Tidak punya masa! Itu alasan yang sering diberikan kebanyakan orang apabila diajukan persoalan tentang senaman. Namun, tahukah anda senaman Tabata yang diilhamkan seorang ahli sains Jepun, Dr Izumi Tabata membuka dimensi baru tentang senaman?

IKLAN

Hanya empat minit sahaja diperlukan untuk melengkapkan senaman yang dicipta di Tokyo pada tahun 1996 ini. Bukan sekadar mudah untuk dipraktikkan malah boleh dilakukan di mana-mana sahaja mengikut keselesaan masing-masing. Untuk mendapatkan hasil optimum, lakukan senaman Tabata dua kali sehari iaitu pada sebelah pagi dan malam.

Juga digelar ‘senaman orang malas’ kerana hanya memerlukan tempoh empat minit, kesan senaman ini dipercayai memberi kesan sangat efektif terhadap kesihatan tubuh badan. Ini dibuktikan oleh kajian pakar senaman, Dr Michele Olson yang mengatakan senaman Tabata mampu membakar 13.5 kilokalori seminit dan meningkatkan kadar metabolisma badan sebanyak dua kali ganda.

KONSEP SENAMAN TABATA

Senaman Tabata lazimnya diselang-selikan di antara satu rutin senaman selama 20 saat dengan rehat sebentar 10 saat. Kemudian, set senaman tersebut diulang sebanyak lapan kali mengikut rutin senaman yang berbeza atau sama mengikut kemahuan. Ini bermakna setiap satu set akan mengambil masa 30 saat. Dan jika dihitung, lapan set rutin senaman hanya memperuntukkan empat minit sahaja.

IKLAN

Cadangan rutin senaman pula membabitkan pergerakan kumpulan otot besar seperti:

IKLAN
  • Squat
  • Burpees
  • Mountain Climbers
  • Plank
  • Tekan tubi
  • Lompat setempat @ lompat bintang

Kebiasaannya, tubuh akan berasa sangat penat dan bernafas laju selepas selesai melakukan senaman Tabata. Reaksi yang diterima tubuh seolah-olah telah menjalani sesi senaman berjam-jam lamanya. Selain konsep yang lebih santai dan bebas memilih rutin yang diinginkan, ia tidak memerlukan peralatan senaman khusus.

Secara ringkasnya, Tabata sangat baik untuk individu yang sibuk. Bagi mereka yang jarang bersenam, disarankan agar melakukan rutin senaman ringan terlebih dahulu dan usah memaksa diri secara keterlaluan. Apabila sudah selesa dengan konsep senaman Tabata, boleh menambah masa senaman sehingga 12 ke 20 minit mengikut kemampuan diri.