Ketahuilah sesungguhnya doa ibu tiada hijab di sisi Allah. Maka jaga-jagalah perkataan kita ketika marah…

Ini merupakan sebuah kisah duka akibat kata-kata seorang ibu ketika marah. Meskipun diungkapkan tanpa niat, namun akhirnya si anak ditimpa malapetaka.

IKLAN

=======================

Suatu hari, saya sedang membersihkan rumah. Tiba-tiba anak lelaki saya yang masih kecil datang, bermain-main dan menjatuhkan sebuah pasu kristal yang sangat mahal. Pasu kesayangan itu pecah berderai.

Saya benar-benar marah ketika itu. Bukan kerana harganya yang mahal, tapi pasu kristal itu mempunyai nilai sentimental yang amat tinggi pada saya.

Kerana perasaan yang meluap-luap marah, saya tengking dan lontarkan kata-kata, “Semoga kau ditimpa dinding bangunan dan tulang-tulangmu hancur!”

Beberapa tahun berlalu. Saya terlupa akan kata-kata itu kerana tidak menganggapnya penting dan tidak tahu bahawa doa ibu telah naik ke langit.

Anak lelaki saya semakin membesar. Rasanya, dialah yang paling saya sayang berbanding adik-beradiknya yang lain. Dia yang paling berjaya dan dialah yang paling banyak berbakti untuk keluarga selepas mendapat pekerjaan yang baik.

Suatu hari, ayahnya mengajak ke sebuah gudang usang yang akan diubah suai. Maka pergilah anak saya bersama ayahnya ke sana. Pada saat itu, para pekerja sudah bersiap-sedia untuk merobohkan dinding gudang tersebut.

Ketika semua orang sibuk bekerja, anak saya pergi agak jauh daripada ayahnya. Para pekerja pula tidak menyangka dia di situ, lalu terus merobohkan blok yang paling besar dan ia jatuh menimpa tubuhnya.

Anak saya berteriak meminta tolong hingga suaranya tak terdengar lagi. Semua pekerja berhenti, mereka berlari-lari mengangkat batu dinding yang berat dan menimbus anak saya…

Jenazah anak saya.

Kata mereka, tubuh anak saya remuk 100%. Seperti kaca kristal yang jatuh dan pecah berderai di atas lantai. Dengan sejuta kepayahan, mereka mengangkat anak saya ke ambulans.

IKLAN

Sewaktu suami saya menelefon untuk menyampaikan khabar kemalangan itu, bayangan peristiwa lalu sewaktu anak saya masih kecil tiba-tiba bermain di fikiran.

Apa yang pernah saya katakan menjadi doa! Saya menangis hingga jatuh pengsan dan sedar-sedar saja sudah terlantar di atas katil hospital. Saya meraung mahu melihat anak kesayangan saya.

Di depan mata, jantung saya sekali lagi seperti terlepas dari tangkainya. Tak sanggup saya melihat keadaan jenazah yang hancur teruk. Saya melihatnya, dan seakan-akan mendengar Dia berkata, “Ini doamu, kan? Doa seorang ibu itu mustajab, dan sekarang Aku akan mengambilnya…”

Detak jantung saya berhenti. Anak saya pun menghembuskan nafas terakhirnya.

Seperti orang hilang akal, saya menjerit-jerit memanggil nama anak!

IKLAN

Andainya dia hidup lagi, tak mengapa jika dia hancurkan semua perabot pun…

Asalkan saya tidak kehilangan dia…

Andainya lidah ini boleh dipotong, saya pasti tak mungkin mendoakannya begitu!

Andaikan… Andaikan… Andaikan… Tetapi andaikan sudah tidak lagi berguna.

Buat para ibu, janganlah terburu-buru mendoakan anak kita ketika sedang marah. Mohon perlindungan Allah SWT daripada godaan syaitan. Jika mahu memukulnya, pukul saja tapi jangan mendoakan macam-macam sampai menyesal seperti saya.

Saya menulis kisah ini dengan air mata yang lebat di pipi. Andainya ibu dapat bersamamu, ibu pasti dapat berehat dari kekesalan lalu.

Semoga ibu ibu lain dapat mengambil iktibarnya. Ingatlah doa ibu mustajab untuk anaknya, tak kira yang baik atau buruk. Jangan pernah berkata yang buruk-buruk untuk mereka. Norzalina Mohd Alias

Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI