Tiada manusia mahu berkahwin demi penceraian. Rumah tangga yang dibina atas dasar cinta pasti ingin dipertahankan waima masalahnya setinggi gunung mencakar awan. Baik pasangan muda mahupun dewasa, perkahwinan semestinya medan menguji kesetiaan dan keutuhan kasih sayang.
Perkahwinan juga mengajar manusia untuk mengunci nafsu terhadap banyak perkara yang tidak mampu kita lakukan secara bersendiri. Bagi yang memandang ujian itu suatu tusukan positif dalam diri, pasti melihat perkahwinan sebagai platform melengkapi di antara satu sama lain. Anehnya, kepincangan tetap juga berlaku. Puluhan tahun sekalipun perkahwinan itu dibina, manusia sering tewas dengan percaturan hidup sendiri. Jika sudah tersurat olehNya perpisahan, maka yang bermula dengan keindahan, akan ternoktah jua.
Melalui detik penuh duka tatkala diceraikan, Intan Liana Saleh tidak pernah menyalahkan takdir di atas ketentuan jodoh yang tertulis untuk dirinya. Malah, ibu kepada dua cahayamata ini melihat takdir ini sebagai ketentuan Illahi dan mempunyai kenikmatan yang tersendiri tanpa disedari.
PAHIT NAMUN ADA KEMANISAN
Hampir setahun bergelar ibu tunggal, Intan tidak mengambil masa yang lama untuk bangkit dan meneruskan hidup demi dua cahayamata yang memerlukan perhatian dan kasih sayang darinya. Bagi Intan, tidak ramai yang mampu menghadapi perceraian dengan hikmah, sebaliknya dianggap azab dan musibah. Setiap perceraian pasti membuatkan seseorang itu terluka dan sedih dengan kejadian yang menimpanya.
Ads
“ Saya anggap kegagalan menghadapi perceraian dengan hikmah adalah lebih merugikan. Kebanyakan wanita takut kepada perceraian. Ada kalanya perceraian itu menjadi wajib kerana memberi maslahat dan keperluan buat pasangan terbabit bagi membina sebuah kehidupan baru atau sebagai satu proses pemulihan serta peluang untuk memperbaiki diri,” ujar Intan yang memperoleh segala kekuatan melalui dua cahayamatanya.
Walaupun terpaksa melalui pelbagai liku dan kata-kata netizen yang kadang-kala menguris hati dan perasaan, ternyata Intan sudah melupakan episod duka dan bangkit membina keyakinan diri untuk terus mengorak langkah membina kerjaya dan kehidupan yang lebih positif bersama anak-anak.
Malah rezeki Intan dalam bidang peragaan juga tidak kurang hebatnya apabila terpilih menjadi model untuk beberapa jenama fesyen sepanjang kempen Aidilfitri tahun lalu. Memiliki rupa paras yang cantik dengan figura wajah Melayu asli, menjadi salah satu kelebihan buat Intan untuk dijadikan model pilihan untuk jenama fesyen.
Ads
“Alhamdulillah ada hikmah di sebalik episod duka yang Intan lalui. Jika sebelum ini Intan hanyalah merupakan seorang suri rumahtangga yang duduk di rumah dan menjaga anak-anak, kini Intan sudah keluar dari ‘kepompong’ dan belajar hidup berdikari. Intan bukan sahaja dapat mencari sumber pendapatan untuk menyara keluarga, malah apa yang lebih penting, Intan sudah perolehi self esteem untuk berhadapan dengan pelbagai situasi.
Ia merupakan pelajaran dan pengajaran yang mematangkan Intan,” ujar Intan Liana yang sanggup melakukan apa sahaja untuk meneruskan kelangsungan hidup demi permata hatinya.
Fahami matlamat hidup itu sebagai ibadat kepada ALLAH. Jika tidak difahami, maka jiwa dan akal dibutakan nafsu serta keghairahan untuk bergembira tanpa batasan dalam dunia yang sementara ini. Kefahaman ini hanya diberi oleh ALLAH terhadap mereka yang memiliki keikhlasan dan berusaha menuju matlamat ubudiyah kepada-NYA,”sambung Intan lagi.
