Kehadiran Nur Dhabitah Sabri dalam arena sukan terjun di samping atlet berbakat besar seperti Pandelela Rinong dan Leong Mun Yee terbukti berjaya melonjakkan nama negara dalam sukan berkenaan. Meniti usia 22 tahun, Dhabitah sememangnya memiliki aura tersendiri terutamanya ketika menyertai pertandingan.
Malah pesona anak kelahiran Kuala Lumpur ini juga pernah menarik perhatian media antarabangsa sewaktu temasya Sukan Olimpik Rio 2016 kerana sikapnya yang gemar tersenyum!
Mengimbas kembali momen Dhabitah dalam acara sukan dunia kira-kira lima tahun lalu, namanya meniti di bibir peminat sukan seluruh dunia yang tertawan dengan senyuman manis atlet muda ini. Walau terjunan Dhabitah ketika bertanding kurang kemas namun dia tetap melempar senyuman kepada penonton.
Aura positif Dhabitah cukup menyenangkan hingga rata-rata mereka yang menyaksikan acara sukan berkenaan memuji atlet kebanggaan Malaysia ini. Menyedari namanya diperkatakan ramai waktu itu, empunya diri berkata tindakannya yang dilihat sering tersenyum sebelum dan selepas membuat terjunan adalah kerana mahu menghilangkan perasaan gemuruh.
Hari ini, 1 Ogos 2021… Dhabitah sekali lagi menjadi bualan peminat sukan apabila kekal membawa aura positif dan mengukir senyuman tiap kali sebelum membuat terjunan di pentas akhir acara 3 meter papan anjal Olimpik Tokyo 2020.
Cukup konsisten sepanjang melakukan lima terjunan, Dhabitah mengakhiri acara tersebut di tempat keempat dengan 326.15 mata. Hanya dipisahkan 17.6 mata daripada atlet USA, Krysta Palmer yang mengutip 343.75 mata.
Ads
Walau tidak kesampaian membawa pingat Olimpik untuk negara namun Dhabitah berbangga dengan pencapaian yang ditunjukkan. Malah ketika ditemu bual Astro Arena sejurus acara tamat, Dhabitah yang mengalirkan air mata kegembiraan berkata, “Saya tak rasa pulang dengan tangan kosong, saya balik dengan something iaitu experience.”
Dilahirkan pada 12 Julai 1999, anak bongsu kepada pasangan Sabri Hashim dan Fazidah Jaafar ini mula didedahkan dengan sukan renang selepas kedua-dua ibu bapanya menyedari minat Dhabitah dalam bidang berkenaan sejak kanak-kanak lagi.
Dhabitah (kiri) sekitar tahun 2008
Ads
Sepanjang bergelar atlet, Dhabitah yang mendapat pendidikan di Sekolah Sukan Bukit Jalil (SSBJ) telah berjaya merangkul pelbagai pencapaian membanggakan. Antaranya Anugerah Sekolah Sukan Bukit Jalil (Atlet Sukan Wanita Terbaik), 100 Plus Sports Awards (Atlet Harapan Malaysia 2016), pemenang pingat gangsa Sukan Komanwel 2014, pingat emas Asian Diving Cup 2015, FINA Diving Grand Prix, Sukan SEA 2015, Sukan SEA 2017 dan Olahragawati Wilayah Persekutuan 2017.
Ads
Atas kejayaan cemerlang dalam bidang sukan, Dhabitah diberi kepercayaan membawa obor terakhir Sukan SEA Kuala Lumpur 2017. Lebih membanggakan, atlet ini turut menjadi antara 200 penerima Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Wilayah Persekutuan daripada Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah sempena sambutan Hari Wilayah Persekutuan 2019 di Istana Negara.
Dhabitah ketika terima pingat kebesaran YDP Agong ketika dia baru berusia 20 tahunDi samping ibu tersayang
Pada istiadat pengurniaan darjah kebesaran itu, Dhabitah dikurniakan Darjah Kebesaran Ahli Mahkota Wilayah (AMW). Moga kejayaan yang diraih Dhabitah terus menjadi inspirasi dan pencetus semangat buat ramai wanita untuk berjaya dalam bidang yang diceburi.
Kredit foto: Instagram Nur Dhabitah Sabri / Astro Arena
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Salam Ramadan buat semua yang beragama Islam. Sedia maklum, tahun ini kita sekali lagi menjalani ibadah puasa dalam norma baharu. Walau ada bazar Ramadan secara fizikal dan dapat bersolat tarawih berjemaah di masjid namun kita perlu mematuhi SOP yang telah ditetapkan
Sebut tentang bazar Ramadan, selalunya ia umpama ‘pesta’ menjual makanan. Begitu meriah dengan pelbagai jenis kuih-muih, lauk-pauk dan minuman manis. Apa pun bijaklah berbelanja, jangan lupa matlamat utama kita untuk beribadah. Kekalkan amalan pemakanan sihat sepanjang berpuasa.
