
Daripada industri perbankan, wanita ini mencabar keupayaan diri untuk menceburi bidang pengangkutan awam. Awal penglibatan sekitar tahun 1995 banyak perkara baru yang harus diterokai namun atas kapasiti ibadah demi Allah SWT segalanya ditempuh dengan sabar. Sehingga berjaya mengecap puncak kerjaya sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Express Rail Link (ERL).
Dilahirkan pada 3 Ogos 1957, Noormah Mohd Nor yang berkelulusan perakaunan dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) dan Association of Chartered Certified Accountants, United Kingdom memulakan karier sebagai Ketua Unit Bahagian Perbankan Korporat di Bank Bumiputera Malaysia Berhad (BBMB) yang kini dikenali sebagai CIMB Bank selama 11 tahun. Daripada bidang perbankan, kerjayanya kemudian menembusi industri pengangkutan rel.
Berpegang kepada falsafah ‘Work hard, give the best, always do the right thing and never give up’, Noormah mengakui kemerosotan ekonomi pada 1998 adalah cabaran terbesar bagi dirinya. Pernah dikritik khalayak kerana tekad meneruskan pelaksanaan ERL menjadi suntikan semangat buat anak kelahiran Negeri Sembilan ini untuk berbakti kepada kesejahteraan dan pembangunan bersama.
“Untuk memastikan kelestarian jangka panjang, a very good maintenance regime amat penting. Tren kami diimport dari Jerman yang memiliki kualiti dan teknologi terkini. Kami sentiasa memastikan penyelenggaraan tren mengikut jadual dan spesifikasi terperinci.”
Menguruskan lebih 500 pekerja nyata bukan tugas mudah. Ironinya, apabila wanita menjadi tulang belakang dalam sesebuah syarikat akan timbul keraguan terhadap kemampuan diri mereka sebagai pemimpin. Tatkala diaju tentang diskriminasi gender dalam arena pekerjaan, Noormah bersyukur situasi yang diibaratkan itu tidak berlaku kepada dirinya.

“Saya rasa bertuah sebab di negara kita isu diskriminasi jantina ini kurang dan hampir tiada. Mungkin kerana peredaran masa dan masyarakat kini lebih berfikiran terbuka. Apa pun, sebagai wanita kita perlu bekerja lebih keras daripada lelaki untuk buktikan kita mampu buat lebih baik atau setanding mereka. Jujurnya saya adalah wanita yang sangat kuat bekerja dan saya juga harapkan perkara sama di kalangan pekerja saya. Jenis saya, saya akan pastikan kerja yang dilakukan diterjemahkan dengan baik oleh pekerja secara lebih teliti. Walau tegas tapi hakikatnya saya juga amat mengambil berat tentang kebajikan mereka dan kerja berkumpulan,” terangnya.
Menginjak usia 60 tahun Noormah tetap menjadikan keluarga sebagai keutamaan. Kelapangan waktu cuti hujung minggu dimanfaatkan dengan aktiviti kekeluargaan sama ada hanya beriadah di rumah mahupun di pusat beli-belah untuk menonton wayang. Dikurniakan 2 anak lelaki dan seorang perempuan yang kini mempunyai kehidupan sendiri tidak mudah bagi Noormah untuk meluangkan masa bersama-sama. “I try to spend time dengan anak-anak misalnya dengan menikmati makan malam bersama atau berjumpa pada setiap hari minggu. Kalau ada masa lebih, kami akan pergi bercuti satu keluarga. Dalam negara pun jadilah. At least 3 ke 4 hari. Melancong ke luar negara pun ada tapi dalam setahun hanya sekali dua saja. Maklumlah, anak-anak dah kerja dan ada yang dah bekeluarga.

Jika ada kesempatan saya akan pergi bercuti bersama suami. Kami berdua memang suka berjalan tengok negara orang, masyarakat dan budaya di sana. Setiap negara yang dilawati, kami akan ambil perkhidmatan tren. Bukan saja kerana tren satu budaya pengangkutan popular di sana tapi servis mereka juga cekap dan terbaik seperti di negara-negara Eropah, China dan Jepun. Dalam masa sama, saya boleh ambil guna usaha yang mereka lakukan untuk dipraktikkan di sini,” terangnya yang gemar mengunjungi negara bersejarah dan kaya dengan alam semula jadi.
Menyokong pembabitan wanita dalam apa jua industri yang diceburi, Noormah sempat menitipkan kata-kata semangat berikut. “Untuk berjaya dalam apa jua bidang, kita perlu ada visi dan misi hidup. Saya selalu tekankan work hard to earn living tapi tidaklah terlalu sibukkan diri dengan kerja. Keluarga amat penting begitu juga dengan pengurusan masa. Pada saya, semuanya perlu berbalik kepada asas dan ajaran agama. Kita perlu sedar pekerjaan ini juga adalah satu ibadah penting kerana dengan bekerja kita dapat membantu orang lain. Terapkan apa yang dipelajari daripada ajaran Islam itu sebagai landasan kepada alam pekerjaan. Harus amanah, jujur, tawakal dan lakukan tugas sebaiknya serta usah mengalah. Insha Allah, ada berkah di kemudian hari.” SUZIANAABUDAUD
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!








Tidak hairanlah pemimpin berusia 28 tahun ini seorang yang berjiwa rakyat kerana acuan didikan ibu bapanya yang sangat baik. Memperjuangkan suara anak muda serta golongan terpinggir dan tidak berkemampuan menjadi perjuangan utama bekas Menteri Belia dan Sukan ini.
Sering berkongsi kisah dan aktiviti bersama keluarga, membuktikan Syed Saddiq sentiasa mengutamakan ibu bapa dalam segala hal kerana mereka inilah yang telah banyak berkorban dalam perjuangan politiknya.
“Ibu saya seorang pesara guru, ayah pula buat banyak kerja. Tetapi ibu turut menjadi sumber kekuatan keluarga kami. Saya masih ingat semasa negara dilanda kegawatan ekonomi, ayah tiada kerja. Tetapi ibu tidak pernah mengeluh.
Ibu berusaha mencari jalan untuk memulihkan semula keluarga ke posisi yang lebih baik. Ibu seorang yang tidak mudah mengalah, tidak mudah untuk kibarkan bendera putih walau apa pun rintangan.
Kami bukanlah datang dari keluarga yang berkemampuan atau dikenali ramai. Salah satu pengorbanan ibu yang masih segar dalam ingatan saya ialah pernah satu ketika, ibu ambil bas dari Johor Bahru ke Kuala Lumpur untuk adakan temu janji dengan salah seorang pegawai Mara.
Bila dah dapat, ibu call berkali-kali tapi tak dapat-dapat. Bukan main susah lagi tapi ibu call sampai dapat. Menyangkakan ibu tinggal di Kuala Lumpur, pegawai meminta ibu datang ke pejabat Mara keesokan paginya.
Selepas itu keputusan peperiksaan abang teramat baik sampailah dapat biasiswa-biasiswa yang bagus. Tetapi itu bermula kerana cinta dan kasih seorang ibu yang tak pernah kenal erti penat lelah. Saya belajar itu daripada ibu.
NONA turut kagum dengan semangat kental ibu kepada empat anak ini kerana tabah mengharungi ujian sebagai seorang pejuang kanser payudara. Semoga beliau terus kuat mendepani hari-hari mendatang. Kecekalannya berjuang menentang kanser payudara pastinya memberi inspirasi kepada seluruh wanita.




