Tudung Sebawang? Tudung sarung untuk makcik bawang ke? Usik saya ketika duduk berbual dengan Pengasasnya, Nadea Fauzi.

“Ya! Dulukan tudung jenis instant atau sarung ni pujaan makcik bawang untuk merewang. Jadi saya ambil nama tu dan letakkan Se- di depan.

IKLAN

Bila sebut nama Sebawang, pergi SSM kena gelak, buat company stamp kena gelak. Orang bank pun tergelak dengar nama ni,” ceritanya sambil tertawa.

Nadea dalam koleksi Sebawang ke pejabat

 

Team Sebawang di HQ Wangsa Maju

 

Ramah dan bersahaja, begitulah mukadimah perkenalan Majalah Nona dengan isteri kepada pegawai TLDM, Nurul Nadiah Sazali atau Nadea.

Baru berusia 35 tahun, ibu tiga anak ini juga merupakan pengasas tudung instant terkenal, Sebawang, yang kini beroperasi di Wangsa Maju.

Menariknya, Sebawang juga pernah mencuri perhatian Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah ketika Nadea bertemu Baginda, kira-kira dua tahun lepas.

“Dalam majlis makan malam tersebut, semua hadirin telah dimaklumkan agar tidak berswafoto dengan Baginda.

Tapi tiba-tiba waktu berangkat pulang, Permaisuri panggil saya dan ajak bergambar. Dengan keadaan bertudung sarung, Baginda puji tudung Sebawang, cantik, kemas…. Allahu, ‘kembang semangkuk’ rasanya.” Nadea

Kenangan manis dengan Raja Permaisuri Agong

 

“Jika bisnes lain lumpuh pada waktu pandemik ini, jualan tudung instant Sebawang pula sebaliknya.

Pada saya, jualan tudung instant ketika pandemik ini sangat membantu. Malah ketika PKP pertama, jualan mencanak naik lima kali ganda dengan zero cost marketing.

Malah, kami juga berjaya membuka peluang perniagaan kepada agent stokis yang terjejas sumber ekonomi.” Nadea

Koleksi Sebawang

 

Tudung Sebawang sesuai untuk persalinan moden mahupun tradisional

 

Latar belakang Nadea sebelum mengasaskan bisnes ini? “Saya terjun ke dalam dunia perniagaan ni hampir 12 tahun. Bermula ketika belajar di kolej kejururawatan dengan menjual baju bundle.

Masa tu, tujuannya untuk cari duit lebih memandangkan saya terpaksa bayar bulanan kereta Persona (kereta dibeli ketika bekerja sebagai jurulatih PLKN ) sebanyak RM555 sebulan. Sedangkan elaun student nurse ketika itu RM650. Memang tak cukuplah.

Nak minta pada mak ayah, tak sanggup sebab ayah perlu tanggung adik-beradik lain yang masih belajar. Dari situlah titik tolak belajar menjual melalui blog.

IKLAN

Masa tu tiada guru bisnes, jadi marketing dan sales semua belajar sendiri. Masa tu, mampu buat jualan bundle (curi-curi dalam hostel, sorok stok bawah katil) sebulan dalam anggaran RM2,000 sebulan,” cerita Nadea.

Keluarga kecil Nadea

 

Suami Nadea sentiasa menjadi pendorong semangatnya dalam bisnes

 

Tambah Nadea yang berkelulusan Diploma Pengurusan Perniagaan & Koperasi serta Diploma Kejururawatan Asas, dia pernah mengalami dua kejatuhan paling teruk dalam perniagaannya.

“Pertama, gagal dengan partner, dan kedua gagal juga akibat masalah yang tak dapat dielakkan. Jadi, bermula kejatuhan kali kedua tu, Sebawang menjadi ‘perjudian’ terakhir untuk berbisnes. Alhamdulillah menjadi sampai hari ni.”

BEKAS JURURAWAT

Sebelum mengusahakan bisnes sendiri, Nadea pernah bergelar Jurulatih PLKN (di Kem Ayer Tawar, Perak) sekitar tahun 2007-2008. Dia kemudiannya meneruskan kerjaya sebagai jururawat di Hospital Teluk Intan, Perak (2012-2015) dan di Klinik Kesihatan Sg Rengit, Johor (2015).

IKLAN

Inspirasi bisnes Sebawang… “Saya pilih tudung Sebawang ni kerana saya sendiri penggemar tudung sarung.

Ia sangat menjimatkan masa, tak perlu diseterika dan sesuai dengan ibu yang mempunyai anak kecil. Dan saya wujudkan Sebawang dalam versi tudung sarung tapi sesuai untuk semua pakaian.

Nadea turut menjadi model koleksi Sebawang

 

Cita-citanya mahu mempunyai gudang sendiri

 

Kami juga berinovasi dari segi awning tudung. Pelanggan kenal kami dengan awning mudah laras dan boleh digayakan seperti tudung Syria. Setiap edisi Sebawang juga dikeluarkan mengikut konsep dan mesej tersendiri.” Nadea

Awning tudung Sebawang

 

Nadea menjadikan Datin Vivy Yusof sebagai idola fesyen. Kredibiliti pengasas Duck itu hingga berjaya mengangkat produknya ke tahap membanggakan cukup menjadi inspirasi buat Nadea.

“Cabaran paling utama ialah pesaing yang sentiasa laju membuat peniruan dan cubaan menjatuhkan kami. Tapi saya memandang dari sudut positif iaitu saya perlu sentiasa come out dengan idea baru dan kena memintas lebih laju dari pesaing kami.

Impian saya ingin membawa Sebawang pergi lebih jauh terutama ke luar negara. Cita-cita saya nak bantu lebih ramai usahawan wanita di luar sana ubah hidup dengan Sebawang.

Bagi saya, apa saya ada, anak team saya kena ada juga. Saya nak bantu mereka naik dahulu. Kejayaan sebenar adalah apabila kita mampu mengangkat martabat wanita lebih berjaya dari diri sendiri. Doakan saya.”