
Terinspirasi saat berbual dengan pelajar pintar yang kini sedang meneruskan pengajian Phd atau DPHIL dalam bidang Obstetrik dan Ginekologi (O&G) di universiti tersohor dunia iaitu University of Oxford, England. Dalam jiwa Dr. Hannah Nazri juga berkobar-kobar semangat untuk membantu anak Malaysia untuk belajar ke peringkat tertinggi.

Penglibatan Dr Hannah Nazri dalam bidang pendidikan perubatan dan usahanya murninya menjalankan aktiviti kemanusiaan menerusi The Kalsom Movement mendapat pengiktirafan di peringkat Global. Bekas pelajar Kolej Yayasan Saad, Melaka ini telah dicalonkan seorang daripada lima finalis untuk anugerah berprestij dunia, 2020 Women of the Future Award UK (Commonwealth).

“Saya sangat gembira kerana dicalonkan untuk anugerah ini. Anugerah ini sebenarnya untuk menghargai wanita muda yang berjaya di Britain. Terdapat juga anugerah yang sama di Asia Tenggara iaitu Woman Of The Future Award, South East Asia. Saya dicalonkan untuk anugerah di Komenwel kerana hasil kerja saya di United Kingdom dan kerja sukarelawan di Malaysia,” tutur wanita yang kini sedang menetap di St. John College, University of Oxford.

Timbul perasaan kagum saat kami berbicara tentang penglibatan Dr Hannah Nazri dalam bidang kebajikan. Wanita ini juga bijak mencari masa untuk aktiviti yang dekat dengan hatinya. “I am very passionate person. Kalau saya memang passionate about something saya akan cari masa.

Saya telah bekerja dan berkhidmat dengan The Kalsom Movement sejak bergelar pelajar perubatan lagi lebih kurang 10 tahun yang lalu. The Kalsom Movement ini adalah charity which is studend-led oleh pelajar-pelajar universiti untuk pelajar-pelajar B40. Kita nak menggalakkan mereka untuk belajar supaya mereka mendapat inspirasi hingga ke universiti,” tutur wanita yang pernah menjadi finalis 2015 Queen’s Young Leaders Award by The Queen’s Diamond Jubilee Trust.

Pesanan Dr Hannah Nazri kepada semua wanita, “Ramai yang telah mendapat ijazah kelas pertama dari universiti tersohor di seluruh dunia dan ramai juga yang mendapat pekerjaan dengan gaji lumayan but what make you different is when you help others. This is my advice to woman out there, help when you can,” akhiri Dr Hannah Nazri.

Vivy Yusof Jadi IDOLA Pemilik Chenta Watie Scarf Berjaya. Harga Tudung Mampu Milik Jadi Taruhan.

