
Semangat dan usaha gigihnya dalam menggapai bintang di langit wajar dijadikan contoh. Perniagaan air mangga yang hanya bermula di pasar malam membawa tuah buat empunya nama Siti Aisyah Kamaruddin, 27 atau lebih mesra disapa Aisyah. Manakan tidak, kini wanita kelahiran ibu kota Kuala Lumpur ini mampu membina empayar perniagaan Ayaq World Sdn. Bhd. dengan titik peluhnya sendiri yang amat membanggakan.
“Saya mula fokus berniaga jus mangga di pasar malam pada tahun 2011 di Sentul dan HKL. Daripada pemerhatian saya, kebanyakan jus mangga yang dijual di kedai tidak menepati citarasa. Rasa kecewa tersebut mencetuskan ilham buat saya untuk menghasilkan dan menjual jus mangga yang lebih pekat, segar dan tanpa bahan pengawet. Ia bersesuaian dengan tagline produk kami iaitu iaitu ‘Pekat, Likat, Melekat,” bicara Aisyah memulakan bicara.
Pada tahun 2016, air minuman berasaskan mangga seperti mango shake dan mango float mendapat sambutan yang cukup hangat. Fenomena ini sedikit sebanyak memberi kesan kepada perniagaan yang saya usahakan. Dari situ tercetusnya idea untuk menukar strategi dengan membotolkan jus mangga tersebut.
Semuanya bermula apabila seorang rakan menghubungi saya untuk memesan jus mangga. Apa yang saya lakukan ketika itu, saya beli air mineral kemudian buang air mineral tersebut. Saya gantikan dengan jus mangga saya. Kiranya itulah pertama kali saya ‘membotolkan’ jus mangga saya. Sejak detik itu, jus saya mula dijual di tepi-tepi jalan, berdekatan bank, tepi kedai makan dan lain-lain lagi. Kemudian perniagaan ini semakin berkembang dan mula diagihkan kepada agen dan stokis,” ungkap Aisyah memulakan bicara.
Kesusahan yang dilalui Aisyah membawa siapa dirinya pada hari ini. Tidak hairanlah empayar perniagaan yang diusahakan wanita berkulit sawo matang ini semakin berkembang tahun demi tahun.
“Saya sangat menjaga orang-orang di sekeliling saya iaitu pekerja saya dan itulah rahsia kejayaan saya. Saya sangat menjaga kebajikan mereka termasuk rumah, makan dan sebagainya. Sehingga kini, saya mempunyai staf seramai 12 orang. Selain itu, saya juga menjaga dan pegang stokis serta agen saya dengan membeli jiwa mereka.
Tambah Aisyah lagi, untuk memulakan bisnes, perasaan takut harus dibuang daripada dalam diri. Bergelar seorang wanita bukanlah penghalang untuk mengecapi sebuah kejayaan.
“Ramai orang diluar sana takut untuk menjadi usahawan terutama mereka yang bergelar wanita. kerana merasakan diri itu terlalu muda. Apa yang boleh saya katakan ialah try and adjust! not try and error! Kita tidak tahu jika kita tidak mencuba. Selain itu, untuk memulakan sesuatu bisnes, kita perlu memberikan sepenuhnya fokus. Komited itu sangat penting dalam perniagaan.
Alhamdulillah, kejayaan saya selama ini di dorong oleh keluarga , adik beradik dan suami. Tanpa mereka, tidak mungkin saya berada di tahap sekarang ini. Pekerja saya juga merupakan kekuatan saya. Tambahan pula, anything happen to this business, mungkin mereka pun tidak mempunyai pekerjaan. Jadi yang benar-benar membuatkan saya kuat bertahan ialah team saya,” ujar Aisyah penuh semangat.
Berjaya Dalam Bisnes Bila Ada Keseimbangan Dunia dan Akhirat. Jenama SNOWHITEE Lahirkan Ramai Jutawan


Meskipun Syiema mengetahui bahawa dunia perniagaan diselimuti dengan pancaroba yang bukan calang-calang, beliau tidak gentar malah bersedia demi mengukuhkan empayar perniagaannya.
Sentiasa berfikiran positif dalam mengharungi cabaran, itu prinsip yang diamalkan Syiema bagi memberi lebih pilihan kepada pelanggan sedia ada dan bakal pelanggannya.