Ads
Tambah Intan lagi, dia melihat kehidupan kini dalam perspektif yang pelbagai ragam dan cerita yang mampu memberi kebahagiaan dan menumpahkan air mata. Saya berdoa mudah-mudahan semua pasangan yang berkahwin dijauhkan daripada cabaran berumah tangga sehingga membawa kepada penceraian. Kita masih boleh belajar dan ambil iktibar daripada berita-berita yang terpapar di akhbar mahupun di media elektronik,” ujar Intan lagi yang menjadikan kisah kegagalannya sebagai pencetus menguatkan emosi dan keyakinan diri buatnya.
Sebelum mengakhiri perbualan, wanita berusia lewat 20an ini menzahirkan hasrat untuk menstabilkan hidup dari segi kewangan demi meneruskan kelangsungan hidup bersama anak-anak.
“Insyaallah tahun ini Intan merancang untuk melibatkan diri dalam bidang perniagaan terutamanya berkaitan kecantikan. Sebagai ibu tunggal, Intan perlu mempunyai rancangan kewangan yang kukuh dan perniagaan adalah jalan terbaik untuk Intan memastikan sumber kewangan yang lebih terjamin. Namun segalanya masih dalam perancangan. Intan masih akan meneruskan kerjaya sebagai model sambilan dan ingin memajukan diri dalam pelbagai aspek. Intan yakin Allah sebaik-baik perancang dan Intan akan laksanakan untuk kebaikan anak-anak,” ujarnya seraya mengakhiri perbualan.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Dalam kehangatan filem Sangkar mula ditayangkan minggu ini, pasti peminat sukan MMA teruja untuk menyaksikan filem yang dilakonkan oleh Zul Ariffin, Remy Ishak dan Mira Filzah ini. Selain penglibatan kaum lelaki, wanita juga tidak kurang hebatnya apabila memasuki ‘sangkar’.
Bukan mudah melihat wanita yang fizikalnya gagah dan perkasa. Tiada istilah wanita lemah, itu persepsi baru penulis sebaik menyaksikan sendiri aksi Ann Osman bertarung di gelanggang MMA Fighting. Ketangkasan wanita ini menangkis serangan bertubi-tubi dan menyerang balas pihak lawan secara lebih taktikal mengangkat dirinya sebagai di antara atlet MMA wanita yang terkenal di seluruh dunia.
Kehebatan Ann Osman tatkala menyertai kejohanan seni mempertahankan diri atau Mixed Martial Arts (MMA) pada tahun 2015 lalu mendatangkan rasa teruja dan semangat patriotik yang kental di kalangan penonton yang hadir. Masakan tidak, Ann merupakan satu-satunya wanita Muslim dan antara wanita pertama di Malaysia yang tersenarai dalam kejohanan berstandard dunia itu. Persis dewi perang Greek, dia digelar Ann ‘Athena’ Osman kerana reputasi bertempur yang cemerlang!
Pertemuan Nona dengan wanita lasak ini diatur pantas setibanya Ann dari Sabah. Seorang wanita putih melepak dengan rambut ikal yang didandan kemas mesra menyambut salam penulis. Seperti tak percaya… inikah wanita sama di gelanggang tempoh hari? Ann yang berbadan dua cuma tertawa kecil. Dia mengangguk tanda mengiyakan.
Empat tahun lalu, nama Ann Osman dijulang dan disorak peminat meskipun bertubi-tubi dilayang tumbukan padu daripada pihak lawan. Hasilnya beliau berjaya merangkul kejuaraan bagi kategori tersebut. Bermula tahun 2018, Ann akhirnya mengambil keputusan untuk tidak lagi berlawan di dalam ‘sangkar’. Pun begitu, dia masih lagi bergiat aktif di arena MMA dan menjadi salah seorang jurulatih yang memilih atlet-atlet di dalam negara.
Ternyata Ann membuktikan sukan yang dianggap ekstrem itu tidak sesekali melenyapkan sisi kewanitaannya apatah lagi wanita berusia 33 tahun ini merupakan seorang wanita yang gemar bersolek dan berhias cantik. Wanita berdarah campuran Sabah dan Selangor itu lebih selesa berkomunikasi menggunakan Bahasa Inggeris memandangkan dia pernah dibesarkan di Amerika Syarikat. Sesekali terdengar juga loghat Sabah yang pekat, memandangkan dia dan keluarga menetap di sana.