Mengusahakan perniagaan sendiri sememangnya menjadi impian Irdawati Samsudin sejak kecil lagi. Bergelar usahawan pada usia yang masih muda menjadi pemangkin untuk dirinya untuk terus berusaha agar jenama tudung keluarannya, Chenta Watie Sdn Bhd setanding dengan jenama tudung eksklusif yang terdapat di pasaran. Malah jenama Chenta Watie scarf sememangnya amat terkenal di selatan tanahair.
Malah, jenama tudung Chenta Watie sememangnya amat terkenal di selatan tanahair dan semakin mendapat tempat di kalangan peminat fesyen bertudung muslimah di seluruh Malaysia.
Irdawati Samsudin yakin setiap jenama mempunyai kelebihan dan keistimewaan tersendiri dalam memeriahkan lagi jenama tempatan di dalam industri fesyen muslimah ini. Malah keyakinan yang ada dalam dirinya menjadi azimat yang dipegang untuk memajukan lagi perniagaan yang diusahakan sejak beberapa tahun yang lalu.
Ketika ditanya mengenai keistimewaan yang dimiliki di bawah jenama Chenta Watie Sdn Bhd, Irdawati atau lebih mesra disapa Watie berkata kepakaran yang dimiliki oleh syarikat kepunyaannya menjadi salah satu strategi untuk mengekalkan jenama Chenta Watie Scarf di pasaran fesyen muslimah.
“Kepakaran syarikat saya adalah menghasilkan pelbagai jenis rekaan tudung dengan pelbagai corak dan warna dengan menggunakan teknologi sublimation printing bagi menepati keperluan wanita-wanita yang ingin kelihatan anggun dan menawan. Ia merupakan antara kelebihan yang dimiliki di bawah jenama Chenta Watie Scarf,” ujar Watie ketika ditemui semasa sesi fotografi baru-baru ini.
“Saya menjadikan kisah kejayaan pengasas Fashion Valet dan Duck Group, Vivy Yusof sebagai inspirasi untuk maju ke hadapan. Lihat sahaja kisah kejayaannya dalam usia yang masih muda, berkerjaya dan berkeluarga tidak menghalang dirinya untuk berjaya. Ia menjadi inspirasi saya untuk mengikut jejak langkahnya berjaya dalam perniagaan. Vivy Yusof membuktikan bahawa wanita boleh berjaya dalam perniagaan sekaligus tidak mengabaikan keluarga. Apa yang penting, ilmu pengetahuan tentang selok-belok perniagaan perlu ada untuk memajukan diri dalam bidang perniagaan,” ujar Watie yang anggun bergaya hasil solekan oleh Vee Muhammad.
“Saya sentiasa menjadikan syarikat dan orang-orang berjaya sebagai contoh dan inspirasi untuk berjaya. Saya cuba pastikan saya sentiasa bersikap dan berfikir secara positif. Sentiasa belajar dan terus belajar untuk memastikan syarikat saya akan terus berkembang. Kerana saya percaya ilmu adalah senjata utama untuk memastikan kita tidak tersasar dan tenggelam.”
Selain menjadikan pengasas Duck Group itu sebagai sumber inspirasi, Watie turut berpegang teguh dengan motto hidupnya iaitu jangan beri alasan jika hendak berjaya sebagai motivasi untuk dirinya kekal positif dalam mengharungi cabaran dan kesukaran membina empayar perniagaan.
“Motto hidup yang menjadi pegangan saya adalah jangan beri alasan jika ingin berjaya. Ini kerana orang yang berjaya biasanya orang yang buat sesuatu tanpa memberi alasan. Jadi, ia menjadi azimat untuk saya maju ke hadapan,” ujar Watie yang tidak pernah mengabaikan tanggungjawab terhadap keluarga walaupun sibuk mengejar kecemerlangan di dalam kerjaya dan perniagaan.