Untuk rekod, SNOWHIITEE menghasilkan rangkaian produk kesihatan merangkumi suplemen makanan tambahan dalaman untuk penjagaan kulit. Antara produk yang dihasilkan oleh SNOWHITEE termasuklah Snowfitz, tablet Snowhitee, serbuk Vitamin C dan losyen.
Menceburkan diri dalam dunia perniagaan merupakan sesuatu yang diluar jangkaan buat Syiema yang sebelum ini pernah berkhidmat sebagai jurujual di sebuah kedai peralatan komputer. Namun begitu, dek kerana ingin mencabar diri dan ingin keluar dari belenggu kehidupan yang serba kekurangan, wanita ini nekad untuk berhenti kerja dan memberi tumpuan sepenuhnya kepada bidang perniagaan berasaskan konsep dropship yang mula-mula diceburinya itu.
“Saya memulakan perniagaan pada tahun 2013 di mana saya menjadi dropship produk terlebih dahulu. Saya mula beralih arah apabila berhadapan tekanan ekonomi dengan sumber pendapatan yang terhad. Apabila sudah mempunyai anak dan gaji tidak mencukupi, saya mula memikirkan sesuatu untuk memajukan diri. Akhirnya, pada tahun 2014, saya betul-betul nekad untuk fokus dalam dunia perniagaan,” ujar Syiema yang memasang tekad yang utuh untuk bergelar usahawan.
“Bergelar seorang usahawan jenama sendiri memerlukan saya menguruskan pelbagai perkara dan pada masa sama memiliki anak yang masih kecil bukan mudah seperti disangka. Waktu tidur dan makan yang tidak teratur sudah menjadi rencah kehidupannya.
“Bohong jika saya katakan semuanya indah, bidang perniagaan juga ada pasang surutnya. Untung dan rugi sentiasa bersilih ganti. Ia menuntut banyak pengorbanan terutama dari segi masa.
Bangkit dari kegagalan. Melihat dari mana ia bermula. Saya pernah melalui fasa hidup serba kekurangan. Saya melihat ramai wanita di luar sana yang kehilangan suami, sumber pendapatan yang terhad, mempunyai bilangan anak yang ramai. Ketika melihat situasi ini, saya nekad untuk terus bangkit dan bertekad untuk melipatgandakan usaha berjaya dalam perniagaan yang saya usahakan.
Menyentuh soal cabaran yang perlu dihadapi sepanjang enam tahun bergelar usahawan, Syiema berkata antara cabaran yang menguji emosi dirinya apabila keputusan untuk memulakan perniagaan tidak mendapat sokongan dari keluarga.
“Cabaran juga adalah sebahagian dari asam garam yang perlu saya hadapi dalam mengharungi perniagaan ini. Antara cabaran yang pernah saya lalui termasuklah tidak mendapat sokongan dari keluarga. Cabaran lain juga termasuklah ketiadaan sumber kewangan utnuk dijadikan modal memulakan perniagaan dan anak-anak yang masih kecil dan memerlukan perhatian sepenuhnya.
“Ketika baharu memulakan perniagaan, saya tidak mempunyai pengangkutan untuk membuat penghantaran kepada para pelanggan. Selain itu, akaun bank juga tiada dan ketika itu sangat struggle untuk memulakannya. Namun begitu, ia menjadi azam untuk saya memajukan diri apabila perniagaan mula mendapat perhatian dari para pengguna dan saya menjadikan keseimbangan antara urusan dunia dan akhirat sebagai paksi untuk menjalankan perniagaan ini.”
“Sebagai seorang wanita, saya memandang wanita sebagai individu yang kuat bukan untuk ditindas. Walaupun wanita nampak lemah tetapi hakikatnya tidak. Sokongan paling utama adalah pada diri sendiri. Jika anda mempunyai cita-cita dan impian, ambil insiatif untuk memulakannya. Jika gagal, usah takut untuk menghadapinya kerana gagal sekali bukan bermakna gagal untuk selamanya. Pandang ke hadapan. Apabila anda berjaya, orang akan gembira dengan kejayaan tersebut,” ujar penerima NONA Top Rising Enterprenuer Award 2020 ini.
Kini, SNOWHITEE boleh berbangga kerana berjaya melahirkan tiga jutawan manakala angkat tersebut dijangka meningkat kepada 10 orang tahun ini. Lebih membanggakan, SNOWHITEE kini dikuasai 90 peratus oleh golongan wanita dan suri rumah yang menjalankan perniagaan dari rumah tetapi boleh menjana pendapatan mencecah ratusan ribu ringgit sehingga membolehkan mereka menukar status menjadi jutawan.
