Hampir diisytiharkan muflis dek pandemik COVID-19, rupanya terselit hikmah tersembunyi buat Halimi atau Chez Hamdan untuk bangkit dan seterusnya mencabar keupayaan diri. Berbekalkan bakat yang dimiliki, beliau kini menjadi pilihan utama para selebriti dan VIP dalam perihal dandanan rambut menerusi salun serta produk rambutnya, ChezKamya Professional.
Yang bulat tidak datang bergolek, yang pipih tidak datang melayang. Dengan 18 tahun pengalaman menata rias rambut, Chez Hamdan membuktikan tiada apa yang mustahil. Bersama kemahiran dan ilmu dalam genggaman, beliau mencipta nama sebagai pendandan rambut profesional sekaligus membina empayarnya sendiri sehingga dikenali seperti kini.
“Awal dahulu, saya sekadar cuba-cuba saja menggunting rambut adik. Entah bagaimana, kepuasan itu timbul apabila ramai memuji tambahan lagi banyak permintaan dari rakan-rakan sekolah membuatkan saya tak menang tangan,” singkap bapa kepada dua orang cahaya mata ini.
Tatkala dirinya masih tercari-cari hala tuju karier diidamkan, Chez Hamdan menyambung pengajian dalam jurusan perakaunan di sebuah universiti tempatan. Angkara kurang minat dalam bidang akaun membuatkan anak kelahiran Jerantut, Pahang itu mengambil keputusan untuk menyambung pengajian dalam kursus penggayaan rambut di sebuah akademi di Kuala Lumpur.
“Waktu itu saya sedar saya dah menghampakan harapan kedua ibu bapa saya walaupun sudah punya income sendiri hasil memotong rambut kawan-kawan di kolej. Saya percaya bakat hairdressing saya ini boleh menjana pendapatan lumayan.”
Mengulas tentang skop tugas sebagai penggaya rambut, anak kedua daripada lima beradik itu berkata mendandan rambut nyata memberikan kepuasan tersendiri serta tanggungjawabnya adalah memberi konsultasi kepada pelanggan mengenai imej yang sesuai dengan bentuk muka, tekstur dan gaya rambut.
“Sepertimana bidang-bidang lain, bergelar penggaya rambut juga menjanjikan masa hadapan yang cerah sekiranya kita betul-betul berusaha, asalkan anda punya minat dan sentiasa fokus dalam memberikan yang terbaik,” ujar Chez yang cukup berpegang kepada prinsip jangan pernah berputus asa.
Ads
Walaupun terpaksa bergelut dalam industri untuk mencipta nama, apatah lagi bidang penggayaan rambut yang lazimnya dipelopori kaum Cina, Chez Hamdan mengakui perjalanannya tidak mudah apabila berhadapan liku-liku perniagaan.
Bermula daripada seorang shampoo boy kepada junior hairstylist, beliau kemudian membuka salun rambutnya sendiri di Setapak pada 2010, namun malang sekali operasi perniagaan terpaksa ditutup akibat pandemik Covid-19 yang menimpa negara. Lantas, Chez terpaksa memikirkan jalan keluar lain bagi menyara kehidupan dengan menjual produk rambut orang lain secara atas talian.
“Pada waktu itu, saya terduduk malah bergelut untuk mencari jalan keluar. Mati akal dan turut diserang anxiety. Nak run business pun sudah tidak mampu lagi akibat lockdown dan sebagainya. Namun alhamdulillah berkat sokongan isteri, anak-anak dan keluarga, saya kembali bangkit untuk mengeluarkan produk sendiri hasil daripada pengalaman saya dalam bidang kecantikan rambut.”
Mengakui melihat apa yang terjadi tertulis hikmah yang tersembunyi, ternyata wabak yang melanda seluruh negara ini mengubah perspektif pendandan rambut berusia 37 tahun ini. Jika sebelum ini, Chez hanya bergantung kepada tangannya dalam membentuk dan menggayakan rambut, kini Chez mula tampil lebih berkeyakinan bergelar seorang usahawan dalam mengemudi perniagaan salun serta produk rambutnya, Chezkamya Professional.