Jelas ibu kepada lima cahayamata ini, keluarga tetap menjadi keutamaan buat dirinya dan mereka menjadi pendorong untuk dirinya berjaya di dalam perniagaan.
“ Walaupun saya sibuk dengan urusan perniagaan, ia bukan alasan untuk saya meletakkan keluarga di tempat kedua. Bagi saya, suami dan anak-anak adalah pendorong diri saya untuk berjaya. Sebagai ibu, saya akan memantau kerja sekolah anak-anak setiap malam. Setiap hujung minggu pula saya akan membawa anak-anak makan di luar, menonton wayang atau membawa mereka membeli barang-barang keperluan. Setiap kali tibanya musim cuti persekolahan, saya akan meluangkan masa bersama keluarga dan bercuti bersama-sama,” ujar Watie ternyata bijak mengimbangi antara kesibukan menguruskan perniagaan dan masa berkualiti bersama keluarga.
Dalam menjalani perniagaan, sudah tentu pelbagai liku perlu ditempuhi untuk menempatkan jenamanya di kedudukan kini dan mengembangkan lagi perniagaan. Watie turut tidak terlepas dari berhadapan dengan pengalaman pahit yang sedikit sebanyak mematangkan dirinya dalam dunia perniagaan.
“Antara pengalaman pahit yang pernah saya lalui adalah apabila terdapat pekerja yang melakukan pecah amanah dan menyebabkan kerugian pada syarikat. Walaupun diuji dengan kejadian tersebut, tetapi Allah memberikan kemanisan dalam dugaan tersebut. Antara kenangan yang menjadi motivasi dan dorongan untuk saya melangkah jauh dalam bidang perniagaan apabila saya terpilih menjadi Usahawan Wanita Negeri Johor, Ikon Usahawan Daerah Kluang dan terpilih menjadi Johor Brand, Penerima anugerah Rural Businesses Challenge 2017. Saya berharap pengiktirafan ini menjadi pemangkin untuk saya kekal positif untuk melangkah lebih jauh dalam bidang perniagaan,” ujar Watie lagi.
Terpilih merangkul beberapa anugerah peringkat negeri Johor memberi dorongan dan semangat buat Watie untuk terus memajukan jenama Chenta Watie Scarf ke peringkat yang lebih tinggi. Malah wanita muda ini sentiasa berusaha keras bagi memastikan perniagaan yang diusahakan maju dari semasa ke semasa. Cabaran dalam dunia perniagaan banyak mematangkan dirinya dalam berhadapan dugaan dan rintangan untuk memajukan perniagaan. Namun begitu, berkat kesabaran dan keihkhlasan untuk menjadikan perniagaan sebagai sumber rezeki buat keluarga menjadi pendorong buat Watie terus melangkah jauh.
Ternyata daya ketahanan mental dan fizikal serta aura positif perlu wujud dalam usahamerealisasikan kekuatan buat wanita.
“Selain itu, wanita juga perlu bijak dalam mengurus masa. Pada saya wanita boleh dikategorikan sebagai superwoman jika dia dapat membahagikan masa yang baik antara kerjaya, rumahtangga dan keluarga. Menjadi wanita bekerjaya bukan semudah yang disangka.Tapi jika kita tahu bagaimana cara untuk kita melaksanakan tanggungjawab kita antara majikan, isteri, ibu, anak sudah pasti kita layak digelar superwoman,” ujar Watie seraya mengakhiri perbualan.
Pengusaha Hotel Bersama Suami, Kakak Ratu Rock Ella Ini Tampil Jelita & Awet Muda!

