Sebut sahaja air berkarbonat pasti kita semua tidak kira sama ada dewasa mahupun kanak-kanak akan teruja dan tidak sabar untuk membasahkan tekak dengannya. Walaupun sudah acap kali dilaungkan pada umum akan kandungan yang terdapat di dalamnya bakal membawa kesan negatif, namun masih ada yang memandang enteng mengenai isu ini.
IKLAN
Sememangnya mulut mengandungi bakteria semula jadi dan bakteria ini akan memakan gula serta membentuk asid yang boleh membahayakan gigi. Jadi, pengambilan minuman berkarbonat yang mengandungi kandungan gula yang agak tinggi akan menyumbang kepada obesiti sekali gus mendedahkan pengguna kepada kerosakan gigi yang serius.
Untuk rekod, minuman berkarbonat juga mengandungi asid fosforik, asid sitrik atau asid karbonik yang boleh menghakis enamel gigi. Walaupun kalsium dalam air liur berfungsi untuk menguatkan kembali permukaan gigi selepas terdedah kepada sejumlah kecil asid yang menghakis, tetapi dengan peningkatan minuman berkarbonat, hakisan pada permukaan gigi tetap akan berlaku.
IKLAN
Antara penyakit lain yang memudaratkan hasil pengambilan air berkarbonat ialah penyakit gastroesopaheal reflux atau lebih dikenali sebagai pedih ulu hati. Kebiasaannya ia akan menyerang pada waktu malam. Jangan tidak tahu, ginjal anda juga mungkin akan mengalami kerosakan seterusnya mengurangkan kekuatan tulang, menyebabkan sakit pada rongga hidung dan sinus serta kerosakan gigi seperti karies gigi dan erosi pada permukaan gigi.
IKLAN
Kerosakan gigi akibat daripada minuman berkarbonat akan bertambah teruk jika ia tidak dirawat dengan segera. Kanak-kanak dengan masalah karies teruk biasanya mempunyai berat badan yang kurang dari ideal, dan selepas rawatan gigi reput terdapat pertambahan berat badan lebih cepat dan peningkatan dalam kualiti hidup mereka lebih ketara. Ini mungkin disebabkan oleh pengurangan pengambilan makanan kerana sakit dan menjejaskan kuantiti dan kepelbagaian makanan yang dimakan .Karies gigi juga menyebabkan keradangan kronik pada pulpa gigi dan menyebabkan abses. Ini diketahui akan menyekat pertumbuhan melalui laluan metabolik dan mengurangkan hemoglobin.
Tip Amalan Penjagaan Gigi Yang Boleh Diamalkan:
Gosok Gigi sekurang-kurangnya dua kali sehari.(Masa terbaik untuk memberus gigi adalah selepas makan. Pilih berus gigi yang mempunyai kepala kecil untuk akses yang lebih baik untuk gigi belakang)
Gunakan ubat gigi berfluorida. (Fluorida membantu menguatkan enamel gigi dan mengurangkan risiko kerosakan)
Flos gigi setiap hari.(Gunakan gerakan menggergaji dengan perlahan dan lembut sehingga flos masuk ke celah gigi.
Hadkan minuman berasid seperti minuman ringan, kordial dan jus buah-buahan.
Elakkan daripada menggunakan gigi anda untuk apa-apa selain daripada mengunyah makanan. Jika anda menggunakan mereka untuk memecahkan kacang, keluarkan penutup botol atau merobek pembungkusan terbuka, anda berisiko untuk memecahkan gigi anda.ROSMAHIDAYUABUSAMAH
Memang kreatif sangat rakyat Malaysia ini. Kalau Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dulu ramai yang tertarik buat pelbagai resipi masakan baharu, pelaksanaan PKP 2.0 yang bermula semalam juga nampak masyarakat kembali ‘ligat’ merencana macam-macam aktiviti. Tidak ketinggalan, penyanyi lagenda bersuara lunak, Aishah!
Mengintai laman media sosialnya, Aishah teruja berkongsi aktiviti hari pertama PKP dengan menghasilkan sabun mandian buatannya sendiri di rumah. Memang rajin dan kreatif! Mana tahu lepas ini ada pihak yang hendak membeli pula, dapat juga jana pendapatan dalam keadaan ekonomi tidak stabil ketika ini.
