Inilah pengulas sukan yang suara emasnya sering kedengaran sepanjang Sukan Olimpik Tokyo 2020. Walau sekadar mendengar komentarnya ke udara tanpa melihat wajah tatkala memberi ulasan tentang acara yang dipertandingkan di temasya sukan terbesar dunia itu namun aura Sharon Wee cukup ‘melekat’ dalam kalangan peminat sukan tanah air.
Kalau tak tengok muka dan mendengar suara saja pasti ramai yang menyangka personaliti ini berbangsa Melayu. Kefasihan Sharon bertutur dalam bahasa kebangsaan membuatkan ramai yang kagum ditambah pula dengan ulasannya yang padat, bernas, natural dan terang. Ternyata wanita ini komited dengan tugas dan buat ‘homework’ sebelum mengulas. Good job!
Sepanjang berlangsungnya Olimpik Tokyo, Sharon mengulas beberapa acara penting antaranya Achery Recurve (Men’ Individual), Badminton Women’s Singles, Badminton Mixed Doubles, Badminton Men’s Double, Diving Women 3m Springboard dan Artistic Gymnastics.
Ads
Menelusuri latar belakang Sharon, pemilik nama Sharon Wee Ee Lin ini berasal dari Melaka yang dilahirkan pada 5 Oktober 1977. Dia yang kini meniti usia 44 tahun sebenarnya bekas ratu skuasy negara. Sharon dilaporkan mewakili negara selama 20 tahun sejak berumur 13 tahun lagi dan memutuskan untuk bersara selepas Kejohanan Berpasukan Skuasy Wanita Dunia 2010 di New Zealand.
Sejak bergelar atlet, Sharon pernah bergandingan dengan Datuk Nicol David, Low Wee Wern dan Delia Arnold. Dia juga pernah bawa pulang pingat emas di Sukan Asia dan Kejohanan Skuasy Asia. Malah memenangi tempat ketiga sebanyak dua kali berturut-turut dalam Kejohanan Berpasukan Wanita Dunia pada 2008 dan 2010.
Ads
Sepanjang pembabitannya dalam arena sukan, Sharon mewakili negara di 4 edisi Sukan Komanwel, 3 edisi Sukan Asia dan 5 edisi Sukan SEA. Paling membanggakan, dia juga merupakan pemain nombor satu skuasy wanita negara dan mendapat gelaran ke-18 di dunia!
Masih berhubung rapat dengan bekas rakan sepasukan, Datuk Nicol DavidKetika memenangi pingat bersama Datuk Nicol David pada 2010Ketika beraksi di gelanggang
Ads
Tidak mahu mempersia-siakan bakat dalam bidang sukan, Sharon kini aktif sebagai personaliti TV, pengulas sukan, usahawan dan bergelar pengasas akademi Sharon Wee Squash Pro. Moga kerja keras dan sumbangan Sharon kepada negara menjadi suntikan semangat buat para wanita untuk terus berjaya.
Kredit foto: Instagram Sharon Wee
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Sekalung tahniah diucapkan kepada Setiausaha Luar Britain, Liz Truss yang dipilih menjadi Perdana Menteri baharu United Kingdom (UK), umum Jawatankuasa Parti Konservatif 1922 pada Isnin. Wanita berumur 46 ini memperoleh 81,326 undi manakala pencabarnya Rishi Sunak sekadar mendapat 60,399 undi menurut pengerusi jawatankuasa itu, Sir Graham Brady.
(Foto oleh ADRIAN DENNIS/AFP via Getty Images)
Beliau akan menggantikan Boris Johnson sekali gus menjadi perdana menteri wanita ketiga UK selepas Margaret Thatcher dan Theresa May dalam tempoh 40 tahun, lapor Agensi Anadolu. Perdana Menteri Boris Johnson dipaksa untuk meletakkan jawatan kerana berhadapan banyak skandal semasa pandemik COVID-19. Lantas, Parti Konservatif kemudiannya terpaksa memilih pemimpin baharu. Jom kenali dengan lebih rapat siapakah gerangan wanita ini.
Graduan Oxford. Truss merupakan graduan Universiti Oxford Truss yang mengambil jurusan Falsafah, Politik dan Ekonomi.
Mary Elizabeth Truss dilahirkan di Oxford pada tahun 1975, dan dia dibesarkan di bahagian England yang secara tradisinya tidak mengundi Konservatif, sering berpindah randah antara Scotland dan utara England. Truss adalah anak kepada seorang profesor matematik dan ibunya pula seorang jururawat.
Truss terkenal dengan pandangan libertarian tentang ekonomi dan perdagangan. Truss mengasaskan Kumpulan Ahli Parlimen Konservatif Free Enterprise, kumpulan pasaran bebas ahli parlimen yang memperjuangkan ekonomi yang lebih keusahawanan dan lebih sedikit undang-undang pekerjaan.