Tak dinafikan kakak kepada Ratu Rock Ella ini awet muda orangnya. Meskipun usia mencecah lewat 50an namun pesona Jojie Aminuddin tetap memikat. Memiliki wajah seiras pelantun lagu Sembilu itu, Jojie atau nama sebenarnya Rozita juga merupakan pengurus kepada Ella.
Wanita jelita ini mendirikan rumah tangga bersama Syahrizal Ismail pada 5 Jun 2015. Walau jarak usia 14 tahun namun Jojie dan suami kekal bahagia sebagai suami isteri. Apatah lagi sejak kehadiran permata hati kesayangan iaitu Maryam kira-kira tujuh tahun lalu.
Menerusi posting media sosial Jojie, jelas kelihatan anak kecil tersebut menjadi penyeri rumah tangga dia dan suami tercinta. Malah, Maryam juga seorang anak yang bijak dan comel.
Tidak hanya tertumpu menguruskan karier adik, Jojie juga pemilik sebuah hotel di selatan tanah air. Lebih istimewa, hotel tersebut yang diberi nama Syajie Koptown Hotel diusahakan bersama suami.




Hujung Mac lalu, dia terbuka berkongsi mengenai perusahaan berkenaan di media sosial. “Alhamdulillah syukur ke hadrat Allah SWT dengan limpah rahmat dan kurniaNya, Jojie dan suami bakal melebarkan sayap perniagaan kami dengan pelancaran Syajie Koptown Hotel di Segamat, Johor Darul Takzim.
Lama sudah kami bertungkus-lumus untuk jadikan projek ini satu kenyataan dan alhamdulillah mimpi kini jadi realiti.
Ini adalah kali pertama Jojie kongsikan tentang Syajie Koptown Hotel dan jika ada yang bakal ke Segamat terutama cuti Hari Raya nanti, wajib untuk tinggal di sini ya.
Hotel ini punyai 74 bilik dan 4 function rooms serta sesuai untuk mesyuarat atau private events seperti weddings dan yang seangkatan dengannya.
Hotel ini juga bakal menyediakan gymnasium dan kids playroom kepada tetamu yang hadir.
Akhir kata, Jojie, Syah dan Maryam pohon akan doa dari kalian agar dipermudah segala urusan kami di dunia dan akhirat. Doa yang sama juga kami doakan kepada kalian seisi keluarga. InsyaAllah kita berjumpa di Syajie Koptown Hotel tidak lama lagi.”




Selain hotel, pasangan ini juga dikhabarkan mempunyai bisnes makanan iaitu Syajie Café.
Semoga perniagaan yang diusahakan kakak kepada Ratu Rock Ella ini dan suami berkembang maju serta sukses kelak!
“Pantang Menyerah Selagi ALLAH SWT Bagi Nafas!” Baca Nasihat Padu Daripada JUTAWAN Bawal Exclusive, HALIZA MAYSURI

Tak sombong, tak lokek ilmu dan pengalaman. Itulah ungkapan tepat yang dapat diberikan kepada jutawan tersohor, Haliza Maysuri yang merupakan pemilik dan pengasas Bawal Exclusive Sdn Bhd ini.
Selama 21 tahun Bawal Exclusive kukuh di pasaran, bukan satu tempoh yang singkat. Pelbagai rintangan diharungi Haliza dan suami, Mohd Rosli Awang demi meletakkan label ekslusifnya itu di tahap gah bukan hanya di Malaysia bahkan luar negara.
Pengalaman berniaga di pasar malam serta pernah memiliki gerai kecil di sekitar Jalan Tunku Abdul Rahman, Kuala Lumpur telah membina jati diri usahawan Bumiputera berusia 42 tahun ini. Berkat kesungguhan, Bawal Exclusive kini menjadi pemborong terbesar kristal Swarovski di dunia. Hebatnya!
KESAN BISNES TERHADAP COVID-19
Tak dinafikan sejak penularan wabak COVID-19 telah memberi kesan terhadap ekonomi dunia. Kebanyakan peniaga meluahkan rasa bimbang dan cemas apabila keadaan ini menjejaskan sumber pendapatan mereka.
Namun sebagai usahawan yang sudah banyak melalui pelbagai cabaran getir terutama ketika mula-mula berniaga, Haliza sentiasa tenang dan positif sepanjang berdepan dengan pandemik ini. Haliza turut berkongsi pesanan ‘padu’ di Instagram peribadinya khas buat para peniaga di Malaysia. Cukup menusuk ke jiwa!
“Peniaga sekarang cepat sangat putus asa. Syarikat Bawal Exclusive sekarang ada 32 Premium dan Reseller di seluruh negeri. Selama mereka berniaga Bawal Exclusive tidak pernah merasa rugi dan sakit seperti sekarang ini. Setiap tahun pasti ada peningkatan jualan. 10 antara mereka yang saya lahirkan sudah bergelar jutawan, saban tahun hasil jualan mencapai jutaan ringgit.
Apabila terjadinya wabak COVID-19, ada antara mereka yang putus asa. Ada yang hubungi saya menangis sebab sedih dan cemas. Saya yang dipanggil Mak dalam perniagaan ini, aktifkan IG ini untuk memberi contoh kepada mereka dan usahawan lain di luar sana. Buka mata lihat apa yang saya buat, jadikan contoh, sedut aura positif, kerja kuat pantang menyerah selagi Allah bagi nafas.
Nak mengadu dalam keadaan sekarang ni jangan tulis di media sosial. Bangun malam meratap minta pertolongan dan ketenangan pada Allah. Fokus dengan kerja kita, jangan asyik stres kira berapa hari lagi PKP ni. Cari hikmahnya.
Saya yang dah berpuluh tahun dalam bidang ini sudah lalui pahit getir ujian, sepak terajang dunia perniagaan. Sebab itu jika masa tengah senang kena menyimpan. Kena ada tabung jika berlaku kecemasan.
Semasa musibah cari peluang, contohnya ketika berlakunya COVID-19 kerajaan masih benarkan syarikat penghantaran beroperasi. Sehari sebelum PKP saya dah bungkus semua masuk dalam kotak stok jualan untuk dibawa balik ke rumah. Boleh berniaga dari rumah. Cepat bertindak!

