
Agak lama tak nampak lakonan pelakon Bollywood, Preity Zinta di kaca televisyen. Jika sebelum ini jelitawan tersebut berada di negara suami tercinta di Amerika Syarikat, kepulangan Preity ke kampung halaman khususnya ketika pandemik Covid-19 melanda dunia nyata mengubah gaya hidupnya.
Dalam diam, aktres berkenaan kini aktif mengusahakan pelbagai jenis tanaman dan bergelar petani.
Menerusi perkongsian di Instagram miliknya, selain mengimbas kembali kenangan sewaktu kecil Preity juga berkongsi kunjungannya di ladang keluarga di Shimla, Himachal Pradesh di India bersama peminat setia.
Salah satunya ialah tanaman pokok epal yang sedang berbuah lebat. Katanya, dia sangat gembira melihat pokok-pokok berkenaan setelah sekian lama tidak mengunjungi kebun berkenaan.
“Sebaik saja hujan berhenti, saya keluar dan rakam video ini. Kembali ke kampung halaman dan ladang milik keluarga ketika musim buah epal sememangnya menggamit kenangan dan emosi. Kebanyakan zaman kanak-kanak saya diluangkan di ladang milik datuk dan nenek, Rajinder Mamaji dan Uma Mamiji.
2 tahun lepas, saya secara rasminya menjadi petani dan sangat bangga dapat menjadi sebahagian komuniti petani buah epal di Himachal Pradesh. Saya juga kagum melihat keadaan ladang di sini yang dijaga dengan baik walau berdepan situasi Covid dan kekurangan tenaga pekerja.
Malah, saya bangga dengan kejayaan abang yang berjaya mengusahakan tanaman organik di sini di samping menanam pokok epal.”
Tambahnya lagi, sepanjang waktu lockdown dia dan ibu tersayang ligat menanam pelbagai tanaman di halaman rumah. “Saya sangat teruja apabila tanaman buah-buahan dan sayuran kami tumbuh sihat di halaman belakang rumah.
Ibu dan saya memanfaatkan masa lockdown sejak tahun lalu dan menanam pelbagai jenis daun herba, buah dan sayur. Sekarang, kami dah ada buah strawberi, oren, pic, jambu batu, cili merah dan cili hijau, terung, daun pudina, basil dan buah lemon di rumah.”
Preity Zinta berkahwin dengan suaminya, Gene Goodenough yang berasal dari Amerika Syarikat pada tahun 2016.
Fibroid Dan Cyst Jejas Kesuburan? Pakar Ini Bagi Pencerahan Tentang Perbezaan VS Persamaannya

Masalah fibroid dan cyst kerap didiagnos di kalangan wanita tetapi ramai tidak mengetahui apakah yang dimaksudkan dengan fibroid dan cyst serta persamaan dan perbezaan di antara kedua penyakit ini.
Walaupun fibroid dan cyst selalunya tidak bergejala dan hanya dapat dikesan ketika pesakit menjalani pemeriksaan imbasan ultrasound abdomen dan pelvis, pakar perunding daripada Pusat Perubatan Sunway Velocity (SMCV) berkongsi jawapan kepada pelbagai persoalan yang sering menjadi tanda tanya ramai wanita.
Soalan: Bolehkah pesakit mendapat fibroid dan cyst pada masa yang sama?
Dr Wong Yen Shi, Pakar Perunding Perbidanan dan Sakit Puan daripada SMCV berkongsi bahawa fibroid adalah ketumbuhan bukan kanser yang bermula daripada otot rahim dan sering terjadi kepada wanita semasa mereka berada di fasa reproduktif.
Manakala bagi sista ovari atau ovarian cysts, ia adalah kantung yang kebanyakannya mengandungi cecair, kadangkala tisu atau darah yang tumbuh di dalam ovari atau di permukaannya.
Tidak seperti fibroid yang merupakan ketumbuhan bukan kanser, cyst berkemungkinan untuk menjadi beningna (tumor bukan kanser) atau malignan (tumor jenis kanser).
Doktor akan menggunakan imbasan ultrasound dan ujian penanda tumor CA125 untuk membezakan kedua jenis ketumbuhan ini. Ketumbuhan ovari lebih banyak berlaku kepada wanita berusia 60 ke 65 tahun.
“Kebanyakan cyst akan hilang dengan sendiri dalam beberapa bulan manakala cyst tidak berbahaya seperti follicular cyst atau corpus luteal akan membesar dan hilang bersama kitaran haid seseorang wanita.”