Norashima turut mengakui, fokusnya kini lebih kepada usaha melahirkan lebih ramai usahawan dan berkongsi rezeki dengan orang lain terutama wanita berpendapatan rendah dan ibu tunggal.
“Sewaktu COVID-19, empayar SNOWHITEE semakin berkembang maju dan berjaya di luar jangkaan. Saya juga terkejut dengan situasi tersebut. Walaupun pada ketika itu, ramai yang berhadapan dengan situasi kemeselatan dari segi pendapatan tetapi SNOWHITEE berjaya melipatgandakan jualan sehingga 10 kali ganda.
Saya melihat ketika itu ramai individu yang kehilangan sumber pendapatan dan pekerjaan mengambil inisiatif menjadi peniaga di atas talian. Sebenarnya COVID19 adalah saat di mana perniagaan secara dalam talian mencanak naik dan ramai yang mula berniaga secara dalam talian. Sepanjang COVID19, jumlah jualan meningkat secara mendadak . Selepas PKP, jualan semakin naik dan ia memberi satu kelebihan buat jenama SNOWHITEE mengukuhkan lagi jenamanya.” ujar Syiema yang mempunyai pelbagai rancangan untuk tahun depan terutama untuk memajukan perniagaan.
Wanita bersemangat waja ini juga amat berpegang pada prinsip ingin terus maju ke hadapan dan tidak mahu menoleh ke belakang ini berkata setiap kesilapan yang pernah dilalui sepanjang menjalankan perniagaan dijadikan sebagai pengajaran yang berguna untuk dirinya memperbaiki kelemahan diri.Tidak hairanlah mengapa empayar perniagaan SNOWHITEE semakin dikenali dan berkembang pesat dari sehari ke sehari.
“Kami ‘All Out’ Demi Menguatkan Bisnes Online, Saya Sendiri Rajin Buat Tutorial Untuk Promosi” – Dato’ Sri Siti Nurhaliza

Gemuruh suara penonton di Dewan Plenary KLCC bergema, bahkan sebelum Dato’ Sri Siti Nurhaliza naik ke atas panggung. Malam terakhir Konsert Music of The Soul ini seakan mengubat rindu para peminat untuk menyaksikan persembahan penyanyi No. 1 Malaysia itu, sekaligus menjayakan misi Yayasan Nurjiwa selaku penganjur untuk mengutip dana bagi meneruskan kerja-kerja amal mereka.
Di sebalik konsert yang menghiburkan, Dato’ Sri Siti Nurhaliza menjalankan peranan kecilnya buat masyarakat. Siapa tahu kalau sebenarnya beliau sebagai penaung Yayasan Nurjiwa sedang mengajak peminat sama-sama berbuat kebaikan, mengumpul sumbangan melalui jualan tiket dan ‘memanjangkan’ pahala itu untuk pelbagai misi bantuan kemanusiaan?
Iya, inilah salah satu kehebatan anak Kuala Lipis yang bukan saja ligat berniaga, malah menjadi duta kepada jenama antarabangsa seperti Cuckoo, Farm Fresh, Universiti Binary, Vivo serta banyak lagi. Jenama ‘Siti Nurhaliza’ cukup diyakini, lantaran peribadi sang empunya badan yang bukan sekadar menyenangkan, tapi disayangi hampir seluruh rakyat di negara ini.
Lebih 26 tahun menghiasi dunia seni hiburan tanah air, namun kedudukan Dato’ Sri Siti Nurhaliza sebagai penyanyi kesayangan ramai dilihat tidak pernah goyah, meskipun muka-muka baru dalam industri silih berganti.
Tidak hanya popular di atas pentas, wanita hebat ini turut melakar nama sebagai usahawan berjaya dan duta pelbagai jenama terkemuka.
Genap berusia 43 tahun pada 11 Januari lalu, Dato’ Sri Siti Nurhaliza pernah mencipta sejarah apabila namanya tersenarai dalam kelompok 100 artis paling banyak memenangi anugerah sepanjang zaman.
Antara anugerah yang pernah diraih adalah 42 anugerah di Anugerah Industri Muzik, 25 anugerah di Anugerah Bintang Popular, 28 anugerah di Anugerah Planet Muzik, 20 anugerah di Anugerah Juara Lagu, empat di Anugerah MTV Asia, tiga di World Music Awards dan dua di Anugerah Muzik Indonesia. Selain itu, beliau juga turut memegang dua rekod dalam Malaysia Book of Records.