Ujar pelantun lagu popular Camar Yang Pulang tersebut, “Since dah banyak masa di rumah, teringat pula nak buat sabun. Dah lama tak buat my handmade soap. Jemaah di rumah ni dah manja mandi pakai handmade soap. Since stockmum yang hari tu punya banyak dah susut mcm rak supermarket selepas panic buying,ok kita bawa keluar materials untuk buat. Hahaha kena ikut request ler taste boboy semua. Dipilihnya Agarwood (gaharu) dan bau-bau lelaki.
Aishah di samping anak Hasil handmade soap
Nampaknya mum kena buat 1 batch jer yang floral-floral gitu. Alahai dapat buat 2 kg saja soap hari ini. Agarwood / tea tree oil and lavender / peppermint. Sangat basic tapi bau semerbak satu rumah. Terpaksa keluar esok beli minyak,ada pulak yang dah habis. Also ada pulak yang menghabiskan ais dalam fridge. Dah tak cukup bahan dibuatnya. Takpe, hari ni nak buat coffee / peppermint soap and a nice detox blend soap.”
Memang macam itulah perangai mak-mak yang sibuk menyiapkan keperluan untuk seisi keluarga. Lebih menarik, selain berbakat buat sabun mandi buatan sendiri, Aishah juga sangat kreatif menghasilkan aneka kraftangan. Terbaharu, dia juga membuat tempahan hiasan tiffin yang cukup eksklusif! Malah, dapat permintaan tinggi daripada peminat. Siapa sangka daripada sekadar hobi, kini Aishah dapat menambah pendapatan dengan hasil kreativiti tersebut. Untung!
“Hiburkan hati mengulit barang kraf. Lama sungguh rasanya tak pegang barang-barang decoupage. Bersabar dan banyakkan berdoa semoga cepatlah Covid berlalu. Kalau tak penuh ler rumah dengan macam-macam hasil kraf I. Sedangkan sekarang pun dah cukup penuh dah.
Sehari dua ni meja penuh dengan tepen (tiffin). Walaupun ada barang lain yang I nak experiment menggunakan teknik yang sama. Alhamdulillah sambutan kepada tepen mix match I ni sangat memberangsangkan. Dapatlah mengisi kebosanan mengharungi PKPB kali ini. Tepen yang 2 tingkat ni mulanya biasa saja siap ada bag matching.Sekali,cik abg tegur, kenapa handle nampak besi saja, macam tak cantik bila dilihat dari atas.
Jadi hari ni I godek-godeklah dan cover handle tepen tu.Nak buat tang handle saja dari mula seal hingga finishing, ambil masa dalam 40 minit. Maybe I ni tembel kot, tapi itulah dia dengan barang-barang handmade ni, kena ada tahap kesabaran dan ketelitian yang tinggi. Namanya pun seni kan, membawa maksud berhalus-halusan. Kena ada passion nak buat kerja macam ni,” kongsinya.
Tak cukup dengan sabun mandi buatan sendiri dan tiffin, Aishah atau nama penuhnya Wan Aishah Wan Ariffin ini juga mencuba bakat menjahit face mask dan face mask extender sendiri. Bukan hanya berbakat dalam bidang nyanyian malah jari-jemari Aishah juga mahir menyediakan bermacam-macam barang.
Rambang mata tengok hasil kraf Aishah. Nona percaya ramai juga wanita di luar sana ambil peluang PKP kali ini untuk tambah pendapatan keluarga. Moga perkongsian Aishah ini dapat membuka jalan dan memberi inspirasi kepada semua.
“Nanti anak saya nangis kalau tak bagi gajet,” cerita Pakar Oftalmologi, Dr. Azlindarita Aisyah Mohd Abdullah, tentang alasan mak ayah pesakit yang datang ke kliniknya. Dalam beberapa perkongsian beliau tentang kesan gajet terhadap mata kanak-kanak, isu juling antara yang paling merisaukan, seperti ceritanya ini.
Hari ni hari juling di klinik saya. Beberapa orang pesakit anak-anak datang sebab mata juling, sebab sehari main gajet sampai berjam-jam. Bila ditanya, Mak tuding jari ke Ayah, Ayah tuding jari ke Mak. Saya pun nasihatkan dengan baik.
1) Anak-anak bawah 7 tahun kalau main gajet LEBIH 2 JAM SEMINGGU boleh tingkat risiko rabun jauh.