Saya tak pernah kira berapa hari lagi akan berkurung dalam rumah. Saya kira sale dan buat sale. Saya minta Allah bantu saya untuk gerakkan hati orang-orang kaya di Malaysia untuk membeli jualan saya agar saya lepas membayar gaji pekerja-pekerja pada masa yang tepat.
Sebenarnya perniagaan yang besar, besar juga tanggungannya. Memang nampak gah, ada banyak property, ada ramai staf. Setiap hari ratusan, kadang jutaan ringgit duit masuk. Itu normal apabila kita boleh berniaga seperti biasa. Tapi dalam keadaan sekarang ini, duit semua ‘terduduk’ pada barang jika kita tak ada buat jualan. Bagaimana nak bayar hutang property dan gaji pekerja?
Sepanjang PKP, saya mulakan jualan di story. Lepaslah gaji untuk 100 lebih kakitangan saya yang mencecah RM200K sebulan. Memang itu yang saya minta dengan Allah apabila bangun malam. Niat nak membantu Allah akan bantu.
Selagi saya ada kudrat, selagi itu saya akan kerja kuat. Bagi majikan yang bertanya kepada saya bagaimana nak berhentikan pekerja sebab tak mampu nak bayar gaji, ini jawapan saya.


Dalam keadaan begini kita boleh lihat dalam ramai-ramai pekerja mana yang betul-betul sayangkan perkerjaannya dan yang ikhlas berkerja demi membantu menaikkan syarikat. Pekerja begini kita perlu jaga sehabis baik. Jika perlu, harta yang kita simpan pun boleh gadai kerana harta yang kita kumpul selama ini pun hasil titik peluh pekerja kita juga.
Namun jika ada yang sebaliknya dengan keadaan pula makin genting, bolehlah beri dia peluang cari kerja di tempat lain. Saya harap dapatlah memberi sedikit suntikan semangat kepada mereka di luar sana melalui coretan-coretan yang saya post di Instagram. Ambil yang positif, praktis dalam kehidupan.”
KEKAL TENANG
Satu lagi perkongsian menarik di Instagram peribadi Haliza pada minggu lalu iaitu tentang penampilannya ke pasar borong Selangor yang telah menarik perhatian ramai.
Ada yang melontarkan kata-kata kurang enak didengar, ada yang mentertawakan, ada yang kata over. Paling menjengkelkan ada yang kata Haliza berlagak seperti artis Hollywood musim corona walhal hanya ke pasar borong sahaja. Namun Haliza tetap tenang dan tak ambil pusing dengan kata-kata yang langsung tidak memberi kesan terhadap kehidupannya.
Apa yang penting Haliza lebih terkesan dengan pengorbanan para petugas barisan hadapan yang terpaksa menyarungkan pakaian khas dalam tempoh yang lama demi melindungi masyarakat daripada wabak COVID-19.
“Allahuakbar panasnya pakaian begini. Macam mana dengan doktor dan nurse.. Ya Allah tolonglah mereka semua ya Allah. Berilah semangat dan kekuatan dalam jiwa mereka dalam jihad ini. Sembuhkan semua pesakit. Jagakanlah keluarga petugas dan keluarga pesakit. Selamatkan kami semua seluruh dunia ini.”
Kredit Foto: Instagram Haliza Maysuri & Bawal Exclusive