Aktif, bijak dan sangat humble.. Itulah yang boleh diperkatakan tentang YM Engku Liyana Zafirah Engku Mohd Suhaimi, kerabat Diraja Pahang yang kini berusia 28 tahun. Mesra digelar sebagai Engku Liyana, antara contoh anak muda yang sangat komited dan cemerlang dalam kariernya.
Sebelum bergelar Pegawai Eksekutif di salah sebuah universiti tempatan, siapa sangka Engku Liyana pernah bekerja sebagai juruwang di sebuah farmasi kesihatan sekitar tahun 2007. Terbukti, sejak usianya belasan tahun Engku Liyana dah pun ada semangat juang yang tinggi untuk berdikari.
“Saya seorang yang komited dengan apa yang dilakukan dan sukakan cabaran. Prinsip saya sentiasa berusaha, ikhtiar, tawakal dan doa. Namun dalam masa sama saya perlu beringat juga, tak semua yang kita nak tu akan dapat.”
AKTIF BERSUKAN
“Selalunya selepas waktu kerja jadual saya penuh dengan aktiviti sukan. 1-2 kali dalam seminggu saya bersama rakan-rakan akan turun ke Kuala Lumpur untuk bermain badminton atau futsal.
Ads
Kadang-kadang lepas kerja saya akan berjoging saja di trek berhampiran tempat kerja. Kalau terlalu penat barulah saya akan berehat di rumah sambil meluangkan masa bersama anak-anak saudara. Walaupun aktif bersukan saya juga seorang yang family oriented. Saya juga tak akan membawa semua urusan kerja ke rumah kecuali kalau terlalu mustahak.”
AMAL MAKANAN SIHAT
Ads
“Saya hanya amalkan air kosong secukupnya setiap hari. Disebabkan aktif bersukan telah mendorong saya untuk minum air dengan banyak. Saya turut mengurangkan makanan berminyak dan bergoreng.
Sejak kecil keluarga saya memang tak galakkan kami ambil makanan ringan, minuman manis dan bergas. Alhamdulillah sampai sekarang kami masih pegang nasihat itu. Selain itu, saya sentiasa melalui hari-hari dengan positif demi kesihatan mental dan fizikal yang baik sekaligus dapat mengekalkan awet muda.”
MAHU MEMBAHAGIAKAN IBU BAPA
“Sebagai anak saya sentiasa berusaha untuk membahagiakan dan menyenangkan kedua ibu bapa. Mungkin tak akan terbalas jasa mereka tapi saya akan merasa puas jika dapat melihat mereka bahagia dan gembira.
Ads
Merekalah sumber inspirasi saya sejak kecil. Kedua-duanya tegas dan berdisiplin dalam mendidik. Sejak kecil saya dan adik beradik dah diajar untuk melakukan sesuatu perkara dengan bersungguh-sungguh sampai jadi.
Seterusnya saya mahu fokus kepada kerjaya. Saya bersyukur kerana keluarga sentiasa menjadi tulang belakang untuk saya lakukan yang terbaik.”
GELARAN WANITA INSPIRASI MASIH JAUH
“Perjalanan untuk mencapai gelaran sebagai wanita inspirasi masih jauh. Setiap wanita ada potensi tersendiri untuk berjaya walaupun apa pun statusnya. Tuhan menjadikan wanita untuk memberi manfaat luar biasa buat keluarga, masyarakat dan negara.
Apa yang penting yakin untuk menjadi yang terbaik dalam bidang kerjaya masing-masing. Seorang wanita inspirasi mampu berdiri di kaki sendiri dan tak bergantung sepenuhnya terhadap lelaki walaupun bergelar isteri dan ibu.”
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Tekad yang tinggi, semangat berani dan sedikit tuah. Itulah Profesor Toh Chooi Gait, Profesor Pergigian Restoratif Universiti Perubatan Antarabangsa (IMU), Kuala Lumpur, yang berhasil mencapai ikhtisar (resume) yang mengagumkan. Bagi beliau ia satu kebanggaan tidak ternilai yang menjadikannya orang yang tetap merendah diri. Pada Hari Wanita Sedunia kali ini, kami berbicara dengan beliau mengenai perjalanannya yang penuh inspirasi, yang dilakukan kerana beliau sukakannya.
