
Gaya masakannya yang istimewa dan unik membuatkan cef kelahiran Turki ini meraih perhatian penggemar makanan seluruh dunia. Kebolehan Burak Ozdemir menyediakan hidangan dalam portion yang besar dan sering mengukir senyuman ketika memasak juga dikagumi personaliti terkenal antarabangsa termasuk Lionel Messi, Khabib Nurmagomedov, Cristiano Ronaldo dan pengasas Huda Beauty, Huda Kattan.
Namun di sebalik wajah riang dan senyum tawa yang sering dipaparkan Cef Burak di media sosial, tersimpan ‘rahsia’ yang sukar untuk diungkapkan.
Menyambut ulang tahun kelahiran ke-27 pada 24 Mac lepas, sikap dermawan Cef Burak yang gemar berkongsi rezeki dengan insan kurang bernasib baik membuatkan dia disenangi ramai.





Tak hairanlah, figura ini mempunyai sehingga 34 juta followers di platform media sosial Instagram!
Baru-baru ini, perkongsian Cef Burak memuat naik gambar dirinya lengkap memakai pakaian hospital mengundang rasa terkejut dan simpati dalam kalangan peminat serata dunia. Apatah lagi dia dilaporkan sedang berjuang melawan sakit tumor otak.
Meskipun tiada penjelasan lanjut dibuat Cef Burak sehingga ke hari ini tetapi perkongsian video terbaharunya yang kelihatan sugul dan pucat selain berat badan yang menyusut meraih rasa sebak.






Menerusi video yang dikongsikan tersebut, dia memberitahu, “Sekiranya saya sudah tidak ada lagi (kenangi saya), menerusi video-video masakan amal yang dibuat sebelum ini.”
Menjengah ruangan komen, rata-rata peminat Cef Burak mendoakan agar pengusaha restoran ini diberikan kekuatan dan dikurniakan kesembuhan segera.
JAMIE CHUA, Antara Pemilik Beg BIRKIN Termahal Dunia Bersadur Emas Putih & 245 BERLIAN!

Bukan 20 tapi lebih 200 koleksi beg tangan mewah Birkin ada dalam simpanan socialite Singapura, Jamie Chua. Lebih mengujakan, salah satu daripada koleksi tersebut adalah antara yang termahal di dunia! Kongsi Jamie dalam satu temu bual, “Ia adalah ‘Himalayan Crocodile Birkin’ yang diperincikan dengan emas putih dan 245 butir berlian. Ia juga merupakan salah satu di antara beg Birkin paling mahal di dunia.”
Ternganga tengok ‘harta karun’ Jamie yang disusun kemas dalam almari kaca berkeluasan 65 kaki persegi. Ruang berkenaan dibina khas untuk menempatkan koleksi beg tangan mewah tersebut dan harga minimum bagi sebuah beg tangan Birkin dianggarkan bernilai 8, 000 USD atau bersamaan lebih RM 33, 000. Bagi koleksi terhad dan eksklusif Birkin pula boleh mencecah sehingga jutaan ringgit!