Ads
Usaha tidak akan pernah mengkhianati hasil. Selepas sebulan pertama produknya dijual, ia mencapai sasaran ditetapkan meskipun ketika itu negara berada dalam fasa awal pandemik. Melihat produknya semakin laris, Chez menubuhkan syarikat Chez Profesional Sdn Bhd pada November 2020 yang berpangkalan di Taman Melawati Kuala Lumpur dan mengambil sembilan orang pekerja.
“Jika tidak kerana pandemik, mungkin saya masih terus berada di zon yang selesa dan hanya menguruskan operasi sebuah salun walaupun saya sedar perniagaan tersebut hanya menunggu masa bagai telur di hujung tanduk.
Bahkan wabak ini juga mengajar saya untuk mengambil risiko serta berfikir di luar kotak, sekaligus membiasakan diri dengan operasi jual beli dalam talian. Norma baharu ini jelas mengubah attitude dan cerminan diri saya dari seorang yang pemalu kepada seorang yang berani mengambil risiko dan sentiasa bersedia mendapani cabaran,” ujar suami kepada Sharifah Haziah Akmar ini.
Ads
Dengan terlahirnya kerjasama bersama bekas penyanyi, Erna Elliyana Rosli ia kembali membakar semangat untuknya bagi meneruskan kecintaannya dalam bidang penggayaan rambut. Lalu, wujudlah perkongsian pintar atau ‘smart partnership’ di antara dua usahawan bumiputera berkenaan menerusi kehadiran salun pelbagai tarikan yang dikenali sebagai ChezKamya Professional. Jadi apa istimewanya salun ini berbanding salun lain di luar sana.
“Bukan sekadar sebuah salun rambut biasa, salun ini merupakan sebuah pusat sehenti yang turut menitik beratkan kecantikan dan kesihatan rambut baik dari segi produk mahupun perkhidmatan yang disediakan. Di salun yang berkeluasan 3,600 kaki persegi, kami menawarkan perkhidmatan yang profesional dengan hasil yang pasti memuaskan serta dilengkapi 15 tempat duduk yang selesa,” jelas Chez yang memasang impian besar untuk membuka salun rambutnya di luar pasaran Malaysia seperti Indonesia bagi mengukuhkan lagi jenama tersebut di persada dunia.
Menyajikan perkhidmatan terkini, jenama ChezKamya kini dilihat cukup dikenali sebagai trendsetter terutamanya dalam soal kepakaran mewarna rambut serta potongan unik sehingga menjadi pilihan VVIP dan selebriti tempatan.
“Di ChezKamya, perkhidmatan di salun ini sentiasa ditambahbaik dengan memperkenalkan pasukan barber berpengalaman untuk menarik lebih ramai pelanggan lelaki serta segmen kecantikan, manicure dan pedicure buat golongan wanita. Dengan kadar dikenakan sangat berpatutan pelanggan sendiri dijamin dapat merasai servis taraf kayangan apabila berkunjung ke salun ChezKamya,” katanya.
Apatah lagi dengan kewujudan rangkaian produk penjagaan rambut merangkumi penjagaan kulit kepala syampu, keratin mask, penyembur keratin, serum dan tonik yang diperbuat dari bahan-bahan bermutu tinggi seperti Tricogen, Biotin dan Zpt, menerusi tagline ‘Your Home Your Saloon’, produk hebat ini nyata berkualiti sama seperti di salun, bebas silikon, diperakui Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan harga berpatutan.
“Setiap satu produk kami turut memfokuskan kepada penyelidikan dan pembangunan produk (R&D). Di Chezkamya, kami sentiasa mahu berevolusi serta menambah baik mutu produk agar lebih premium dan semestinya berkesan untuk setiap jenis rambut. Yang pasti, kami mahu mencipta fenomena. Doakan kami,” akhiri Chez Hamdan.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Kagum melihat gaya hidup puteri diraja Thailand, Puteri Sirivannavari Nariratana Rajakanya. Biarpun berstatus puteri diraja namun personaliti beliau yang cantik, merendah diri dan berbakat membuatkan dirinya disenangi ramai. Apatah lagi Puteri Sirivannavari sering mencerminkan teladan dan inspirasi terbaik dalam kalangan wanita Thailand apabila meraih pelbagai kejayaan membanggakan.