Masa untuk keraian. Majlis separa rasmi yang dihadiri tetamu dari seluruh dunia penerima pelbagai anugerah. Antaranya, Profesor Toh Chooi Gait yang diraikan. Beliau bangga dan bersyukur atas pengiktirafan yang diberikan kepadanya iaitu Pingat Antarabangsa Fakulti Pembedahan Pergigian 2022 oleh Kolej DiRaja Pakar Bedah Edinburgh (RCSEd). Sebagai seorang felo pergigian luar negara, ia adalah satu pengiktirafan kepada sumbangan penting beliau kepada Fakulti Pergigian, kolej dan bidang pergigian secara keseluruhan.
Dikenali sebagai seorang yang ikhlas dan baik budi, maka tidak hairanlah apabila para hadirin diminta oleh Profesor Toh untuk berdiri bersamanya, lalu beliau membalas tepuk sanjungan mereka ke arah kamera siaran langsung, semasa beliau menyampaikan ucapan penerimaan pingat. “Untuk pencapaian ini, kami berterima kasih kepada semua yang menyumbang kepada kemajuan peribadi dan profesional kami. Terima kasih juga kepada ahli keluarga atas kasih-sayang dan sokongan mereka.” Tepukan sanjung para hadirin bergema kuat dan berlarutan panjang di seluruh dewan, sama-sama berkongsi sentimen beliau.
Itulah saat yang tidak akan beliau lupakan, yang ternyata jauh berbeza daripada ketika perjalanan kerjaya beliau baru bermula.
Permulaan yang belum pasti
Sebagai seorang pelajar muda, Profesor Toh sentiasa cemerlang dalam pelajaran. Matlamatnya adalah menjadi seorang doktor. Walau bagaimanapun, pada tahun peperiksaan yang akan menentukan kemasukannya ke universiti, situasi peribadi menyebabkan prestasinya merosot. Namun, beliau tetap memohon tempat di Universiti Singapura (sekarang Universiti Nasional Singapura) dalam bidang perubatan. Beliau turut meletakkan jurusan pergigian, kejuruteraan dan perakaunan masing-masing sebagai pilihan kedua, ketiga dan keempat.
Tawaran pertama yang diterima beliau adalah jurusan perakaunan. Beliau melepaskan tawaran itu. Selepas itu, beliau ditawarkan tempat dalam jurusan kejuruteraan di Singapura. Sambil ketawa beliau berkata, “Saya mahu menolak tawaran itu juga!”, tetapi abang yang mendanai pengajian beliau menasihatinya untuk menerima tawaran tersebut. Profesor Toh menerima takdirnya dan hadir untuk memulakan pengajian kejuruteraan di Universiti Singapura.
Itulah titik perubahan dalam hidupnya. Beliau bertuah kerana ada pelajar yang berhenti daripada kursus pergigian pada saat-saat akhir dan itu membuka ruang untuknya. Walaupun bukan pilihan pertama iaitu perubatan, ia tetap lebih dekat dengan minatnya berbanding bidang kejuruteraan.
Tidaklah mudah baginya menerima jurusan itu, tetapi semakin beliau mempelajarinya, semakin terpesona beliau akannya. Beliau mendapat keputusan cemerlang setiap tahun dan menamatkan pengajian dengan kepujian. Profesor Toh merupakan seorang daripada 10 orang pelajar yang berjaya mencapainya sehinggakan dekan fakulti mengajak beliau menyertai universiti sebagai ahli fakulti, tetapi sekali lagi beliau menolak tawaran itu. “Nampak sangat saya memang pandai menolak tawaran,” dia bergurau.
Sebenarnya, Profesor Toh adalah seorang wanita yang tahu apa yang beliau mahukan. Pertamanya, beliau mahu bekerja di Kuala Lumpur kerana pasangannya yang kini adalah suaminya, akan berada di kotaraya itu. Kedua, beliau sedar bahawa dunia akademia adalah langkah seterusnya dalam perjalanan hidupnya kerana beliau memang mahu menjadi seorang pakar. Oleh itu beliau memerlukan latihan pasca-siswazah. “Saya tiada wang untuk meneruskan pengajian selepas mendapat ijazah tetapi saya tahu apabila berada dalam akademia, seseorang itu akan dihantar membuat latihan kepakaran,” ujar beliau jujur.
Kerana itulah Profesor Toh menyertai Fakulti Pergigian Universiti Malaya, yang merupakan fakulti pergigian pertama dalam negara. Pada tahun 1974 itu juga merupakan pertama kalinya kerajaan memansuhkan syarat perkhidmatan wajib kerajaan kepada graduan baru bidang pergigian. Beliau turut mencipta sejarah sebagai pembantu pensyarah termuda yang dilantik menyertai Universiti Malaya.