2) Apabila mata kabur akibat rabun, ada potensi jadi mata malas, dan jadi juling. Nanti apabila juling, mungkin diejek di sekolah dan anak-anak boleh jadi rasa rendah diri.
3) Hadkan penggunaan gajet kepada 2 JAM SEMINGGU untuk anak-anak kurang 7 tahun.
4) Tiada gajet untuk anak-anak DI BAWAH 2 TAHUN.
5) Ajak mereka bermain di bawah cahaya matahari untuk galakkan penghasilan dopamin dalam bola mata dan elakkan masalah rabun jauh.
6) Kalau nak tengok TV, pastikan jarak menonton adalah 2 METER ATAU LEBIH.
Sekali, Ayah pesakit tanya saya, “Oh, kalau nak hisap rokok 3 meter, anak nak tengok TV, 2 meter.” Saya terus tepuk dahi dan sound, “Hisap rokok kena berhenti terus!”
Satu lagi kisah, ada seorang model kanak-kanak jumpa saya di klinik. Ya, seorang kanak-kanak yang bekerja sebagai model pakaian, pernah masuk majalah dan sebagainya.
Memang comel sungguhlah. Matanya bulat, rambutnya sedikit perang. Baru berusia 6 tahun sudah cantik. Mak dia risau matanya juling sedikit, adakala matanya juling keluar terutama apabila dia sedang mengantuk atau sedang berangan. Tetapi kebanyakan masa matanya lurus. Cuma apabila diambil gambar, tidak cantiklah apabila kadang-kadang juling!
Apabila saya tanya tentang gajet, ibunya kata, disebabkan dia ada pendapatan sendiri, dan dia sangat good girl, selalu bekerjasama dengan cameraman, production team, rajin baca buku dan sebagainya, ibunya reward model cilik ini dengan gajet dua jam SEHARI. Tapi apabila saya periksa refraksi atau ‘power’ mata, tiada rabun.
Ini adalah akibat terlalu banyak menggunakan mata untuk memandang pada jarak dekat, matanya letih dan otot mata tidak dapat lagi menyatukan dua mata. Dia mendapat convergence insufficiency. Saya nasihatkan kepada ibunya:
1) Kurangkan gajet kepada 2 JAM SEMINGGU.
2) Jika sukar nak berhenti terus, mulakan dengan pecahkan 2 jam itu kepada 4 kali setengah jam, 4 hari seminggu.
3) Beri CUE WORD. Contoh saya dan suami menggunakan perkataan “DAH CUKUP, TUTUP iPAD” dengan TEGAS dan intonasi authoritative. Kita sebagai KETUA dalam keluarga. Anak-anak kena tahu bahawa mereka tidak boleh memanipulasikan Mak Ayah. Dan Mak Ayah kena dalam SATU PASUKAN! Bukan Mak marah, Ayah senyap-senyap beri main phone.
4) TAHAN HATI kalau anak menangis. InsyaAllah saya belum pernah jumpa lagi kes budak nangis sampai pengsan sebab tak dapat main gajet.
5) Saya pesan lagi pada ibu model ini, beri ganjaran dalam bentuk lain seperti pujian, pelukan, masa untuk dia, main dengan dia dan mungkin keluar jalan-jalan dengan dia. Bukan dalam bentuk gajet.
Alhamdulillah selepas 6 bulan, mereka kembali ke klinik saya, anak kecil itu tiada lagi juling. Si ibu pun kata, anaknya lebih gemar melukis dan mewarna sekarang berbanding gajet. Sekarang si ibu hadkan penggunaan gajet untuk semua anak-anak beliau. Alhamdulillah.
Juling peringkat awal akibat terlalu banyak main gajet, boleh dirawat. Jangan putus asa. Saya pula naik juling mata dengar mak ayah yang kata, “Nanti anak saya nangis kalau tak bagi gajet!”
Mengusung jenama Hidaya International pada awal penglibatan dalam bidang fesyen ternyata bukan mudah. To’ Puan Seri Hidayah sebenarnya bermula sebagai seorang peguam selama hampir lima tahun sebelum mengucapkan selamat tinggal kepada karier tercinta.
