ada banyak pusat hiburan. Hendak dijadikan cerita, tiba-tiba saya dapat panggilan daripada pihak pengurusan pusat beli-belah di Genting yang minta saya segera datang kerana ada masalah.
Berdebar-debar hati saya fikir apa yang dah jadi. Lagipun baru pertama kali buka outlet. Tiba saja di sana, saya terkejut tengok pelanggan beratur panjang nak beli minuman Chatime. Sampai lif-lif di depan kedai kami terpaksa ditutup sebab tak boleh masuk dan ramai orang. Itulah satu-satunya masalah yang saya sangat gembira dengar,” imbau Aliza sambil ketawa.
CABARAN
Sepanjang mengusahakan Chatime selama lebih sedekad, Aliza kini mampu tersenyum bangga apabila perniagaan tersebut sudah pun memiliki 130 buah cawangan di seluruh negara.
“Saya bermula dari bawah dan zero sama seperti orang lain. Faktor modal dan funding menjadi salah satu cabaran utama untuk majukan bisnes. Terutama sekali bila kita mahu buka banyak kedai. Bayangkan, satu kedai saja kena keluarkan modal sebanyak RM400,000. Kalau mahu buka 100 kedai sudah tentu melibatkan banyak wang.
Ditambah pula orang nampak saya ini seorang wanita muda lagi dan baru start company, jadi tak ramai orang lagi yang percaya dengan apa yang saya mampu buat ketika itu. Mereka mahu melabur dalam syarikat saya pun, mereka kurang yakin.
Those are the things that I faced. Tapi sekiranya kita sangat passionate about it, semua itu tak rasa susah sangat. Kalau kita betul-betul nak buat, insyaAllah benda itu boleh jadi kenyataan.”
Sedar kehendak dan selera pelanggan yang kian berubah-ubah, Aliza Ali rancak melakukan eksperimen dan inovasi demi memenuhi cita rasa khalayak.
“Kebanyakan orang sekarang lebih suka alternatif untuk dairy milk. Tambahan pula, orang Asia ramai yang mengalami lactose intolerance atau mengalami sakit perut atau ketidakselesaan pada perut selepas minum susu atau makanan berasaskan tenusu. Di Chatime, saya dapati pelanggan sekarang lebih memilih minuman yang ada oat milk dan tak mahu lagi minum susu lembu.”
Mengambil serius situasi tersebut, Aliza teruja menghasilkan satu produk jenama baharu berasaskan susu bijirin oat.
“Kami baru saja mula dengan jenama baharu yang menjadi produk susu berjenis oat milk pertama Malaysia iaitu OATING. Produk jenama ini akan ada di kebanyakan industri F&B macam Chatime dan beberapa jenama F&B lain. Buat permulaan, ia akan memasuki pasaran Malaysia dan Indonesia dalam Quarter 1 tahun 2025.
Dalam masa setahun yang lepas, saya banyak buat research untuk kenal pasti bisnes apa yang saya nak buat lagi pada masa akan datang. Saya dah menjalankan Chatime selama 14 tahun dan mungkin inilah masa untuk move on daripada bubble tea kepada bisnes yang lebih membawa makna lagi. Antaranya memberi fokus kepada produk lactose intolerance yang lebih berfaedah kepada kesihatan pengguna,” telus Aliza mengenai strategi perniagaannya kelak.
INSPIRASI
Atas pencapaian membanggakan sebagai usahawan, Aliza Ali melakar sejarah tersendiri apabila menjadi wanita pertama Malaysia dijemput sebagai penyampai di Bursa Saham Hong Kong (HKEX) 2023 di samping tokoh usahawan wanita dari China.
“Saya sangat terkejut apabila dijemput untuk berada di situ bersama seorang wanita yang juga usahawan berjaya, Joey Wat. Beliau merupakan Ketua Pegawai Eksekutif Yum China yang mempunyai cawangan F&B terbesar di China.
Walau syarikat saya tidaklah segah syarikat Yum China yang bernilai berbilion-bilion Dolar, tapi mereka kagum dengan kejayaan kami yang menjadi salah sebuah syarikat Asia Tenggara yang bermula daripada zero tapi boleh berjaya dan tersenarai dalam Bursa Saham.”