Tidak lama selepas itu, Profesor Toh terbaca iklan tawaran biasiswa Komanwel. Beliau memohon dan berjaya mendapatkan biasiswa berkenaan untuk melanjutkan pengajian pasca-siswazah di Institut Pergigian Eastman di Kolej Universiti London. “Sepanjang hidup saya ini perjalanannya bersahaja dan sudah tertulis. Saya memperolehi semua pengalaman indah yang tidak dapat dilupakan ini. Barangkali saya dilahirkan begitu bertuah atau sebenarnya ada penjaga pari-pari yang melindungi saya,” ujar beliau.
Tidak rugi apa-apa pun, malah mendapat lebih banyak lagi
Eastman adalah sebuah pusat rujukan bagi kes-kes rumit dan sukar. Peluang berada di situ adalah pendedahan tidak ternilai buat Profesor Toh. “Latihan pasca-siswazah sangat penting. Ia membuka minda. Ia mengajar kita untuk berfikir secara lateral dan mencari penyelesaian.” Selepas menamatkan program sarjana dan memperolehi kelayakan fellowship dari Kolej Pakar Perubatan dan Pakar Bedah DiRaja Glasgow dalam tempoh sembilan bulan sahaja, Profesor Toh mendapati beliau masih mempunyai masa di bawah program biasiswanya sebelum boleh pulang ke tanah air. Beliau ada terfikir untuk menduduki peperiksaan kelayakan fellowship dari Kolej DiRaja Pakar Bedah England, tetapi seorang rakan sekerja mencadangkan beliau untuk menduduki peperiksaan bagi mendapatkan Diploma Pergigian Restoratif yang baru sahaja dilancarkan Kolej DiRaja Pakar Bedah Edinburgh.
Dalam kumpulan pertama 11 pelajar, beliau mendapati hanya seorang sahaja yang lulus peperiksaan tersebut. Malah ketua jabatan pelajar itu sendiri agak skeptis dengan pencapaian tersebut. Namun, Profesor Toh nekad. “Ia satu kelayakan tambahan. Saya tak rugi apa-apa pun,” fikirnya pada waktu itu. Ternyata ia adalah peperiksaan yang paling susah pernah beliau duduki, tetapi akhirnya bersama lima orang lagi calon, beliau lulus peperiksaan itu! “Ada juga beberapa orang pensyarah kanan dari universiti lain. Salah seorang daripada mereka bahkan membawa alatan sendiri dengan segala peralatan terkini untuk digunakan semasa peperiksaan. Saya pula terpaksa menyewa peralatan!” katanya sambil tertawa.
Selepas menamatkan pengajian di UK, Profesor Toh kembali ke Universiti Malaya dan mendedikasikan 30 tahun seterusnya memperluaskan keupayaan jabatan sambil terus menjadi sosok proaktif dalam memperkembangkan bidang pergigian di Malaysia. Dalam tahun-tahun itu, beliau tidak pernah duduk diam dan sentiasa memacu ke hadapan. Antara pencapaian beliau termasuklah menjadi Presiden pengasas Persatuan Penyelidikan Pergigian Antarabangsa (IADR) Seksyen Malaysia; Presiden Persatuan Pendidikan Pergigian Asia Tenggara (SEAADE); Ahli Majlis pengasas Akademi Pergigian Estetik Malaysia; Pengerusi Jawatankuasa Peperiksaan Kelayakan Profesional Majlis Pergigian Malaysia (MDC); selain bertindak sebagai penyemak jurnal-jurnal tempatan dan antarabangsa.
Enggan Bersara
Pada tahun 2007, ketika orang lain memilih untuk bersara atau sekurang-kurangnya kekal dalam zon selesa masing-masing, Profesor Toh pula menerima panggilan dari IMU yang mempelawa beliau untuk menubuhkan fakulti pergigiannya. Fikirnya, “Ini sesuatu yang menarik. Saya boleh buat apa yang saya mahu buat selama ini tetapi dilihat terlalu pelik di universiti awam!”
Namun begitu, ia adalah satu cabaran. Beliau perlu meyakinkan ahli-ahli kanan dan rakan-rakan kongsi fakulti untuk menyokongnya dalam beberapa idea inovatif yang belum teruji dan dicuba sebelum ini. “Malahan ketika saya merangka kurikulum, rakan kongsi fakulti menyuarakan kesangsian mereka,” ujarnya. Mereka merasakan terlalu banyak perkara di dalam kurikulum tersebut yang boleh menghalang pembelajaran. Tetapi Profesor Toh meyakinkan mereka bahawa, “Ini tidaklah terlalu banyak. Inilah cara untuk membuat mereka belajar.”
“Saya beruntung kerana mempunyai kakitangan yang menghargai arah tujuan saya. Saya bawa mereka keluar dari zon selesa dengan idea-idea baharu, konsep baharu dan cara baharu melakukan kerja,” katanya. Kaedah beliau menyaksikan bilik-bilik kuliah berubah menjadi sebuah platform yang lebih berinteraktif di mana para pelajar meninggalkan tugasan poster dan menyampaikan maklumat dalam bentuk rancangan bual bicara televisyen dan dokumentari dengan mengambil kira audiens, platform media dan mesej yang mahu disampaikan.
“Kita perlu memberi inspirasi kepada orang ramai untuk mahu belajar dan mengekalkan ilmu tersebut. Jika anda menjadikan maklumat itu kekal relevan dan menarik, orang akan mengingatinya sepanjang hidup mereka. Ia adalah tentang mengubah pengalaman pembelajaran anda,” katanya.
Perubahan adalah sesuatu yang dekat di hati Profesor Toh. Baginya, perubahan adalah kunci kepada kemajuan. “Tetapi ia perlulah dilakukan atas sebab-sebab yang betul, bukan kerana mengikut trend. Perubahan perlu membawa kepada kemajuan dan meningkatkan kualiti pendidikan, kehidupan atau penjagaan kesihatan,” tambah beliau.
Wanita yang Disegani
Profesor Toh sendiri merupakan seorang pemangkin perubahan dan wanita teladan yang memecahkan pelbagai jenis halangan. Tema Hari Wanita Sedunia tahun ini iaitu ‘Merangkul Kesamarataan’, begitu seiring dengan falsafah peribadi dan perjalanan kerjaya beliau.
Beliau teringat satu peristiwa pada tahun 90-an ketika dijemput untuk berucap di Korea Selatan sebagai bakal Presiden IADR Divisyen Asia Tenggara. “Mereka tidak menyangka saya seorang wanita!” katanya. Menurut Profesor Toh, kumpulan professor yang kebanyakannya lelaki itu tidak tahu bagaimana mahu berurusan dengannya dan terpaksa menghantar kakitangan lebih muda untuk berjumpa beliau. “Orang-orang muda pula datang berjumpa saya lalu memberitahu saya adalah inspirasi mereka iaitu seorang wanita boleh memegang jawatan yang berpangkat tinggi,” sambung beliau.
Peristiwa itu sudah lama berlalu tetapi Profesor Toh berkata masih belum ramai wanita yang menjadi pemimpin. “Ramai, bahkan orang perempuan pun, masih lebih suka berketuakan orang lelaki kerana mereka merasakan lebih mudah bekerja dengan bos lelaki dan kurang cerewet. Bagaimana wanita boleh bangkit jika wanita sendiri tidak menghargai dan membantu sesama sendiri?” tanya beliau.
Profesor Toh berkata pola pemikiran wanita perlu diubah, malah stereotaip dan stigma mengenai peranan wanita dan lelaki perlu dihentikan. “Kita perlu membebaskan minda. Saya sentiasa mahu menggalakkan wanita dan memberikan keyakinan kepada mereka. Wanita tahu mereka boleh bekerja keras, tetapi mereka lebih suka bekerja di belakang tabir dan tidak mahu tampil ke hadapan.”
Permata yang bersinar
Bagi Profesor Toh, beliau tidak gentar untuk melangkah maju. Walaupun senarai pencapaian cemerlang sudah berada dalam genggaman, beliau terus memikirkan bagaimana beliau boleh memberi sumbangan kepada masa hadapan pergigian.
Kini, beliau sedang bekerjasama dengan sebuah syarikat luar untuk membina sebuah sistem sokongan keputusan klinikal berkomputer sepenuhnya, selain komitmen dengan IMU. Sistem tersebut akan memberi panduan kepada doktor gigi melalui soalan-soalan dan menghasilkan diagnosis beserta pilihan rawatan berdasarkan bukti dan pelan rawatan berurutan. Ia juga akan memberikan maklumat mengenai bagaimana hendak berkomunikasi dengan pesakit supaya pesakit boleh membuat keputusan bermaklumat. “Saya fikir ia sangat berguna kepada doktor gigi muda atau yang kurang pengalaman,” katanya.