Truss telah berkhidmat sebagai Setiausaha Luar sejak 2021 dan memegang jawatan Menteri untuk Wanita dan Persamaan sejak 2019. Pada tahun 2000, Truss berkahwin dengan akauntan Hugh O’Leary. Pasangan itu mempunyai dua anak perempuan.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Setiap orang ada kisah tersendiri, pahit atau manis hanya tuan badan yang merasai. Begitulah yang diluahkan pelakon dan usahawan popular, Rozita Che Wan yang pernah hidup susah, tinggal di kawasan flat serta dibesarkan ibu tunggal selepas kehilangan bapanya semuda usia 15 tahun sebelum mengecapi kemewahan seperti hari ini.
Mesra disapa sebagai Che Ta, wanita berusia 51 tahun itu juga mengakui bukan dilahirkan sebagai anak orang berada.
“Saya dilahirkan bukan daripada anak orang senang. Ketika arwah bapa meninggal dunia, saya baru berusia 15 tahun dan emak pula seorang suri rumah serta tidak pernah bekerja seumur hidupnya. Emak juga terpaksa buat pelbagai kerja termasuk bekerja di kantin sekolah dan arwah atuk yang menjaga kami adik beradik.
Dari situ, saya sudah tengok kesusahan emak bekerja keras untuk membesarkan kami tetapi emak tidak pernah minta bantuan orang lain pun,” katanya.
Instagram: @rozitachewan93
Namun tambah Che Ta, kehidupan mereka sekeluarga mula berubah apabila beliau bekerja sebagai pramugari dengan gaji mencecah RM5,000 sebulan.
“Ketika bekerja sebagai pramugari, saya juga berkahwin dengan juruterbang pada usia 20 tahun tetapi kami bercerai pada usia 30 tahun.
Selepas bercerai, saya tiada pekerjaan serta turun naik mahkamah ketika itu. Mujur, saya ada duit simpanan dan bila sudah menang kes baru saya dapat duit untuk bayar peguam,” katanya jujur.
Instagram @rozitachewan1
Instagram @rozitachewan1
Selepas episod gelap itu barulah Che Ta kembali dalam bidang modelling dan menceburi dunia lakonan demi mencari rezeki. Tambah Che Ta lagi, dia percaya lelaki akan lebih menghormati jika wanita ada pendapatan mereka sendiri.
“Saya juga berlakon pada usia yang agak lewat tapi tidak terlalu lewat untuk kita mulakan sesuatu kerana yang penting ada kemahuan.
Tapi sampai bila saya nak berlakon? Sebab itu saya buat pelbagai bisnes. Kalau anda suri rumah pun masih boleh buat bisnes dan menjana pendapatan,” katanya.
Instagram: @rozitachewan93
Che Ta berkongsi perkara itu pada sesi talkshow Kemandirian Wanita bersama Ketua Pegawai Eksekutif, Kumpulan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso), Datuk Seri Dr Mohammed Azman Aziz Mohammed, baru-baru ini.
Acara itu menyaksikan Ketua Penjenamaan dan Editorial Perkeso, Datuk Tengku Khalidah Tengku Bidin selaku moderator dalam program yang berlangsung di pusat beli-belah, My Town Kuala Lumpur.
Terdahulu, majlis pelancaran kempen Fiesta Perkeso Membawa Senyuman disempurnakan Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad. Hadir sama, Pengerusi Lembaga Perkeso, Datuk Seri Subahan Kamal.
35 tahun lalu, Datin Saidatulnisa Aminuddin atau mesra dengan sapaan Kak Sai hanya menjadi jurusolek amatur yang suka menyolek teman seperjuangan. Namun kini, Kak Sai diletakkan sebaris jurusolek kelas A dan sering mendapat tempahan bukan sahaja dari golongan orang biasa dan selebriti malah kerabat diraja. Layangan jemarinya bagaikan sentuhan magis yang mengindahkan wajah polos mereka.
Begitu lembut bertutur dan serius saat menjalankan tugas menyolek individu, Kak Sai meletakkan displin sebagai teras untuk terus mencipta kejayaan. Setiap pelanggan diberi sentuhan berbeza dan mengikut citarasa mereka di samping idea yang hadir dari Kak Sai sendiri. Mengenali Kak Sai, tentunya memberi inspirasi kepada bakal jurusolek yang ingin menceburi bidang solekan.
Permulaan kerjaya anda dan berapa tahun berada dalam dunia solekan?
Sejak zaman remaja lagi saya sudah mula belajar teknik solekan. Ketika itu rakan-rakan yang aktif dalam tarian kebudayaan adalah ‘mangsa’ saya. Dari situ, apa yang saya lakukan menjadi buah mulut rakan-rakan yang suka hasil kerjatangan saya. Selepas itu saya mula berjinak-jinak membuat solekan untuk pengantin dan aktif juga menyolek untuk iklan-iklan. Ketika itu saya baru berusia 20 tahun, kira-kira 35 tahun lalu.
Bagaimana minat bermula sebagai jurusolek?
Saya suka mencantikkan orang dan melihat mereka cantik pada pandangan mata saya. Bermula dari solekan pada adik-beradik, minat itu semakin menebal. Kebetulan Ella pula sedang bergiat aktif dalam bidang nyanyian di sekolah jadi selalu jugalah saya makeup Ella.