Sentiasa mengikut arus perubahan semasa, Queen of Pop Malaysia dan Voice of Asia ini sentiasa bersedia menerima perubahan agar terus relevan dalam industri yang kian mencabar.
Tambah ibu kepada Siti Aafiyah Khalid, 3, dan Muhammad Afwa Khalid, 1, itu lagi, setiap pekerjaan menuntut proses dan tiada jalan singkat untuk maju kecuali melalui semua proses dengan bersungguh-sungguh.
“Saya sangat bersyukur kerana Allah SWT sudah aturkan perjalanan hidup yang terbaik dari segi sebagai seorang penyanyi, usahawan dan juga isteri serta ibu.
Tanggungjawab sebagai penyanyi sebenarnya sangat besar. Saya bermula dengan menyanyi. Bidang ini sebenarnya banyak memberi pengaruh positif kepada kehidupan saya yang lain.
Bagi meneruskan momentum agar terus diingati dan relevan dalam industri, sekarang ini bukan masa untuk saya bersaing dengan orang lain termasuk BBNU.
Saya mahu terus kekal dengan rangkaian lagu serta produk yang bagus. Saya juga perlu selalu tampil dengan sesuatu yang baru.
Apabila seorang artis itu sentiasa hadir dengan koleksi single terbaru itu yang akan membuatkan orang akan selalu ingat dengan kita. Janganlah kita terlalu lama sangat ‘duduk diam’ kerana orang akan bertanya adakah kita masih menyanyi atau tidak?
Maka, tiket untuk terus diingati ialah sentiasa tampil dengan produk baru tidak kiralah dalam bidang nyanyian atau perniagaan.
Saya sendiri selalu mengeluarkan single sekurang-kurangnya satu dalam setahun, ataupun dua tahun sekali.
Saya akan memastikan lagu-lagu yang ingin diperdengarkan berkualiti termasuk persembahan yang bagus agar ia menjadi ‘buah tangan’ yang sentiasa segar dalam ingatan peminat.” Dato’ Sri Siti Nurhaliza
PERNIAGAAN
Diam tak diam, sudah 16 tahun penyanyi kesayangan Malaysia ini bergelar isteri dan bahagia dikurniakan dua orang cahaya mata sebagai penyeri rumah tangga.
Sepanjang tempoh tersebut, kewibawaan Dato’ Seri Khalid Mohamad Jiwa telah menjadikan Dato’ Sri Siti Nurhaliza lebih disegani daripada seorang penyanyi iaitu pemilik empayar perniagaan yang hebat. Beliau kini merupakan Presiden CTDK Holdings.
Menjadikan mentor usahawan, Datuk Wira Dr Azizan Osman sebagai pembimbing mereka dalam melebarkan lagi empayar bisnes ke peringkat antarabangsa, rentak selebriti itu dilihat semakin ligat.
Selepas pandemik reda, program Bangkit Bisnes Bersama CTDK Holdings kian rancak diusahakan termasuk menggelar keluarga kecil mereka sebagai Sitizen.

“Tidak dinafikan usahawan kecil atau besar terjejas dengan pandemik COVID-19. Saya juga tidak terkecuali. Oleh kerana suami seorang yang cepat bertindak terutama hal-hal berkaitan perniagaan beliau akan lebih serius.
Beliau akan segera mencari penyelesaian. Katanya, kita tidak boleh mudah mengalah. Kena teruskan dan cari solusi terbaik.
Kami all out dengan menguatkan platform online dan website. Sebagai pengasas saya yang turut ambil tanggungjawab contohnya membuat makeup tutorial menggunakan produk serta cara menggunakan produk yang betul.
Saya juga sentiasa update laman sosial tentang perniagaan, produk-produk yang dijual dan promosi. Cara ini amat berkesan.”
Baca artikel perjuangan bisnes penerima Nona Celebrity Business Award, Dato’ Sri Siti Nurhaliza ini dalam naskhah edisi khas Nona Superwoman 2022 di pasaran Januari 2023.