Itu belum termasuk jumlah beg tangan pelbagai jenama mewah lain seperti Chanel, Louis Vuitton dan sebagainya.
Bukan saja beg tangan, Jamie juga dikhabarkan mempunyai lebih 300 pasang kasut. Apa yang pasti, sepatu milik ibu kepada dua orang anak ini bukan calang-calang kerana yang paling murah pun berharga sekitar RM 6, 000. Salah satu kasut yang dimilikinya adalah ‘Louboutin Spiked Heels’ bernilai hampir RM15, 000 namun pernah membuatkan kaki usahawan produk kecantikan ini terluka ketika memakainya.
Tidak dilupakan, himpunan busana dan aksesori daripada berbagai-bagai jenama dimuatkan di dalam ruang simpanan eksklusif Jamie berkeluasan 700 kaki persegi. Terasa seperti di butik label fesyen mewah.. paling mengejutkan, kamar ini turut dilengkapi dengan imbasan cap jari Jamie. Bukan senang-senang dapat masuk ya!
Pernah membelanjakan lebih RM50, 000 untuk penjagaan kesihatan dan kecantikan dari hujung rambut ke hujung kaki, Jamie Chua sebenarnya ialah bekas pramugari Singapore Airlines sebelum berkahwin dengan jutawan Indonesia, Nurdian Cuaca.
Selepas 15 tahun mendirikan rumah tangga, mereka kemudian bercerai pada tahun 2010 dan Jamie menuntut nafkah daripada bekas suaminya sebanyak kira-kira RM1.9 juta.
Pasti ramai yang beranggapan wanita kaya dan sangat menjaga penampilan seperti Jamie sanggup menghabiskan masa di gimnasium untuk kekal langsing… realitinya, dia tak pernah langsung pergi ke gimnasium walaupun sekali sepanjang hidupnya.
Cipta mahligai indah sendiri dengan memiliki barangan keperluan ini.
Sumber: The Asian Parent Singapore
Foto: Instagram Jamie Chua
Anak-Anak Kongsi Tarikh Lahir, Datin Niena Baharun Kekal Cantik Walau Sedang Berpantang

Ibu mana yang tidak gembira selepas melalui proses melahirkan anak. Melihat wajah comel bayi saat selepas melahirkan adalah momen terindah buat si ibu. Datin Niena Baharun mungkin juga begitu, apabila baharu melahirkan anak keduanya bulan lalu.


Paling membahagiakan buat Datin Niena apabila bayi yang baru dilahirkannya itu berkongsi tarikh lahir dengan anak sulungnya, Adiel Mikael. Si abang lahir pada 24 Oktober 2018 manakala si adik pula lahir pada 24 Oktober 2020.

Berita itu telah dikongsi sendiri Datin Niena di laman media sosialnya. “Syukur Alhamdulillah! Allah Maha Pengatur. Pada tarikh yang sama, tempat yang sama dan doktor yang sama. Our little girl is born, 24.10.2020,” tulis Datin Niena.

Pelakon yang popular melalui drama Jangan Benci Cintaku ini bersama suaminya, Dato’ Aliff Firdaus Abdul Hadim, kini telah memiliki sepasang anak. Nampaknya, tahun ini Adiel Mikael sambut hari lahir di hospital saja. Tahun depan boleh lah sambut ulang tahun kelahiran sama-sama dengan adik perempuannya.


Terusik tatkala membaca coretan wanita yang berusia 27 tahun ini mengucapkan ucapan hari jadi kepada anak sulungnya saat dirinya diusung ke bilik pembedahan untuk proses kelahiran anak keduanya. “You will always hold a special place in my heart because you are my first-born son.


I swear to love you with all my heart. Thank you for giving me the wonderful opportunity to be your mother. Happy birthday Adiel Mikael. Mommy on the way masuk bilik OT dah, doakan semoga dipermudahkan dan selamat semuaNya,” tulisan Datin Niena ditujukan kepada Adiel Mikael.

Anak sulung Datin Niena ini memang sangat comel. Dah lah tu, Adiel Mikael ni suka tersenyum, memang boleh cair tengok senyumannya. Geram tengok telatah dia! Tak sabar nak tengok puteri kesayangan Datin Niena nanti.


Menjadi selebriti sudah tentu kehidupan Datin Niena menjadi tumpuan masyarakat. Penampilan Datin Niena juga sering diperhatikan oleh peminatnya. “Dari segi fesyen, saya seorang yang sangat simple. Memandangkan saya seorang yang berhijab, saya perlu lebih berhati-hati dalam pemilihan pakaian.