Turut mendapat jolokan Wonder Woman Malaysia, Ann masih mengekalkan ciri-ciri kewanitaan yang sejati apabila tidak berada di dalam gelanggang. Buktinya sewaktu sesi fotografi di studio Ideaktiv baru-baru ini, Ann yang sarat hamil enam bulan kelihatan berseri-seri dalam persalinan maternity.
“Selepas mendirikan rumah tangga pada tahun 2016, saya teruja untuk memulakan kehidupan berkeluarga. Walaupun hamil, tapi saya masih mengekalkan rutin senaman dan kecergasan hinggalah usia kandungan mencecah 8 bulan. Siapa kata orang mengandung tak boleh bergerak aktif? Sebenarnya bersenam amat baik untuk proses kehamilan. Tapi sebelum melakukan apa-apa senaman, dapatkan nasihat doktor terlebih dahulu bagi mengetahui keadaan fizikal serta memastikan senaman tersebut tidak membahayakan bayi di dalam kandungan,” terangnya.
Umum sedia maklum kejohanan seni mempertahankan diri memerlukan ketangkasan dan kemahiran yang tinggi. Menurut Ann, minat untuk mempelajari seni atau skil mempertahankan diri itu bermula sejak tahun 2012. Bersandarkan minat, dia fokus terhadap latihan hingga melayakkan diri ke peringkat profesional. Selain itu, rutin dan gerakan dalam seni mempertahankan diri juga ibarat senaman yang bagus untuk kesihatan.
“Walaupun saya bermula tanpa sebarang latihan formal, saya sebenarnya seorang yang aktif dalam sukan. Sukan seperti bola jaring dan bola keranjang merupakan kegemaran saya ketika di zaman persekolahan. Apabila saya diberi kesempatan untuk mencuba seni mempertahankan diri dan seterusnya mixed martial arts, saya teruja untuk mencuba sesuatu yang baru.
Tambahan pula, ketika itu saya sudah mula bekerja dan terpaksa berjalan seorang diri untuk berulang-alik ke tempat kerja. Suatu hari berlaku detik mencemaskan. Saya pernah berdepan situasi menakutkan apabila kereta diekori oleh orang tidak dikenali. Sejak peristiwa itu, saya nekad mengambil kelas seni mempertahankan diri dengan menyertai Muay Thai.
Minat terhadap sukan seni mempertahankan diri semakin mendalam dan saya akan berlatih sekerap mungkin. Selepas beberapa bulan menjalani latihan, jurulatih mencadangkan agar saya mengikuti pertandingan Amateur MMA di Petaling Jaya. Walaupun saya tewas dalam pertandingan tersebut, tetapi ia telah membuka jalan untuk saya terus mencuba.
Setahun kemudian, saya ditawarkan untuk bertanding di platform MMA terbesar di Asia iaitu ONE Championship dan menjadi wanita pertama Malaysia untuk bertanding di kejohanan sukan MMA pada peringkat antarabangsa,” ujar Ann yang beranggapan wanita sememangnya mempunyai dorongan adrenalin yang tinggi untuk mencuba sesuatu di luar batas akronim seorang wanita.
Kini Ann mengambil keputusan menceburi bidang perniagaan berasaskan pelancongan lasak bersama suami tersayang. Selain itu, Ann turut menyandang jawatan sebagai Pengurus Atlet dan Bakat di One Championship. Walaupun telah mencecah usia 33 tahun, dia merasakan belum tiba masanya untuk bersara dari bidang sukan seni mempertahankan diri.
Atas inisiatif ingin melihat lebih ramai wanita menyertai sukan yang dianggap lasak ini, Ann sering berkongsi kelebihan serta perkembangan sukan tersebut bersama para pengikut di laman Instagram. Sesekali dia diundang ke institusi pengajian tinggi untuk menyampaikan ceramah serta berkongsi pengalaman yang dilalui.
“Ramai orang Asia tersalah anggap bahawa wanita itu lemah dan patut menjauhi sukan seperti seni mempertahankan diri. Tapi bagi saya, kaum wanita sebenarnya sangat kuat dan berpotensi luar biasa dari aspek kekuatan fizikal dan mental. Saya selalu percaya dengan kata kata ‘You never know your limits unless you push yourself to them.’
Seni mempertahankan diri bukannya sebuah sukan yang mudah tapi itulah yang menyebabkan saya jatuh cinta padanya. It teaches me so much. Bukan sahaja dari segi teknik tapi juga menghargai kehidupan seperti mempelajari rasa hormat terhadap rakan sepasukan dan tidak mudah putus asa. Ia juga membina karakter dan keyakinan diri agar kita tidak cepat mengalah. Saya yakin ramai wanita akan menikmati kepuasan dalam bidang sukan seni mempertahankan diri ini,” ujar Ann seraya mengakhiri perbualan.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Pagi bersejarah itu jantung penulis Norzalina seakan terlucut ke kaki. Selama bertahun-tahun mengutus surat rasmi dan berkali-kali jualah tersandar di kerusi kerana tarikh yang diberi selalu tidak menjadi, akhirnya wajah pasangan ini muncul di depan kami. Salam yang dihulur bonda Tun Dr. Siti Hasmah, penulis kucup dengan rasa syukur yang amat. Allah SWT kabulkan impian, malah Dia juga menyusun rencana pertemuan Nona ini untuk keluaran Ramadan nan suci.
Kesempatan mendekati Tun Dr. Siti Hasmah secara one to one, sampai ke hujung nyawa pun akan terakam sebagai momen paling manis dalam kerjaya penulis. Sifat keibuannya, jenaka spontannya serta ruang memori yang dikongsi secara peribadi benar-benar mencambahkan rasa kagum terhadap doktor wanita Melayu pertama di Malaysia itu. 60 tahun mendirikan rumah tangga di sisi Tun Dr. Mahathir Mohamad, bukan satu tempoh singkat. Ibarat irama biola yang digesek indah, lagu cinta mereka melayang sampai ke langit!
Sambil membetulkan duduk, pantas soalan tentang sikap suami tersayang diajukan kepada beliau. Tun Dr. Siti Hasmah kelihatan berfikir sejenak, barangkali jenuh mengenangkan pelbagai karakter lelaki yang didampinginya semenjak muda. “Bagi saya, dia seorang yang biasa. Seorang manusia yang ada perasaan sama macam kita semua. Ada masa-masanya dia tak mahu diganggu dan ada masa-masa juga, dia mahukan teman untuk berbual,” ujar wanita bijak itu yang kini menginjak usia 90 tahun.
Menurut Tun Dr. Siti Hasmah lagi, sebenarnya Tun M akan berubah menjadi pendiam ketika dia ‘tenggelam’ dalam lautan pemikiran. Khususnya tatkala mencari penyelesaian berkaitan sesuatu perkara. Pada satu waktu yang lain pula, dia boleh berubah menjadi seorang yang penuh humor dan sarat kelucuan. “Saya selalu pesan pada dia, janganlah lucu-lucu sangat takut orang tak faham kita sedang melawak. Bimbang nanti, orang salah tafsir kata-katanya.”
Ramai juga yang tidak tahu bahawa Tun M sebenarnya seorang suami yang sangat cerewet tentang penampilan si isteri. “Ya, bayangkan setiap kali kami keluar bersama, dari depan pintu rumah lagi dia akan tengok penampilan saya dari hujung rambut ke hujung kaki. Rambut palsu saya ni, dialah yang suka betul-betulkan dan dia pantang kalau nampak ‘bulat’ sangat di dahi. Mesti akan dirapikan agar nampak lebih natural,” akui Tun Dr. Siti Hasmah sambil tertawa kecil.
Tun M juga merupakan seorang yang sangat teliti tentang soal pakaian. Jarang sekali Tun Dr. Siti Hasmah dapat menata rias penampilan si suami biarpun pernah mencubanya berkali-kali. “Bukan saya tak mahu tolong dia! Tapi selalu yang saya pilih, tak kena di mata. Pernah beberapa kali saya suai padankan baju untuk dipakai tapi setiap kali itu jugalah dia tak setuju. Akhirnya, dia pilih sendiri kot atau sut yang dimahukan,” akui Tun Dr. Siti Hasmah terhadap imej Tun M yang gemar bersut nehru atau bush jacket itu.