Penulis: Norzalina Mohd Alias
Foto: Siti Nurhaliza Productions
Pernah Tinggal RM1 Dalam Simpanan, Ibu Tunggal Ini Bangkit Gali Ilmu Urut & Mulakan Perniagaan Spa

Ujian kehidupan akan membuahkan kekuatan yang luar biasa, buat mereka yang kuat dan sabar melaluinya. Umi Sarah Binti Kamaruddin, 37 tahun, merupakan pemilik Ummi Tradisional & Spa. Pengalaman hampir 10 tahun dalam bidang urutan dan didikan ibu dalam perbidanan, beliau kini mampu tersenyum dan bersyukur dengan rezeki yang diperoleh setelah melalui pelbagai kesukaran hidup.
Setiap kali ibu tunggal ini melihat wajah empat orang anaknya, setiap kali itulah beliau menarik segala kekuatan dan semangat untuk terus berusaha mencari rezeki terbaik untuk keluarga. Umi Sarah juga memasang niat untuk membantu wanita kembali cantik, sihat luar dan dalam seperti sediakala, terutama ibu berpantang. Beliau juga akan memastikan pelanggannya supaya tidak stres, stabil dari segi emosi sewaktu berpantang sendiri, selain memastikan ibu berkerjaya dan surirumah menjaga kesihatan diri sebaiknya.
Umi Sarah mula bercerita perjalanan kisah hidupnya sehingga ke saat ini. “Saya dibesarkan dalam dunia perniagaan semenjak kecil lagi. Ibu seorang peniaga nasi lemak, kuih-muih di hadapan rumah dan mengambil tempahan dari sekolah-sekolah. Saya dididik oleh arwah mak untuk belajar serba sedikit dunia perniagaan, belajar untuk membuat pengiraan setiap jualan yang dijual dari kos belian, kos jualan dan keuntungan yang diperoleh. Jelas semangat niaga telah lama subur dalam jiwa saya.
Namun saya tidak meneruskan aktiviti niaga setelah berkhidmat sebagai penjawat awam, selama 7 tahun selepas memperoleh sijil SPM. Selepas berkahwin dan melahirkan anak sulung, saya kembali berniaga secara sambilan. Saya bermula dengan menjual t-shirt Muslimah secara online. Ketika itu Facebook masih baru, lalu saya aktif buat jualan di mudah.my dan ke pejabat-pejabat kerajaan.
Sayangnya, tidak lama selepas itu jualan pakaian semakin kurang dapat perhatian. Saya mula buat bisnes lain dengan menjual nasi lemak ayam berpandan, mi kari di hadapan rumah. Alhamdulillah, perniagaan agak laris dengan dibantu oleh bekas suami. Dalam rancak berniaga saya hamil kali kedua, saya berhenti niaga jual makanan kerana alah dengan bau ayam,” jelas Umi Sarah.
HIDUP BERUBAH
Wanita ini cekal dan jiwa niaga terus mengalir laju dalam jasadnya. “Selepas kelahiran anak kedua, saya sudah mula berurut dan mula berminat dengan teknik urutan. Saya mula mengurut dengan orang terdekat sahaja tetapi tidak lagi serius betul-betul sebab keberanian belum cukup untuk menjadikan perkhimatan ini sebagai satu perniagaan.
Saya masih cuba berniaga dengan menjual pakaian bayi. Jualan sangat laris saya mula menjual dari FB Page, FB group bayi, mudah.my dan pejabat kerajaan. Nama Aleesa Collection mula dikenali. Meskipun tanpa ilmu perniagaan formal, saya buat mengikut kehendak diri dengan menyewa sebuah kedai kerana ramai pelanggan ingin datang secara walk-in untuk memilih produk.
Premis ketika itu di Mydin Manjoi, Ipoh dengan kadar sewa yang agak tinggi iaitu RM2,000 sebulan. Saya tetap cuba berniaga dengan harapan jualan dapat menampung kos yang ada. Sewaktu itu saya masih lagi bekerja dan jadikan perniagaan bayi ini sebagai kerja sambilan. Kedai pun dijaga oleh staff. Dari perniagaan ini, saya mula mengenali Datuk Wira Dr. Azizan Osman dan cuba memasuki kursus yang dianjurkan. Sepertinya mendapat sinar baru setelah hadir seminar Dr Azizan. Saya kenal diri, saya kenal apa itu nikmat kehidupan bukan sahaja ilmu perniagaan.
Namun perniagaan saya sekali lagi jatuh kerana kegagalan saya menguruskan staf sehingga berlaku kerugian besar. Saya agak down, bukan senang untuk kembali bangun semula. Bayangkan saya juga telah mengambil cuti tanpa gaji ketika itu. Wang pula cuma tinggal RM1 dalam simpanan!” Ketika itu, suasana seperti gelap seketika buat Umi Sarah.