Saya akan pakai baju yang selesa dan memudahkan pergerakan. Lebih-lebih lagi saya sudah mempunyai anak, jadi pakaian perlu praktikal. Namun, jika mood nak berfesyen itu sampai contohnya, seperti mahu menghadiri majlis atau event, saya akan lebih fokus untuk pakaian yang perlu dipakai,” kata Datin Niena sewaktu ditemu bual untuk ruangan Tetamu VIP Majalah Nona.
Ikhtiar Cara Moden Untuk Dapatkan Zuriat, Perkongsian Dr. Thokha Muhammad Ini Dedah KEBAIKAN IVF

Rezeki Tuhan itu luas. Jika tiada rezeki anak hari ini, mungkin ada rezeki yang lebih baik pada esok hari. Selama mana pun kita menunggu, berikhtiar dan setialah menanti zuriat daripada-Nya.
Peminat seni masih lagi teruja dengan berita kehamilan Dato’ Siti Nurhaliza. Selepas tiga kali menjalani proses IVF dan entah berapa banyak usaha yang pernah dilakukan, akhirnya Tuhan mengurniakan anugerah terindah pada ulang tahun perkahwinannya yang ke-11.
Hakikatnya ramai pasangan yang berkongsi nasib serupa dengan penyanyi No. 1 negara itu. Reda dan pasrah atas ketentuan Ilahi, tapi pada masa yang sama tetap berusaha menanti kehadiran cahaya mata.
Antara ikhtiar tradisional yang selalu dibuat ialah berurut membetulkan peranakan dan memakan buah zuriat. Namun peluang masih lagi kabur jikalau terdapat masalah perubatan lain yang belum diselesaikan.
Apakah punca masalah kesuburan ini? Nona mendapatkan penjelasan Pakar Perbidanan & Sakit Puan Hospital Pakar Regency, Dr. Thokha Muhammad berkaitan hal ini.
============================================
Dianggarkan tidak kurang dari 15% daripada jumlah penduduk dunia yang tidak subur atau mandul. Keadaan yg sama juga berlaku di Malaysia. 30% kemandulan adalah berpunca daripada suami, 30% daripada isteri, 30% daripada kombinasi suami dan isteri dan 10% adalah dari punca yang tidak diketahui.
Mujurlah rawatan kesuburan pada hari ini tidak lagi serumit dahulu. Jika sebelum ini, rawatan kesuburan banyak tertumpu kepada mencari punca kenapa seseorang itu tidak mampu hamil. Banyak masa yang dihabiskan.
Walaupun akhirnya mungkin punca diketahui, tetapi penantian yang begitu lama menyebabkan kebanyakan pasangan berputus asa dan tidak meneruskan dengan rawatan.
PUNCA KEMANDULAN
- Kualiti sperma yang rendah (oligospermia) atau tiada (azoospermia).
- Endometriosis.
- Fibroid.
- Tiub fallopian tersumbat.
- Sindrom ovari polisistik.
Secara asasnya, seorang wanita tidak hamil kerana ovum (benih wanita) dan sperma (benih lelaki) tidak dapat berjumpa.
Pada sesi pertama di klinik, beberapa perkara rutin akan dijalankan seperti mengetahui sejarah ringkas berkenaan kemandulan, ujian analisis sperma, pemeriksaan ultrasound pelvis untuk memastikan tiada unsur-unsur seperti sista ovari, fibroid atau hydrosalphine (tiub yang bengkak/tersumbat yang boleh menjejaskan kesuburan wanita) serta ujian darah untuk hormon-hormon tertentu.
SYARAT HAMIL
- Suami mempunyai sperma dan hidup.
- Wanita mempunyai ovari yang mampu menghasilkan telur/ovum.
- Wanita mempunyai rahim yang mampu membesarkan janin.
Pasangan akan diterangkan bahawa terdapat tiga kaedah rawatan kesuburan dengan kos dan kadar kejayaan yang berbeza.