“Dua tahun saya bekerja sebagai pegawai undang-undang di sebuah syarikat guaman dan selebihnya saya berkhidmat di Bank Negara Malaysia. Sebagai seorang peguam, tentunya banyak masa habis di pejabat. Kerana itu suami mencadangkan agar saya ‘berehat’ dan menumpukan perhatian kepada anak-anak. Kerana akur dengan permintaan itu, saya pun meletakkan jawatan.
Sukar juga menyesuaikan diri selepas berhenti kerja. Saya memang tak betah duduk diam, bimbang otak berkarat nanti! Tetapi demi anak-anak, tujuh tahun juga saya melihat mereka membesar di depan mata. Nak dijadikan cerita, sewaktu anak bongsu saya berusia tujuh tahun, suami terpaksa ke Arab Saudi untuk bekerja. Tinggallah kami empat beranak di Malaysia dan keadaan itu cukup menyukarkan kami untuk bersama,” cerita isteri kepada YAM Tengku Badrulzaman ibni Almarhum Sultan Mahmud ini.
Foto: Koleksi Majalah Nona
Sambung bonda kepada tiga cahaya mata, YM Tengku Emira Shaza, YM Tengku Muhammad Ryan Faiz dan YM Tengku Reyad Feysal ini lagi, mereka mula tinggal sendiri selepas suaminya berhijrah ke Arab Saudi. Seringkali kerinduan terubat dengan berkunjung ke sana, baik bersama anak-anak ataupun sendirian. Dalam perjalanan itu, bermulalah titik baru yang mengubah keseluruhan rencana hidup To’ Puan Seri Hidayah.
“Setiap kali bertemu suami, saya pasti akan mengenakan abaya. Di Malaysia, pemakaian abaya dulunya hanya untuk mengerjakan umrah dan haji, itu pun daripada material yang biasa dengan rekaan yang ringkas. Jadi saya suka melabur pada abaya yang cantik-cantik dari sana. Maklumlah wanita memang suka benda yang cantik di mata.
Tapi alhamdulillah, pelaburan itu sangat berbaloi kerana bila balik ke Malaysia, ramai kenalan yang berminat dengan abaya saya. Mereka berkenan dan terus membuat kiriman untuk dibawa pulang ke Malaysia. Jadi sudah menjadi kebiasaan setiap kali pergi ke Arab Saudi, saya akan bawa pulang abaya yang mereka kirim. Semua saya mulakan kerana suka-suka sahaja. Seronok bila kawan-kawan suka apa yang ada di badan kita, tambahan pula busana yang modest and nice!” ujarnya.
Foto: Koleksi Majalah Nona
Cabaran Berniaga
Selepas dua tahun berulang-alik dari Malaysia ke Arab Saudi, akhirnya To’ Puan Seri Hidayah mengambil keputusan untuk berhijrah ke Abu Dhabi bersama anak-anak. Memilih suasana dan persekitaran yang lebih Islamik untuk keluarga serta jarak perjalanan yang lebih hampir dengan suami memudahkan mereka bertemu setiap minggu, To’ Puan Seri Hidayah dipandu Allah untuk sesuatu yang lebih besar untuknya.
“It was an interesting adventure in life. Hidup di perantauan memang banyak dugaan. Kita tidak ada kenalan, jauh sekali keluarga untuk minta tolong dalam keadaan susah. Untuk kemudahan klinik dan hospital juga wajib ada insurans. The way of living were different. Saya nak mulakan perniagaan pun sukar tetapi saya kenangkan banyak pilihan terbaik datang dari sini.
Bayangkan seorang wanita yang tidak ada latar belakang perniagaan mengorak langkah di bumi asing. Saya bertemu tukang jahit, saya cari kilang sendiri malah saya juga yang mengusung gulungan kain untuk dibuat abaya. Hanya berbekalkan sedikit duit poket dan simpanan, saya gunakan kesemuanya untuk memperkenalkan fesyen abaya di Malaysia. Suami menjadi pendorong utama. Dengan modal membeli 12 helai abaya, saya bawa rekaan itu ke Malaysia dan semuanya habis diborong kawan-kawan dan keluarga!