Mengenang kembali perbualan kami yang berlangsung di kamar pejabat Tun Dr. Siti Hasmah sendiri, ingin rasanya menahan kolam air mata dari bergenang. Seorang tokoh yang penyayang, senyumannya sentiasa basah di ingatan. Penulis tidak pernah lupa dengan usikan bahawa setiap gambarnya yang kami rakam perlu dibayar. Wajahnya tiba-tiba serius. Tapi beliau kemudiannya tertawa ceria. Ah, berharganya nostalgia itu!
Semenjak bersara pada tahun 2003, Tun Dr. Siti Hasmah hanya mengaktifkan diri dalam persatuan NGO sebagai ahli kehormat. Namun kebelakangan ini, masanya lebih fokus di rumah, menulis sebuah jurnal biografi tentang kehidupannya untuk dibukukan. Sehingga ke detik temu bual ini dilaksanakan, beliau masih lagi tekun menyiapkan draf buku biografi tersebut sebelum diterbitkan beberapa bulan lagi.
Berbekalkan sebatang pen di tangan dan halaman jurnal kosong, setiap hari wanita kelahiran Klang, Selangor itu mencatatkan perihal perjalanan hidupnya secara longhand writing. Bahasanya lebih individual dan dekat di jiwa, penuh dengan coretan tulus seorang isteri, ibu kepada 7 cahaya mata, nenda kepada 18 cucu dan alhamdulilah, moyang kepada seorang cicit. Bahkan dedikasi Tun Dr. Siti Hasmah sebagai salah seorang doktor wanita pertama di Tanah Melayu turut ditulis rapi, menandakan komitmennya terhadap masa depan perubatan di negara ini.
Tidak pernah lelah memperjuangkan kepentingan kesihatan wanita dan kanak-kanak, amalan perancangan keluarga serta banyak lagi, banyak pengalaman Tun Dr. Siti Hasmah sewaktu berkhidmat sebagai doktor perubatan lewat tahun 1955 di Kedah dikongsi bersama penulis. “Negeri Kedah pada waktu itu masih dalam suasana luar bandar, dihuni ramai penduduk miskin dan rata-ratanya buta huruf. Saya masih ingat, pihak hospital sering dipersalahkan apabila kami gagal untuk menyelamatkan nyawa seseorang gara-gara sikap masyarakat yang konservatif dan lambat mendapatkan rawatan.
Setelah diperhalusi, kami dapat tahu bahawa masyarakat kampung selalu teragak-agak untuk membawa pesakit ke hospital kerana pelbagai pantang-larang. Jika berlaku komplikasi sewaktu bersalin di rumah contohnya, si ibu perlu mendapatkan kebenaran suami serta keluarga terlebih dahulu untuk rawatan kecemasan. Kemudian wujud pula masalah pengangkutan. Bayangkan pesakit perlu ditandu sehingga ke jalan besar, sebelum teksi atau kenderaan tertentu membawanya ke hospital. Tapi bila sampai, malangnya si ibu sudah kehilangan darah yang banyak.
Sehingga sekarang saya sangat bersyukur dilahirkan sebagai seorang doktor wanita Melayu Islam yang mampu memberi sumbangan besar terhadap masyarakat. Sebagai bekas pegawai perubatan, saya amat terhutang budi kepada mantan Perdana Menteri kedua, Allahyarham Tun Abdul Razak yang sangat mengambil berat tentang kesusahan masyarakat luar bandar. Pada zamannya, banyak jalan raya dibina menghubungkan kawasan luar bandar dengan bandar seterusnya meningkatkan taraf kesihatan rakyat dengan lebih baik,” luah Tun Dr. Siti Hasmah yang turut mengagumi kepimpinan Tun Fatimah Hashim itu.