Namun, usahanya tidak berhenti di situ. “Saya fikir apa lagi perniagaan yang perlu saya buat. Saya selalu urut bekas suami saya dan dia kata badan betul-betul rasa ringan, lalu saya mula terfikir untuk belajar urut supaya lebih yakin untuk lakukan perkhimatan ini sebagai satu perniagaan. Selepas belajar ilmu mengurut, saya cuba mulakan perkhidmatan mengurut dengan harga serendah RM40 urutan tradisional rumah ke rumah di kawasan Ipoh. Alhamdulillah, khidmat urut saya mula mendapat perhatian pelanggan, melalui mulut ke mulut.
Saya mula bertekad untuk berhenti kerja untuk menumpukan perhatian sepernuhnya kepada perniagaan urutan ini. Saya terus bersemangat mencari ilmu dan mula hadir pelbagai kursus urutan, spa dan penjagaan pantang buat ibu mengandung anjuran Jabatan Pembangunan Wanita Perak dan pelbagai anjuran pihak swasta. Saya simpan sedikit demi sedkit untuk beli perkakas dan bahan spa.
Tapi panas tidak sampai ke petang. Saya jatuh sekali lagi, bekas suami ditipu oleh syarikat pelaburan dan bermula lagi fasa kesusahan kami sekeluarga. Saya dan keluarga berhijrah ke Klang untuk cuba mencari rezeki di negeri orang, walaupun saya tahu tidak semudah itu orang nak kenal servis urutan saya. Malah bagi mereka, umur saya ketika itu terlalu muda, bisakah urut! Saya hanya diam dan terus melakukan kerja saya mengurut sehingga selesai,” jelas Umi Sarah tenang.
“Saya mula marketing secara offline mengedar flyer rumah ke rumah dan edar ke setiap kereta bersama anak sulung saya. Saya anggap ini semua satu ujian, saya tidak salahkan sesiapa. Dugaan hidup saya ditambah dengan kegagalan rumah tangga, saya anggap jodoh saya setakat itu sahaja. Saya terima takdir ini dengan tenang dan tabah.
Saya down, sangat tertekan dan murung sehingga doktor menyatakan saya mengalami major derpression disorder. Tapi Allah itu Maha Penyayang, saya lulus mendapat premis di Arked MARA, Klang. Saya cuba sekali lagi meneruskan operasi spa, walapun agak kecil tapi saya gembira dapat meneruskan perniagaan spa dan pihak MARA membenarkan saya menyewa di bilik seminar MARA untuk terus mengadakan bengkel-bengkel urutan dan penjagaan pantang.
Setahun berlalu, saya membuat keputusan untuk kembali pulang ke kampung halaman saya di Ipoh, Perak. Alhamdulillah, kini saya masih meneruskan perniagaan spa, penjagaan pantang di lokasi Ipoh dan juga masih mendapat tawaran sebagai tenaga pengajar sambilan di sebuah akademi. Walaupun spa tidak dibenarkan beroperasi termasuk penjagaan pantang juga tidak dibenarkan dalam keadaan pandemik ini.
Saya bisa jadi wanita lebih kuat sekarang dengan pengalaman yang saya lalui selama ini. Perit dari manis saya banyak belajar untuk terus berusaha tanpa mengalah! Saya yakin rezeki Allah itu luas, cuma kita jangan jauhi diri dari Allah. Saya mula dapat idea menjual jus jamu asam kunyit, set pantang, set makanan pantang secara delivery dan juga mengadakan kelas ilmu berpantang secara online untuk meneruskan pencarian rezeki saya,” ujar Umi Sarah yang berharap suatu hari nanti dapat memiliki akademi sendiri dan berharap ilmu perbidanan tradisional Melayu lama ini dikenali di seluruh dunia.
“Saya pernah diuji kehilangan semuanya. Tanpa sokongan sesiapa ketika itu yang hanya kekuatan saya dari anak-anak saya. Melihat wajah mereka saya mendapat sinar setiap hari. Saya pernah diuji dengan sakit kemurungan, namun saya tetap bangun untuk teruskan kelangsungan hidup. Saya yakin rezeki Allah itu ada, kita kena selalu memohon padanya dan bersabar, pasti ada jawapan. Setiap dugaan perit itu Allah gantikan yang manis. Percayalah.”