Profesor Toh juga masih terus memperkenalkan falsafah pembelajaran baharu di IMU bersama-sama rakan sekerja beliau yang lain. Antaranya adalah pembelajaran berdasarkan cabaran di mana pelajar bekerja untuk menyelesaikan situasi kehidupan sebenar dalam masyarakat. Menjadi harapan beliau untuk melihat IMU menjadi sebuah universiti masyarakat di mana orang ramai dapat melihat institusi itu sebagai sebahagian daripada keseluruhan ekosistem. Berikut adalah kata-kata beliau: “Masyarakat menyumbang kepada universiti dan universiti menyumbang kepada mereka. Kita adalah rakan kongsi sebenar.”
Sesiapa pun yang mendengar kisah hidupnya sukar untuk tidak terpesona dengan sikap optimis dan proaktif Profesor Toh. Entah apa lagi yang akan beliau lakukan selepas ini, tetapi jika ditanya apakah rahsia kejayaan kerjayanya yang begitu bermakna dan produktif itu, beliau tidak akan katakan yang ia disebabkan kecekalan dan pandangan positifnya. Beliau juga tidak akan mengaitkannya dengan kecerdasan dan kemahirannya. Profesor Toh akan memberitahu anda: “Berkahwinlah dengan pasangan yang betul. Sokongan yang akan anda dapat dari orang sekeliling anda yang akan membawa anda pergi jauh ke hadapan,” ujar beliau.
Itulah Profesor Toh. Seorang wanita baik budi yang sentiasa merendah diri.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Kisah kematian pelakon jelita Thailand, Tangmo Nida terus menjadi perbualan hangat di laman sosial sampai ke saat ini. Pemergiannya cukup memberi kesan bukan hanya di tanahair sendiri bahkan Malaysia.
Boleh dikatakan kes Tangmo Nida ini ssentiasa menjadi perbincangan hangat warganet yang gigih mencungkil kebenaran demi kebenaran untuk sebuah keadilan buat mendiang.
Biarpun ramai yang meratapi pemergiannya, apa yang dapat kita ambil ikhtibar dari kisah si cantik ini adalah keperibadian yang dimilikinya. Aktres berusia 37 tahun ini dianggap sebagai seorang yang sangat merendah diri, baik hati dan tidak sombong.
Menerusi perkongsian sebuah video di TikTok, memaparkan Tangmo Nida sedang berniaga di jalanan. Perkongsian tersebut telah meraih perhatian ramai.
Pemilik nama sebenar, Tanmo Patcharaveerapong ini memulakan debutnya dalam karier seni sejak di bangku sekolah menengah.
Sepanjang kariernya, telah 3 kali Tangmo Nida menukar nama glamor iaitu Pataratida Patcharaveerapong, Nida Patcharaveerapong, dan yang terakhir Tangmo Nida.
Di awal kariernya juga, Tangmo Nida pernah menyertai pertandingan ratu cantik Miss Teen Thailand 2002. Sejak itu, Tangmo Nida mula meraih perhatian dan sering menjadi pilihan sebagai model dalam beberapa penggambaran produk serta majalah.
Semasa hayatnya, wajah Tangmo Nida sudah menghiasi lebih dari 50 muka hadapan majalah. Popularitinya terus memuncak apabila dia mula mendapat tawaran berlakon.
Antara filem dan drama popular yang pernah dibintangi oleh mendiang ialah Bangkok Love Story (2018), It’s Complicated (2018), The Extra (2016), Ghost of Mae Nak (2005), dan Nak Soo Maha Gaan (2013).
Sepanjang kariernya selama 20 tahun, Tangmo Nida juga telah membintangi lebih dari 38 buah drama Thailand, dan 4 filem.
Selain membintangi beberapa buah filem, Tangmo Nida turut bergelar duta untuk beberapa jenama fesyen terkenal. Kejelitaan Tangmo Nida juga menjadi perhatian beberapa jenama produk kecantikan dan skincare ternama.
Selain cantik dan berbakat besar, Tangmo Nida juga seorang yang berpelajaran tinggi.
Pada Januari 2022 yang lalu, Tangmo Nida baru sahaja menerima Ijazah Sarjana Muda Fakulti Kepimpinan Sosial dari Universiti Rangsit, Thailand.
Maka tak hairanlah Tangmo Nida memiliki keperibadian yang sangat baik serta pandai membawa diri walau dirinya seorang figura terkenal. Ternyata, Tangmo Nida bijak mencari peluang dengan melanjutkan pengajiannya ke peringkat yang lebih tinggi demi masa depan yang lebih baik.
