Dua-Dua Kaki ‘Longlai’ Terhentak Kuat Ke Lantai, Penonton Panik Tengok Atlet GIMNAS Ini Meraung Sakit!

1165

Dalam rakaman video yang tular di Internet, jelas kelihatan kedua-dua lutut Samantha Cerio ‘teralih’ selepas gerakan gimnastik berirama di atas lantai yang dilakukannya tidak berjaya disempurnakan dengan baik. Akibat daripada kesilapan itu, atlet senior gimnas dari Universiti Auburn tersebut terpaksa menarik diri daripada menyertai mana-mana pertandingan. Lebih malang, dia turut terpaksa melupakan hasrat untuk bergelar gimnas dan bersara dari bidang berkenaan disebabkan kecederaan yang dialami.

Dalam kejadian yang berlaku pada Jumaat malam itu, Samantha yang sedang melakukan handspring double front kecundang membuat pendaratan kemas sekaligus menyebabkan kakinya terhentak kuat di lantai. Berlaku dalam sekelip mata, Samantha yang ketika itu jatuh terduduk lantas meraung menahan sakit tanpa mampu bergerak.

Situasi tersebut bukan saja membuatkan rakan sepasukannya terkejut malah turut mengundang panik dalam kalangan penonton yang ada di dalam stadium.

Menurut kenyataan Ketua Jurulatih Gimnastik Auburn, Jeff Graba… “Samantha Cerio menderita sakit akibat kedua-dua lututnya terkehel selain beberapa ligamen koyak di bahagian lutut pada Jumaat malam di Baton Rouge. Sam juga telah menjalani pembedahan.

Kami amat berterima kasih kepada pasukan perubatan yang cepat bertindak memberikan rawatan kepada Sam. Dia adalah seorang pejuang dan mempunyai semangat yang luar biasa. Kami takkan mampu mencari ketua gimnas yang lebih baik daripadanya untuk pasukan ini,” ujarnya.

Sementara itu, Sam di laman Instagramnya pula memberitahu dia cukup bertuah kerana penglibatannya sebagai ahli gimnas Auburn Universiti mendapat sokongan kuat dan diterima baik. “Jumaat malam lalu merupakan malam terakhir saya sebagai ahli gimnas. Selepas 18 tahun berada dalam bidang gimnastik… tiba masanya untuk saya tinggalkan sukan ini.

Saya sangat bangga bergelar atlet gimnas kerana sepanjang menyertainya saya belajar banyak perkara antaranya menjadi seorang yang gigih berusaha, berdedikasi, berintegriti. Walaupun ini bukanlah pengakhiran seperti yang saya harapkan, tapi saya harus terima. Terima kasih ‘keluarga’ Auburn kerana sudi memberi peluang dan tempat untuk saya.”

Terkenal dengan bakat semula jadinya dalam sukan gimnastik dan disifatkan seorang pemimpin yang baik, atlet berusia 22 tahun ini mendapat standing ovation pada malam kejadian daripada penonton di stadium saat dia dibawa keluar dari gelanggang sebelum dihantar ke hospital untuk rawatan lanjut.

 

Sumber : Daily Mail UK

 

Jangan Lupa Komen