Meniti usia 33 tahun pada 8 Januari lalu, tidak keterlaluan jika penulis menyatakan bahawa Puteri Sirivannavari seorang yang bergaya sederhana dalam penampilan. Ini dibuktikan apabila kebanyakan foto-foto beliau memperlihatkan sisi santai apabila gambarnya dirakam ketika mengenakan persalinan ringkas seperti T-shirt dan berwajah polos tanpa solekan.
Malah, rata-rata rakyat Thailand yang melihat gambar Puteri Sirivannavari mengagumi wajah anggun semula jadi anakanda Raja Maha Vajiralongkorn tersebut.
Berkongsi aktiviti pada April lalu ketika Thailand turut dilanda pandemik Covid-19, Puteri Sirivannavari tanpa berselindung mempamer kehidupan peribadi kepada khalayak. Selain menunjukkan bakat memasak dan berkongsi resipi hidangan Thailand di media sosial, beliau turut berkongsi persekitaran kebun sayur di kediamannya. Memang besar, luas dan subur kebun sayur puteri ini. Macam-macam tanaman sayur dan herba ada pula tu!
Seronok tengok beliau petik hasil tanaman antaranya tomato ceri, daun pandan, kacang bendi, cili, terung, rosemary, daun selasih dan sebagainya.
Di samping persekitaran kebun sayur yang tersusun cantik dan menarik perhatian, penampilan Puteri Sirivannavari tanpa mekap, memakai T-Shirt, berseluar jeans dan hanya berselipar pastinya menjadi tumpuan utama rakyat. Ramai dalam kalangan mereka mengagumi cara Puteri Sirivannavari dan menyifatkan ia sisi berbeza puteri diraja Thailand
tersebut kerana sebelum ini beliau sering dilihat bergaya mewah dan anggun di majlis-majlis rasmi.
Enggan hanya menikmati gaya hidup selesa dan mewah di istana, puteri kesayangan Negara Gajah Putih berkenaan lebih selesa mendekati rakyat dan menjalani kehidupan seperti insan normal lain yang bebas bersukan, berkarya dan berbakti kepada negara. Menelusuri latar belakang puteri bertubuh tinggi lampai ini, beliau merupakan puteri hasil perkahwinan Raja Thailand, Raja Maha Vajiralongkorn dengan isteri keduanya iaitu Sujarinee Vivacharawongse yang juga bekas aktres Thailand.
Raja Maha Vajiralongkorn berkahwin dengan Sujarinee pada Februari 1994 dan mendapat restu Raja Thailand ketika itu, Raja Rama IX. Namun, terdapat desas-desus yang mengatakan perkahwinan tersebut tidak direstui bonda Raja Maha Vajiralongkorn iaitu Permaisuri Sirikit.
Bagaimana pun jodoh di antara Raja Maha Vajiralongkorn dan bekas anak seni berkenaan tidak berpanjangan yang akhirnya membawa kepada penceraian kerana Sujarinee dituduh curang. Ia sekaligus menyebabkan Sujarinee dilucutkan status diraja.
Pun begitu, Puteri Sirivannavari kekal berstatus puteri dan ternyata beliau disayangi ayahandanya yang kini menaiki takhta pemerintahan Thailand. Anak perempuan Sujarinee ini tidak hanya menjadi buruan media tempatan dan antarabangsa bahkan beliau turut disayangi rakyat jelata yang ‘dahagakan’ perkembangan semasa beliau. Percaya atau tidak, Puteri Sirivannavari aktif menceburi bidang sukan dan pernah memenangi pingat emas kategori badminton pada Sukan SEA 2005!