Kenapa perlu makan secara sihat sepanjang bulan Ramadan? Ini adalah penting untuk mengelakkan beberapa masalah kesihatan seperti sembelit, makanan tidak hadam, kembung perut, kandungan gula rendah dalam darah dan sebagainya. Jika masalah ini berlaku boleh mengganggu tumpuan kita yang sedang berpuasa.
MAKAN SECARA SIHAT
Makan pelbagai jenis makanan secara sederhana dan seimbang walaupun di bulan puasa. Semua kumpulan makanan perlu diambil mengikut Piramid Makanan Malaysia iaitu nasi, roti, bijirin dan hasil bijirin, buah-buahan dan sayur-sayuran, ikan, ayam, daging dan kekacang, susu dan produk tenusu serta sedikit minyak, lemak, gula dan garam. Selain itu, ambil air secukupnya sama ada dalam bentuk minuman atau sup.
HIDANGAN SIHAT BERBUKA PUASA
Rata-rata gemar berbuka puasa dengan minuman dan kuih-muih manis. Bagi mengelakkan makan secara berlebihan, ambil makanan ringkas terlebih dulu ketika berbuka puasa. Ini juga mengelakkan ketidakselesaan sistem penghadaman. Mengikut sunnah, lebih afdal mengambil kurma sebagai makanan pertama ketika berbuka. Kurma kaya dengan tenaga dan serat.
Pengambilan makanan pedas dan berempah juga tidak digalakkan ketika berbuka puasa. Ini dikhuatiri menimbulkan ketidakselesaan perut di siang hari. Berikut contoh cadangan menu yang bagus diambil sepanjang Ramadan:
BERBUKA
3 biji kurma, ½ cawan jus buah-buahan, 1 cawan sup sayur atau ½ cawan bubur lambuk dan 1 keping kuih.
MAKAN MALAM
1½ cawan nasi, 1 ketul ikan atau ayam, 1 cawan sayur campur dan 1 biji buah.
MAKAN LEWAT MALAM (MOREH)
Snek ringkas seperti roti, biskut, sandwich, kuih-muih, kacang atau buah-buahan.
SAHUR
Amalan bersahur penting semasa berpuasa bagi membekalkan tenaga sepanjang waktu berpuasa di siang hari. Sebaik-baiknya, waktu bersahur setengah jam sebelum waktu imsak. Bersahur awal atau sahur sebelum tidur tidak digalakkan.
Semasa bersahur digalakkan mengambil makanan berasaskan karbohidrat kompleks seperti nasi, roti atau oat. Pengambilan makanan tinggi serat seperti roti tinggi serat atau roti mil penuh serta oat pula dapat mengurangkan rasa lapar. Jangan lupa mengambil buah-buahan dan air yang mencukupi ketika bersahur.
Pengambilan minuman berkafein seperti teh atau kopi tidak digalakkan kerana boleh mengakibatkan kehilangan air dalam badan. Contoh makanan untuk sahur yang boleh diambil seperti berikut:
SAHUR
1½ cawan nasi, 1 ekor ikan goreng, ½ cawan sup sayur campur dan tauhu, 1 biji pisang atau 3 biji kurma, 1 gelas air kosong dan 1 gelas susu rendah lemak Atau 1 cawan bijirin sarapan dengan ½ gelas susu rendah lemak dan kismis/hirisan pisang, 2 keping roti mil penuh dengan sedikit jem, 1 gelas jus oren dan 1 gelas air kosong
Sumber: MyHEALTH Kementerian Kesihatan Malaysia
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Diam tak diam usia kehamilan bayi kembar Datin Dr Halina Mohd Yunus memasuki trimester ketiga. Meskipun ia bukanlah kehamilan anak kembar yang pertama namun perasaan gentar untuk menimang cahaya mata baharu tetap dirasai. Apatah lagi, kelahiran kali ini cukup bermakna kerana Datin Dr Halina dan Datuk Dr Sheikh Muszaphar bakal menerima kehadiran sepasang kembar perempuan dan lelaki. Alhamdulillah, bertuah Dr Halina dan Dr Sheikh Muszaphar!
Berdepan dengan pelbagai ujian sepanjang tempoh kehamilan ini, pasangan doktor romantis ini bagaimanapun dilihat cukup optimis melalui apa jua situasi. Dengan kelahiran bayi kembar perempuan dan lelaki yang bakal dilahirkan kelak, ini menjadikan Datin Dr Halina dan Datuk Dr Sheikh Muszaphar bergelar ibu ayah kepada enam orang anak! Walau masing-masing sibuk dengan urusan kerjaya dan empat anak mereka yang masih kecil ketika ini namun kemampuan Datin Dr Halina dan suami membahagikan masa wajar dicontohi.
Malah, mereka sangat berfikiran positif dalam mendidik anak-anak. Tidak hairanlah, Datuk Dr Sheikh Muszaphar mampu menerbitkan buku sulung bertemakan keibubapaan ‘My Way of Parenting’ pada 15 Julai lepas. Tahniah!
Sambil berkongsi aktiviti terkini, Datin Dr Halina meluahkan rasa syukur kerana kesihatan diri dan anak yang dikandung berada dalam keadaan baik. “28 weeks people!!! Hello third trimester!! Alhamdulillah I made it… it’s not too obvious from the front but from the side, mashaAllah.