Mungkin baginya populariti dan segala pujian yang diterima saat berada di puncak tak akan bertahan lama. Hanya ilmu yang menjadi bekal demi mengejar matlamat serta impiannya yang telah ditekadkan.
Untuk rekod, Tangmo Nida pernah berkahwin dengan aktor terkenal Phakin Khamwilaisak namun jodoh mereka tidak panjang. Selain itu, Tangmo Nida juga pernah mengalami kemalangan pada tahun 2007 yang mengakibatkan kerosakan pada wajahnya.
Saat itu hidupnya menjadi kelam seketika dan terjadilah beberapa insiden yang hampir meragut nyawanya. Lantas, Tangmo Nida kemudiannya kembali bangkit menjadi seorang yang baru. Namun kini segalanya hanya tinggal kenangan.
Semoga kisah Tangmo Nida ini menjadi pengajaran buat kita. Hebat macam mana pun kita sentiasalah hidup merendah diri, banyakkan berbuat kebaikan dan carilah circle yang positif.
Kredit Foto: Instagram @melonp.official
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Bergelar doktor gigi dan juga usahawan sememangnya Dr. Irma bijak urus syarikat dan masanya bersama keluarga. Kagum melihat kegigihan wanita ini mengemudikan kerjaya yang dipilihnya.
Sebagai seorang doktor gigi, Dr. Irma Shida Abu Samah juga sangat peramah nak mudah didekati. Teruja bertanya pandangan ibu kepada dua orang anak ini tentang industri estetik.
“Trend telah dilihat sedikit berubah. Kini ramai yang menginginkan kulit yang sihat, kekal muda dan menggunakan bahan semula jadi serta bebas bahan kimia beracun. Itu dari segi skincare.
Dari segi estetik pula, rata-rata inginkan wajah yang sempurna, termasuk gigi yang putih dan tersusun.
Kerana itu kita lihat banyak iklan berkaitan kecantikan gigi. Cuma nasihat saya, konsumer harus pandai menilai dan bijak memilih,” kata Dr. Irma yang mengusahakan sebuah syarikat, Irma Ariandi Global Sdn Bhd.
Dr. Irma sentiasa tampil cantik dan bergaya, bertanyakan kepadnya kenapa wanita perlu pandai bergaya, jawabnya, “Saya lebih percaya kepada self confidence.
Kalau seseorang wanita itu confident dan percaya pada kebolehan dirinya, dia automatik akan nampak cantik. Automatik juga, aura wanita hebat akan terpancar dari wajahnya.
A woman needs to be confident in her own skin, with that confidence you will give the most beautiful smile,” jawab Dr. Irma bijak urus pengurusan syarikatnya.
Dr. Irma menasihati wanita di luar sana agar sentiasa yakin dengan diri sendiri untuk berjaya. “Always believe in yourself and in the beauty of your dreams. Sentiasa berfikiran positif, pasang konfiden dan melangkah dengan senyuman paling indah,” kata Dr. Irma.
Walaupun sibuk dengan perniagaan namun wanita ini tetap menjaga ‘perut’ suami dan anak-anaknya. “Sama seperti ibu-ibu bekerja yang lain, meletakkan anak-anak sebagai semangat untuk bertenaga menyelesaikan rutin dan kerja harian.
Biasanya saya akan masak sarapan pagi dan makan tengah hari sebelum saya ke pejabat. Di pejabat, jam 9.00 pagi hingga 5.00 petang saya fokus kepada kedua syarikat saya, penyusunan kerja staf, planning and reporting.
Saya tidak bawa pulang kerja ke rumah kerana selesai di pejabat. Jejak kaki di rumah, diri saya dan masa hanya untuk anak-anak dan suami.
Andai kata ada kerja yang perlu dilunaskan pada hari yang sama, saya akan pastikan anak-anak dah tidur, baru saya akan mulakan kerja saya.
Saya rasa, itu adalah pengorbanan seorang usahawan yang ingin berjaya. Bila kita ‘sign deal‘ untuk jadi usahawan, tidur lewat adalah pakej yang datang sekali. Mujur saya pengeluar produk penjagaan kulit, alhamdulillah kulit masih terpelihara,” ucap Dr. Irma.
Zizi Kirana Sambut Ramadan di Syria apabila penyanyi itu menyertai misi bantuan kemanusiaan menyampaikan makanan, kit ibadah dan bantuan kepada keluarga serta kanak-kanak yang berpuasa di kawasan perang.