Bagaimana penerimaan keluarga apabila anda memilih untuk menjadi jurusolek?
Tiada masalah kerana nenda saya dulu juga adalah seorang pendandan, tukang jahit dan menggubah hantaran untuk perkahwinan kerabat diraja. Barangkali kedua ibu bapa saya juga sudah biasa dengan situasi ini dan mereka menerima dengan hati terbuka apa yang ingin saya lakukan. Sebenarnya saya sendiri tidak menyangka akan mengikut jejak langkah nenek.
Apakah cabaran pernah anda hadapi ketika menyolek bakal pengantin?
Salah satu cabarannya adalah apabila pengantin dan ibu pengantin mempunyai cita rasa berbeza. Ketika itulah peranan seorang jurusolek menjadi ‘orang tengah’ yang tidak berat sebelah. Semua ini kita belajar dari pengalaman menguruskan fiil orang.
Nama anda begitu dikenali dan sering menjadi pilihan bakal pengantin. Bagaimana anda mampu terus kekal menjadi jurusolek pilihan bakal pengantin?
Saya selalu berpegang teguh pada punctuality dan consistency. Bagi saya, itu salah satu perkara penting dalam hidup saya. Ketegasan disiplin itu sangat penting dan mungkin kerana itu saya masih dikenali dan menjadi pilihan sehingga kini.
Siapakah idola anda dalam kehidupan?
Jika dalam bidang solekan, idola saya adalah Pat McGarth. Sama seperti saya, dia memulakan kerjayanya tanpa sebarang latihan formal. Dia lebih dikenali dengan hasil kerja menarik dan kreativiti yang tidak ada pada orang lain.
Bukan sahaja terkenal dengan hasil solekan yang indah malah Pat McGarth juga berjaya mengeluarkan produk kecantikannya tersendiri. Melihat kepada kejayaannya, saya sendiri menyimpan hasrat untuk mempunyai jenama sendiri dan ia menjadi impian yang belum kesampaian. InsyaAllah jika diizinkan, dalam waktu terdekat ini nanti.
Bagaimana anda mengekalkan kedudukan anda sebagai jurusolek kini?
Jaga displin diri kerana ia menjadi asas kejayaan sesiapa sahaja, bukan hanya untuk seorang jurusolek. Pendekatan yang saya gunakan dalam setiap solekan adalah kesegaran dalam look yang dipilih. Pastikan juga penggunaan produk terkini dan tidak hanya terhad kepada satu jenama.
Paling penting, kebersihan perlu dijaga kerana apa yang saya lakukan melibatkan bahagian paling penting pada tubuh seseorang dan menjadi titik tumpuan orang ramai.
Sebagai jurusolek professional, sentiasa belajar teknik terkini dan tahu jenis-jenis solekan semasa supaya tidak ketinggalan zaman.
Pada pendapat anda, apakah kelebihan anda dalam solekan?
Saya sentiasa menyolek mengikut cara saya sendiri, tidak terikut-ikut trend terkini secara keterlaluan kerana bagi saya, trend terkini yang melampau akan pudar satu hari nanti. Saya lebih gemar menitikberatkan kecantikan semula jadi mereka kerana saya mahu mereka melihat semula gambar perkahwinan dengan hati yang berbunga-bunga. Solekan evergreen sentiasa menjadi keutamaan kerana ia semula jadi dan segar. Saya percaya solekkan natural, berseri dan segar adalah yang terbaik.
Bagaimana anda melihat kemunculan jurusolek ‘instant’ kini dan adakah anda melihat itu sebagai satu cabaran atau persaingan?
Jika untuk saya, tiada lagi istilah cabaran atau saingan. Kak Sai telah melalui pelbagai pahit manis bergelar jurusolek. Kak Sai telah merasa gilang gemilangnya perjalanan kerjaya saya sehingga kini. Perasaan untuk bersaing itu sudah tidak ada. Cukup sekadar mengekalkan apa yang kita miliki kini. Jujurnya, kerjaya saya ini lebih banyak manis dari pahit dan saya sangat bersyukur dengan kedudukan saya sekarang.
Saya bangga kerana ramai yang menunjukkan minat dalam bidang solekan, kerana jika dulu sangat sukar mencari jurusolek terutama jurusolek perempuan dalam industri. Kata orang, lagi ramai, lebih meriah! Cuma untuk menjadi yang terbaik, kerja mereka itu biarlah berkualiti.
Nasihat anda kepada bakal jurusolek yang ingin menceburi bidang ini? Be consistent, cari stail dan gaya tersendiri. Hasil kerja biar bersesuaian dengan keadaan, majlis, masa dan tempat. Jangan syok sendiri pula!
Kredit foto: Instagram Datin Saidatulnisa
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Terus bangkit memperkasakan masyarakat, kerjasama strategik yang termeterai di antara RichWorks dan Astro mampu mewujudkan peluang serta bimbingan terbaik untuk jadi wanita sukses.