Seseorang wanita boleh menghidapi fibroid dan cyst pada masa yang sama – memandangkan keadaan pesakit adalah berbeza-beza, cara merawat dan memantau penyakit ini bergantung kepada saiz dan simptom yang dialami pesakit.
Soalan: Apa yang menyebabkan penyakit ini berlaku dan apakah simptom untuk dikenal pasti?
Walaupun punca sebenar mengapa fibroid boleh berlaku masih lagi tidak dapat dikenal pasti sehingga kini, Dr Wong menyatakan bahawa hormon, genetik dan faktor pertumbuhan (produk gen yang boleh menggalakkan atau menghalang mitosis atau menjejaskan pembezaan selular) dikatakan sebagai faktor kepada berlakunya fibroid dan cyst.
“Seperti fibroid, cyst berlaku secara semula jadi. Kehamilan, jangkitan pada pelvis, endometriosis dan sejarah kesihatan mengalami cyst ovari juga boleh meningkatkan kemungkinan untuk mendapat cyst ovari.
Fibroid dan cyst juga mungkin menunjukkan simptom yang sama. Contohnya, haid yang tidak teratur atau menyakitkan, kerap membuang air kecil atau sembelit, kembung perut, sakit belakang, pertambahan berat badan yang tidak dapat dijelaskan atau persetubuhan yang menyakitkan.
Manakala mereka yang mengalami fibroid berkemungkinan untuk mengalami pendarahan haid yang banyak jika dibandingkan dengan cyst. Dalam kes ketumbuhan ovari, rasa cepat kenyang ketika makan, hilang berat badan dan selera makan adalah antara simptom yang pesakit boleh perhatikan.”
Soalan: Bolehkah fibroid dan cyst memberi kesan terhadap kesuburan?
Dr Farah Leong Rahman, Pakar Perunding Perbidanan, Sakit Puan dan Perubatan Kesuburan berkongsi bahawa kebanyakan wanita yang menghidapi fibroid dan cyst tidak mempunyai masalah untuk hamil.
Namun, bergantung kepada saiz dan lokasi fibroid tersebut, ia mungkin memberi kesan kepada tahap kesuburan pesakit.
“Fibroid dan cyst selalunya tidak akan menjadi penghalang jika seseorang pesakit itu ingin hamil. Namun terdapat kemungkinan bagi kedua penyakit ini untuk menyebabkan tiub fallopio tersumbat atau menyebabkan persekitarannya menjadi tidak kondusif untuk implantasi embrio terutamanya bagi fibroid yang terletak pada dinding rahim.
Manakala rawatan bagi penyakit ini bergantung kepada simptom yang dialami pesakit dan pembedahan hanya akan dilakukan jika ia dapat meningkatkan peluang kehamilan.”
Soalan: Adakah fibroid atau cyst akan memberi kesan kepada perkembangan bayi atau kesihatan ibu?
Dr Farah berkongsi bahawa kebimbingan terbesar apabila mempunyai fibroid ketika hamil adalah risiko kelahiran awal.
“Dalam sesetengah kes, ia boleh menyebabkan kesakitan yang teruk di mana fibroid akan melebihi bekalan darah pesakit. Jika fibroid bersaiz besar, ia boleh menyebabkan kedudukan bayi berada pada posisi yang salah (kepala tidak berada di bawah walaupun sudah cukup bulan).”
Manakala bagi cyst ketika kehamilan, ia selalunya tidak akan memberikan mudarat kecuali jika cyst itu cukup besar dan menyebabkan koyakan.
Dr Farah menasihatkan pesakit untuk mendapatkan nasihat daripada doktor sebelum memulakan perancangan kehamilan mereka bagi memastikan semuanya berada pada keadaan yang baik.
Soalan: Bagaimana untuk merawat fibroid dan cyst?
Seperti dikongsi Dr Farah, rawatan individu atau ‘personalized treatment’ adalah kunci untuk merawat fibroid dan cyst – cyst bersaiz kecil selalunya tidak memerlukan rawatan dan pertumbuhannya akan dipantau, manakala cyst bersaiz besar akan memerlukan pembedahan secara laparoskopi atau secara terbuka (open surgery).
“Pembedahan masih kekal sebagai solusi bagi rawatan fibroid. Apabila kesuburan menjadi kebimbangan, miomektomi (pembuangan fibroid) boleh dilakukan melalui pembedahan terbuka, laparoskopi atau melalui miomektomi histeroskopik bergantung kepada saiz dan lokasi fibroid.