Kebimbangan beliau terhadap penularan gerakan anti-vaksin di kalangan ibu bapa muda terlihat jelas melalui getar nada suaranya. Wajahnya tiba-tiba berkerut seribu, tanda protes terhadap ‘keberanian’ generasi sekarang yang mempersoalkan keselamatan dan keberkesanan vaksin, terutamanya apabila penyakit yang dicegah oleh vaksin kian menghilang. “Jujurnya saya sangat bimbang dengan situasi ini. Di Malaysia, kadar kes penyakit berjangkit seperti batuk kokol, difteria dan polio telah tiada semenjak program imunisasi kanak-kanak bawah 1 tahun diwajibkan.
Usaha pemberian imunisasi tidak sepatutnya berhenti walaupun kes terkawal. Kesempatan ini, saya ingin menasihatkan semua ibu bapa supaya JANGANLAH mengelak daripada vaksin demi kesihatan anak-anak tersayang. Jangan tunggu sehingga musibah melanda, barulah mahu bertindak. Takut waktu itu sudah terlambat,” pesannya dengan serius.
KARAKTER
Gaya klasik Tun Dr. Siti Hasmah dalam busana kurung dan perhiasan kalung mutiara tidak dapat dipisahkan. Sambil tertawa, beliau mengakui senang bersederhana dalam penampilannya. “Saya suka pakai mutiara kerana orang tak berani tanya berapa harganya. It is the most classic piece of jewelry that a woman can own. Zaman dulu-dulu pernah juga pakai perhiasan emas berlian yang Mak bagi, tapi susah pula nak padankan dengan baju. Semenjak itu cinta saya berkembang pada mutiara.”
Cerita tentang anting-anting ketip Tun Siti juga memecah derai tawa kami. Hampir berlinang air mata penulis menahan gelak. “Dulu semasa memakai anting-anting biasa, seseorang menegur saya kerana anting-anting sebelah kiri nampak nak jatuh. Mungkin zaman bidan kampung dulu-dulu menindik cara tradisional, maka jadilah lubang tindik itu semakin panjang bila berusia. Sebelum ia jadi semakin panjang, lebih baiklah saya berhenti sekarang dan pakai saja yang ketip,” selorohnya bersahaja.
Bercerita lanjut tentang keluarga pasangan ini, jujurnya ia satu lagi episod paling menarik untuk penulis gaulkan dalam penulisan. Namun satu yang pasti, kebahagiaan itu milik mereka. “Kami sekeluarga jarang berkumpul. Anak Marina di London, manakala keempat-empat anak Mirzan di Amerika Syarikat. Ini jam kalau apa-apa terjadi pada anak, ibu bapa mereka terus ke sana walaupun terpaksa mengejar penerbangan di tengah malam.
Berbeza pada zaman saya, kami jarang sekali dapat jenguk anak-anak yang belajar di luar negara. Lebih-lebih lagi suami bertugas sebagai Perdana Menteri pada waktu itu. Kami sekadar berkomunikasi melalui Aerogram. Saya teringat cerita Mastisa, menantu saya, tentang anaknya yang merayu minta si ibu tulis surat. Katanya dia pelik kenapa kawan-kawan selalu berlari ke ‘suatu tempat’ pada setiap pagi. Rupa-rupanya ke tempat mailbox. Masing-masing menunggu surat daripada keluarga padahal cucu saya ber-Skype dengan keluarganya sepanjang masa. Jadi saya cakap, saya sendiri mahu hantar surat bertulisan tangan pada cucu itu.”
Sanjungan penulis terhadap Tun Dr. Siti Hasmah tumbuh sejak zaman persekolahan lagi. Beliau mendukung karakter seorang isteri pemimpin yang sebenar, yang sentiasa menyokong jatuh bangun kerjaya suami tanpa jemu. She is beside him, she is with him, not behind him. “Saya sentiasa memberi sokongan penuh tapi saya tak mahu bersaing dengannya. Apabila kami walkabout ke mana-mana, selalunya orang akan nampak Tun M saja. Tak nampak saya. Saya pasti akan ke belakang bagi memberi peluang rakyat berjumpa dengannya.”
Tun tak cemburu? Soal kami penuh tanda tanya. “Saya tak jealous. Saya tahu orang sayang pada dia dan dia pun tahu bagaimana perasaan orang-orang yang sayangkan dia. Dia pernah bersuara, selagi orang suka dan mahu jumpa kita, kita layanlah dengan mesra. Yang perlu kita risau ialah apabila orang dah tak mahu berjumpa lagi,” akui beliau dengan suara perlahan.