My back and hip joints already hurting, relaxin (the hormone) must be flooded in me! Can’t sleep at night cause the twins kinda like night owls. Super happening kicking around.. alhamdulillah.. both of them are in cephalic presentation (head down). I’m praying for spontaneous vaginal delivery again this time.. Mudah-mudahan inshaAllah.”
Dalam pada itu, Datin Dr Halina turut menjelaskan bayi kembar yang pertama sudah mencapai berat 485 gram sementara yang kedua pula 458 gram pada ketika kandungan berusia 22 minggu. Seperti kebanyakan ibu hamil lain yang mengidam bermacam-macam perkara luar biasa daripada kebiasaan, Datin Dr Halina juga tidak terkecuali.
Salah satu situasi yang dihadapi ialah apabila beliau ‘mengidam’ untuk memiliki sequin mask seperti yang pernah dipakai oleh selebriti antarabangsa, Jennifer Lopez. Mujur hasrat tersebut direalisasikan seorang pengusaha kraf, Anakanda.beta.
Terbaharu, beliau memuatnaik posting berkaitan World’s Most Admired 2020 Malaysia Edition yang menampilkan suami tercinta iaitu Datuk Dr Sheikh Muszaphar mengungguli senarai bagi kategori lelaki. Pasangan suami isteri ini mendirikan rumah tangga pada Oktober 2010 dan dikurniakan empat cahaya mata iaitu Sophea Isabela, 9 tahun; Sophea Natasha, 7 tahun; dan kembar Sheikh Adam dan Sheikh Noah.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Tekanan darah tinggi atau hipertensi boleh menyerang sesiapa sahaja, tak kira umur mahupun status. Puncanya juga berbeza-beza antaranya keturunan, perubahan bentuk fizikal, persekitaran, tabiat pemakanan dan gaya hidup.
Jika anda disahkan menghidap tekanan darah tinggi maka jangan ambil mudah. Ini kerana tekanan darah tinggi yang serius ada hubung kait dengan penyakit jantung, gangguan otak, mata dan ginjal. Maka, tekanan darah tinggi perlu ditangani lebih awal dengan mengubah gaya hidup. Salah satunya mengamalkan buah-buahan setiap hari. Semoga ikhtiar ini menjadi penawar demi memiliki kesihatan yang baik.
Berikut 6 buah-buahan dipercayai mampu menormalkan tekanan darah tinggi:
PISANG
Buah yang lazat lagi berkhasiat ini kaya dengan sumber kalium yang bermanfaat dalam kawalan tekanan darah. Golongan dewasa disarankan untuk mengambil makanan yang mengandungi sekurang-kurangnya 4.700 miligram kalium sehari. Selain membantu menstabilkan tekanan darah, kalium juga baik untuk kesihatan ginjal. Manakala kandungan potassium juga membantu mengurangkan ketegangan pada dinding pembuluh darah.
KIWI
Kajian menunjukkan bahawa kiwi dapat membantu mengurangkan tekanan darah pada penderita tekanan darah tinggi. Amalkan makan tiga biji buah kiwi setiap hari selama 8 minggu secara konsisten, ia membantu menurunkan tekanan darah tinggi.
DELIMA
Merujuk kepada jurnal Plant Foods for Human Nutrition (2012), meminum secawan jus buah delima selama 28 hari secara konsisten dapat membantu menurunkan tekanan darah tinggi. Ini adalah kerana kesan kandungan antioksidan di dalamnya yang membantu menurunkan tekanan darah dalam jangka masa yang singkat.
TEMBIKAI
Kajian Journal of Hypertension (2012) menunjukan bahawa memakan ekstrak buah tembikai dapat membantu menurunkan tekanan darah pada golongan dewasa, dengan pra-hipertensi atau hipertensi ringan. Penurunan tekanan darah yang terjadi pada pergelangan kaki dan arteri utama lengan atas.
APRIKOT
Merupakan sumber kalium dan vitamin A yang sangat bagus untuk badan. Kandungan kaliumnya dapat membantu menurunkan tekanan darah tinggi agar kembali normal. Selain itu, aprikot turut membantu dalam mengawal kadar kolesterol dan lemak.
UBI BIT MERAH
Meminum jus ubi bit merah (beet fruit) turut dipercayai dapat membantu mengurangkan tekanan darah tinggi dalam jangka masa pendek. Kajian oleh Dietary Nitrate Provides Sustained Blood Pressure Lowering in Hypertensive (2015) menunjukkan dengan meminum 250ml jus ubi bit merah selama sebulan secara berturut-turut membantu mengurangkan tekanan darah tinggi. Selain dibuat jus, ubi bit merah juga boleh dicampur bersama salad atau dijadikan kudapan.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Siapa sangka dari sebuah rumah teres usang menjadi kediaman sentuhan moden elegan, jari-jemari emas Ashikin Amran terbukti berhasil mix & match hiasan tanpa bocorkan kocek.