Foto: Koleksi Majalah Nona
Bila saya mulakan perniagaan, cabaran terbesar adalah mendapatkan kepercayaan pembeli. Begitu juga dengan pengilang, banyak kali saya ditipu dari segi harga dan material yang ditawarkan. Mentang-mentang kita wanita, mereka pandang kita sebelah mata. Mereka jual kain lebih mahal dari harga sepatutnya. Itupun tukang jahit yang beritahu, jika tidak memang sampai bila-bila saya terus ditipu.
Bukan itu saja. Nak dapatkan ilmu dan tip dari mereka pun sukar. Iyalah, orang dari negara lain hendak berniaga barangan yang menjadi kebanggaan mereka, tentulah mereka tidak suka. Tetapi saya bulatkan hati. Malah saya pernah mendapatkan perkhidmatan seorang konsultan namun motivasi saya terus jatuh kerana dia sendiri tidak percaya saya mampu membawa rekaan abaya ini ke tanah air,” ujarnya.
Allah mengatur perjalanan hidup manusia dengan cukup sempurna. Dia Maha Mengetahui apa yang terbaik untuk kita cuma kadangkala kita tidak sedar sehinggalah kita sendiri berasa puas dengan usaha yang dilaksanakan.
“Selain halangan yang datang dari sekeliling, baru saya sedari halangan terbesar adalah dari diri saya sendiri. Cabaran saya adalah my own insecurity. Saya teragak-agak dengan keputusan berniaga tapi lama-kelamaan saya sedar, itulah aset terbesar yang saya ada. Setiap hari saya mengajar diri agar yakin dengan setiap langkah yang diambil dalam kehidupan, terutamanya untuk Hidaya International.
Nobody thought I can do it. Saya pasarkan abaya saya secara online tetapi tempahan diterima adalah melalui telefon dan booth jualan. Saya tahu, pelanggan berat hati untuk melakukan transaksi lebih dari RM500 di talian tanpa melihat dengan mata sendiri rekaan itu. Tetapi saya sangat percaya, branding adalah kunci untuk menjadikan sesebuah perniagaan itu berjaya!”
Banyak modal dilaburkan oleh To’ Puan Hidayah untuk merealisasikan branding yang sempurna. Gambar-gambar menarik perlu diambil untuk menarik perhatian pelanggan untuk membeli abaya yang dipertaruhkan. Meskipun terpaksa mencari jurufoto terbaik dari Lebanon, beliau yakin itu akan menjadi titik tolak beliau membawa nama Hidaya International ke Malaysia. “Kebetulan, jurufoto yang saya upah bernama Taufik. Mungkin gabungan nama ‘Taufik’ dan ‘Hidayah’ adalah petunjuk dari Allah untuk saya!” ketawa besar To’ Puan Seri Hidayah mengimbau sejarah itu.
“Selepas melalui pelbagai dugaan, akhirnya kini kami memiliki sebuah butik di Bangsar. Sebelum ini, kami hanya menumpang di studio apartment yang disewa sebagai showroom. Paling tidak pun, ada kawan-kawan yang sudi untuk ‘meminjamkan’ kepada kami kediaman mereka untuk mengadakan majlis tea party. Bagi saya, butik ini juga adalah satu pencapaian yang boleh dibanggakan.
Kini kami sedang merancang untuk membina sebuah kilang bagi memudahkan proses menghasilkan abaya. Kalau dulu memang saya dan keluarga tinggal di Abu Dhabi. Tidak ada masalah untuk berulang-alik ke kilang di sana. Tetapi disebabkan kami semua sudah kembali ke tanah air, maka lebih baik jika kilang tersebut dibina di sini. Prosesnya tetap sama, saya akan memilih sendiri material, mencari fabrik sesuai dan bersama tukang jahit untuk meneliti hasil kerja tangan mereka. InsyaAllah, kami sedang berusaha untuk menghasilkan pakaian ready-to-wear juga.
Sejak melalui saat sukar di negara orang, saya belajar untuk sentiasa mengamalkan zikir pagi dan zikir petang. Zikir itulah yang memberi ketenangan kepada saya apabila tiba saat-saat sukar. Ramai juga yang kata, saya senang berniaga kerana mengahwini ‘seseorang’ sedangkan ini semua saya usahakan dan turut melalui laluan yang sangat sukar. Saya percaya apabila kita menjaga solat, jaga hubungan dengan Allah, Allah akan bantu kita. Hidup saya bergantung kepada rahmat Allah,” bicara To’ Puan Seri Hidayah dalam nada sebak.