Menyentuh sumber inspirasi yang menjadi kekuatan Aliza dalam kehidupan dan perniagaan, tanpa berfikir panjang nama Allahyarham ibu tersayang iaitu Fuziah Yusof meniti di bibir anak kelapan daripada sembilan adik-beradik ini.
“Allahyarham ibu saya meninggal dunia pada tahun ini ketika berusia 79 tahun. Bagi saya, beliau besarkan kami adik-beradik daripada bukan sesiapa menjadi orang berjaya. Saya ingat lagi momen bila kawan-kawan arwah ibu tanya pekerjaan saya, dia jawab saya jual air. Jadi ramai kawan-kawannya ingat saya jual air di pasar malam dan beliau tak betulkan pun sampai akhir hayatnya,” ulas Aliza.
“I learned that she was just very humble. Tiada apa pun yang mengubah peribadi dirinya dari dulu sampai beliau meninggal dunia dan itulah yang memberi saya inspirasi untuk menjadi sepertinya. Arwah selalu percaya dengan apa saja yang saya buat. Tak pernah paksa saya belajar tapi selalu percaya saya akan jadi orang berjaya. Saya tahu yang beliau selalu mendoakan kejayaan saya.”
Sebelum mengakhiri perbualan, Aliza Ali turut menitipkan kata-kata semangat ini buat golongan wanita.
“Kebanyakan wanita rasa dia berdepan banyak kekangan dari segi masa, pekerjaan dan sebagainya. Saya selalu tekankan kepada staf bahawa tiada orang yang boleh bagi anda kekangan melainkan ia datang daripada mentaliti anda sendiri. Kalau anda rasa anda boleh jadi hebat, percayalah anak boleh jadi hebat.
Dengan peluang dan teknologi hari ini anda boleh berjaya walaupun tanpa ada staf dan tanpa menggunakan duit yang banyak. Kita kena ada perasaan ‘lapar’ untuk belajar dan berjaya. Selalu percaya pada diri dan rebut peluang yang ada di depan mata. Saya yakin semua orang boleh berjaya dan tidak wujud istilah lambat untuk memulakan sesuatu perniagaan dari sekarang.”
Uji Rashid ‘Penyanyi Bersuara Manja’, Terjun Ke Dunia Seni Demi Kumpul Duit & Berikan Kesenangan Buat Ibu

Isi Kandungan
ToggleUji Rashid sinonim dengan gelaran ‘penyanyi bersuara manja’ yang juga pemilik nama sebenar Fuziah Haroun Al Rashid atau nama pentasnya Uji Rashid sangatlah mengagumkan. Penyanyi legenda ini pernah menempa zaman kegemilangannya yang tersendiri sebagai penyanyi dan pelakon pada tahun 1970-an.
Sewaktu popularitinya berada di kemuncak, bukan sahaja gaya fesyen dan rambut beliau menjadi bualan, tetapi mata besar beliau turut menjadi ciri yang ikonik. Malah, sehingga kini ada sejenis ikan yang diberi nama Ikan Uji Rashid dan duit syiling 50 sen yang diberi gelaran duit Uji Rashid di Melaka. Populariti beliau ketika itu adalah sesuatu yang menjadi fenomena sehingga orang ramai mula mengaitkan namanya dengan benda-benda unik sebagai tanda penghargaan.
Uji Rashid ‘Penyanyi Bersuara Manja’
Di sebalik senyuman manis dan suara merdu yang dialunkan rupa-rupanya tersembunyi sebuah perjalanan hidup yang penuh dengan kegetiran, pengorbanan dan cinta yang mendalam terhadap keluarga serta para peminatnya. Selama 50 tahun, beliau bukan sahaja menghiburkan rakyat Malaysia, malah telah menanam benih kasih sayang yang mengikat dirinya dengan peminat-peminat setia.
Mengimbau kenangan paling sukar dilupakan Uji Rashid menyatakan dirinya trauma menyanyikan lagu Kali Terakhir Ku Lihat Wajahmu kerana terkenangkan peristiwa berdarah kematian salah seorang peminat setianya yang bernama Siti Rashidah akibat kemalangan jalan raya. Arwah merupakan seorang remaja yang sentiasa mengikuti setiap persembahannya. Hubungan mereka bukan sekadar peminat dan idola, tetapi lebih kepada adik dan kakak, penuh kasih dan setia.