Biarpun jarang mempamerkan kasih sayang di depan masyarakat, namun seluruh rakyat Malaysia tahu betapa dalamnya cinta pasangan merpati dua sejoli itu. Kesetiaan Tun M terhadap Tun Dr. Siti Hasmah adalah bukti bahawa cinta sejati sememangnya wujud, malah mampu bertahan kukuh sehingga ke penghujung hayat. Saat wanita ini menceritakan karakter Tun M yang amat private, hati penulis bagai tersentuh rasa percaya.
“Dalam motokar, dia pegang tangan saya. Pegangan tangan itu akan dileraikan apabila kami melintasi tol dan jari-jemari akan kembali bertaut selepas itu. Suami juga tak gemar kami berpakaian sedondon seperti pasangan lain. Bukan sahaja sewaktu menghadiri undangan perkahwinan, malah pada hari raya pun pakaian kami berlainan,” ulasnya.
Melihat kesungguhan sang pemilik tulang rusuknya yang tidak pernah mengenal erti penat meskipun dihalang faktor usia yang kian lanjut, Tun Dr. Siti Hasmah kelihatan termenung sejenak. “Saya juga seorang rakyat Malaysia. Istimewanya cuma Allah jumpakan saya dengan Dr. Mahathir yang akhirnya menjadi Perdana Menteri. Saya kagum melihat bakat dia berucap. Dia selalu ada idea tentang apa sahaja. Saya fikir kerana suami sangat suka membaca tentang pelbagai buku. Buku-buku adalah sebahagian daripada dunianya.
Dia membaca buku biografi, sejarah, sains, agama malah macam-macam lagi. Tidak cukup membaca, dia menulis pula. Tentang segala-galanya. Bagi saya, ilham yang Allah selalu beri kepadanya amat mengagumkan. Dia boleh bercakap tentang pelbagai perkara kerana sentiasa mengaktifkan fikiran dengan membaca pada setiap masa,” kata Tun Dr. Siti Hasmah berterus-terang.
Ketika menebarkan pandangan ke seluruh ruang bilik, perhatian penulis sempat berlabuh kepada sebuah potret beliau yang sedang bermain biola. Ya, beliau punya bakat terpendam menggesek biola. Di rumah, beliau diajar oleh seorang guru muzik profesional yang pada waktu yang sama turut mengajar cucu mereka di rumah. Timbul keinginan agar dapat mendengar alunan gesekan biola daripada Tun Dr. Siti Hasmah pula, suatu hari nanti.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Cantiknya melihat foto Neelofa mengenakan niqab di Instagram miliknya. Sebagai insan yang penuh dengan kekhilafan, diharap beliau terus istiqomah dalam memperbaiki diri dan ampu melalui datangnya hari. Subhanallah, sesungguhnya Allah memberikan nikmat kepada hambaNya dalam pelbagai cara. Semoga kita sentiasa dilindungi Allah dan selalu berada dalam rahmat dan ehsanNya.
Pasti ramai yang tertanya-tanya, apakah sebenarnya hukum pemakaian niqab di kalangan wanita Islam. Walaupun kini pemakaian niqab semakin diterima baik di kalangan masyarakat, tetapi masih ada juga pihak yang skeptikal terhadap si pemakai niqab ini.
Ada pihak yang mudah menghukum pemakaiannya tanpa hujung pangkal sekaligus menjadikan si pemakai niqab atau purdah ini sebagai sesuatu yang pelik. Meskipun kini setiap individu telah menggunakan face mask sebagai sebahagian keperluan penting dalam kehidupan seharian, ada juga menggantikan penggunaan face mask dengan menggunakan niqab.
Rata-rata, peminat Neelofa bersyukur di atas penghijarahan yang dilakukan oleh usahawan tersebut dan pastinya mendoakan semoga beliau terus istiqamah dalam mencari keredaanNya.
Memetik persoalan mengenai pemakaian niqab di laman sesawang Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan yang memetik:
Aurat wanita yang wajib ditutup ialah seluruh tubuh badannya, melainkan wajah dan tapak tangan.