Bagi wanita yang tidak mahu menambah cahaya mata atau dalam fasa selepas menopaus, histerektomi (pembuangan rahim) akan dipertimbangkan.”
Uterine arteri embolisasi dan kemajuan baharu dalam teknologi seperti pembedahan High Intensity Focused Ultrasound (HIFU) adalah antara alternatif lain tetapi rawatan-rawatan ini masih belum tersedia secara meluas di kebanyakan hospital.
Bagi pesakit yang tidak memerlukan pembedahan, mereka akan diberikan rawatan perubatan untuk melegakan simptom seperti pendarahan haid yang banyak serta haid yang menyakitkan.
Soalan: Apa yang boleh dilakukan untuk menghindari penyakit ini?
Dr Farah menekankan bahawa fibroid dan cyst bukan penyakit yang boleh diwarisi – bermakna ia tidak diturunkan dari satu generasi ke generasi yang lain. Namun, ia masih boleh berlaku dalam sesebuah keluarga.
Beliau mengesyorkan para wanita untuk melakukan pemeriksaan ginekologi secara berkala kerana ketumbuhan fibroid dan cyst mungkin tidak menyebabkan sebarang simptom dan mungkin tidak disedari.
“Amat penting untuk membuat pemeriksaan berkala dengan doktor anda untuk melakukan imbasan ultrasound bagi memantau saiz fibroid atau cyst dan untuk memeriksa simptom anda.
Tidak semua fibroid atau cyst memerlukan pembedahan. Walau bagaimanapun, jika anda mempunyai simptom atau merancang untuk hamil, doktor boleh mengesyorkan rawatan yang sesuai untuk anda.
Masih tiada bukti yang boleh membantu mencegah ketumbuhan fibroid atau cyst. Tetapi mengamalkan gaya hidup sihat dan mengekalkan diet seimbang adalah cara yang baik untuk kesihatan anda secara menyeluruh.”
Pusat Perubatan Sunway Velocity terletak di Lingkaran SV, Sunway Velocity. Untuk maklumat lebih lanjut berkenaan dengan Sunway Medical Centre Velocity, sila layari www.sunmedvelocity.com.my atau Facebook: Sunway Medical Velocity.
Udang Kara Di Kelubung Awan, Kini Peminat BURGER & LOBSTER Boleh Jengah Restoran Ini Di Genting Highland

Siapa yang pernah menjejak Kota London pasti pernah menikmati keenakan udang kara di sebuah restoran terkenal di sana.
Kini anda tidak perlu lagi ke Kota London untuk menikmati kelazatan makanan laut kerana boleh mengunjungi restoran Burger & Lobster yang baru dibuka di puncak Genting Highland.
Menyediakan menu burger dan udang kara popular dari Nova Scotia, Kanada, restoran ini menampilkan konsep tradisional dalam penyediaan makanannya.
Sebagai restoran pertama seumpamanya dibuka di Asia, restoran Burger & Lobster yang mula beroperasi pada tahun 2011 ini telah memilih dekorasi moden dengan hiasan kelengkapan menangkap udang kara.
Malah salah satu dinding restoran dihiasi dengan 104 replika peti tradisional menangkap udang kara sama seperti yang digunakan oleh nelayan di Nova Scotia.
Terletak di pusat beli belah Sky Avenue, Genting Highland, kemasan dinding adalah kombinasi kayu oak, jubin seramik Portugal dan pencahayaan dalaman malap mengimbau suasana nelayan udang kara yang tenang selepas sehari suntuk bekerja di lautan.
Susunan tempat duduk di restoran ini pula adalah kombinasi booth dan bankuet yang dilimpahi cahaya lampu hiasan menarik. Restoran berkeluasan 3,500 kaki persegi ini mempunyai kapasiti 150 orang dalam satu masa.
Udang Kara
Udang kara premium restoran Burger & Lobster ini menghidangkan udang seberat 650 hingga 700 gram bersama-sama menu yang dibawa khas dari sana.
Menu burger di restoran ini diperbuat daripada 100 peratus daging lembu Australia dengan kepingan daging diapit bun brioche berbijan dan ditambah daging salai, keju, daun salad, tomato, bawang, jeruk istimewa serta sos rahsia Burger & Lobster.
Salah satu menu terkenal Burger & Lobster merupakan ketulan udang kara segar gulung yang disediakan dalam tiga gaya berbeza. Pengunjung boleh memilih sama menu chilli dan The Original yang dihidangkan sejuk bersama bun panjang brioche berserta kentang goreng dan salad.