“Sehingga ke hari ini, saya masih beruka dengan tragedi peminat yang terkorban dalam kemalangan jalan raya selepas pulang berjumpa saya. Arwah sangat meminati saya dan sanggup melakukan apa saja. Saya tidak pernah menyampaikan lagu berkenaan dalam sebarang pertunjukan pentas sejak ia dirakamkan pada 1977 kerana tidak mahu mengingati detik tersebut,” kongsi Uji Rashid.
Tanpa sedar air mata mengalir tatkala bercerita tentang arwah Siti Rashidah, gadis remaja itu sanggup memandu dari Pulau Pinang bersama rakan-rakannya semata-mata untuk bertemu Uji Rashid. “Di mana sahaja saya buat persembahan, gadis muda itu pasti ada, setia menyokong dan memberikan dorongan. Malah arwah Siti Rashidah sanggup datang dari jauh semata-mata untuk menunjukkan dia berjaya mendapat lesen memandu dan seolah-olah kejayaannya itu perlu diiktiraf oleh saya dulu.
Kenangan itu sangat menyentuh hati, malah menjadi bukti betapa peminat telah menjadi sebahagian daripada perjalanan hidup saya. Namun, perpisahan juga menghampiri apabila arwah Siti Rashidah dan rakan-rakannya terlibat dalam kemalangan tragis. Pemergian mereka menyentap jiwa saya yang menganggap mereka seperti keluarga sendiri.
Saya menangis apabila mendapat perkhabaran tersebut. Lagu Kali Terakhir Ku Lihat Wajahmu dihasilkan sebagai penghormatan kepada arwah dan saya masih tidak berupaya untuk menyampaikan lagu itu sehingga kini walaupun lagu itu sudah berusia lebih 47 tahun. Setiap kali dengar lagu itu, saya akan menangis terkenangkan arwah yang pernah baik dengan saya. Walaupun ramai yang meminta saya dendangkan lagu itu, saya tidak mahu berbuat demikian. Biarlah keindahan lagu itu diabadikan saja sebagai kenangan,” ungkap Uji Rashid sambil mengelap air mata yang jatuh di pipi.
Buat Laci 10 Tingkat Mudahkan Ibu Berbelanja
Uji Rashid merupakan anak yang sangat baik dan mentaati orang tua. Seawal usia remaja lagi dirinya sudah memikirkan bagaimana hendak mengumpul duit dan memberikan kehidupan yang senang buat ibu tercinta. Membesar dalam keluarga yang berpindah-randah kerana pekerjaan ayahnya sebagai Pegawai Kastam, Uji Rashid menggalas tanggungjawab besar untuk membantu ibunya, seorang wanita cekal yang membesarkan lima anak sendirian dalam keadaan ibunya yang tidak tahu membaca. Malah Uji Rashid juga memilih untuk tidak melanjutkan pelajaran demi kekal bersama ibu tercinta dan terjun ke dunia seni sebagai satu-satunya jalan yang mampu membantunya menjana pendapatan untuk keluarga.
Menerusi gaji yang diterima sebagai pelakon dan penyanyi, Uji Rashid menyimpan wang untuk ibunya dalam laci bertingkat, seolah-olah penyanyi itu mahu memastikan setiap hari ibunya tahu bahawa dia dicintai, dijaga dengan baik. Uji Rashid juga bersyukur pada ketika itu dirinya mampu menghadiahkan kesenangan kepada ibu, walaupun dalam bentuk yang sederhana namun kasih sayang seorang anak yang mahu memastikan tiada satu hari pun ibunya menghadapi masalah kewangan.
Ditebak mengenai dirinya adakah pernah menerima apa-apa gelaran seperti Datuk? Lantas Uji Rashid menyatakan dirinya berniat hadir dalam dunia seni demi ibu. “Saya tolak gelaran. Niat saya pada mulanya nak mak saya hidup senang. Bila gaji pertama saya terima RM160 saya cuma ambil RM10 selebihnya saya beri pada mak. Jadi bila saya dapat RM2000 dari hasil lakonan saya akan serahkan pada mak.