Bukan hanya sukan badminton, beliau juga mewakili Thailand dalam sukan berkuda dan meraih pingat dalam Sukan SEA ke-29 pada tahun 2017 yang lalu. Selain kemampuan bersukan, beliau turut memiliki bakat melukis dan merupakan aktivis hidupan laut serta pemilik label fesyen Sirivannavari.
Pada pertengahan April lalu, Puteri Sirivannavari melancarkan produk hand sanitizer dan mask jenamanya sendiri untuk diagihkan kepada hospital kerajaan terlibat dalam usaha memerangi wabak Covid-19. Melihat kredibiliti, bakat dan pesona Puteri Sirivannavari… terbukti beliau sememangnya seorang puteri berjiwa rakyat, penyayang dan sumber inspirasi wanita Thailand!
Sejak mula berkahwin dengan Rene Angelil, Celine Dion sudah merancang untuk memiliki anak yang ramai. Mana tidaknya, dia dilahirkan dalam keluarga yang besar dan sebagai anak bongsu daripada 14 orang beradik Celine sentiasa mendapat tumpuan dan perhatian keluarga.
Meskipun secara luaran, Celine disifatkan sebagai seorang wanita yang sukses, kaya, ternama dan mampu memiliki apa saja yang dihajati namun jauh di sudut penyanyi berkelas dunia ini, perjalanan hidupnya tidak berjalan begitu lancar.
Lebih-lebih lagi apabila melibatkan soal anak. Menghadapi kesulitan untuk hamil, Celine dan suami tercinta akhirnya dikurniakan anak lelaki sulung ketika berusia 33 tahun selepas menjalani rawatan kesuburan IVF.
Celine DionAnak sulung
Baik Celine mahupun Rene, kedua-dua tidak menyangka akan menghadapi masalah untuk mempunyai anak. Selepas bertahun-tahun ikhtiar dan cuba pelbagai kaedah untuk hamil, mereka masih menemui jalan buntu dan usaha pasangan ini untuk timang cahaya mata tetap gagal.
Pada tahun 1999, Rene disahkan menghidap kanser tekak dan sebagai langkah pencegahan, lelaki kesayangan Celine ini nekad membekukan sperma miliknya kerana khuatir kualiti terjejas akibat kesan kemoterapi.
Sementara itu, Celine pula melakukan pemeriksaan kesihatan di sebuah klinik kesuburan di New York pada Mei 2000 dan menjalani dua pembedahan kecil sebagai usaha meningkatkan peluangnya untuk hamil. Pada 25 Januari 2001, anak sulung mereka bernama Rene-Charles selamat dilahirkan secara pembedahan.
Selepas kelahiran Rene-Charles, suami isteri ternama ini menyimpan hasrat untuk menambah anak dan mereka sekali lagi menjalani rawatan kesuburan IVF. Pun begitu, Celine gugur pada tahun 2009 dan setelah enam kali berusaha akhirnya pada percubaan ketujuh, Celine disahkan hamil anak kembar ketika usianya mencecah 42 tahun pada 2010.
Dia terpaksa melahirkan bayi kembar Nelson dan Eddy secara pembedahan ketika usia kandungan baru mencecah 33 minggu. Bagaimana pun kedua-duanya dilaporkan berada dalam keadaan selamat.
Ketika ulang tahun kelahiran baru-baru iniAnak kembar Celine Dion
Hasrat Celine untuk menimang cahaya mata perempuan tidak kesampaian apabila Rene akhirnya meninggal dunia akibat kanser yang dihidapi pada tahun 2016. Penyanyi kelahiran Canada ini baru sahaja menyambut usia 52 tahun pada 30 Mac lepas.
Sumber: Infertility Aide
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Selain kelibat Tan Sri Muhyiddin Yassin yang menjadi tumpuan rakyat kebelakangan ini, sosok wanita bertudung bawal merah jambu ini juga mencuri perhatian ramai dalam Istiadat Pengurniaan Suratcara Pelantikan dan Mengangkat Sumpah Jawatan Perdana Menteri Ke-8 yang berlangsung di Singgahsana Kecil Istana Negara semalam. Yang pasti, beliau bukan calang-calang orang kerana beliau ialah Ketua Hakim Negara!