Bagi jenis pemakan kecil, mereka bleh memilih burger bersaiz mini iaitu B&L Burger yang dihidangkan bersama isi udang kara. Tiger Tiger (gulungan mentega undang tempura, mayonis pedas dan buah avocado) dan The Classic yang merupakan burger bersaiz kecil.
Menu pencuci mulut pula, pelanggan boleh memilih untuk menikmati crème brulee dan mousse pisang atau yogurt strawberi, guanduja serta ais krim stacciatella. Tidak dilupakan salah satu menu pencuci mulut dengan aroma tempatan iaitu tempura durian.
Burger & Lobster yang terletak di Aras 1, Sky Avenue ini, waktu operasinya ialah pukul 11.00 pagi hingga 10.00 malam setiap hari dan sehingga 11.30 malam pada hujung minggu. Hamizatul Maizan Mohamed
#StayAtHome Masa Untuk Deko Rumah Biar Nampak Mewah!

Masuk dapur masak empat kali satu hari, sampai dah tepu idea nak masak menu apa. Sekarang masa untuk makeover kediaman anda agar nampak premium dan mewah!
Tidak kisah kategori rumah apa sekalipun yang penting bila kita berada di dalamnya terasa tenang, cantik dan elegan sepertinya berada di hotel. Sebenarnya kita tidak perlu berbelanja mahal pun untuk nampak mewah. Paling penting kreativiti, cita rasa dan usaha anda untuk mengemas. Kami kongsi tip deko untuk anda lakukan di masa terluang ini.
(1) Kreatif dengan penggunaan lampu
Pencahayaan bagi setiap ruang itu sangat penting dan mungkin ada sebahagian daripada kita terlepas pandang tentang perkara ini. Kalau ada lampu meja atau table lamp yang tak digunakan, cuba keluarkan letak di ruang tamu.
Hiaskan lampu di sudut kerusi atau di tepi meja kecil. Sesekali jangan nyalakan lampu putih cerah satu rumah, memadai dengan suasana lampu kuning yang romantis, classy dan elegan. Anda juga boleh mencipta suasana dramatik dengan hamparan skarf bercorak moden menutupi bahagian atas lampu meja tersebut.
Bermain dengan lilin juga boleh memberi impak hiasan menarik. Letakkan dalam bekas kristal atau gelas kaca dan hias di atas kabinet atau di atas almari hiasan.
(2) Bermain dengan tekstil
Bagi menampakkan kesan elegan dan classy, bantal kecil sangat penting untuk diletakkan di atas sofa atau kerusi sandar anda. Inilah masanya jika anda rajin dan punya mesin jahit sendiri, buat sarung bantal menggunakan kain polos atau bercorak.
Tiada zip bukan masalah besar. Anda boleh buat sarung bantal tersebut tanpa zip seperti sarung bantal tidur. Terbaik jika gabungan corak sarung bantal tersebut print dan polos.
(3) Table setting
Memang benar tidak ada tetamu datang dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan ini. Tapi anda boleh sahaja mengeluarkan pinggan, gelas, sudu atau garfu yang cantik untuk menghias meja.
Jika anda punya cita rasa moden, corak geometri pasti menjadi pilihan dan jangan takut untuk gabungkan pelbagai coral asalkan dalam DNA yang sama. Bagi anda yang classy, pilih set pinggan mangkuk polos putih dan sedikit sentuhan keemasan.
Biarkan hiasan table setting itu di atas meja untuk kesan mewah, sepertinya anda bakal mengadakan majlis makan malam eksklusif.
(4) Simpan barang dekorasi kecil atau perhiasan souvenirs
Jangan serabutkan keadaan ruang tamu yang kecil dengan barang hiasan seperti anak patung, pasu bunga kecil, cenderamata dan sebagainya. Simpan semua barang tersebut di dalam bilik tidur atau study room.
Biarkan ruang tamu kelihatan leboh polos, praktikal, moden dan minimalis kerana di situlah anda akan menerima ramai tetamu dan bersantai. Kurangkan benda yang kecil-kecil ini, supaya mudah untuk dikemas setiap hari. Hiaskan ruang tamu dengan hiasan bersaiz besar seperti lampu, cermin, pasu bunga atau lukisan.
(5) Cat Rumah
Kalau ada lebihan cat di stor, boleh gunakan sekarang. Kalau sebelum ini warna dinding rumah anda merah, hijau, kuning atau berwarna terang, cuba kembali pilih warna asas seperti putih, kelabu atau low tone. Ini memberi ilusi ruang lebih besar pada ruang dan mudah untuk disuai padankan dengan sebarang hiasan. Kiffy Razak