Ketiga-tiga kaedah bermula daripada permulaan yang sama iaitu rangsangan ovari untuk membesar dan mematangkan telur. Setelah ia tercapai, pasangan yang dirawat boleh memilih kaedah rawatan yang diingini.
(1) Kaedah Natural (Peluang 5-10%)
Keadaan untuk mencapai kehamilan dilakukan dengan cara merangsang ovari untuk menghasilkan beberapa telur/ovum yang kemudian dimatangkan dan ditetaskan. Pasangan akan dimaklumkan untuk bersama pada waktu subur supaya seks secara semula jadi agar peluang untuk hamil lebih tinggi.
(2) Kaedah Separa Natural atau Permanian Berhadas/Intrauterine Insemination (IUI) (Peluang 10-20%)
Ovari dirangsang untuk membesar dan mematangkan beberapa biji telur. Penetasan telur akan dirancang. Sperma suami diproses dan diolah, kemudian di deposit ke dalam rahim isteri dengan harapan sperma dapat berenang ke dalam tiub fallopian untuk bertemu dengan telur/ovum.
Persenyawaan berlaku di dalam tiub fallopian. Embrio yang terbentuk akan digerakkan ke dalam rahim untuk tujuan implantasi.
(3) Kaedah Artifisial atau Bayi Tabung Uji/In vitro Fertilisation (IVF) (Peluang 50-60%)
Sperma dan ovum disenyawakan di luar dan kemudian dimasukkan semula ke dalam rahim untuk dibesarkan. Keseluruhan proses natural sebelum proses implantasi akan dilangkau (bypass). Rawatan dimulakan pada hari ke-2 haid. Suntikan hormon setiap hari di lemak perut (seperti suntikan insulin) selama 10 hari.
Telur yang matang akan disedut menggunakan jarum melalui faraj dengan bantuan ultrasound. Kaedah ini dilakukan dengan bius sepenuhnya.
Telur yang matang akan disenyawakan dengan sperma di makmal dan diinkubasi pada suhu 37 darjah Celsius. 2 hari kemudian, 2-3 embrio yang terbentuk akan dimasukkan semula ke dalam rahim. Embrio yang selebihnya akan dibekukan untuk kegunaan akan datang.
PELUANG
Hakikatnya tanpa rawatan, terdapat 15 pasangan bagi setiap 100 pasangan yang tidak akan berpeluang mendapat zuriat. Ini adalah satu jumlah yang besar.
“Kita beruntung hidup pada zaman di mana rawatan kesuburan adalah serba canggih dan mampu memberi kejayaan yang tinggi. Pada suatu ketika dahulu, rawatan IVF tidak mungkin dapat dikecap oleh kebanyakan pasangan kerana kosnya yang terlalu tinggi,” ujar Dr. Thokha.
Pada masa kini, dengan kos di antara RM15,000 ke RM20,000, kebanyakan pasangan berpeluang mendapat zuriat yang dinanti-nantikan. Secara logiknya, jika kos bukan menjadi penghalang, IVF sepatutnya menjadi pilihan utama bagi setiap pasangan.
IVF yang dilakukan oleh pasangan muda akan memberikan kejayaan yang lebih tinggi kerana embrio yang terbentuk berkualiti tinggi berbanding dengan pasangan yang lebih lanjut usia.
Embrio muda yang dibekukan boleh digunakan berulang kali dengan kejayaan yang tinggi dan dengan kos yang lebih rendah pada masa yang akan datang.
Untuk mengulangi prosedur IVF menggunakan embrio yang telah dibekukan, kos menjadi lebih murah (sekitar RM5,000). Dengan kejayaan 50-60%, setiap pasangan yang menggunakan kaedah ini kebanyakannya akan berjaya hamil.
Diharap apabila kaedah IVF suatu ketika nanti sudah menjadi pilihan utama pasangan untuk mendapat zuriat, kemandulan akan dapat dirawat sepenuhnya dan hampir setiap pasangan akan berpeluang mendapat anak. Norzalina Mohd Alias