Biarpun industri fesyen selalu melaungkan agenda kesaksamaan dan usaha untuk mengubahnya, namun sehingga kini diskriminasi dan juga pengadilan berasaskan warna kulit masih berlaku. Inilah pengalaman yang dilalui oleh Nyadek Thot atau lebih mesra dipanggil Duckie Thot yang merupakan pemenang tempat ketiga Australia’s Next Top Model pada tahun 2013. Ketika menyertai pertandingan tersebut dia baru sahaja berumur 17 tahun.
Usai pertandingan, kerjaya peragaannya tidak meluncur laju dan kelebihan yang ada pada dirinya seolah-oleh dipandang sepi oleh industri fesyen Australia. Lebih tiga tahun bergelut untuk mencari ruang dalam dunia fesyen di tempat sendiri, akhirnya pada tahun 2016 dia berhijrah ke New York yang mana model berkulit hitam lebih diterima.
Dalam temubual bersama majalah Paper, gadis berusia 21 tahun ini berkata, “Usai pertandingan akhir Australia Next Top Model saya selalu tertanya-tanya kenapa saya tidak mendapat sebarang kerja selama hampir dua tahun di dalam dunia fesyen di sana. Akhirnya saya terfikir, berada di negara yang tidak begitu menggunakan wanita berkulit hitam adalah perkara yang sia-sia jika saya terus berada di Australia.
Berbekalkan wang AUS$400 di dalam poket dan tiket ke new york saya mempertaruhkan nasib. Syukur setibanya di New York kerja peragaan pertama yang saya peroleh adalah bersama makeup guru terkenal Path McGrath.”
Kecantikan asli yang dimiliki oleh gadis berdarah Sudan ini nyata mengangkap perhatian dunia fesyen antarabangsa. Sebaik sahaja berhijrah, dia disambar oleh banyak jenama-jenama lain untuk memperagakan busana mereka. Terbaru paling membanggakan dia dipiih untuk menghiasi video kempen kosmetik Rihanna, Fenty Beauty.