Pasti orang Kelantan cukup bangga apabila mengetahui Ketua Hakim Negara ini sebenarnya berasal dari negeri Cik Siti Wan Kembang. Lebih manis, Tan Sri Tengku Maimun Tuan Mat mencipta satu lagi sejarah negara apabila menjadi wanita pertama dilantik jawatan berkenaan. Meskipun kecil molek saja orangnya tapi kebijaksanaan Tan Sri Tengku Maimun mengendalikan hal berkaitan perundangan tidak perlu dipertikai lagi.
Awal Mei tahun lalu, Tan Sri Tengku Maimun Tuan Mat dijemput ke Istana Negara bagi menghadiri Istiadat Menghadap dan Pengurniaan Suratcara Pelantikan serta Istiadat Angkat Sumpah Jawatan Ketua Hakim Negara.
Mengimbas kembali momen penting itu, Ke bawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan berangkat ke istiadat berkenaan. Turut kelihatan dalam upacara tersebut ketika itu ialah Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.
Kredit: Instagram Istana Negara
Anggun berbusana tradisi baju kurung rona cerah dan bertudung bawal polos, Tan Seri Tengku Maimun tenang menandatangani surat pelantikan. Begitu juga ketika mengangkat sumpah jawatan.
Beliau diberi kepercayaan menjadi Ketua Hakim Negara selepas Tan Sri Richard Malanjum bersara pada 12 April tahun lalu. Pelantikan Tan Sri Tengku Maimun berkuatkuasa serta-merta mulai awal Mei lepas.
Mengintai latar belakang Ketua Hakim Negara yang berusia 60 tahun ini, Tan Sri Tengku Maimun yang dilahirkan di Kota Bahru, Kelantan pernah memegang jawatan seperti Majistret, Hakim Mahkamah Sesyen, Peguam Persekutuan dan Penolong Kanan Pendaftar serta Pegawai Khas kepada bekas Ketua Hakim Negara, Tun Mohamed Dzaiddin Abdullah dan Tun Ahmad Fairuz Sheikh Abdul Halim.
Beliau merupakan siswazah lulusan Universiti Malaya yang memulakan kariernya sebagai pegawai undang-undang di Lembaga Pembangunan Kelantan Selatan (KESEDAR) pada tahun 1982.
Memetik infomasi dari Bernama, pada 2 Oktober 2006 hingga 4 September 2007 Tan Sri Tengku Maimun merupakan Pesuruhjaya Kehakiman Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur. Kemudian beliau dilantik menyandang jawatan Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur selama hampir empat tahun bermula 5 September 2007 hingga 31 Mac 2011.
Pada April tahun yang sama hingga 7 Januari 2013, Tan Sri Tengku Maimun pernah menjadi Hakim Mahkamah Tinggi Shah Alam Selangor seterusnya dilantik sebagai Hakim Mahkamah Rayuan Putrajaya yang berkhidmat selama hampir lima tahun bermula 8 Januari 2013 hingga 25 November 2018.
Tidak hanya terhenti di situ, Tan Sri Tengku Maimun turut menerima pelantikan sebagai Hakim Mahkamah Persekutuan Putrajaya mulai 26 November 2018 hingga 1 Mei 2019 sebelum diangkat sebagai wanita pertama dilantik selaku Ketua Hakim Negara.
Sumber: Astro Awani & Bernama
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Ajal maut, jodoh dan pertemuan semuanya di tangan Tuhan. Tanggal 5 Disember 2025 pastinya menjadi tarikh yang tidak mungkin dilupakan Datin Seri Zizie Izette apabila suami tercinta dijemput ilahi. Tidak bersedia menerima pemergian insan kesayangan apatah lagi ketika itu dia berada di Semenanjung, figura popular ini bagaimana pun akur dengan takdir dan ketentuan ilahi.