Orang takkan percaya saya buat laci 10 tingkat. Tiap-tiap laci ada duit. Dulu nak pergi bank susah, nak ke pejabat pos mak saya tak kenal huruf. Jadi pulang saja ke rumah saya akan letak duit dalam laci. Bila mak susah dia boleh ambil bila-bila masa.
“Mak saya pula pemurah orangnya, macam kedai pajak gadai. Mak saya tak pinjamkan orang tapi dia beri orang duit. Dalam sebulan saya cuma pulang ke rumah empat hari, jadi memang kaya-raya mak ketika itu. Apa saja mak nak dia akan beli. Kerusi meja ada dua set. Bila saya balik rumah saya tengok satu set lagi hilang sebab mak sedekahkan pada orang,” luahnya.
Bagi Uji Rashid, ibu merupakan teman dan penyokong setia. Walaupun pada masa itu pandangan masyarakat terhadap wanita yang menceburi seni seringkali dipandang rendah, ibunya berdiri teguh menyokong dirinya. Namun seiring waktu, takdir memisahkan mereka dan kehilangan ibu adalah kehilangan paling besar dalam hidup.
“Saya tak tahu nak bercerita dengan siapa lagi selepas ibu pergi buat selamanya,” luahnya penuh kesedihan. Malah Uji Rashid juga sangat bersyukur kerana diberi peluang menjaga arwah ibu sepanjang terlantar sakit sebelum menghembuskan nafas terakhir.
Uji Rashid juga memegang prinsip jika sesuatu rezeki itu kalau dah bukan rezeki kita, dah masuk mulut pun boleh jatuh ke tanah jua. Rezeki tidak pernah salah alamat. “Kalau rezeki tak masuk mulut kita ertinya ia bukan rezeki kita. Macam-macam orang janji. Apapun kalau bukan rezeki, tak akan dapat. Semakin dewasa semakin banyak yang kita belajar. Saya serahkan segalanya pada Allah dan reda. Setiap rezeki itu Allah akan aturkan,” ungkap Uji Rashid.
Tersedar Rezeki Menyanyi Untuk Ibu & Anak-Anak
Sebagai penerima Nona Legend Award, Uji Rasjid berasa sangat terharu. Ini kerana dia beranggapan dirinya tidak layak sebaris dengan wanita hebat yang terpilih. “Masa team Nona hubungi dan nyatakan saya sebagai penerima anugerah, ada terfikir nak nak undur diri sebabnya saya tengok ramai wanita hebat yang terpilih sebagai penerima anugerah. Saya cuma orang biasa.
Saya sedar kebanyakkan lagu-lagu ciptaan Datuk Ahmad Nawab, saya hanya menyampaikan saja. Saya tak pandai menyanyi dan saya tak suka menyanyi pada awalnya. Kemudian saya tersedar daripada nyanyianlah rezeki itu datang untuk mak dan anak-anak saya,” sambung Uji Rashid.
Ibu tunggal yang kuat bekerja ini juga menasihati golongan muda agar patuhi perintah Allah dan hormatilah orang yang lebih tua. InsyaAllah hidup akan senang. Menyentuh tentang isu dirinya yang kini sudah berniqab, tenang jawapannya berniqab kerana masalah kesihatan.
“Pasti ada yang keliru kenapa dalam gambar tak berniqab tapi di atas pentas dan sewaktu temu bual vodcast saya berniqab. Sebenarnya berniqab ni tak wajib. Masa pandemik COVID-19 kita semua pakai mask. Kakak saya meninggal dunia sewaktu era pandemik, saya tengok ketika itu kita tak boleh dekat dengan jenazah. Pada ketika itu Cico dan menantu arwah kakak yang turun ke dalam liang lahad. Kalau tak ada orang nak sambut, jenazah akan dicampak saja. Pada ketika itu semua orang pakai mask untuk perlindungan.
Saya pula disahkan ada penyakit lelah. Masa saya pakai mask saya tak boleh bernafas. Saya cakap kenapa saya tak cuba niqab, saya pergi nyanyi pun pakai. Tak ada masalah saya nak selamatkan diri saya agar dilindungi dari kuman. Saya nak semua orang gembira dan dengan nyanyian dapat hiburkan peminat,” akhiri Uji Rashid.
Baca Disini : Berkilauan Bak Berlian, Tokoh Wanita Berjaya Diraikan Di Nona Superwoman Award 2024!