Dalam sebuah hadis mursal, daripada Aisyah bahawa Rasulullah SAW bersabda:
Maksudnya: Wahai Asma’! Sesungguhnya seseorang wanita apabila telah didatangi haid tidak elok dia membiarkan dirinya dilihat melainkan ini dan ini. Lalu Rasulullah SAW menunjukkan ke wajahnya dan tapak tangannya.
Hadis riwayat Abu Daud (4104)
Jika seseorang wanita itu bimbang kepada fitnah, maka boleh menutup wajahnya untuk menjaga dirinya. Khususnya, bagi menjaga kehormatan dan mengelakkan perkara yang tidak diingini.
Ummul Mukminin, Saidatina Aisyah R.anha ketika bertemu dengan para sahabat Nabi SAW, beliau akan mengangkat istar menutupi wajahnya. Justeru, memutlakkan pemakaian niqab sebagai meniru budaya agama Yahudi adalah tidak tepat.
Berkata Syeikh Mutawalli Sya’rawi berkenaan memakai purdah bagi wanita:
النقاب ليس مفروضا وليس مرفوضا
Maksudnya: Niqab itu tidaklah difardukan dan tidak pula ditolak.
Yang penting bersederhanalah dengan meraikan keadaaan dan keselesaan di samping aurat yang disepakati wajib ditutup.
Bagi penceramah bebas Datuk Ustaz Kazim Elias, masyarakat Islam terutamanya di negara ini perlu faham bahawa cara pemakaian tersebut termaktub dalam hukum fiqh.
Fiqh adalah huraian kepada hukum-hukum yang telah ditetapkan agama islam ketika syiar itu dibawa Nabi Muhammad SAW dan dipersetujui jumhur ulama kemudiaannya apatah lagi ulama-ulama ahli Sunnah Wal Jamaah.
Dalam rancangan “Kalau Dah Jodoh” yang disiarkan di saluran Astro Oasis, Ustaz Kazim Elias menjelaskan pemakaian purdah/niqab adalah yang berkait rapat dengan hak wanita dan lelaki yang ditetapkan dalam Islam.
Katanya, tohmahan yang menyatakan bahawa pemakaian niqab/purdah semata-mata untuk meniru cara pemakaian orang Arab adalah salah.
Hingga ada yang menyatakan pemakaian tersebut dilakukan orang Arab bagi mengelak ribut pasir dan pemakaian seumpama di Malaysia adalah lebih kepada ingin meniru-niru gaya orang Arab dan bukan kerana agama.
“Jika betul apa yang dikatakan mereka itu, kenapa lelaki Arab tidak berpurdah/niqab bagi mengelakkan ribut pasir?
“Sedangkan kita lihat pemakaian mereka itu hanya kepada kaum Hawa dan lelaki atau suami tidak mengenakan sebarang penutup di muka.
“Jadi kita perlu tahu kenapa, ini bukan soal lebih Islam daripada orang Islam lain, tetapi ini soal hukum agama yang perlu ditegakkan oleh setiap orang Islam yang beriman” Katanya.
Ustaz Kazim menjelaskan, pemakaian purdah/niqab itu menjadi harus jika si pemakai adalah isteri orang.
Antaranya termasuklah:
1.Jika isteri terbabit seorang yang cantik dan bagi mengelakkan fitnah dan cemburu si suami, maka menjadi harus kepada isteri mengenakan purdah/niqab kerana isteri adalah hak mutlak seorang suami.
2. Begitu juga sebaliknya, jika seorang wanita itu memiliki wajah yang kurang cantik dan mahu mengelak dihina masyarakat maka menjadi harus baginya memakai purdah/niqab.
“Pemakai akan beroleh pahala kerana tidak hanya pandai melindungi diri dan menjaga hak suami malah menyelamatkan masyarakat. Jadi tidak timbul siapa lebih Arab daripada orang Arab,” katanya.
Sumber: Astro Awani
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Seperti yang dinanti-nantikan, majlis pernikahan Erra Fazira dan Mohamad Ezwan Mohamad Zain atau Mr E berlangsung penuh indah pada tanggal 12 Disember 2025. Mengambil keberkatan Hari Jumaat, pasangan ini selamat disatukan sebagai suami isteri sekitar jam 9.19 pagi tadi.